Sesungguhnya dalam mendidik anak-anak, mak,ayah perlu jadi raja berpendirian, barulah anak jadi rakyat yang taat. Sebagai mak,ayah rasanya tidak perlu untuk mengikut segala kemahuan anak.
Tidak salah jika mak, ayah mahu berbincang dengan anak-anak tentang sesuatu perkara namun jangan keterlaluan. Sehingga membuatkan anak-anak merasakan mereka “raja”.
Ikuti perkongsian Mohd Yazid Ismaildan jadikan inspirasi buat mak,ayah dalam mendidik anak-anak yang semakin membesar:
Jangan selalu tanya soalan approval kepada anak-anak. Terutamanya yang masih bersekolah. Mereka akan rasa semua benda perlu ikut citarasa mereka, nanti mereka akan jadi raja di rumah.
Contoh soalan approval:
Nak ummi masak spaghetti hari ni?
Along nak hadiah apa untuk birthday?
Nak tak kita pergi pantai esok?
Soalan approval bunyi macam comel dan mesra, tapi jika diulang bertahun-tahun ia akan menyemai sifat bos pada anak-anak, suka ikut kepala sendiri.
Nasib baik di sekolah cikgu tak amalkan tanya soalan approval. Cikgu terus bagi kerja tanpa tanya persetujuan. Sebab tu anak-anak lebih mudah taat di sekolah berbanding di rumah.
Ibu bapa perlu jadi raja yang berpendirian, barulah anak akan jadi rakyat yang taat. Nak buat sesuatu tak perlu dapatkan persetujuan anak-anak.
Nak masak apa pun masaklah. Anak akan makan sebab dah tak ada pilihan lain. Mereka akan suka. Jangan sampai terpaksa buat menu khas untuk setiap anak-anak. Seksa hidup nanti.
Biarlah Anak Jadi Rakyat Yang Taat
Didiklah anak-anak supaya ikut saja aktiviti yang kita rancangkan. Sekali-sekala anak-anak boleh bagi cadangan tapi tak semestinya kita ikut mereka.
Bertanya untuk berbincang tak ada masalah, tapi bukan tanya untuk dapatkan approval.
Mak ayah kita dulu-dulu mana ada tanya approval dari kita. Kita gembira saja ikut semua yang mak ayah tetapkan.
Jangan merajakan anak-anak.
-Mohd Yazid Ismail
Yang suka memerhati dan suka menulis di fb.
MW: Dalam mendidik anak-anak ini bergantung kepada mak,ayah untuk mengikut acuan yang selesa kerana setiap anak tak sama. Semuanya berbalik kepada pilihan dan setiap pilihan pasti ada impaknya.
Besarnya kasih sayang seorang anak apabila sanggup berkorban apa saja demi melihat ibunya sentiasa berada di depan mata. Uruskan segala keperluan ibu yang sakit terlantar.
Malah gadis ini rela korbankan seluruh masa menjaga ibu walaupun terpaksa bergadai masa depan dengan menolak dua tawaran melanjutkan pengajiannya ke universiti.
“Saya dah buat pertimbangan muktamad tidak lagi mahu menyambung pengajian kerana ingin jaga ibu sakit hingga ke akhir hayat,” kata Nor Syuhadah Aziz, 24.
Menurut Nor Syuhadah Aziz, yang tinggal di Kampung Limau Kasturi 2, di Gua Musang, Kelantan, tidak mengambil kisah walaupun terpaksa bergadai masa depan kerana tidak mempunyai pekerjaan kelak.
Katanya, lebih penting dapat korbankan masa menjaga ibunya yang sakit dengan penuh kasih sayang dan dia seorang menjadi harapan keluarga berbuat demikian.
Dia mengakui terpaksa menolak dua tawaran melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi kerana tidak mahu berpisah dengan ibunya yang sakit.
Nor Syuhadah pernah ditawarkan melanjutkan pelajaran di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, Perak pada 2015 dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Kuala Lumpur pada 2017.
“Ibu saya, Noraini Ismail, 55, sakit kanser otak enam tahun lalu dan perlu bagi saya menjaga dia sepanjang hari termasuk menyuap makanan dan membersihkan badan.
“Saya adalah anak ke lapan daripada sembilan adik beradik tidak mahu menyesal apabila mama berdepan kejadian tidak diingini kelak,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Menurut Nor Syuhadah, dia juga masih tinggal bersama bapa, Aziz Abdullah, 59, dan seorang adik bongsu, Nur Atirah Aziz, 18, yang juga sedang menunggu melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi.
“Enam kakak bersama abang sudah berumah tangga dan berada di luar Kelantan jarang pulang ke kampung kerana sibuk dengan tugas,” katanya.
