Insiden tragis adik beradik bergaduh dan berlaku perselisihan faham hingga meragut nyawa cukup menyayat hati. Dilaporkan dua beradik yang terbabit dalam insiden tragis sehingga seorang daripada mereka maut, petang semalam, amat rapat, saling menyayangi dan taat pada agama.
Ahli keluarga yang enggan identitinya didedahkan berkata, seluruh keluarganya terkejut dan tidak percaya insiden menyayat hati itu menimpa dua beradik berkenaan.
Dua Beradik Sangat Rapat & Saling Menyayangi
Katanya, dua beradik itu dididik dalam keluarga dengan penuh kasih sayang dan ketakwaan, dengan keluarga mereka amat rapat dan saling menyayangi.
Beliau berkata, kejadian itu bukan sahaja mengejutkan ahli keluarga, malah seluruh penduduk kampung.
“Kedua-dua beradik itu adalah anak yang baik dan sangat bijak. Mereka sering mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan, selain menjadi harapan keluarga.
“Mangsa yang berusia 16 tahun adalah bekas pelajar Maahad Pontian sebelum berpindah ke sebuah sekolah menengah di Gelang Patah, manakala kakaknya belajar di Tingkatan Enam sekolah yang sama.
“Mereka berdua serta tiga lagi adik adalah anak yang sangat baik dan dididik untuk saling berkasih sayang. Mereka juga dididik untuk tidak meninggalkan solat dan taat pada perintah agama.
“Apabila menerima berita mengenai insiden malang ini, saya enggan percaya kerana ia sangat tragis dan menyayat hati,” katanya ketika ditemui.
Ads
Adik Tertusuk Pisau Dibaling Kakak
Malam tadi, media melaporkan seorang seorang pelajar Tingkatan Empat di Kampung Ulu Pulai, Ulu Choh, di sini, meninggal dunia pada jam 2.30 petang semalam, dipercayai tertusuk pisau yang dibaling kakaknya.
Kejadian itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham akibat berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah.
Hasil siasatan polis mendapati, kejadian berpunca daripada pergaduhan adik-beradik dan ibu mangsa mendakwa mangsa bergaduh dengan kakaknya berikutan berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah dan perselisihan itu berlanjutan di rumah.
Kakak mangsa dilaporkan, mengaku membaling pisau ke arah mangsa selepas dipersenda ketika sedang masuk ke dalam rumah.
Ads
Remaja itu direman enam hari mulai hari ini hingga 25 Oktober depan.
Ibu Bapa Mangsa Trauma
Seorang lagi ahli keluarga yang enggan dikenali berkata, ibu bapa mangsa trauma dan amat tertekan dengan insiden malang yang menimpa anak sulung dan anak kedua mereka.
Ads
“Mereka amat sedih dan tidak keluar rumah sejak kejadian itu petang semalam, apatah lagi insiden tragis itu tular sejak malam tadi,” katanya.
Tinjauan dilakukan di rumah keluarga mangsa di Kampung Ulu Pulai mendapati, sanak-saudara dan penduduk kampung berada di situ bagi menziarahi keluarga itu.
Bagaimanapun, anggota keluarga rapat enggan ditemu bual dan memohon media memberi ruang untuk keluarga berkenaan bertenang.
Mingguan Wanita: Dugaan dan ujian hebat sungguh buat mak ayah kedua-dua anak ini. Semoga diberi kekuatan dalam menghadapi ujian ini dan dipermudahkan segala urusan.
Saya lagi suka bekas suami terus jadi jutawan, Watie jawab tuduhan lesen DDNK digantung SC. Pasti ramai yang ingin tahu adakah benar tuduhan mengatakan Hasmawatie adalah individu yang melaporkan kepada Suruhanhaya Sekuriti Malaysia hingga lesen bekas suaminya, Datuk Dr Nazri Khan digantung selama enam bulan bermula 6 Oktober lalu.
