Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan berita seorang bayi berusia tiga bulan dari Tuaran, Sabah telah dijangkitan virus polio. Berita itu bukan saja mengejutkan bahkan membimbangkan kerana Malaysia sudah bebas daripada penyakit ini sejak 27 tahun lepas.

Penyakit Polio atau Poliomielitis adalah penyakit akibat jangkitan virus yang menyebabkan kelumpuhan. Poliovirus (PV) yang menjadi ejen pembawa penyakit ini masuk ke dalam badan manusia melalui mulut dan merosakkan usus. Ia mampu memasuki saliran darah dan ke saraf pusat menyebabkan kelemahan otot dan kelumpuhan.

Kesedaran

Mingguan Wanita Talkshow telah memilih topik yang sedang hangat diperkatakan ini untuk berkongsi maklumat tepat dengan masyarakat serta memberikan kesedaran kepada ibu bapa terutamanya tentang bahaya virus polio ini terhadap anak kecil. Diharapkan mak-mak terutamanya, perlu lebih peka dan ambil cakna tentang virus polio ini.

Dua orang panel telah dijemput khas untuk membincangkan topik ini di studio iaitu Dr. Hazlina Yahaya, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Dr. Rozita bt Ab Rahman, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Lumpuh Kekal Dan Kematian

Menurut Dr. Hazlina Yahaya, virus polio boleh menyerang sistem saraf manusia, mengakibatkan kelumpuhan kekal dan lebih teruk, boleh menyebabkan kematian. Virus ini merebak kerana imunisasi vaksin yang rendah dan penduduk tidak mengamalkan kebersihan persekitaran yang baik.

” Ia boleh berjangkit menerusi najis misalnya. Malah, tangan atau badan yang tercemar dengan najis yang ada virus itu, boleh menyebabkan ia masuk ke dalam badan dan boleh membiak di dalam usus, mengakibatkan jangkitan di dalam sistem saraf.

“Untuk langkah pencegahan, ibu bapa sangat diminta memenuhi pemberian vaksin untuk anak-anak mereka. Di Malaysia, imunisasi polio telah dikenalkan sejak tahun 1972 lagi. Vaksin polio diberikan pada usia kanak-anak dua bulan, tiga bulan, lima bulan dan 18 bulan. Selepas cukup pemberian vaksin, dipercayai kanak-kanak itu sudah terlindung daripada virus tersebut,” jelas Dr. Hazlina.

Jangan Tolak Vaksin

Tambah Dr. Rozita bt Ab Rahman pula, golongan dewasa yang ada di negara ini sekarang dianggap telah kebal virus tersebut kerana telah menerima imunisasi tersebut sejak tahun 1972.

” Tahun 2008, telah dilakukan penambahbaikkan dan vaksin telah diubah dalam bentuk suntikan, yang boleh didapati di klinik-klinik kesihatan. Sekiranya ada anak-anak yang ‘tercicir’ pengambilan vaksin, bolehlah datang ke klinik kesihatan berhampiran dan penjadualan semula boleh dilakukan. Ia diberikan secara percuma di klinik kesihatan.

” Ada ibu bapa yang menolak untuk memberikan vaksin pada anak-anak dengan alasan tertentu. Nasihat saya, dapatkan maklumat tepat dan boleh datang ke klinik kesihatan berhampiran untuk berbincang dengan doktor. Mungkin ada ibu bapa yang risau akan kandungan vaksin tersebut.

” Pihak Kementerian Kesihatan yakin vaksin yang diberikan pada anak-anak adalah selamat dan berharap jangan terpengaruh dengan maklumat yang tak tepat. Kena ingat, kalau tak selamat, takkan kerajaan akan berikan pada anak-anak yang merupakan penyambung generasi akan datang.” Akhiri Dr. Rozita pula.

Jangan lupa saksikan episod ulangan Mingguan Wanita Talkshow ini di Astro Prima 105 dan Prima HD 121 pada pukul 8 malam ini. Hos, Siti Elizad dan Erra Fazira, akan membincangkan topik ini bersama-sama tetamu istimewa yang akan memeriahkan perbincangan di studio MW.

#MingguanWanitaTV

#MingguanWanitaTalkShow

#MingguanWanita

#TemanSetiapWanita

#AstroPrima105

#PrimaHD121