Tidak dinafikan kuasa berdoa amatlah hebat. Magisnya mampu memperkenankan setiap permintaan dan harapan seorang hamba kepada penciptaNya.Dalam pada kita berdoa dengan bersungguh-sungguh dengan hati yang bersih, sebenarnya cara kita berdoa juga mempengaruhi apa yang kita perolehi.
Ada 6 formula dalam berdoa yang boleh kita ikut agar mampu mengubah kehidupan yang lebih baik.Tukar cara kita berdoa selama ini, In shaa Allah siapa yang betul-betul amalkan, The Power of Doa ini, boleh mengubah hidup kita menjadi yang lebih baik. Inshaa Allah..
FORMULA 1
Jika sebelum ini kita selalu berdoa, “Ya Allah berikanlah aku kekuatan.” Jika kita berdoa begitu, maka Allah akan sentiasa UJI untuk test kekuatan kita.
Jadi doa yang kita boleh betulkan ialah,
“Ya Allah lapangkan kesulitan apa yang aku hadapi ini, Ya Allah keluarkan aku dari kesulitan ini, Ya Allah bantulah aku “.
FORMULA 2
Selain daripada itu, kita sebelum ini mungkin selalu berdoa, “Ya Allah BERILAH aku…”. Jadi, selepas ini kita tukar sikit doa iaitu,
“Ya Allah KURNIAKANLAH aku…”
Kerana apa? Jika kita sebut BERI maka bila-bila masa Allah boleh ambil balik. Namun, jika sebut KURNIA, maka Allah akan kurniakan kita sesuatu sampai bila-bila InshaaAllah.
FORMULA 3
Satu lagi, selalu saya dengar dan nampak orang doa begini, “Semoga DIMURAHKAN rezeki”. Selepas ini, latihkan baca doa begini:
Ads
“Semoga DILIMPAHKAN rezeki yang berpanjangan dan berkat.”
Nampakkan dua perbezaan doa itu? Doa kena betul, sebab setiap doa kita Allah dengar dan yakin Allah makbulkan doa kita. Jadi dengan doa ini saya nampak betapa pentingnya untuk kita praktikkan dalam kehidupan seharian.
FORMULA 4
Selain itu, selalu kan kita berdoa seperti ini, contohnya, “Ya Allah, kurniakanlah kami zuriat, anak yang soleh dan solehah” dan setiap kali itu jugalah kita akan berasa kecewa, stress bila doa tidak dimakbulkan Allah.
Kalau selama ni kita hanya minta pada Allah sekadar nikmat sahaja. Kita tak benar-benar ikhlas meminta padaNya supaya diberikan nikmat yang lebih bernilai. Maka hari ini, ayuh kita tukar cara berdoa seperti ini, contohnya:
Ads
“Ya Allah, sekiranya dengan mempunyai zuriat dapat mendekatkan aku dengan diriMu maka makbulkan ya Allah..
Sekiranya dengan mempunyai anak membuatkan Engkau lebih memandangku ya Allah, maka kurniakanlah..
Sekiranya dengan mempunyai anak membuatkan ibadahku lebih bertambah dan solatku lebih khusyuk maka izinkanlah nikmat ini Engkau pinjamkan padaku ya Allah..
Kerana Engkau sahajalah sebaik-baik perancang dan Engkaulah Tuhan yang Maha mengetahui atas segala sesuatu yang terbatas bagiku.
Amin Ya Mujib.
Ads
Sebabnya, bilamana kita berdoa seperti di atas ini, matlamat dan objektif dalam doa itu bukan terfokus pada nikmat semata, tapi lebih ikhlas kerana hubungan kita pada Allah yang memberikan nikmat itu.
Selalu juga, bila kita berdoa kita minta macam-macam pada Allah.. hingga kita lupa nak bersyukur atas segala nikmat yang telah Allah beri.. Kita lupa nak bersyukur dengan rezeki yang sudah ada di hadapan kita.
Jadinya, bersyukur dulu atas apa yg Allah dah beri, maka Allah akan tambahkan lagi.. Sebagai contoh:
“Ya Allah, aku bersyukur umurku masih panjang lagi pada hari ini, maka Engkau jadikanlah hariku sebagai ibadah kepada Mu. Dan redhalah kepadaku ya Allah..”