MW: Hebat sungguh didikan mak,ayahnya sehingga gadis ini sanggup abadikan diri untuk berbakti kepada ibunya yang sedang sakit. Biarpun dua tawaran ke university telah diterima, dia tetap menolak semata-mata bimbang jika Berlaku sesuatu pada ibunya. Pekerti yang wajib dicontohi.
Boleh bayangkan perasaan isteri yang tiada pendapatan, yang seratus peratus jadi suri rumah sepenuh masa. Urus anak-anak, jaga makan pakai suami. Alangkah lapang hati isteri, bila suami prihatin bagi duit belanja bulanan. Tak banyak.. sedikit pun dah boleh buat isteri lapang dada.
Lelaki ini, BroOhsem Akhtar Syamir juga pernah melalui saat terdesak selalu tidak cukup duit untuk beri isteri duit belanja. Sampai satu masa, dia mula berubah. Sediakan juga bahagian duit belanja untuk isteri setiap bulan. Dan ini yang dia dapat.
Dulu saya sentiasa rasa tak cukup untuk beri duit belanja kepada isteri. Banyak benda perlu selesaikan dulu. Hutang kena bayar, bil kena bayar, barang dapur dan barang rumah kena beli. Akhirnya baki cukup-cukup sahaja. Tiada pun bahagian isteri.
Tapi lama kelamaan saya sedar. Dia jadi tak cukup sebab saya letak keutamaan memberi duit belanja kepada isteri itu di tempat yang terakhir.
Jadi, saya mula ubah. Saya bagi bahagian isteri dahulu. Yang lain saya buat selepas itu. Cukup pulak. Magik sungguh.
Sebenarnya bukan magik pun. Tapi keberkatan rezeki yang kita dapat tu. Sebab saya sentiasa percaya, apa juga rezeki yang saya dapat ini ada bahagian isteri saya. Sebab, tanpa dia di sisi membantu, menyokong, menggembirakan dan mempermudahkan urusan saya, saya takkan dapat rezeki yang saya dapat sekarang.
Isteri yang tidak mempunyai pendapatan sendiri, pendapatan dia patut datang dari suami. Bayangkanlah, pembantu rumah pun kita kena bayar, inikan pula isteri sendiri.
Cuba fikir satu benda ni sahaja. Isteri yang tiada pekerjaan, tiada bisnes, menjadi suri rumah sepenuh masa, menjaga rumah, menjaga anak, menjaga makan pakai semua ahli keluarga tapi tidak ada langsung pendapatan. Dapat tak rasa sesaknya kehidupan seperti itu?
Kalau masa di luar, nak beli apa suami bagi. Bagus macam tu. Tapi duit di tangan langsung tiada. Tak banyak, sikit pun jadilah. Isteri perlu ada kuasa membeli sendiri apa yang dia inginkan. Bukannya setiap masa perlu melalui suami.
Kalau jadi apa-apa pada suami bagaimana? Jika sudah buat hibah atau rumah dan kereta dah habis bayar, lainlah ceritanya. Kalau tak cakna langsung bab tu? Terkontang-kantinglah si isteri nanti.
Pasanglah niat dari sekarang untuk beri duit bulanan secara konsisten kepada isteri. Kalau kasih rasa berat, mulalah dengan RM50 dahulu. Lama-kelamaan amaun tu akan naik dengan sendirinya. In Shaa Allah.
Yang penting, tukarkan tangga keutamaan untuk memberi duit belanja kepada isteri dari kedudukan yang bawah kepada yang teratas.
Saya bukan nak menghasut, saya nak mendetikkan sesuatu je. Mungkin selama ni tak terfikir benda macam ni. Harap janganlah salah faham. Ini untuk kebaikan.
Sumber/Foto : Akhtar Syamir, yang selalu menulis menulis mengenai hubungan suami isteri, kekeluargaan, emas dan isu semasa.
Juga mempunyai Supergroup Telegram BroOhsem Fans di mana followernya boleh berinteraksi dengan lebih rapat lagi. Dan boleh berbual, bertanya pendapat dan berkongsi masalah atau apa-apa pun asalkan tidak berkenaan Poligami dan Politik. http://t.me/broohsemfans
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Didik anak-anak untuk ‘mengenal’ Sang Pencipta adalah tanggungjawab ibu bapa. Dijadikan sebagai makhluk Allah yang diberi nama manusia merupakan sebuah anugerah terhebat yang perlu kita rasakan dan syukuri.
Perbezaan ketara antara kita dengan makhluk Allah yang lain adalah anugerah akal fikiran yang meningkatkan darjat kita ke tahap khalifah.
Oleh yang demikian, akal ini harus diberikan makanan ilmu yang mencukupi agar dia boleh berfungsi sebaiknya untuk membawa manusia kepada jalan yang benar. Ilmu yang diperlukan juga haruslah ilmu yang benar bertunjangkan kepada Al-Quran dan Sunah.
