Sungguh tak tergambar dek akal fikiran, bilamana seorang mak yang lumrah sifatnya sepatutnya menyayangi dan melindungi anak sendiri sanggup melakukan perbuatan durjana ini. Kejadian yang dilaporkan berlaku di Auckland ini, seorang ibu dipenjara enam tahun 11 bulan kerana menjual anak perempuannya sebagai hamba seks lebih 1,000 kali dalam tempoh 18 bulan sejak hari jadi ke-15 remaja itu pada 2014.
5 Kali Sehari
Kasmeer Lata, 36, didapati bersalah berurusan dengan hamba dan meraih untung daripada perkhidmatan seks komersial daripada orang bawah umur kerana memaksa anaknya itu menjual badan sekerap 5 kali sehari kepada beberapa lelaki.
Dia datang ke New Zealand dari Fiji bersama anak-anaknya pada 2014 dan terus tinggal di negara itu selepas visa mereka tamat tempoh menyebabkan remaja terbabit tidak dapat bersekolah selain keluarga tiada pendapatan kerana Kasmeer tidak dapat bekerja.
Ads
Jual Anak Pada Hari Jadi ke 15
Kasmeer pernah menjadi pelacur mula mencari duit dengan cara itu sebelum memaksa anaknya turut berbuat demikian apabila menjual remaja berkenaan kepada lelaki berusia 50-an pada hari jadinya ke-15.
Ads
Mangsa dikurung di dalam rumah selama setahun setengah malah pernah terpaksa menggugurkan kandungan sebelum diarahkan terus bekerja.
Pelanggan dikenakan bayaran kira-kira NZ$200 (RM570) dengan mencari pelanggan melalui iklan di Craigslist serta akhbar The NZ Herald.
Dia dianggar meraih untung kira-kira NZ$100,000 (RM285,000) hasil menjual anaknya dengan wang berkenaan digunakan untuk membayar sewa serta bil. Remaja itu akhirnya berjaya melarikan diri pada November 2016.
Keadaan cuaca yang tidak menentu, sekejap panas, sekejap hujan membuatkan badan kita pun berubah. Demam, batuk dan selesema, masalah kesihatan ‘tiga serangkai’ nie mudah sahaja menyerang.
Kalau rasa sudah tidak tahan, ubat klinik sahajalah jalan terakhir untuk anda mengurangkan dan menghilangkan masalah kesihatan ini. Tapi, ada juga mak-mak yang tidak suka mengambil ubat klinik dan sedaya upaya untuk merawat secara alami. Lebih-lebih lagi kepada anak-anak yang masih kecil. Mak-mak boleh cuba guna bahan ini untuk hilangkan batuk dan kahak. Malah, bahan-bahan ini pun senang nak dapat. Cubalah.
Bahan-bahan :
Lobak merah
6 sudu besar madu
Air
Cara-caranya :
1.Kupas dan potong lobak merah. Kemudian, rebus lobak merah itu sehingga lembut.
2.Asingkan air rebusan lobak merah tadi.
3.Kemudian. Kisar lobak merah yang direbus tadi sehingga lumat.
4.Ambil madu dan masukkan ke dalam air rebusan lobak merah. Campurkan dengan isi lobak merah yang dikisar dan kisar sekali lagi.
5.Siap untuk diminuim dan boleh disimpan dalam peti ais.
6.Ambil 3-4 sudu besar setiap hari.
Mudahkan! Mak-mak boleh cuba berikan pada anak-anak tetapi kurangkan jumlahnya, mungkin 1-2 sudu sahaja.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Terkesan sungguh membaca secebis perkongsian yang dikongsikan Lutfi Lokman ini. Beliau merupakan ayah kepada 5 orang anak yang dahulunya terlalu sibuk mengejar kerjaya, sangat kurang masanya dengan anak-anak untuk melihat perkembangan dan proses pembesaran mereka.Segalanya urusan anak-anak diserahkan kepada isteri, sehinggalah sampai satu peringkat, dia menerima berita yang berjaya mengubah dirinya. Rentetan kisah tersebut, membuatkan dia muhasabah diri, menyesal dan menangis di atas kesilapannya yang terlalu fokus pada kerjaya.
ADA APA DENGAN ANAK?
Petang tadi ketika dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, isteri saya bertanya, “Saya lihat awak sekarang banyak habiskan masa dengan anak-anak. Tak pemarah seperti dahulu. Anak nakal pun, awak peluk anak. Cakap elok-elok. Kenapa ya?”
