Ketika lahir, tali pusat anak memang tak lagi diperlukan. Selepas beberapa minit bayi dilahirkan tali pusat yang melekat bersama plasenta akan dipotong untuk mengelakkan darah dari plasenta terusan mengalir ke arah bayi.
Jika lambat berbuat demikian kemungkinan besar, darah yang banyak mengalir ke dalam sistem peredaran darah bayi akan menyebabkan komplikasi. Jangan risau kerana ini langsung tidak memberi sebarang kesakitan kepada bayi ketika proses memotong tali pusat itu dilakukan.
Perkara yang penting diambil tahu ialah tali pusat hendaklah dipotong dengan menggunakan alatan yang telah disteril. Apabila sudah sampai kepada satu tempoh tertentu, tali pusat itu akan tanggal sendiri dari pusat bayi. Mungkin seminggu ke dua minggu.
Tip Penjagaan Tali Pusat Anak
1. Pastikan tali pusat dan kawasan sekitarnya sentiasa dalam keadaan kering dan bersih. Tali pusat yang lembap dan tidak dijaga dengan bersih boleh menyebabkan pelbagai penyakit kepada bayi terutamanya jaundis. Tali pusat yang tidak dijaga dengan rapi akan mengambil masa untuk kering dan tanggal.
2. Apabila bayi membuang air besar, pastikan ketika membersih najisnya tidak terkena pada tali pusat. Kecuaian hal ini boleh mengundang padah dan mendatangkan masalah kepada bayi.
3. Setiap kali mandi beri perhatian khusus pada tali pusat. Setelah seluruh tubuh bayi termasuk bahagian tali pusat dikeringkan dengan tuala lembut, bersihkan sisa tali pusat dengan kapas yang telah dicelup dengan ubat khas yang dibekalkan klinik dan hospital. Lakukan dengan lembut mulai dari pangkal hingga ke hujungnya. Jangan bungkus sehingga tiada udara yang boleh keluar masuk. Biarkan ada sedikit pengudaraan agar tali pusat cepat luruh dan sembuh.
Ads
4. Perlu selalu memantau kondisi tali pusat. Bila terlihat tanda-tanda iritasi, kemerahan, berdarah atau berbau tidak menyenangkan segera bawa berjumpa doktor.
Ikutlah Cara Ini Kalau Nak Jaga Pusat Bayi Yang Baru Lahir
1. Pastikan Kering
Mak-mak kena pastikan tali pusat dan kawasan di sekelilingnya berada dalam keadaan bersih dan kering. Biasanya ma-mak akan dibekalkan dengan ‘alkohol’ atau bancuhan ‘antiseptik’ untuk mencuci pusat bayi.
Ads
Tetapi ada sesetangah mak-mak mencuci tali pusat dengan air yang bersih diikuti dengan mengelap untuk mengeringkannya sudah memadai. Namun terdapat kes-kes tertentu yang masih memerlukan alkohol atau antiseptik digunakan, jadi berbincanglah dengan doktor sekiranya terdapat sebarang persoalan.
2. Pastikan Tak Tertutup
Sewaktu mengenakan lampin atau ‘diapers’ , pastikan tali pusat bayi tidak terutup oleh lampin/diapers. Letakkan tali pusat itu di luar lampin supaya ia tidak terkena air kencing atau najis bayi. Ini akan membantu proses tali pusat untuk mengering.
3. Jangan Letak Bedak
Tak perlu meletakkan bedak atau ubat-ubatan tradisional pada pusat bayi yang mungkin menganggu proses semulajadi penanggalan tali pusat tersebut. Air bersih sudah memadai.
Sewaktu tali pusat belum lagi tertanggal, memandikan bayi dengan cara mengelap menggunakan kain yang basah atau dengan menjirus lebih digalakkan daripada kaedah mandian yang menyebabkan tali pusat itu terendam lama dalam air. Tali pusat bolehlah dilap setelah bayi dimandikan.
Ads
4. Biar Luruh Sendiri
Jangan tarik tali pusat itu walau nampak macam akan tertanggal pada bila-bila masa sahaja lagi. Biarkanlah proses itu berlaku secara semulajadi.
