Bila mana anak sulung ada adik baru, dia terpaksa belajar mengalah. Belajar jadi kakak atau abang yang diharapkan mak ayah untuk menjaga adik-beradik yang lain. Termasuklah berkorban hati dan perasaan.
Ada mak ayah sedar akan emosi yang anak sulung rasakan. Namun, mak ayah pun tidak punya pilihan. Kerana, bagi mak ayah kasih sayang untuk anak-anak tetap sama rasa. Hakikatnya, perasaan kesamarataan kasih sayang itu tak semua anak dapat fahami.
Macam mana cara mak ayah perlu tunjukkan agar setiap anak, termasuk si sulung ini dapat fahami. Tip yang dikongsikan Counsellor/Psychotherapist di Pahang Skill Development Centre (PSDC), CR Mohamad Afizan Ghazali boleh dijadikan panduan.
Anak Sulung : Dilema Kasih Sayang Bila Ada Adik Baru
‘Jangan pandang remeh soalan anak walaupun simple’
Anak sulong saya berumur 5 tahun. Dia ada adik 2 orang; umur 3 tahun dan 1 tahun.
Seperti biasa. Anak sulung antara anak yang banyak menyimpan perasaan terutama bab membahagi kasih sayang dengan adik-adik.
Apabila ibu ayah mula tidak sengaja menzahirkan tindakan kasih sayang melebihi pada adik-adik yang kecik.
Selalu dukung adik.. peluk adik.. kakak nangis dan dalam masa yang sama adik nangis, pujuk adik lebih. Tidur pun peluk yang kecik.
Si kakak walaupun tidak menunjukkan perasaan rasa tersisih atau diabaikan mula memendam perasaan.
Perasaan ini bahaya jika tidak diselesaikan terus. Lama kelamaan akan jadi lekatan dalam diri. Dengan kata lain, mengikut teori gestalt dikenali sebagai “unfinished business”.
Ads
Mak Ayah, Kenali Tindakan Anak Sulung Bila Tersinggung
Oleh yang demikian.. kadang-kadang ibu ayah kena sedar dari awal.
Tanda-tanda anak mula timbul perasaan tersinggung dengan ibu ayah.. rasa ibu ayah mengasihi adik melebihi dia.
Kemudian.. kakak tadi akan selalu mengamuk.. menangis yang melampau walaupun isu tak seberapa. Merajuk atau “tantrum”.. itu biasa luahan perasaan anak-anak lakukan pada ibu dan ayah.
Jarang anak-anak luahkan melalui pertanyaan atau kata-kata.
Kebetulan anak saya dia suka luahkan melalui kata-kata.
Semalam dia tanya,
“Baba.. kenapa baba sayang adik.. kakak baba tak sayang..”
Soalan ini nampak biasa. Tapi bahaya jika salah memberi jawapan.
Bahaya Bila Mak Ayah Salah Jawab Soalan Anak, Lagi-lagi Libatkan Perasaan
Biasa ibu ayah akan jawab soalan ini macam ni, “sebab kakak kan dah besar.. adik kecik lagi”
Ads
Jika jawab macam ni, anak akan rasa.. “kenapa aku besar dah” “Orang besar tak boleh disayangi lagi ke?” “Kenapa ada adik yang kecik rampas kasih sayang aku.” Sebab tu anak-anak yang ada adik akan meluahkan melalui tindakan yang kita tak senangi seperti di atas. Tantrum. Merajuk.. menangis melampau-lampau.
Sebenarnya kita yang menyebabkan anak-anak kita rasa tak puas hati dengan jawapan kita.
Dia dah la rasa kurang disayangi. Kita jawab menyalahkan keadaan pula iaitu Sebab dia dah besar.. lagi la dia reject jawapan kita walaupun kita nampak dia accept.
So ibu ayah. Macam mana cara nak bagi jawapan supaya anak kita rasa dia juga disayangi seperti adik-adik dia.
Mak Ayah, Ungkit Apa Kita Dah Buat Dekat Anak
Ada banyak cara. Salah satu. Kita ungkit apa yang telah kita lakukan pada dia sebelum ini.