FORMULA 6
Satu lagi cara berdoa adalah dengan mendoakan orang lain. Kerana bila mendoakan orang lain, seluruh malaikat di Arasy akan turut mengaminkan doa kita.. satu contoh,
“Ya Allah, sahabatku ini dalam kesulitan dan kesempitan ya Allah.. bantulah dia ya Allah, lapangkan kesulitannya.. permudahkan perjalanan hidupnya ya Allah..”
Semoga perkongsian ini bermanfaat.Sama-samalah kita amalkan dalam kehidupan seharian setiap kali selepas menunaikan solat. Apa yang penting doa bersungguh-sungguh, nyatakan dengan jelas apa yang dipinta dan yakin serta percaya segala permintaan kita akan dimakbulkan olehNya. Amin
Satu perkara yang memberi kebimbangan ramai apabila ada cadangan daripada kerajaan mahu memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini.
Keputusan ini mendapat tentangan daripada pelbagai pihak terutama keluarga mangsa bunuh. Kisah yang dibawakan mantan Editor Kanan, Sinar Harian, Syahril A. Kadir ini diharap dapat membuka mata ramai pihak.
NUR SYUHADA Johari baru berusia 20 tahun. Dia adalah pelajar jurusan Diploma Pengurusan Hotel dan Pelancongan UITM.
Akhbar yang menemuramah bapa Nur Syuhada pernah melaporkan, sewaktu di bangku sekolah, beliau mengenali seorang pemuda bernama Syarafi Abu yang tinggal berhampiran rumahnya. Namun pemuda yang tujuh tahun lebih tua darinya itu seringkali menganggunya.
Malah, ketika Nur Syuhada di tingkatan lima, pemuda itu pernah bertindak ganas dengan memecah pintu rumah untuk membawanya keluar.
Syarafi rupanya seorang penagih dadah dan pernah ditahan polis.
Disebabkan perangainya itu, bapa Nur Syuhada melarang dia berkawan dengan Syarafi, malah bapanya juga pernah membuat laporan polis ketika pemuda itu membawa lari anaknya.
Syarafi kemudiannya bekerja di Melaka. Ini melegakan keluarga Nur Syuhada namun dia tetap mengacau gadis tersebut. Kalau tak jawab telefon, dia hantar mesej marah-marah dan ugut Nur Syuhada.
Kemuncaknya pada 2 Februari 2015, kira-kira jam 11 pagi, seorang saksi telah melihat sebuah kereta jenis Proton Perdana warna hitam diletakkan di bahu jalan di Kilometer 228.2, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), dekat Bukit Gantang,
Kelihatan seorang gadis telah keluar dari kereta terbabit melalui pintu pemandu dan kemudian jatuh ke jalan.
Dalam masa yang sama, kelihatan seorang lelaki turut keluar dari kereta berkenaan dan menarik mangsa ke bahagian tepi besi penghadang jalan.
Namun selepas itu, lelaki berkenaan bertindak melarikan diri dan masuk ke hutan.
Kedengaran lelaki berkenaan telah menelefon seseorang dan berkata, “minta maaf dan dia telah buat silap”
Saksi itu juga terkejut selepas mendengar lelaki berkenaan mengeluarkan kata-kata “Dia tak mampus lagi ke?”
Orang ramai yang berada di tempat kejadian juga mula curiga dengan lelaki berkenaan dan bertindak memukulnya lalu menyerahkannya kepada polis peronda yang sampai di tempat kejadian.
Dan selepas disiasat, polis mengesahkan suspek yang mengelar Nur Syuhada adalah tidak lain dan tidak bukan – Syarafi!
Nursyuhada meninggal dunia selepas dua jam bertarung nyawa ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Kangsar. Arwah kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Cherok Mokkan, Kedah.
Syarafi kemudiannya dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Taiping selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Namun dengan keputusan jemaah kabinet baru-baru ini hendak memansuhkan hukuman gantung atas alasan hak asasi manusia, jika Syarafi belum menjalani hukuman, maka dia akan selamatlah daripada hukuman tersebut.
Maaf. Di negara ini, haknya setakat tertuduh dibawa ke mahkamah, dibicarakan dan dipenjara sahaja.