Awas, Kalau Ada Tanda-tanda Jangkitan Di Pusat
Haaa… mak-mak kena betul-betul pantau ya sebab ada kemungkinan tali pusat dijangkiti kuman sekiranya terdapat tanda-tanda ini:
– Nampak kawasan sekeliling pusat kelihatan merah
– Ada nanah, darah atau bau yang kurang menyenangkan di pusat
– Bayi demam, kurang aktif dan kurang menyusu
Maka andai kata mak-mak tengok bayi ada masalah salah satu di atas, segeralah bawa jumpa doktor untuk dirawat. Jangan memandai merawat sendiri pula sebab kalau salah caranya, ini boleh menyebabkan jangkitan darah yang merbahaya pada bayi!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Isteri-isteri yang bekerja kalua dapat cuti, kemudian boleh me-time tanpa gangguan memang cukup teruja. Inilah ubat baik pulih emosi yang paling mujarab.
Tak perlu percutian mewah dan mahal, cukuplah dapat berehat di rumah dan layan drama kesukaan. Lagi-lagi bagi isteri yang bekerja syif dan susah dapat cuti, mereka cukup teruja bila setiap kali dapat cuti. Kalau suami bawa bercuti itu bonuslah.
Ikuti perkongsian Mohd Fhais ini dan selamilah perasaan isteri yang bekerjaya:
Patutlah dari 10 hari lepas lagi dia sudah beritahu hari apa dia akan cuti. Dapat saja jadual kerja terus dia buat pengumuman dekat rumah.
“Ok bang, minggu ini sayang cuti hari selasa, minggu depan hari jumaat”.
Walaupun dia tahu yang laki dia ini tak akan ingat pun pengumuman macam tu tetap dia nak beritahu juga.
Lagi hendak dekat cuti lagi kerap dia ulang tayang iklan cuti.
Masa call, dekat akhir perbualan pun akan terselit iklan cuti, “Esok sayang cuti”
Masa tengah makan pun ada iklan cuti, “Lusa sayang cuti”
Masa nak tidur pun sempat lagi iklan cuti, “Abang hari jumaat sayang cuti tau, good night”
Wanita Bekerja Kemaruk Cuti
Rasanya siapa kerja dekat hospital memang akan kemaruk cuti macam ini.
Bonus tak bagi dia tak hairan tapi kalau cuti kena tarik, dengan pengarah hospital pun dia sanggup berdebat. Dahsyat!
Sebabnya satu saja. Dia hendak berehat. Dia hendak tenangkan fikiran. Dia nak reset emosi. Dia sangat perlukan Me-Time…
Kerja hospital ini penat wei. Saya sudah tengok sendiri. Depan mata nampak macam kerja mereka ini tak penat, tak berat, kerja pun dalam aircond.
Tapi hakikatnya kerja mereka ini sangat-sangatlah penat. Fizikal, mental dan emosi semua kepenatan. Di tambah pula dengan waktu rehat yang tak menentu.
Hari ini kerja siang, esok kerja malam. Ada yang kerja malam berturut-turut pun ada. Serius penat.
Cuti Jadi Ubat Untuk Emosi
Tidur sehari suntuk pun belum tentu penat ini semua boleh hilang. Mereka ini sangat perlukan Me-Time, itu sahajalah ubat untuk baik pulih mental dan emosi mereka.
Tak dapat cuti mahal-mahal pun dia tak kisah asalkan dia dapat buat aktiviti yang dia suka dan terhibur.
Alah isteri saya tu dia memang suka tag tempat tempat percutian menarik ni tapi sudahnya dia lebih suka duduk rumah layan drama tanpa sebarang gangguan. Itu la Me-Time paling mahal bagi diri dia.
Tapi kalau dapat bawa pergi bercuti dialah orang paling teruja sekali. Dapat buat Family-Time katanya.