Saya ketawa. Saya tidak menjawab kerana jawapan itu terlalu panjang untuk diceritakan.Perjalanan dari Port Dickson menuju ke Kuala Lumpur agak tenang. Kecuali ketika tiba di Bangi, ada sedikit kesesakan. Biasalah, Bangi kan bandaraya. Mesti perlu sibuk. Kami menghabiskan masa di Port Dickson untuk melihat pantai. Maklumlah, orang Terengganu ni memang suka pantai dan laut. Maka, tempat terdekat boleh kami berkunjung ialah Port Dickson. Nak pergi Pantai Dalam macam tak berapa kena.
….
Setiap hari, anak-anak dan saya akan bertemu pada waktu mereka telah hampir lena. Atau ketika solat subuh berjemaah. Itu sahaja. Waktu solat subuh, nak berbual apa sangat? solat pun sebelah mata terpejam. Selain itu, mereka akan keluar awal untuk ke sekolah dan kami jarang bertemu waktu matahari masih ada. Saya pulang lambat dari pejabat hampir setiap hari. Anak pula sudah tidur awal.
Pada hari minggu, saya berniaga ke pasar dan pulang ketika senja. Hanya ada waktu malam. Itu pun penat dan keletihan telah menguasai diri. Silap berbual, kena marah. Apalah sangat yang boleh didapati oleh si kecil ini semua.
Segala-galanya berubah apabila saya mendapat berita tentang anak sahabat saya Ustaz Nazri Mansor disahkan menerima Brain Tumor. Baca Disini:
Siapa sangka. Anak yang sihat, yang cergas, yang ceria tiba-tiba terlantar di hospital dan sudah tidak seriang dahulu.Saya sangat terkejut dan bersimpati. Namun, saya bersyukur kerana Tuhan menghadirkan Syamil untuk kita semua sedar tentang sesuatu.Tentang kasih seorang ayah terhadap anak-anak. Tentang nilai seorang anak buat ibubapa.
Berita ini benar-benar memukul jiwa seorang ayah. Saya memandang kesemua wajah anak saya yang dahagakan kasih sayang seorang ayah namun mereka hanya mampu menerimanya sebentar sahaja. Kadangkala apa yang diterima hanyalah kemarahan dan pukulan kecil kerana kenakalan mereka.
Ramai yang menasihati saya agar jangan terlalu mengejar kerjaya. Jangan terlalu meletakkan kerjaya sebagai priority utama. Ini juga nasihat emak kepada saya. Saya tidak hiraukan. Bagi saya, saya perlu fokus pada bina syarikat dan kerjaya. Anak-anak nombor empat dan lima.
“Mak tengok Pi ni stress sangat fikir pasal kerja. Hutang. Nak cari duit. Lihat sama anak dan isteri. Itu semua aset kita. Aset berharga dunia dan akhirat. Jika Pi tak lihat itu semua aset, Pi lihat itu semua amanah Allah beri. Untuk didik dan pelihara dengan baik. Jangan sampai waktu, anak dah besar dan sudah keras kepala. Kita terlepas semua moment mereka waktu kecil. Waktu masih lembut. Waktu masih boleh terima kata. Menyesal tak sudah nanti,” amanat emak diberikan kepada saya pada suatu hari yang baik ketika kami di Terengganu.
Emak menyuarakan kebimbangan apabila melihat saya hanya menumpukan pada kerja sehingga tidur pun bermimpi kerja. Berbual pun berkisar pada kerja. Namun, tiada apa yang berubah dalam hidup dan kerjaya. Malahan, semakin penat kerana mengejar sesuatu yang tidak pasti. Pasti ada sesuatu yang tidak kena. Ujar emak.
Sesungguhnya, saya pernah murung dan berubah tingkah laku kepada seorang yang pemarah ketika dilanda masalah pekerjaan tempohari. Saya tidak dapat berfikir dengan baik. Kesabaran saya sangat tipis. Dengan anak-anak lagilah teruk. Mereka langsung tidak berani bersuara dengan saya. Akibat yang diterima sangat sakit.
Saya pernah jatuh terduduk. Keluarga pun sudah berhempas-pulas memberikan bantuan sehingga tiada apa yang dapat diberi kecuali kata semangat dan jangan putus asa. Saya pernah merayu di FB untuk bantuan daripada para sahabat. Boleh baca di sini:
Alhamdulillah. Hasil bantuan semua, kata-kata semangat dan sokongan, saya bangkit kembali. Saya cuba bangun.Melihat kepada anak-anak. Saya lihat sinar dalam mata mereka. Benar. Perkara yang lepas jangan dikenang.