Mak ayah akan lalui saat paling kental dalam hidupnya semasa menguruskan perjalanan akhir jenazah anaknya sendiri.
Cuma pernahkah mak ayah ambil tahu, apa yang perlu dilakukan apabila kematian itu berada di depan mata kita? Inilah yang dikongsikan oleh Nik Irma Rita Ns, ibu yang melalui sendiri pengalaman menguruskan jenazah anak kesayangannya, Dahlea Hawraa.
Si kecil Dahlea ini seorang ‘cancer fighter’ yang mengakhiri perjuangan hidupnya kerana bone marrow transplant.
Apakah pernah kita terfikir, suatu hari nanti kedua tangan ini akan menguruskan jasad tak bernyawa dan pada masa itu baru kita sedar, kita sebenarnya tak punya ilmu menguruskan jenazah?
Kita terlalu sibuk dengan urusan dunia. Sibuk mencari ilmu hingga anak sudah empat lima tapi masih sibuk mengejar ilmu dunia. Kita berlumba-lumba mencari mentelaah berbagai jenis ilmu.
Untuk menjadi guru terbaik, tukang masak terbaik, penjual atau pakar motivasi terhebat, tapi satu-satunya ilmu yang nampak remeh dipandang enteng, langsung kita tak ambil peduli, iaitu ilmu pengurusan jenazah.
“Argh.. bukan nak mati esok.. Anak masih sihat what? Mak ayah alhamdulillah, sihat walafiat.” Maka kita pun membiarkan bisik hati kecil itu berlalu dengan angin yang bertiup.
Sungguh, di saat nafas akhir Dahlea terhenti, aku tiba-tiba kaku dan kelu. “Apa aku nak buat ni Ya allah..”. Mujurlah ketika itu ada nurse menenangkan kami dan dia cakap, “Tak apa kak. Kami uruskan. Untuk bawa balik. Jenazah nak bawak ke mana?”.
Maka berterusanlah segala soalan dan tanda tanya bersambung sambung lepas satu-satu. Iya lah. Dah bawak balik, lepas tu? Apa nak buat? Keliru.
Maka inilah yang dapat diringkaskan, segala apa yang dapat aku pegang untuk peringatan dan rujukan masa depan.
Jika rumah dekat dengan masjid atau surau, bergaullah dengan ahli jemaah masjid/surau. Sekurang kurangnya bila ada kematian, mereka lah yang akan membantu dalam urusan memandikan dan mengkafankan jenazah.
Apa lagi nak solat jenazah usai semua telah selesai dan hendak di kebumikan.
* Sedikit input yang dapat dari perkongsian sahabat, isi borang ahli khairat supaya apa-apa urusan di kemudian hari sangat mudah kerana kita merupakan anak Qariah.
Ambil tahu tanah perkuburan yang terdekat dengan kawasan kita. Sungguh sedikit tertampar dengan diri sendiri, bila aku sendiri tak tahu di mana anak bakal dikebumikan.
Mujurlah ada ketua muslimah masjid membantu kami menguruskan urusan tanah kubur dengan satu panggilan. Ya, alhamdulillah aku kenal seorang dua orang masjid walaupun jarang sekali melangkah ke sana.
Kain batik lepas / kain sarung / kain tak berjahit. Ini lah yang selalu kita dengar orang tua-tua pesan. Kena ada sekurang-kurangnya sehelai dua.
Kain itulah yang akan digunakan untuk menutup jenazah, jika jenazah di bawa pulang ke rumah sebelum urusan pengkebumian dilakukan.
Dan kain batik lepas juga diperlukan ketika urusan memandikan jenazah. Jika jenazah dewasa memang perlu sekurang-kurangnya 4-5 helai. Tak terlepas kain tuala bersih untuk urusan memandikan jenazah.
Persediaan rumah dan tempat meletakkan jenazah jika dibawa pulang. Ini perkara penting dan ketika inilah ahli keluarga dan sahabat terdekat perlu memain kan peranan.
Ketika Dahlea meninggal dunia, kami memang benar-benar tidak menyangka kami akan membawa dia pulang dengan keadaan yang sudah tidak bernyawa.