Semua isteri bekerja sama je! . . Banyak lagi cerita dan info menarik tentang kekeluargaan di channel telegram saya silakan klik t.me/CoretanFhais
MW: Wanita yang bekerja atau menjadi suri rumah sepenuhnya masing-masing penat menguruskan keluarga. Jadi apa salahnya sesekali suami bagi “cuti” buat isteri untuk me-time. Bukan selalu pun, sekurang-kurangnya emosi isteri terubat dan motivasinya untuk menguruskan keluarga meningkat.
Madu itu manis, tapi bermadu itu pahit bagi wanita bergelar isteri! Kadangkala tertanya-tanya, apa kesilapan mereka hingga diri dimadukan dalam diam?
Ikuti luahan hati seorang wanita yang telah dijawab oleh kaunselor dan penulis bebas, Puan Hajah Maimunah Mohamad. Beliau juga salah seorang penulis tetap di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Assalamualaikum puan. Saya berusia awal 40-an. Memiliki empat orang cahaya mata, dua lelaki dua perempuan. Saya beryukur kerana mempunyai suami yang penyayang, anak-anak yang sihat dan boleh dikatakan cemerlang di dalam pelajaran.
Yang sulung kini di Ireland mengikuti jurusan kedoktoran; kedua di UiTM di dalam jurusan Mechanical Engineering, ketiga di UIA di dalam jurusan Undang-Undang dan keempat sedang menunggu keputusan SPM (ketika e-mel ini dihantar).
Dulu Suami Isteri Hidup usah
Suami seorang ahli perniagaan dan saya pula tidak lagi bekerja selepas anak kedua lahir. Soal duit tak jadi masalah dan kami mampu hidup selesa. Namun, kami bukan sesenang sekarang. Awal kahwin, saya bersusah payah bersama suami yang baru nak membina perniagaan. Sehinggalah akhirnya dia memiliki beberapa buah syarikat.
Saya jenis isteri yang tak pernah campur urusan kerja suami dan fokus saya pada anak-anak. Sejak anak-anak kecil, saya yang uruskan segala-galanya tentang mereka; pelajaran dan sebagainya. Suami hanya akan berikan duit. Tapi saya tak kisah kerana faham tanggungjawab masing-masing.
Banyak Urus Anak
Walau pun ada bibik, tapi saya selesa bab memasak, saya tak lepas tangan kerana suami dan anak-anak cerewet soal makan. Kami jarang makan di luar kecuali nak meraikan hari-hari tertentu seperti hari jadi dan sebagainya.
Saya juga bersyukur, dua anak gadis saya rajin membantu mengemas dan memasak. Mungkin kerana saya dah didik mereka sejak kecil. Yang lelaki juga sama, malah mereka pandai masak walau pun tak lah sehebat chef. Bolehlah masak untuk mereka makan. Jadi, saya tak risau bila anak-anak belajar jauh kerana bab makan, mereka akan masak sendiri.
Jika suami cuti lama, kami akan curi masa untuk melawat anak sulung di Ireland. Kalau dia sibuk, kadangkala saya pergi bercuti bersama anak-anak atau rakan-rakan saya. Tak Pernah merungut kalau suami sibuk kerana faham nak uruskan bisnes bukan mudah.
Isteri Aktif NGO
Di kala anak-anak sudah besar, saya punya banyak masa luang dan itu yang membuatkan saya menyertai beberapa NGO. Dapatlah saya hilangkan kebosanan bila anak-anak sibuk dengan pelajaran dan suami juga sibuk dengan kerjanya.
Saya seronok bila dapat menyumbangkan tenaga untuk badan-badan tersebut. Itu juga bagi saya, salah satu cara untuk saya mencari sedikit pahala untuk amalan. Kadangkala saya turut menyertai misi ke luar negara menerusi badan-badan sukarelawan tertentu.
Selain itu, saya banyak menyertai kelas pengajian bagi menimba ilmu agama dan saya ada ‘geng road to jannah’. Kadangkala kami akan ronda-ronda, sambil makan-makan, kami cari masjid untuk ‘merasa’ pengalaman solat di situ. Rasa seronok yang sukar digambarkan.
Suami Buat Perangai
Menuju ke usia emas, saya inginkan kehidupan yang tenang. Bersama suami dan anak-anak. Namun, ternyata dugaan hebat muncul di penghujung usia.