Contoh; “Eh tak.. baba bukan sayang adik sorang. Baba juga sayang ke kakak. Sebab tu baba beli ice cream ke kakak semalam. Baba peluk kakak nak tidur malam tadi.” Dan banyak lagi kita boleh kait.
Ads
Kaitan ini akan menyebabkan anak anda terbayang di mindanya dan memberi respon senyum sampai ke telinga.
Atau jika anda tak pernah buat perkara di atas.
Anda boleh buat macam ni,
“Kakak.. sambil-sambil pergi dekat dengan dia.. peluk dia.. cium dia kat pipi. Dahi.. kepala.. gosok-gosok belakang dia. Terus ucap ke dia, “kakak.. baba sayang kakak.. anak baba baik.. cerdik.. Pandai.. sebab tu baba sayang kakak.”
Anda akan hilangkan “unfinished business” dalam diri dia dan dia akan hidup dengan penuh kefungsian sebagai manusia yang dihargai.
Kakak.. Baba sayang kakak.
Anak Sulung Banyak Berkorban.
TAHNIAH anak sulung.
MW : Itu orang kata, anak sulung ini matang.. sebab sarat tanggungjawab.
“Ini kali pertama suami saya kantoi curang di belakang saya. Suami berjanji takkan ulangi lagi tapi saya rasa tertipu sangat. Perlukah saya berikan dia peluang?” – Soalan daripada salah seorang klien berusia 35 tahun. Merujuk persoalan, manusia bersalah, itu pasti. Manusia tersalah, itu juga satu kepastian yang tidak boleh dikeji.
Hanya dengan kemaafan, kesilapan boleh diterima sebagai air yang mengalir, sejuk dan mendamaikan, tidak lagi menyakitkan hati. Cuma, apakah hanya dengan memaafkan, peluang masih ada? Wajarkah peluang diberi?
Kebanyakan manusia mampu untuk memaafkan tetapi sukar untuk melupakan dan dalam masa yang sama tidak mampu lagi memberi peluang. Apakah sememangnya sekali tersalah, tiada lagi peluang untuk seseorang itu membuktikan dia telah berubah?
Realitinya, hidup bererti memberi peluang. Koreksi diri, setiap hari kita melakukan pelbagai perkara dan sama ada sedar atau tidak, ada perkara yang menyebabkan kita berdosa kepada manusia malah kepada Allah Yang Maha Berkuasa.
Malah ada manusia yang berulang kali melakukan dosa saban hari hingga ke malam. Tika rasa mengantuk mendatang, kita di’mati’kan sementara dan di’hidup’kan semula awal pagi esoknya.
Walau ada yang ‘tidur’ terus kerana tidak dikembalikan-Nya nyawa, kita yang mampu terus bernafas di muka bumi ini adalah antara yang terpilih dan diberikan peluang untuk mengubah diri menjadi lebih baik – sebagai isteri atau suami, sebagai ibu atau bapa atau anak, sebagai pekerja atau majikan, sebagai jiran atau saudara malah menjadi lebih baik untuk diri sendiri khususnya sebagai hamba yang mengaku beriman kepada-Nya.
Andai Allah SWT masih kekal memberikan kita peluang saban hari dan masa, kenapa kita sebagai hamba tidak berusaha memberikan peluang yang sama?
Perkara yang paling sukar untuk diberi peluang ialah apabila diri dikhianati pasangan. Dalam banyak keadaan, suami atau isteri terlalu sukar untuk memberi peluang pada pasangan membuktikannya telah berubah.
Walaupun hubungan masih diteruskan tetapi kesilapan silam digunakan sebagai senjata untuk menjerat diri agar tidak percayakan pasangan lagi. Sama juga dengan hubungan persahabatan atau persaudaraan, sekali tersalah seperti dipersalahkan sepanjang hayatnya.