Urusan kami di hospital, menyukarkan kami untuk menguruskan hal rumah. Maka ketika itu keluarga, sahabat dan jiran terdekat yang tolong kami mempersiapkan rumah.
Mengemas, dan sebuah katil kecil disediakan rapi untuk kami letakkan jenazah, usai tiba dari hospital. Jika tiada katil, tilam sudah mencukupi dengan sebiji bantal.
Kain jarang / selendang nipis diperlukan untuk menutup wajah jenazah, mudah untuk tetamu yang hadir melihat arwah kali terakhir.
Masih aku ingat, terkial-kial aku mencari selendang putih nipis, namun satu pun tiada. Mujurlah, dengan bantuan orang, tudung bawal digunakan.
Pastikan kita ada simpanan surah yasin sekurang-kurangnya 5-10 naskah. Letak berhampiran atau tempat yang senang untuk tetamu yang datang ambil dan membaca yasin.
Alhamdulillah, ketika itu kami memang banyak simpanan Yasin hasil dari hadiah doorgift kebanyakannya yang kami dapat dari majlis kenduri dan doa selamat.
Ini peranan ahli keluarga terdekat, sahabat dan jiran tetangga. Kita tahu ramai tetamu dan pengunjung yang akan datang ke rumah untuk memberi penghormatan terakhir.
Tuan rumah yang masih bersedih sudah pasti tidak mampu menyediakan apa-apa santapan untuk tetamu.
Jadi kalianlah harus memainkan peranan dengan niat membantu dan bersedekah, beli atau sediakan sedikit minuman dan makanan ringan untuk tetamu yang hadir.
Syukur tak terkira juga kami pada hari itu, jiran membantu membeli air kotak dan pelbagai jenis biskut, ada tetamu yang membawa buah tangan makanan dan bermacam lagi.
Tak ku lupa sahabat baik yang menempah dan membawa bihun goreng keesokan harinya untuk sarapan pagi kami dan ahli keluarga. Ya nampak kecil tapi bermakna sebenarnya. Banyaknya pahala mereka dapat hari itu.
Ini yang utama. Aku ada segala ilmu tapi aku jahil dan alpa dalam menuntut ilmu menguruskan jenazah. Ya, aku tak tahu bagaimana memandikan jenazah.
Aku tak tahu macam mana hendak mengkafankan jenazah. Namun semuanya telah elok di atur oleh Allah s.w.t.
Hari itu, aku dan dibimbingi seorang ustaz, dengan kedua tangan ini juga kami berpeluang memandikan dan mengkafankan jenazah anakanda Dahlea kami.
Walaupun suami sebenarnya tahu dan belajar bagaimana untuk menguruskan jenazah, tapi untuk keadaan hari itu, dia jadi kelu tiba-tiba seakan tidak tahu mahu berbuat apa. Kami hanya menurut telunjuk kata orang lain.
Bayaran yang kita perlu ambil tahu dalam menguruskan jenazah ialah, bayaran van jenazah, bayaran untuk penggalian lot tanah kubur( upah penggali kubur), bayaran pengurusan jenazah ( jika urusan memandikan dan mengkafankan dilakukan di masjid, ada bayaran dikenakan).
Dan baru aku tahu batu nisan dan kepok itu harganya sangat mahal. Maka dikedepan hari, aku tahu aku perlu membantu rakan-rakan yang ada kematian.
Jika urusan memandikan dan mengkafankan jenazah bakal dilakukan di rumah, belilah set kafan yang ada dijual di pasaran untuk simpanan kita.
Dulu aku memandang sinis dengan benda-benda macam tu, tapi kini tidak lagi. Aku tahu ia satu keperluan. Cuma kami bernasib baik , kerana pihak masjid mampu menyediakan semua.
Untuk lelaki, yang terbaik itu jika kalian sendiri yang menjadi imam untuk solat jenazah. Belajarlah. Bukankan itu yang terbaik? Selama mana kalian telah menjadi imam kepada keluarga kalian di sepanjang hanyat mereka, yang terbaik itu kalian sendiri yang menjadi imam di hari terakhir mereka.