Sejak tahun lalu, saya perasan suami bersikap pelik tapi saya cuba bersangka baik. Namun akhirnya terjawab semua apabila dia pergi menunaikan umrah awal tahun ini. Saya tak ikut serta kerana saya baru saya menunaikan umrah hujung tahun lalu. Ketika itu suami tak boleh pergi kerana banyak kerja katanya.
Kuasa Tuhan, ada salah seorang sahabat ‘ Road To Jannah’ saya turut menunaikan umrah pada waktu yang sama dan terserempak dengan suami ketika di Madinah. Sekembali ke Malaysia, rakan itu terus berjumpa saya. Katanya, puas dia berfikir namun demi sayangnya pada saya, dia rasakan dia patut luahkan. Dia pulang beberapa hari lebih awal.
Madu Kenalkan Dirinya
Rupanya di Mekah, dia terserempak dengan suami dengan seorang wanita muda. Bila ditanya, suami mulanya hanya diam namun wanita itu yang menjawab yang dirinya adalah isteri kepada suami!
Tuhan saja yang tahu apa yang saya rasa ketika itu. Tiada air mata yang mengalir kerana saya sangat terperanjat. Dalam diam, suami memadukan saya rupanya! Dia menunaikan umrah bersama isteri muda.
Saya memohon kekuatan daripada Yang Esa dan akhirnya saya tekad untuk berterus terang dengan suami sebaik dia kembali ke tanah air. Dia seolah dapat menduga saya akan bertanya hal tersebut. Dia mengaku, dia telah berkahwin dengan seorang janda anak tiga, hujung tahun lepas ketika saya menunaikan umrah.
Waktu inilah air mata saya tumpah. Sebelum ini hati saya cuba menafikan berita yang disampaikan oleh rakan saya itu tapi bila keluar daripada mulut suami sendiri, ia adalah satu hakikat.
Lepas Tau Dimadu, Perasaan Tak Keruan
Saya masih keliru dengan apa yang terjadi. Hati saya sakit dan marah tapi tak mampu saya luahkan. Memang benar suami mampu berpoligami. Tapi sebagai isteri, ia teramat pedih untuk saya telan. Rasa diri ini dikhianati. Wanita itu masih muda, baru berusia 32 tahun.
Saya sedaya upaya melayan suami dengan baik jika giliran dia di rumah. Namun saya tak dapat membohongi kedukaan hati saya. Sikap saya berubah. Jarang berbual dengannya lagi. Walau pun pelbagai cara dilakukan untuk mengambil hati saya, tapi hati saya seolah-olah sudah layu.
Saya tak tahu sampai bila saya mampu bertahan dalam keadaan ini. Saya cuba reda untuk terima namun hati saya amat sakit.
Luahan Hati: Isteri Terluka, Melaka.
Jawapan Kaunselor:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Poligami adalah perkara yang tidak disukai oleh isteri, tetapi disukai oleh ramai suami. Ada suami yang mampu dan mahu berpoligami. Ada yang tidak mampu tetapi mahu berpoligami.
Tanggungjawab
Ada yang mampu tetapi tidak mahu berpoligami kerana tidak mampu menjalankan tanggungjawab yang lebih berat. Kepada seorang isteri ia adalah suatu kecurangan terhadap kesetiaan dan kasih sayang yang telah diberikan sepanjang perkahwinan.
Tiada wanita yang mahu dimadukan oleh suaminya. Kepada suami diberikan kasih sayang, layanan yang baik, dijaga makan dan pakaiannya, diberi asuhan yang sempurna kepada anak-anak , namun kenapa suami mencari wanita lain selain dia. “Apa salah saya” adalah soalan yang biasa diajukan oleh isteri apabila suaminya ada wanita lain, sama ada dalam alam percintaan dengan wanita lain, mahupun suami telah berkahwin dengan wanita lain. Rasa dikhianati, rasa tertipu, rasa keliru dan kecewa bermain dalam emosi yang remuk redam.