Saya sudah terlepas beberapa saat indah bersama mereka. Saya jarang luangkan masa untuk mendengar cerita dan permainan yang telah mereka ciptakan. Saya tidak mengenali rakan-rakan sekolah mereka. Saya tidak tahu cerita kejayaan peperiksaan mereka. Tahukah anda, Basmah mendapat 100% dalam ujian Pendidikan Islam? Naseem mendapat 96% dalam beberapa mata pelajaran. Saya tidak tahu sehingga pada suatu hari perlahan-lahan mereka bawa kertas ujian dan maklumkan pada saya ada benda nak cerita dengan Baba.
“Apa dia?” soal saya keras. Tangan masih memegang dokumen dan kertas kerja.
Lalu si comel ini menunjukkan kertas ujian masing-masing. Kecuali Waseem. Saya menangis kerana saya tidak pernah mengajar mereka untuk menghadapi peperiksaan tersebut. Segalanya saya serahkan kepada isteri bagi menguruskan anak-anak. Saya langsung tidak mempunyai masa dan tidak tahu waktu bila anak saya ada ujian sekolah.
Teruk betul diri ini.
Malam tadi pula, saya melihat Hanaan dan Haneen (kembar) bermain bersama mereka. Bermain mangkuk dan gelas yang dibelikan oleh nenek mereka. Sungguh comel dan tanpa saya sedari, mereka telah boleh berbual sesama sendiri dalam bahasa yang saya fahami.
Ya Allah. Apa jadi pada aku ni?
Anak membesar pun saya tidak peduli. Anak boleh bercakap pun saya tidak sedar. Saya tidak tahu! Tahukah anda, saya kadang-kadang confuse dengan si kembar ini. Tidak tahu mana satu Hanaan dan Haneen. Asyik bertukar ketika panggil. Walhal umur mereka sudah hampir 3 tahun!
Perkara-perkara ini membuatkan saya menangis. Menangis dan menangis. Menyesal di atas kesilapan saya yang terlalu fokus pada kerjaya. Padahal, rezeki itu bukan terletak pada usaha kita. Ia adalah kurniaan Tuhan pada hambaNya siapa sahaja yang Dia ingin berikan. Untuk itu, saya sudah berjanji akan menumpukan perhatian pada anak-anak yang merupakan amanah daripada Tuhan kepada hambaNya. Bila-bila masa sahaja, amanah ini boleh direntap dan diambil.Ada orang menginginkan anak walau seorang. Yang kita ni, Tuhan kurniakan sampai 5 orang anak boleh pula sia-siakan.
Sedangkan ketika berumur lima dan enam tahun pun saya masih lagi teringat dengan jelas memori indah ayah dan emak sama-sama membuatkan kapal terbang polisterin kepada saya lalu kami bermain di taman. Inikan pula anak-anak yang sudah mencecah 11 tahun.
Ya Allah. Ampunkan dosa kami, ibubapa yang kadang-kadang terlupa tentang tanggungjawab dan amanah ini. Pelihara lah anak-anak kami ini. Masukkan iman dan taqwa dalam diri mereka. Penuhi lah diri kami dan keluarga dengan kasih sayang dan harmoni. Wujudkan lah ikatan mesra antara kami satu sama lain. Pandu lah kami ke arah keluarga yang diredhai oleh Mu Ya Allah. Jadikan lah kami serta anak-anak ini pembela agama Mu Ya Allah.
Kurniakanlah rezeki memiliki anak kepada sahabat-sahabat kami yang ingin menimang cahaya mata. Agar mereka juga dapat merasai kebaikan daripada zuriat mereka sendiri.
Terimalah doa kami ini Ya Allah. Ya Razzaq.
Amin.
Itulah jawapan saya kepada isteri. Panjang kan? Nanti dia ingat saya berleter pada dia pula. Maka saya memilih untuk menjawab di sini sahaja.
Share sahaja jika mahu.
Ikhlas,
Lutfi Lokman
EPL TRAVEL AND TOURS.
Semoga perkongsian ini bermanfaat. Sebenarnya ia juga satu peringatan buat kita. Ramai mak ayah yang terlalu sibuk bekerja dan tanpa sedar terlepas momen penting, pembesaran anak-anak sewaktu mereka kecil. Semoga ia dapat ‘menjentik’ hati kita, agar jangan alpa dan terlalu fokus dalam mengejar kerjaya. Nikmatilah saat anak-anak membesar, hargailah setiap masa bersama mereka.