Ini kerana dalam satu kenyataan rasmi dari Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), pihak SC telah menggantung Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal milik Pengarah Eksekutif dan Pengurus Dana Inter-Pacific Asset Management Sdn. Bhd. (IPAM) berkuat kuasa sejak 6 Oktober lalu.
Pihak pengurusan IPAM berkata, mereka sedang membuat rayuan susulan penggantungan itu selain menegaskan penggantungan adalah disebabkan pelanggaran pentadbiran dan bukannya bukan mengenai pengurusan dana.
Tiada angin tiada ribut, nama bekas isterinya dikaitkan dengan pelaporan tersebut kerana mahu membalas dendam. Namun itu semua adalah andaian netizen yang jelas sama sekali salah.
Dalam satu temubual eksklusif, Hasmawatie dalam program SEMBANG WANITA di platform digital Mingguan Wanita, Hasmatie menjawab semua pertuduhan tersebut dengan hati yang cukup lapang dan tenang. Jelas ternyata dirinya amat bijak kerana kematangannya bahkan semasa temubual ini, tiada satu pun kesilapan bekas suami disebut.
Menurutnya, secara jujurnya dia lebih senang kalau bekas suaminya terus bergelar jutawan kerana ada banyak lagi tuntutan boleh dibuat selepas perceraian mereka.
“Kalau bekas suami susah, keperluan anak tunggal kami, Haykal juga akan turut berubah. Dari kecil dirinya sudah biasa memiliki segala-galanya. Malah bersekolah di sekolah antarabangsa.
“Jadi saya memang terus mendoakan bekas suami bergelar jutawan dan tiada sebab untuk saya melaporkan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sampai lesennya digantung. Untuk apa menyusahkannya kerana kalau dia senang, kehidupan anak kami akan kekal dengan apa dikecapinya sebelum ini. Dan banyak yang boleh saya buat tuntutan tanpa mengurangi keperluan Haykal sebelum ini.
“Saya tak pernah makan hati dengan tuduhan netizen mengatakan saya yang buat laporan kerana saya tahu saya tak buat. Jadi kenapa saya nak terasa dengannya kerana saya tak buat.
Tambah Watie yang memiliki ijazah sarjana dari UKM, bila perceraian terjadi antara dirinya dan bekas suami, dirinya terpaksa tinggalkan segala-galanya termasuk rumah baru yang tak sempat diduduki pun.
“Kami berpindah ke Jitra kerana mahu dekat dengan keluarga agar anak tak rasa keseorangan. Kena sewa rumah lain buat masa ini kerana saya nak Haykal rasa selesa dan tiada apa yang kurang dirasainya. Pernah anak tanya, adakah dia akan dapat meja komputernya masa berpindah ke utara dan saya katakan ya. Masa yang sama saya perlu menghantarnya bersekolah di Sungai Petani kerana pilihan sekolah antarabangsa juga tidak banyak.
“Saya perlu berulang alik dari Jitra ke Sungai Petani setiap hari. Lepas hantar Haykal, saya perlu balik ke Jitra dan petang ambil dirinya semula. Jarak memang jauh, dalam sejam lamanya tapi asal anak selesa dan bahagia, saya kuat deminya.
Masa yang sama, Watie mengakui dirinya masih bergelar pengarah dan pemegang saham yang besar dalam syarikat diusahakan bersama bekas suami yang mengadakan kelas Menang Saham yang terkenal di kalangan mereka yang ingin belajar tentang saham.
Sudah lama move on dari hidup DDNK dan juga seorang yang manja tapi versi dirinya
Mengakui dirinya sudah move on dalam kehidupan bekas suami yang sudah pun berkahwin lain, jelas Watie apa yang dilakukan pada hari ini dan masa depan adalah menuntut HAK diwajar diperolehnya pada hari ini selepas lebih 20 tahun mendirikan rumahtangga.
Menjelaskan isu nafkah RM2500 yang sebelum ini pernah menjadi perdebatan di kalangan netizen, kata Watie, kelas tuisyen anaknya saja mencecah RM4000 sebulan.