Isteri Tak Mudah Terima
Puan yang dirahmati Allah. Saya dan pembaca memahami situasi yang puan alami. Bukan mudah untuk menerima hakikat dan berhadapan dengan hakikat suami telah ada seorang lagi wanita lain yang disayangi suami.
Tidak dinafikan untuk menerima dan menyayangi suami seperti sebelumnya teramatlah sukar. Ada kebenarannya yang puan sebut, tidak mampu berbohong dengan diri. Namun, kehidupan perlu dilalui bersama suami. Apa yang perlu dilakukan?
Pertama, ambil masa untuk menerima suami. Luka yang teruk pastinya memerlukan rawatan yang lama. Malah luka itu perlu ubat yang kuat untuk menyembuhkannnya. Antara ubat itu adalah banyak mengingati Allah melalui solat, doa, zikir, membaca al-Quran. Kerap mengikuti kuliah agama juga antara penawar untuk sembuhkan luka.
Luka ini pula kalaupun sembuh pastinya meninggalkan parut yang boleh memberi sedikit kecacatan. Malah setiap kali pastinya akan terkenang apabila melihat parut itu. Namun parut tidak boleh hilang bukan? Maka apa yang suami lakukan terhadap puan mungkin sukar untuk dilupakan.
Tidak mengapalah jika hati masih rasa berat untuk menerimanya. Puan boleh melayan perasaan itu. Kita tidak mampu berbohong apabila kepercayaan dicalari. Namun membiarkan perasaan sebegitu dalam tempoh yang lama juga memberi kesan buruk kepada puan. Aktiviti seharian tidak terfokus, emosi tidak gembira, kecewa dan sebagainya.
Lihat Apa Yang Dimiliki
Sebagai manusia kita perlu meneruskan kehidupan. Cuba puan lihat sekeliling dan lihat kehidupan yang puan miliki. Puan punya anak-anak yang berjaya, punya harta, punya masa dan hobi yang puan boleh lakukan, puan juga mampu menjalankan kerja-kerja amal dalam hidup yang ramai orang belum dapat melakukannya.
Puan juga punya suami yang bertanggungjawab.Tiada apa pun kekurangan yang puan miliki. Namun, Allah hanya beri sedikit ujian ini. Ujian suami ada wanita lain. Jika ditakdirkan puan dilanda ujian yang lebih besar bagaimana? Ujian pastinya ada dalam hidup bagi meningkatkan keimanan kita. Bila ingin mengubat hati, pasti kita bermunajat dan lebih banyak memohon kepada Allah agar hati kita tidak kecewa dengan begitu lama.
Isteri Kena Luahkan Dan Jangan Simpan
Daripada apa yang puan nyatakan, saya dapat memahami bahawa puan tidak dapat membohongi diri puan untuk menyayanginya. Untuk meringankan kekecewaan yang puan hadapi, terus terang katakan kepada suami bahawa hati puan tidak dapat menyayanginya walaupun telah cuba. Puan ada menyebut tidak mampu luahkan.
Jangan biarkan ianya tersimpan dalam hati. Perlu luahkan kepada suami. Lihat responsnya. Kalau dia tidak respon bermakna dia tidak kisah kepada persoalan hati dan perasaan. Maka tidak perlu puan menjeruk rasa terhadapnya. Puan boleh memilih sama ada puan belajar dan berusaha menyayanginya atau pun puan kekal untuk perasaan biasa-biasa terhadapnya.
Perasaan kasih dan sayang terhadapnya boleh diagihk-agihkan kepada aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang puan terlibat. Ini adalah salah satu cara bagaimana puan boleh mengubat hati yang duka kerana puan tidak memfokuskan kasih itu kepada suami sahaja. Banyak ruang dan peluang untuk menyebarkan kasih sayang dan dengan sendirinya hati puan akan terubat.
Banyakkan sedekah, menyantuni asnaf dan anak yatim. Insya-Allah, lagi banyak kebaikan yang puan lakukan untuk manusia lain dan untuk agama Allah, suatu hari Allah akan “campakkan” ketenangan dan kebahagiaan dalam diri puan. Wallahuallam.