Sebagai ibu bapa dan penjaga yang prihatin kepada amanah dan tanggungjawab Allah, maka hal ini harus diberikan perhatian wajar.
Dalam memberikan pendidikan yang wajar kepada anak-anak, akalnya harus diberikan fungsi yang sebenar. Dalam menghadapi banyak perkara dalam kehidupannya, hak mereka untuk mengetahui dan memahami sesuatu perkara harus diberikan. Caranya ialah dengan memberikan ruang yang wajar untuk mereka memahami setiap perkara yang sedang berlaku dalam kehidupan.
Untuk hal ini, kesabaran harus dipasakkan. Ini kerana, kebolehan mindanya masih mengalami perkembangan. Dalam banyak hal, segala penerangan ibarat mencurahkan air ke daun keladi. Perlukan pengulangan demi pengulangan agar anak dapat memahami dan membentuk pemikirannya. Seterusnya mempengaruhi pembentukan amalnya.
Bukan sahaja dalam hal ehwal rutin, malah dalam memahami dan melaksanakan perkara fardu ain, lebih-lebih lagi memerlukan penaakulan (membuat penilaian menggunakan akal). Anak-anak zaman ini bukan sahaja harus diberitahu apa yang perlu dilakukan, bagaimana melakukannya malah mengapa harus dilakukan juga satu bab yang harus disertakan.
Pendedahan anak-anak zaman ini ke arah lautan maklumat memungkinkan kekeliruan dan akhirnya menyebabkan salah tafsir dan salah faham berlaku. Apabila salah tafsiran ini tidak dikemudikan dengan akal yang jelas malah diambil alih oleh emosi maka anak-anak mudah terpedaya.
Pada waktu ini, nasihat mungkin hanya dipandang sepi dan tidak mengubah apa-apa. Justeru, bab ini harus diberikan perhatian serius. Kita harus meluangkan masa memberikan kefahaman kepada anak-anak untuk setiap perkara agama yang mereka pelajari.
Kita harus memastikan sumber yang diperoleh daripada sumber yang benar. Di samping itu, tidak rugi jika kita luangkan masa untuk mendengar setiap apa yang ingin mereka kongsikan dan meraikan setiap pertanyaan yang diajukan.
Tindakan ini bukan sahaja membuka ruang mengukuhkan kefahaman malah mengeratkan hubungan ibu ayah dengan anak. Jika ada soalan yang tidak mampu kita jawab secara spontan, maka mintalah waktu untuk menjawabnya kemudian. Di sinilah peranan ta’lim (pembelajaran) dalam keluarga berlaku.
Persis pendidikan dalam suasana keluarga Rasulullah s.a.w, proses ta’lim ini akan menyelaraskan kefahaman dalam sebuah keluarga. Bersesuaian dengan terminologi “usrah” yang digunakan yang merujuk kepada perbincangan dalam kumpulan-kumpulan yang selalunya berkisar tentang perbincangan mengenai agama dan kehidupan.
Contohnya, dalam memberikan didikan solat kepada anak-anak. Bukan sahaja kita fokuskan kepada cara melakukan solat, bila harus dilakukan solat malah mengapa solat itu harus dilaksanakan. Perenungan yang merupakan anjuran daripada Al-Quran ini harus disuburkan dalam mendidik anak-anak. Dengan menyuburkan fungsi akal ini hakikatnya kita sedang menggunakan nikmat Allah yang dianugerahkan kepada kita seterusnya mengenali hakikat kekuasaan-Nya ini akan dapat dicapai.
Namun, ia harus dipandu melalui sumber al-Quran dan Sunah. Sebagai contoh membawa anak berfikir mengapa adanya lima waktu solat dengan rakaat yang berbeza-beza yang turun dibincangkan oleh para ulama Islam akan membuka ruang untuk anak-anak membina kefahaman terhadap keperluan solat serta hikmah difardukan solat. Kefahaman ini akan membuka jendela hikmah dan mengukuhkan keimanan serta membuahkan amalan yang tulus sebagai seorang hamba Allah yang sejati.
Justeru, perkara ini harus diberikan perhatian yang wajar dalam memberikan pendidikan yang berkualiti kepada anak-anak. Tadabbur, tafakur yang dianjurkan di dalam al-Quran harus digunakan sebaiknya untuk memberikan akal fungsinya yang sebenar. Dengan memberikan kefahaman, amal akan dapat dilaksanakan dengan lancar,insya-Allah. Wallahualam.
Sumber: Dr. Nurul Asiah Fasehah Muhammad (USIM)
KEMAHIRAN ASAS BANGKIT WANITA:
Yuran murah dan berbaloi-baloi. Klik link di bawah ini:
Ibu didapati bersalah amang seksual anak kandung sendiri. Seorang ibu yang sepatutnya menjadi pelindung kepada anak-anak bertukar sikap sebaliknya apabila melakukan perbuatan di luar...