Ramai yang seakan terlupa, rakan anda manusia, musuh anda manusia, pasangan anda manusia, anda juga manusia yang masing-masing tidak lepas daripada melakukan kesilapan. Cinta membuatkan manusia terpedaya, nafsu pula membuatkan manusia buta. Kedua-dua keadaan ini cukup untuk menenggelamkan seseorang. Bezanya sama ada orang tersebut akan terus lemas atau berjaya diselamatkan.
Siapa yang menyelamatkan bukan penentu hala tuju masa depannya kerana yang pasti, Allah masih memberinya peluang dan harapan. Lantas, kenapa kita sesama manusia enggan memberikan peluang dan harapan yang sama?
Hebatkah anda kerana tidak duduk dalam kasutnya, melakukan kesilapan yang pernah dilakukannya? Akuilah kebenaran, hidup kita ibarat roda, ada tikanya kita di atas dan ada masanya kita di bawah. Maafkanlah dan berikan peluang kerana kelak, jika anda di tempat yang sama, akan ada orang lain yang akan memaafkan dan memberi anda peluang yang sama.
Berapa Kali Patut Diberikan Peluang?
Sejauh mana peluang boleh diberi? Sekali? Dua kali? Tiga kali? Sebenarnya, berapa jumlah peluang yang boleh diberi tidak ditentukan had minima malah tidak juga ditetapkan had maksima.
Paling utama, selagi anda berdaya menjadi hamba yang adil dan reda dengan kesan daripada tindakan anda memberikan peluang, anda bebas untuk terus memberikan peluang kepada sesiapa sahaja.
** Artikel ini dikongsikan oleh Puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie, juga penulis tetap ruangan RESIPI HIDUP dalam Majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Assalamualaikum Puan. Saya berusia 34 tahun dan sudah lapan tahun berkahwin. Terus terang, wanita mana yang tak nak bergelar ibu, mengandung dan melahirkan zuriat sendiri. Namun, rezeki belum memihak pada saya. Walau pun ramai yang tuduh saya mandul tapi saya tak kisah asal bukan suami yang kata begitu.
Pelbagai usaha dah saya buat. Pergi berurut, makan jamu itu ini, bahkan jumpa doktor pun sudah. Itu semua saya lakukan selepas dua tahun berkahwin. Mengikut perubatan moden, doktor cakap saya tak ada apa-apa masalah. Jadi, saya anggap Allah belum nak bagi rezeki.
Dalam masa yang sama, suami tak pernah ikut saya menjalani apa-apa perubatan sama ada tradisional atau moden. Katanya, saya yang patut pergi berubat kerana saya yang akan mengandung, bukan dia. Lagi pula katanya, dia yakin dirinya subur kerana adik beradiknya ramai, lapan orang. Bahkan adik beradiknya yang dah berkahwin juga anak ramai. Hanya dia yang belum ada anak. Walau pun terkilan, tapi saya tak boleh buat apa.
Tahun berganti tahun, saya semakin reda dan serahkan pada rezeki kerana saya dah buat yang termampu. Namun dalam hati terkilan masih menebal kerana suami tak nak berusaha. Ajak buat IVF pun dia tak mahu. Jadi, apa lagi yang saya patut buat? Kenalah reda.
Keluarga Mentua Pandang Serong
Masuk tahun kelima, saya makin tertekan, bukan sebab suami saja, malah keluarganya juga. Mak mentua saya terutamanya, sering menyindir. Katanya saya yang tak boleh mengandung, bukan anaknya yang bermasalah!
Bayangkan perasaan saya ketika itu. Saya dah jumpa doktor dan doktor cakap saya memang tak ada masalah. Siapa kita nak menidakkan takdir? Saya mula kurang balik ke rumah keluarga suami kerana tak tahan asyik disindir lebih-lebih lagi kalau ada adik-beradik suami yang beranak baru.
Berubah Sikap
Saya tinggal berjiran dengan seorang ibu tunggal yang memiliki dua orang anak. Orangnya memang peramah dan sekejap saja kami rapat. Anak-anaknya juga rapat dengan saya dan suami. Kalau hari cuti, sering kali juga mereka ke rumah kami.