Mingguan Wanita ada kongsikan kisah dan pengalaman seorang wanita Amalina Che Hasin, 23 yang pernah menjalani pembedahan membuang cyst seberat 5 kilogram. Rentetan kehadiran cyst tersebut yang boleh membahayakan diri, mengakibatkan tiub serta ovari kanan wanita ini terpaksa dibuang.
Setelah 12 hari menjalani pembedahan Mingguan Wanita ada menemubual wanita ini untuk berkongsi pula cara pemulihan, jenis pemakanan yang perlu diambil dan dihindarkan bagi mengelakkan cyst berulang kembali.
Menurut wanita yang berasal dari Ampang ini, dari segi pemulihan ia seperti yang dialami oleh wanita berpantang akibat pembedahan secara caesarean. Namun memerlukan stokin untuk mengelakkan darah beku pada kaki serta ‘Lung trainer’bagi mengelakkan paru-paru tersumbat.
“Kalau proses sembuh tu lebih kurang macam orang yang pantang bersalin czer je. Saya elak angkat berat. Tidur pun tidur katil yang tinggi. Mudah untuk bangun dan baring. Tangga pun tak naik. Tapi masa dekat hospital doktor ada suruh beli stokin dan jugak alat untuk latih paru-paru untuk mengembang. Sebab bila operate, banyak berbaring, takut darah beku dekat kaki dan paru-paru tersumbat.”
“Stokin saya beli di farmasi rm80. Lung trainer tu pulak rm35.Memang kena pratice hari-hari sebab kalau tak nanti paru-paru tertutup, jangkitan kuman mudah jadi”.
Dari segi pengambilan pemakanan pula, wanita ini elak mengambil telur dan ayam ketika dua minggu pertama.Mengamalkan pemakanan sihat serta buah-buahan yang elok untuk penyembuhan luka.
“Untuk pemakanan, saya elak ambil telur dan ayam untuk dua minggu pertama. Sebab nak pastikan luka luaran dah kering dulu. Baru saya sentuh ayam dan telur. Untuk sementara tu, saya ambil ikan untuk protein saya.Pagi kadang makan apam manis tanpa kelapa. Sebab kena ambil gula sikit. Saya darah rendah. Kadang tu bangun katil ada macam nak pitam pitam sikit. Kadang makan bubur.Lunch saya makan ikan bakar dengan sayur kubis. Nasi tengok kadang ambil kadang tak.Malam saya makan buah buahan yang elok untuk penyembuhan luka dalaman, macam epal, limau sunkist, anggur, pic. Memang elok.”
Kalau nak cegah pulak, doktor ada sebut beberapa senarai makanan yang kena elakkan atau kurangkan. Sebab makanan ini akan aktifkan sel cyst semula.
Contoh :
1. Ayam
2. Daging
3. Frozen food
4. Fast food
5. Cheese
6. Soya
7. Ikan keli
8. Ikan haruan
9. Ibu gamat
“Ramai confuse tentang ikan haruan ni. Memang ikan haruan bagus untuk luka dalaman, tapi sebenarnya tak. Sifat ikan haruan tu memenuhi, luka akan terlalu cepat rapat dan terlalu rapat, akan mengakibatkan nanti kalau ada next operation, patient akan rasa sakit dua kali ganda sebab luka dalaman semua melekat terlalu kuat, organ-organ pun rapat. Tu jadi kes yang operate nak buang ketumbuhan masalah ketumbuhan melekat dengan usus lah melekat dengan pundi kencing lah. Tambahan, haruan pun tak baik untuk mereka yang dah ada cyst. Umpama makanan mereka sebenarnya, sebab menyumbang kepada pembesaran dan pengaktifan cyst tu.”
“Saya tak boleh nak elak daripada makan makanan ni semua langsung. Tapi saya cuba kurangkan pengambilannya. Sekarang pun masih menunggu keputusan untuk result kanser tu. Sebab kalau kanser, lain pulak cara ubatan dan pencegahan dia. Tapi buat masa ini, saya cuma berpantang macam orang bersalin je. Untuk jaga luka dalaman dan luaran. Saya dapat cuti selama 6 minggu. Harini hari ke-12 selepas saya operation. Alhamdulillah luka luar dah kering, tunggu dia kering dan tertanggal sendiri.”