“Jadi boleh fahamlah sama ada cukup atau tak dengan jumlah itu. Sekolah saja satu semester mencecah belas ribu, belum lagi keperluan lain. Ada yang kata kenapa saya tak boleh downgrade kehidupan saya selepas berpisah. RM2500 tu cukup kata mereka. Ingin saya katakan di sini, kalau yang berpisah itu saya dan bekas suami dan anak tak patut menjadi “mangsa” dalam isu ini kerana mereka ada hak. Sebab dalam islam semua hak-hak ini boleh dibuat melalui tuntutan di mahkamah.
“Islam menjaga sebaik-baiknya dari berumahtangga sampailah ke perceraian. Ramai juga kata tuntut saja nanti di akhirat tapi kehidupan dunia tak sama akhirat. Kita ada undang-undang dan ibu berhak melakukan untuk anak-anak yang mungkin belum mengerti keadaan terjadi antara ibu dan ayahnya. Kalau apa pun saya buat, saya akan berbincang dengan peguam kerana saya tak mahu ada salah faham di sini. Lepas pertanyaan itu ditanya oleh saya di fb tentang nafkah RM2500 itu, bekas suami ada masukkan RM5000 lagi. Buat masa ini apa-apa nafkah termasuk eddah belum saya terima (ketika artikel ditulis), jelasnya.
Ditebak tentang kenangan lama, jelas Watie, dia mengenali bekas suami ketika di tahun dua pengajian dan sudah tertulis jodohnya berkahwin di usia muda. Hal ini menurutnya adalah biasa dalam keluarganya kerana abang dan ayahnya yang juga bekas pendaftar universiti juga berkahwin di usia muda.
“Datuk Nazri ketika itu merupakan tutor saya dan kami bertemu jodoh ketika saya di tahun dua pengajian.
Ditanya tentang karektor dirinya, jelas Watie dia sudah terbiasa berdikari termasuk boleh membayar bil sendiri. Jika ke mana-mana dirinya lebih suka memandu tanpa mengharapkan pemandu walau mampu membayarnya.
“Saya senang dengan cara ini. Saya juga manja orangnya tapi manja dengan versi saya. Sebabnya saya sudah terbiasa berdikari dalam hidup. Buat masa ini saya tidak ke pejabat kerana saya bercadang untuk melepaskan pegangan saham saya di syarikat kami tubuhkan dulu kerana ada perancangan sendiri di masa depan.
Jelasnya, buat masa ini dia akan kekal di utara sebelum mungkin akan berpindah semula ke Kuala Lumpur namun ia akan mengambil masa kerana dirinya sedang merancang untuk membantu lebih ramai wanita di masa akan datang.
Mengakui perpisahan itu perit kerana dirinya sama sekali tidak menyangka begini pengakhiran kehidupan rumahtangganya dan dia hanya menyerahkan segalanya pada yang Maha Esa.
“Saya kena kuat di hadapan anak saya. Saya banyak mengadu pada Allah dan saya bersungguh-sungguh mengadu padaNya. Anak pun selalu tanya saya okay tak dan saya cakap saya okay. Sebab itu, saya sudah move on dan kekal bertenang sekarang. Tak saya nafikan ada dah lelaki yang datang dekat tapi buat masa ini semua itu tidak dalam kamus hidup saya. Saya sangat berhati-hati kerana bukan mudah melalui semuanya,” katanya mengakhiri perbualan.
Apa yang boleh kami putuskan semasa temubual ini, Watie seorang yang sangat bijak. Jawapannya sangat teratur, kekal tenang, dirinya tahu apa yang dikatakannya bahkan paling penting dirinya nampak muda dari usia iaitu 43 tahun. Masih kekal cantik. Tiada apa kekurangan namun jodohnya sudah tertulis tentang rumahtangganya.
Debar seorang suami bila helikopter dinaiki isteri terhempas di Brichang, Cameron Highlands. Seorang suami meluahkan kerisauan hatinya apabila mendapat berita helikopter yang membawa enam petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia terhempas di Hutan Brincang, Cameron Highlands.