Tak salah pun kalau ada sesetengah mak-mak ada rezeki beranak anak dekat-dekat cuma untuk elak tekanan emosi di luar jangkaan, maka kena fikir juga kesan pada tubuh badan pada masa akan datang. Lagi pun enat uruskan rumah tangga ni bukan ada yang sudi bantu kalau tak suami kita sendiri.
Maka sesekali kena renungkan nasihat doktor selepas bersalin dan duduk berbincang dengan suami. Rancang seeloknya dan tawakal pada Allah. Nak lagi ‘cantik’, cuba fikirkan sedikit kata-kata doktor yang Puan Asilah Azhari kongsikan di status facebook miliknya baru-baru ini…
Nasihat Doktor Kalau Anak Jarak Dekat-dekat
Last time masa checkup Doc tanya “Asilah lepas ni apa plan awak untuk family planning? Nak go for depo atau implano?”
Dalam hati ni duk kira-kira habis kuat depo la. Sebab takut nak kena hiris kat tangan. Injection pun penakut lagi nak masuk ikut tangan.
Doktor kata ok je. Kita cuba. Sebab tak semua serasi dengan satu method. Sebab saya tengok rekod awak ni tak cantik. 3 pregnancy with poor spacing & 1 miscarriage. Saya bukan nak kata apa tapi sepanjang saya bekerja saya dah jumpa 10 kes penceraian disebabkan poor spacing. Jarak anak terlalu dekat dan akhirnya ibu stress kepenatan urus anak-anak ditambah pula sikap pasangan yang tak membantu.
Saya angguk tanda faham. Saya kata nanti saya bagi keputusan antara dua.
Betul sebenarnya. Jaga anak ni memang menguji emosi. Lebih-lebih lagi anak rapat. Kurang tidur, kurang masa sendiri dan lebih menakutkan kita mula jadi marah-marah, mula angkat tangan. Bergaduh dengan pasangan. Dan akhirnya anak-anak jugak yang terkesan.
Suami saya setiap hari dia akan pastikan dia sediakan sarapan dan makan yang cukup untuk sampai ke tengahari. Jadi saya ada masa berehat dan bertenang untuk uruskan anak-anak dan rumah. Dengan harapan isteri dia tak bertukar jadi raksaksa dan hilang kewarasan. Tapi itu pun kalau anak-anak luar kawalan tetap ibu dia bertukar. Balik je kerja dia akan takeover kerja dirumah. Tak dapat saya bayangkan kalau dapat pasangan yang lepas tangan.
Kalau kat luar orang tegur anak saya mudah dengar kata dan tak susah dikawal ketahui la semua tu jasa dan ehsan suami. Sebab dia menjaga emosi saya dengan baik. Jadi kesabaran saya yang lebih nipis dari kulit bawang ni sedikit terkawal dan dapat menjaga emosi anak-anak jugak.
Apa Yang Patut Mak-mak Fikir
Point saya kat sini sebenarnya ada dua. Satu, tak ada salahnya kalau doc nasihatkan kita untuk rancang keluarga. Semua ada kebaikkannya. Jangan la cakap doc ni menyibuk nak tentukan rezeki Allah. Kalau kita tak jaga kebajikan anak dengan baik dan berikan didikkan yang terbaik pun tak patut jugak namanya.
Kedua, suami rajin-rajin la bantu isteri dan tolak ansur. Itu pasangan dan ibu kepada anak-anak awak jugak. Nanti kalau dia penat, marah-marah yang hilang mood awak jugak. Kang mula la kata isteri ni kuat bebel. Mata mula nampak isteri ni dah serba serbi kurang. Padahal awak tak membantu. Isteri nak mandi, melawa, mencekik pun tak sempat sebab nak gendeng anak. Sama-sama sedap sama-sama la bertanggungjawab.
“Majulah para suami untuk kewarasan sang isteri”
Sekian.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Shakila saman bekas mentua kali kedua, "mak saya gadai emas bayar peguam, tiada kaitan bantuan Mufti Perlis. Bekas ratu cantik, Shakila Saiful menghantar surat...