Saya tak ambil ubat khas untuk cuci luka. Doktor pun pesan cuma perlu lalukan air pada luka. Lap kering dan hair dryer luka tu atau keringkan dengan kipas je. Sebab saya punya luka dijahit dari dalam. Dan luka tu digam diluar. Lepas buka plaster pada hari terakhir di wad. Memang luka saya elok tertutup rapat dan dah kering. Jadi nak jaga luka tu tak susah sangat.
Menurut wanita ini, luka pembedahan cyst ini sama seperti luka pembedahan caesarean yang membezakan ia, caesarean dibedah secara melintang manakala cyst secara menegak.
“Kalau czer melintang. Saya punya menegak. Dalam ukuran 13-15cm jugak lah. Sebab cyst saya besar. Belahan pada perut pun besar.Lebih muda untuk jaga luka sebenarnya sebab dia tak berada pada kawasan lipatan bawah perut tu. Lebih cepat baik berbanding luka bawah perut melintang. Cuma nak bangun lebih susah. Macam pembaris pendek tu jugak lah.Tapi alhamdulillah, sekejap je baik lukanya. Seminggu dah kering betul. Ni minggu kedua tengah proses menggelupas pulak. Minggu ketiga mungkin tinggal parut je.”
“Harini hari ke-12 (14.4.2018). Memang tengah berkuping, dia nak tanggal sendiri dah.So far luka saya takde masalah, takde bernanah atau berdarah. Saya pun takde la nak beli ubat cuci dekat farmasi. Sebab doktor pun kata cuci dengan air je okay. Asalkan luka tu bersih, rapat, kering. Tak perlu pergi klinik cuci hari hari. Depends on jenis luka jugak lah sebenarnya.
Jelas wanita yang bekerja sebagai Pegawai Jualan di Mustika Ratu ini lagi sepanjang tempoh pemulihan dia dijaga oleh ibu dan ahli keluarga, malah menjadikan mereka sebagai sumber kekuatan untuk lekas sembuh.
“Tempoh recovery, umi saya yang jaga. Sebab saya memang duduk dengan family. Kadang ahli-ahli keluarga yang lain pun bantu sama uruskan benda yang saya tak mampu buat sendiri. Abah, kakak, abg, adik beradik kakak ipar. Semua membantu.”
“Family saya memang sumber kekuatan saya. Saya tak nak family saya sedih tengok saya sakit, tak nak tgk wajah umi abah saya yang kerisauan tentang sakit saya. Kakak saya pun banyak menangis sebab penyakit saya ni. Tapi Alhamdulillah saya mampu untuk terus kuat walau apa pun keputusan yang akan keluar nanti. Saya sentiasa positif je.
“Kalau bab anak tu, pada mulanya saya risau jugak, sebab tinggal satu ovari je kan. Tapi saya positif, rezeki anak Tuhan nak bagi, dia akan bagi juga walaupun saya hanya ada sebelah ovari je. Kalau saya sihat sekalipun, kalau bukan rezeki saya, Tuhan tetap tak akan bagi. Saya pun bersangka baik je. Sebab saya pun belum ada perancangan untuk berkahwin dalam masa yang terdekat. Ramai jugak yang alami masalah yang sama macam saya, pm saya komen, bagitahu mereka masih mampu melahirkan zuriat walaupun hanya satu ovari je, ada yang 3,5 anak dah. Syukur, sedikit sebanyak perkongsian mereka menyenangkan hati saya.”
“Alhamdulillah, family kawan-kawan pada mulanya terkejut bila tahu pasal penyakit saya ni. Masing-masing turut berduka. Tapi lama-lama semua beri saya kata-kata yang positif, syukur Alhamdulillah. Memang pada awal saya dapat tahu tentang sakit ni saya memang dah niat nak tulis tentang kisah saya nak kongsikan pada orang ramai, tak sangka pulak viral.”
“Banyak page-page yang kongsi kisah saya. Alhamdulillah, matlamat saya tercapai. Moga perkongsian saya ni beri manfaat dan peringatan pada orang lain. Umi abah, kawan-kawan semua bangga dengan saya, sebab saya ambil pendekatan ni untuk cerita tentang kisah saya untuk jadi panduan pada semua. Rupanya ramai yang hidap penyakit yang sama tapi mungkin pada masa tu belum ada medium yang sesuai untuk berkongsi cerita macam sekarang ni.”
Jadi buat para wanita semoga perkongsian ini mampu memberi manfaat.Jagalah kesihatan diri sebaiknya. Jika rasa sakit mahupun terdapat sebarang perubahan pada fizikal, segeralah berjumpa doktor untuk melakukan pemeriksaan.
Sumber: Amalina Che Hasin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!