Saya tak tahu sebenarnya macam mana ia bermula. Tapi saya dapat rasakan perubahan pada suami. Kata orang, naluri isteri. Memang saya pun melayan anak-anak Z dengan baik tapi saya lihat suami melayan mereka teramat baik hinggakan pernah bawa budak berdua itu ke rumah ibu bapanya. Malah dia yang meminta dirinya dipanggil ‘papa’.
Mulanya saya tak kisah sangat kerana memikirkan mungkin dia ingin rasa seperti anak sendiri. Tapi saya dapat rasakan sesuatu di sebalik jelingan Z dan suami tiap kali bersua. Saya tak sedap hati.
.
Berpindah
Hinggalah Z tiba-tiba berpindah dan saya tak tahu. Balik kerja, tengok rumahnya sudah kosong. Bila tanya pada suami, dia hanya cakap tak tahu. Hairan juga kerana hubungan saya dan Z rapat juga, takkan soal pindah pun tak diberitahu? Saya cuba telefon pun tak dijawab.
Seminggu kemudian suami bekerja di luar kawasan dan saya tak syak apa-apa sehinggalah saya terlihat bil telefon suami. Biasanya saya tak ambil peduli tapi entah mengapa saya terlintas hati nak tengok? Banyak telefon ke satu nombor dan bila saya semak, itu nombor Z.
Berhari-hari saya tak boleh tidur memikirkan perkara itu, akhirnya saya tekad untuk berterus terang dengan suami. Walau pun pada mulanya suami menafikan, akhirnya dia mengaku yang dia sebenarnya sudah pun menikah dengan Z. Puan, Tuhan saja yang tahu hati saya ketika itu. Rasa marah, kecewa, tertipu, sedih – macam-macam berbaur di hati.
Kata suami, dia jatuh cinta dalam diam dan sepakat untuk berkahwin. Dia yakin akan mendapat zuriat bersama Z kerana yakin dirinya subur. Kata-kata terakhirnya mencabar ego saya sebagai wanita. Bermakna suami anggap saya mandul dan tak boleh berikan dia zuriat, sebab itu saya dimadukan dalam diam.
Minta Cerai
Puan, saya tak dapat terima dan minta cerai. Saya tak kisah orang kata saya mandul, tapi bila suami sendiri yang kata begitu, saya sangat sedih. Betul ke saya mandul atau dia yang mandul? Saya sudah pun membuat permohonan cerai dan akan naik mahkamah tak lama lagi. Suami masih memujuk saya untuk menarik balik permohonan. Puan, walau pun saya tekad cerai tapi saya masih sayangkan suami. Namun, hati saya sudah cukup terluka untuk terus bergelar isterinya. Saya juga rasa tertipu kerana suami sanggup bermain cinta dengan wanita yang saya anggap rakan di belakang saya.
Ida, KL
Jawapan Kaunselor:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Perkahwinan adalah alam perkongsian suami isteri. Ada pasangan yang boleh kongsikan kesemua aspek dalam kehidupan, seperti kewangan, minda, perasaan dan emosi, kasih sayang, saling memahami, setia, hormat, tidak menyakiti hati pasangan, menerima kekurangan pasangan, menghargai kelebihan pasangan dan sebagainya. Jika ini tercapai, ia merupakan tahap kebahagiaan yang ideal yang didambakan oleh pasangan, khusus buat isteri.
Namun perjalanan dalam perkahwinan tidak semudah yang diimpikan. Ada pasangan yang hanya boleh berkongsi sebahagian, ada yang hanya sedikit, ada yang sukar untuk berkongsi kerana ego yang tinggi dan sukar menerima pasangan seadanya.
Saya memahami perasaan puan tentang keinginan memiliki anak sendiri, namun Allah belum kurniakan. Ada pasangan yang saya lihat, telah berkahwin hampir 15 tahun, namun tidak dikurniakan anak. Suaminya ada wanita lain yang ingin dikahwini. Isterinya mohon untuk dilepaskan. Dia bersetuju untuk menceraikannya. Setelah idah, isterinya berkahwin lain dan setahun lepas itu dia dikurniakan anak dalam usia 35 tahun. Manakala bekas suaminya setelah usia kini hampir empat tahun berkahwin lain tetapi masih belum dikurniakan anak.
