Satu keputusan besar dibuat oleh pempengaruh dan pencipta kandungan, Madnor ialah melepaskan kerjaya demi menjaga ibunya.
Madnor Korbankan Kerjaya Demi Jaga Ibu
Ya, bukan kerana mengejar populariti atau mahu menjadi seorang influencer sepenuh masa tetapi pemilik nama Muhammad Noor bin Zakaria korbankan kerjaya demi keluarga.
Ketika ibunya diserang strok pada awal 2025, kehidupan Madnor berubah dalam sekelip mata. Waktu inilah Allah beri ujian antara tuntutan kerjaya dan tanggungjawab sebagai anak, mana satu yang dia patutu dahulukan. Dia sedar ada sesuatu yang perlu dikorbankan.
“Saya berhenti kerja sebab saya perlukan fleksibiliti. Mak saya kena strok dan enam bulan pertama memang perlukan penjagaan sepenuhnya.
“Pada mulanya majikan beri peluang bekerja secara fleksibel. Saya cuba uruskan kerja, kemudian balik untuk mandikan mak dan menjaganya. Lama-kelamaan saya penat. Akhirnya saya buat keputusan berhenti supaya saya benar-benar ada masa untuk keluarga.”
Tanpa Disangka Rezekinya Makin Murah
Ads
Ketika ramai mengejar kestabilan kerjaya, Madnor memilih jalan yang penuh dengan ketidakpastian. Tiada jaminan pendapatan, tiada kepastian tentang masa depan, hanya satu harapan agar dapat menjadi anak yang mampu berada di sisi ibu ketika paling memerlukan.
Ads
Ads
Namun, di situlah takdir seolah-olah mula menulis bab baharu dalam hidupnya.
Lebih setahun selepas meninggalkan pekerjaan tetap pada Mei 2025, kehidupan Madnor berubah jauh daripada apa yang pernah dibayangkannya.
Jika dahulu dia memulakan perjalanan itu dengan hanya seorang kakitangan, hari ini pasukannya sudah berkembang kepada 10 orang. Kandungannya pula tidak lagi terhad kepada video pendek, sebaliknya turut merangkumi podcast, program memasak dan perkhidmatan pemasaran digital.
Bagi Madnor, semuanya berlaku sedikit demi sedikit.
“Bila orang tengok keadaan sekarang, mereka nampak hasilnya. Tapi bagi saya, ini baru permulaan. Kami masih belum sampai ke sasaran yang kami impikan. Masih banyak yang perlu diusahakan.”
Satu susunan rezeki yang cukup indah. Apa yang dinikmatinya hari ini bukanlah sesuatu yang pernah dirancang.
Tujuan asalnya cukup sederhana iaitu mahu menjaga ibunya dengan lebih baik. Namun daripada niat itu, lahirlah peluang yang tidak pernah disangka.
“Niat memang sebab nak jaga mak. Tapi akhirnya Allah tambah pula dengan rezeki yang lain.”
Mungkin itulah yang membezakan Madnor daripada ramai pencipta kandungan lain.
Di sebalik jutaan tontonan dan pengikut di media sosial, dia tidak pernah melihat kejayaan digital sebagai sesuatu yang berlaku secara kebetulan.
Dia percaya setiap perkara, walaupun sekecil mana sekalipun, perlu dilakukan dengan kesungguhan yang luar biasa.
“Kita bermula dengan buat video ulasan sahaja. Tapi walaupun orang anggap kerja itu kecil, kita buat bersungguh-sungguh.
“Kalau orang suruh buat biasa-biasa, kita buat luar biasa. Saya percaya kalau nak buat sesuatu, buatlah secara luar biasa.”
Prinsip itu jugalah yang perlahan-lahan membina identiti Madnor di media sosial.
Daripada sekadar menghasilkan kandungan hiburan, dia semakin dikenali kerana perkongsian yang dekat dengan realiti kehidupan. Nasihat tentang kewangan, kerjaya, keluarga dan pembangunan diri menjadikan kandungannya lebih daripada sekadar hiburan yang berlalu di garis masa.
Tidak hairanlah apabila ramai melihat Madnor sebagai suara yang dekat dengan kehidupan masyarakat, khususnya generasi muda yang sedang membina kerjaya dan masa depan.
Namun, seperti mana-mana figura di media sosial, dia juga tidak terlepas daripada kritikan.
Bagi Madnor, mustahil untuk membuatkan semua orang menyukainya. Apa yang lebih penting ialah memastikan dirinya sentiasa memperbaiki kelemahan dan tidak membiarkan segelintir komen negatif menenggelamkan ribuan kata-kata positif.
“Kita selalu tak adil dengan diri sendiri. Katakan ada 100 komen, 90 orang puji kita, 10 orang kecam. Yang kita fikir hanya 10 komen itu.
“Sedangkan yang menyayangi kita jauh lebih ramai. Hargailah mereka yang sentiasa menyokong kita.”
Mahu Buka Peluang Pekerjaan Lebih Banyak
Di sebalik segala pencapaian hari ini, Madnor sebenarnya masih menyimpan satu impian yang lebih besar. Tidak juga melihat kejayaan sebagai jumlah pengikut atau nilai kerjasama dengan jenama terkenal.