Ianya memang sesuatu yang mudah utk dibicarakan namun sukar untuk dilaksanakan, bilamana suami sendiri tidak mampu untuk melafazkan kalimah keramat kerana diselubungi rasa kesedihan dan hanya mampu mengikut imam di saf kedua.
Belajarlah bagaimana keadaan jenazah harus diletakkan di dalam liang lahad. Moga bila ada antara ahli keluarga kita meninggal terutama ibu bapa kita.
Diarlah kalian anak-anak lelaki yang dengan sama-sama sendiri mengusung dan memasukkan jenazah ke dalam liang lahad.
Sungguh hari itu, tika ayah mertua ku di dalam liang menunggu untuk menyambut arwah Dahlea, hati kecil ku berkata “how mommy wish to be inside there adik, put you for your final sleep. But i can’t.”
Dan di saat dia telah kaku dan tidak bernyawa, dia mengajar dan memberi ruang untuk kami menjalankan tanggungjawab kami sebagai ibu bapa iaitu menguruskan perjalanan terakhir dia dengan kedua tangan kami sendiri.
Tak terbayang nilai kepuasan dan betapa beruntungnya kami dapat menguruskan jenazah anak dengan tangan kami sendiri.
Aku sudah belajar. Moga bermanfaat untuk kalian.
Dahlea Hawraa, Bunga syurga.
Dia sudah penat berjuang. Dia srikandi di medan perang sendiri.
Dalam kenangan : 19 March 2017 – 5 November 2018
91 days journey of bone marrow transplant.
Acute myleoid leukemia , high risk. Cause of death : Acute Graft Versus Host disease stage 4 (post haploid bone marrow transplant)
Kecacatan yang dialami tidak pernah menghalang Enida Mohd Radzi untuk meneruskan kehidupan sama seperti insan lain. Selagi ada kudrat dan tenaga empat kerat, Enida mahu menunjukkan kepada masyarakat bahawa insan orang kelainan upaya (OKU) sepertinya juga mampu berjaya.
Dia berharap dengan perkongsian ceritanya ini mampu menunjukkan kepada masyarakat bahawa OKU juga punya kehidupan sempurna walaupun diri digelar OKU.
Enida tergolong dalam kategori orang kelainan upaya yang bergerak menggunakan kerusi roda. Dia mengalami lumpuh dari pinggang hingga ke bawah.
“Saya sebenarnya dilahirkan normal. Segala-galanya berubah apabila saya berusia 10 tahun. Doktor mengesan ada ketumbuhan di bahagian tulang belakang saya. Saya menjalani pembedahan dan selepas pembedahan itu kedua-dua belah kaki saya dari bahagian pinggang ke bawah menjadi lumpuh.
“Agak sukar untuk menerima kenyataan bahawa diri ini tidak boleh berjalan. Memang perit pada awalnya. Ditambah pula usia masih lagi muda dan masa hadapan masih lagi panjang. Tetapi berkat semangat dan kekuatan dari mak dan arwah ayah, saya gagahi juga. Saya bersyukur sekarang ini saya boleh menerima takdir ini dengan sepenuh hati,” katanya menceritakan kisah lalu.
Melihatkan OKU menggunakan kerusi roda sudah pasti menimbulkan rasa simpati kepada mereka yang melihat. Bayangkan pula perasaan insan OKU yang sepenuh masa menggunakan kerusi roda. Sedarkah anda apa cabaran yang mereka hadapi?
Bagi Enida, sebenarnya dia tidak tahu hendak menjelaskan perasaannya ketika ditanya cabaran OKU berkerusi roda.
“Banyak sangat cabaran. Kalau tidak ada kekuatan mental dan fizikal, memang susah. Amat beza sekali OKU semenjak dilahirkan jika dibandingkan dengan OKU apabila sudah besar ini. Kalau dari dilahirkan memang diri tidak sempurna itu mungkin juga boleh kita terima.
“Tetapi apabila kita pada asalnya boleh berjalan, berdiri, tiba-tiba tidak boleh buat semua itu. Hilang sekelip mata. Hendak bangkit semula itu memang sesuatu yang mencabar yang tidak boleh saya gambarkan dengan kata-kata,” katanya lagi.
Wanita berusia 40 tahun ini ketika kecil mengakui dia tidak boleh mendengar orang sebut perkataan cacat. Dia akan kecil hati dan menangis.