Perancangan Allah Yang Terbaik
Kadang-kadang perancangan Allah kita tidak tahu, yang mana perancangan-Nya adalah lebih baik daripada yang kita rancang. Memang sukar untuk puan menerima tuduhan suami setelah pemeriksaan dijalankan bahawa puan adalah sempurna.
Kini, puan telah pun mengambil keputusan untuk berpisah dengan suami. Jika puan sudah bertekad, adakah puan telah bersedia ke arah itu? Pun begitu, proses menunggu keputusan perceraian di mahkamah bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi jika suami enggan turun atau enggan melafazkan cerai di hadapan hakim.
Ego Lelaki
Apa yang suami lakukan tidak mustahil dilakukan oleh lelaki lain. Alasan itu boleh pelbagai. Keegoan suami juga adalah sesuatu yang normal kepada seorang lelaki yang bergelar suami. Sukarnya seorang lelaki menerima kenyataan bahawa dia adalah mandul, samalah seperti wanita tidak dapat menerima hakikat berpoligami, mungkin lebih lagi kerana keegoan seorang lelaki sememangnya begitu.
Sebab itulah jarang suami yang mahu membuat pemeriksaan sama ada dia normal atau tidak. Justeru, tidak perlu kita mempertikaikan siapa yang normal atau tidak. Reda dengan ketentuan Allah. Jika ditakdirkan puan berpisah dengannya, dan dia dikurniakan zuriat dengan wanita lain, Alhamdulillah, doakan yang terbaik untuk suami.
Jika ditakdirkan dia tidak mahu menceraikan puan dan dia memiliki anak dengan wanita lain, puan berdoalah agar puan juga dikurniakan anak seperti madu puan. Jika puan berjaya dalam proses tuntutan cerai, maka jalanilah kehidupan dengan lebih bermakna. Masa bercerai mungkin masing-masing boleh memikirkan apakah masing-masing mampu untuk hidup berasingan? Dan puan pula bersendirian?
Kahwin Lain
Pada masa ini tidak dinafikan puan mahu berpisah dengan suami kerana dia telah ada wanita lain dan suami pula menganggap puan yang tidak mampu melahirkan anak. Namun apabila bercerai belum tentu puan dapat meneruskan kehidupan tanpa suami, melainkan puan bertemu dengan lelaki lain dan berkahwin serta mempunyai anak.
Masing-masing boleh membina kehidupan sendiri. Yang penting bersangka baik dan positif terhadap ketentuan tuhan. Puan tidak tahu dalam keadaan mana yang terbaik kan? Kerana ia belum berlaku dan tidak pasti adakah ianya bakal berlaku, melainkan hasrat suami yang mahu berkahwin lagi yang jelas akan berlaku.
Justeru, pertama sekali, berlapang dada. Jika puan teruskan hasrat itu, puan tetap berlapang dada dan berbaik sangka dengan suami. Sama jua berbaik sangka dengan keluarga suami. Anak hanya anugerah Allah yang merupakan amanah, perantara hubungan suami isteri untuk lebih bermakna. Namun, jika Allah tidak anugerah pun kita boleh mencipta keadaan itu dengan mengambil anak angkat.
Walau apapun yang bakal berlaku, senantiasalah berlapang dada, reda dan berbaik sangka. Untuk mendapatkan ini, pastinya hubungan puan dengan Allah perlu rapat. Solat malam, berdoa, solat awal waktu, solat sunat dan solat hajat agar Allah makbulkan hajat puan dan jika Allah tidak makbul pun, ada hikmah yang kita sendiri tidak tahu. Pelbagai aktiviti dalam kehidupan, kerana bahagia dalam hidup bukan hanya bergantung kepada bahagia dengan seorang lelaki. Saya mendoakan agar puan diberi kekuatan menghadapi ujian ini.