Abdul Latif Ab Razak dalam perkongsian di fbnya sekitar jam beberapa jam lalu mengundang simpati ramai apabila memohon doa dari semua.
Tulisnya :- Helikopter yang dinaiki oleh wife saya & pasukan kesihatan terhempas di Cameron Highlands mohon doa dari semua.
Dan alhamdulillah, isterinya yang juga pegawai perubatan Dr Munirah diberitakan selamat bersama lima lagi kru lain. Hanya seorang dari mereka iaitu Stafnurse Asyikin patah tulang peha.
Dalam kejadian akibat cuaca buruk ini, helikopter jenis jenis Eurokopter AS 355 F2 yang membawa petugas kesihatan melakukan pendaratan cemas di Hutan Brinchang, Cameron Highlands petang ini.
Komander Operasi PgB Shahrulnizam Nasir, Ketua Zon 3 Pahang melaporkan seramai 5 orang mangsa termasuk Juruterbang didapati mengalami kecederaan ringan dalam kejadian terbabit manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan patah tulang peha menjadikan kesemua mangsa yang terlibat seramai 6 orang.
Mangsa yang tercedera telah diberi rawatan awal di tempat kejadian sebelum dikeluarkan ke tempat selamat. Operasi masih berjalan.
Dalam kejadian dilaporkan, mangsa yang terlibat terdiri dari Capt Pedro, Dr Munirah, Jururawat Masyarakat (JM) Hasilawati, penolong pegawai perubatan Azlan, pembantu am rendah Fazlan dan stafnurse Asyikin. Difahamkan, tiga darinya mengalami kecederaan iaitu, Dr Munirah – tak boleh bangun (boleh bergerak), JM Hasilawati – tak boleh bangun (hanya boleh bergerak) dan SN Asyikin yang mengalami patah tulang peha.
Tak Perlu Bawa Dompet, Lelaki Pasang Implan Cip Kad Bank Di Tangan! Macam-macam cara untuk memudahkan urusan harian dalam membuat pembayaran. Malah tak perlu bawa dompet pun, guna tangan je.
Seorang lelaki menjadi individu pertama di Britain yang mendapatkan implan mikrocip beserta kad bank di bawah kulitnya supaya dia boleh membuat pembayaran menggunakan tangan, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Arnie Szoke, 40, membelanjakan £350 (RM1,877) untuk mendapatkan implan itu di Jerman.
Szoke yang bekerja sebagai pembantu kesihatan bersama agensi Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) berkata, juruwang dan pelanggan lain di kedai terkejut melihat cara dia membuat bayaran.
“Orang ramai bertanya bagaimana saya boleh membayar dengan tangan saya. Implan itu kelihatan hebat, tetapi isteri saya tidak mahu memilikinya,” katanya.
Mikrocip itu menggunakan teknologi kad tanpa sentuh dengan medan magnet yang memindahkan data kepada alat pengesan.
Pakar bedah membelah bahagian sisi tangan untuk meletakkan cip keselamatan bersaiz pin yang berukuran setebal setengah milimeter sebelum menjahitnya semula dalam masa lima minit.
“Cara menggunakan cip itu memerlukan sedikit pembelajaran. Ia seperti kad biasa tetapi anda perlu lebih tepat dengan kawasan yang perlu disentuh.
“Ini bermakna saya tidak perlu membawa dompet sepanjang masa. Kali terkahir saya menggunakan wang tunai, sebanyak £40 (RM214) telah hilang bersama pas kerja saya,” jelasnya.
Cip berharga £220 (RM1,179) itu dibina oleh syarikat British-Poland, Walletmor. Ia akan tamat tempoh sama seperti kad bank biasa dan Szoke perlu menggantinya dalam operasi kedua dengan kos £130 (RM696) pada 2029.
Cukup menyayat hati kemalangan tragis antara dua buah kereta yang berlaku semalam, dua maut manakala empat lagi cedera yang melibatkan Proton Saga dan Nissan Sentra.