“Itulah pengalaman perit saya ketika bangkit daripada kesedihan. Masa sakit saya berumur 10 tahun. Jadi semasa berumur 11 tahun, saya pergi sekolah dan duduk di atas kerusi roda. Saya tidak ada kawan. Tidak ada siapa pun yang mahu berkawan dengan saya. Semua kawan sekolah masa itu tidak suka dengan OKU.
“Begitu juga dengan zaman remaja saya tidak sama macam remaja lain. Tetapi saya hadapi liku-liku kehidupan saya dengan sabar kerana ini adalah ketentuan Ilahi. Semakin meningkat umur, saya semakin boleh menerima keadaan diri saya. Mak dan arwah ayah bagi semangat. Sehinggalah saya berusia 23 tahun saya bekerja sebagai guru tadika. Pemilik tadika, Madam Bibi dan suaminya Sir Vasu banyak mengajar saya untuk lebih berkeyakinan,” katanya.
Cerita Enida lagi, lama juga dia menjadi guru tadika. Hanya apabila bapanya meninggal dunia, dia bertukar kerja daripada guru tadika kepada pemandu kereta menghantar budak-budak tadika sehingga ke hari ini.
“Saya ada sebuah kereta kancil yang diubahsuai menggunakan tangan. Jadi saya tidak ada masalah untuk keluar ke mana-mana. Sebelum ini saya cikgu tadika. Tetapi saya terpaksa berhenti selepas ayah meninggal kerana tidak ada siapa hendak menjaga emak.
“Madam Bibi mencadangkan agar saya membawa kereta dan buat perkhidmatan membawa kanak-kanak dari rumah mereka ke tadika. Dengan cara ini masa saya di luar tidak panjang. Tetapi kalau ada cikgu yang sakit atau tidak hadir, saya akan menggantikan cikgu tersebut,” jelasnya lagi.
Cerita Enida lagi, jadi pemandu budak-budak tadika memang seronok. Bermula dari pukul 7.00 pagi dia sudah mula mengambil mereka.
“Sebaik sampai tadika pada pukul 8.00 pagi, saya balik semula ke rumah. Pada pukul 12.00 tengah hari saya ambil mereka semula untuk dihantar balik ke rumah masing-masing. Kalau pada hari itu saya perlu menggantikan cikgu, saya akan terus berada di tadika sehingga pukul 12.00 tengah hari.
“Kalau saya menggantikan cikgu, biasanya saya akan ikut jadual apa yang cikgu itu buat. Contoh kalau hari itu ada reading dan spelling, saya akan ikut apa yang cikgu itu sudah buat. Cikgu tersebut akan tinggalkan senarai spelling untuk hari tersebut. Memudahkan untuk saya. Seronok sebenarnya menjadi guru tadika. Mungkin tahun hadapan saya hendak sambung mengajar semula,” kata Enida tentang pengalamannya.
Bergelar OKU memberi cabaran hebat buat Enida. Dia amat berharap masyarakat dapat menerima OKU dengan hati terbuka. Jangan pandang rendah walau apa sahaja kekurangan OKU.
“Saya berharap agar masyarakat memandang kami ini bukan orang yang bersalah. Saya pernah ada pengalaman ibu bapa tidak jadi menghantar anak mereka ke tadika sebab saya seorang cikgu yang tidak boleh berjalan dan duduk atas kerusi roda.
“Kalau boleh saya mahu masyarakat jangan pandang pada fizikal seseorang. Terima OKU seadanya. Masyarakat juga harus peka pada hak-hak OKU yang kerajaan bagi, contohnya tempat meletak kenderaan untuk OKU. Kita juga kena ajar anak-anak terutama generasi muda untuk menghormati dan mempunyai nilai-nilai murni terhadap kami yang bergelar OKU.
“Kami tidak ada penyakit berjangkit. Jangan takut pada OKU. Itu yang penting. Kita semua hamba Allah. Cuma cara bagaimana kita diciptakan sahaja yang berbeza. Berat mata memandang berat lagi yang memikul. Apa-apa pun saya redha,” ujarnya dengan penuh bermakna.
Foto: Koleksi peribadi Enida Mohd Radzi
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!