** Persoalan hati ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor dan penulis tetap ruangan Ya Tuhan dalam majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ustaz Farid Rashidi berikan penjelasan detail, kenapa berzumba mahupun lakukan senaman lain-lain tarian untuk kaum hawa di pentas terbuka itu hukumnya haram.
Sebelum membuat andaian yang lain, hadamkan dahulu apa yang ustaz terangkan ini sebaik-baiknya. Berzumba atau lakukan aktiviti senaman lain tetap boleh dilakukan, tapi ada syarat yang perlu dipatuhi ya mak-mak.
Padahal perempuan kalau pakai ketat, berjalan pula di Mall atau tempat awam sudah cukup mengundang mata lelaki memandang. Inikan pula menari bersenam macam itu.
Tak kiralah tua atau muda, semua pandang semacam. Tajam! Tak berkelip aih. Lelaki yang memandang itu sememangnya dah berdosa.
Apalagi kalau menari zumba, senam atau apa jua tarian di tempat awam yang bercampur lelaki perempuan. Pakai pula pakaian ketat menggoda. Aduhai, lagilah menarik perhatian lelaki.
Sebab itu Rasulullah SAW berpesan, sabda Baginda SAW:
ما تَركتُ بَعدي فِتنَةً أضرَّ على الرجالِ منَ النساءِ
“Tidaklah ada sepeninggalku fitnah (cubaan) yang paling berbahaya bagi lelaki selain fitnah (cubaan) terhadap wanita”
[Hadis Riwayat Al-Bukhari no. 5096, Muslim no. 2740).
“Apa hukum berzumba?” Tanya seseorang tempohari.
Baik, mari kita baca pandangan para ulama’ tentang hukumnya ya.
Joget atau menari dalam istilah Fiqh disebut ar-Raqshu. Kamus Mu’jam al-Wasith menyebutkan:
تنقَّل وحرك جسمه على إِيقاع موسيقى أو على الغناء
“(ar-Raqshu) adalah seseorang berpindah-pindah posisi dan menggerak-gerakkan badannya sesuai irama muzik atau nyanyian.”
Para ulama dalam al-Lajnah ad-Daimah Lil Buhus Wal Ifta’ menyebutkan:
والبعد عن أسباب الفتنة، ومن أعظمها رقصها أمام الرجال الأجانب، فهو محرم لا يجوز،
Dan wajib juga bagi mereka untuk menjauhi sebab-sebab fitnah (godaan). Dan di antara godaan yang paling besar adalah joget/menarinya mereka di depan lelaki yang bukan mahram. Ini hukumnya haram, tidak diperbolehkan.
[Rujuk Fatawa Al-Lajnah Ad-Daimah, jilid 3 no. 16638]
Begitu juga Fatwa Mufti Negeri Sabah menyebutkan bahawa HARAM seseorang wanita menari di khalayak awam.
Antara sebab menjadi haram adalah:
Ia termasuklah mereka yang bersenamrobik dan berzumba, lalu dirakam atau disebarkan secara live pun tak boleh.
Tapi kalau perempuan nak bersenam sesama perempuan di tempat tertutup, terhindar daripada pandangan mata lelaki dan percampuran lelaki tak ada masalah. Boleh.
Atau nak menari atau bersenam depan SUAMI SAHAJA di tempat tertutup pun boleh. Menarilah sampai ke subuh pun. Berpahala Insya-Allah.
Ok, jemputlah share dan sebarkan artikel ini seluas saujana mata memandang. Moga tukang share beroleh pahala kebaikan dan lebih ramai mendapat manfaatnya ya.
Sumber/Foto : Farid Rashidi
Jemput follow untuk dapatkan info fiqh wanita dan rumahtangga serta motivasi islamik.
Saya juga berkongsi di channel Telegram. Nak join klik: https://t.me/NotaFaridRashidi
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tragedi berulang di Simpang Renggam, laluan yang selalu 'ambil nyawa' kerana berlaku kemalangan. Kali ini empat orang maut dalam eksiden ngeri melibatkan lima buah kenderaan.