Sebaliknya, dia mahu membina sesuatu yang mampu memberi manfaat kepada orang lain.
Impian terbesarnya ialah menubuhkan sebuah perniagaan yang memfokuskan kepada latihan, bimbingan dan konsultasi, selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat.
“Saya nak beri semula kepada masyarakat. Kalau boleh, saya mahu buka lebih banyak peluang pekerjaan. Itu antara impian terbesar saya.”
Inilah sisi Madnor yang jarang diketahui ramai. Di sebalik wajah ceria yang sering muncul di media sosial, tersimpan kisah seorang anak yang pernah memilih untuk melepaskan kerjaya demi menjaga ibunya.
Di situlah letaknya rahsia sebenar rezeki. Kerana ada kalanya, keputusan yang dibuat bukan untuk mengejar kekayaan, tetapi untuk berbakti kepada ibu bapa.
Tak ramai mampu buat, tetapi jika ikhlas dan fokus pada sebuah tanggungjawab, pasti semuanya akan ‘cantik’ tersusun mengikut apa yang sepatutnya berlaku. Dan siapa sangka, daripada sebuah pengorbanan lahirlah perjalanan yang mengubah seluruh kehidupan.
Pernah tak anda ambil peduli tentang perubahan pada najis? Mungkin rasa pelik dan janggal tetapi sebenarnya anda patut risau jika kelihatan tanda yang berbeza daripada kebiasaan. Jom kita teruskan membaca berkaitan corak pembuangan air besar yang berkait rapat dengan masalah kesihatan.
Bristol Stool atau Bristol Stool Scale merupakan carta klinikal yang digunakan secara meluas di seluruh dunia untuk mengklasifikasikan bentuk dan jenis najis. Diperkenalkan pada tahun 1997 sebagai clinical assessment tool bagi membantu profesional kesihatan menilai tahap fungsi system penghadaman.
Carta ini digunakan untuk membantu menilai masalah seperti:
▪️Sembelit
▪️Cirit-birit
▪️Sindrom Iritasi Usus (IBS)
▪️Keberkesanan rawatan penyakit usus
▪️Perubahan corak pembuangan air besar.
▪️Type 1 & Type 2
Menunjukkan tanda sembelit. Najis keras dan kering. Kebiasaannya berpunca daripada kekurangan serat atau kurang minum air.
▪️Type 3 & Type 4
Dianggap sebagai najis yang normal dan paling sihat. Bentuknya mudah dikeluarkan dan menandakan system penghadaman berfungsi dengan baik.
▪️Type 5, Type 6 & Type 7
Menunjukkan najis semakin lembut sehingga cair, yang biasanya dikaitkan dengan cirit-birit. Keadaan ini selalunya disebabkan jangkitan virus, bakteria atau parasit, keracunan makanan dan lain-lain sebab lagi.
▪️Ramai orang menganggap bentuk najis tidak penting. Hakikatnya, perubahan pada corak pembuangan air besar boleh menjadi petunjuk awal bahawa terdapat sesuatu yang tidak normal pada sistem penghadaman.
Walaupun Bristol Stool Chart bukan alat untuk mendiagnosis kanser usus, ia boleh membantu kita menyedari perubahan yang berpanjangan dan mendapatkan pemeriksaan lebih awal.
▪️Najis berdarah atau berwarna hitam seperti tar.
▪️Perubahan bentuk atau corak najis yang berterusan melebihi 2–4 minggu.
▪️Najis menjadi semakin nipis seperti pensel secara berterusan.
▪️Sembelit dan cirit-birit yang datang silih berganti tanpa sebab yang jelas.
▪️Berat badan turun tanpa sebab.
▪️Sakit perut atau rasa tidak selesa yang berpanjangan.
Kanser kolorektal (kanser usus besar) merupakan antara kanser paling kerap berlaku di Malaysia.
Pengesanan awal melalui kesedaran terhadap simptom serta menjalani saringan mengikut faktor risiko boleh meningkatkan peluang rawatan yang berjaya.
Jangan abaikan perubahan pada najis anda. Kenali simptom, lakukan saringan jika berisiko dan dapatkan pemeriksaan awal.
Perjalanan seorang guru dan tiga pelajar untuk pulang ke sekolah selepas menyertai kejohanan ping pong bertukar tragedi apabila dua daripadanya parah setelah kereta Proton Saga dinaiki terlibat nahas di Solok Duku dengan sebuah lori.
Dalam kejadian itu, guru pengiring berusia 24 tahun dan seorang pelajar tingkatan empat yang duduk di bahagian penumpang belakang mengalami kecederaan parah akibat tersepit di dalam Proton Saga dinaiki mereka.
Dua lagi pelajar berusia 15 dan 16 tahun mengalami patah kaki serta cedera akibat hentakan telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.
Menurut laporan, lima mangsa terlibat dalam kemalangan itu. Empat mangsa menaiki Proton Saga dengan dua daripada parah, manakala pemandu lori berusia 46 tahun terselamat.
Operasi mengeluarkan dua mangsa yang tersepit berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang 10 minit menggunakan peralatan hydraulic rescue tools.
Turut mendapat perhatian apabila anggota bomba bertindak pantas menyelamatkan barangan peribadi dan wang milik guru selepas dipercayai berlaku cubaan individu tidak bertanggungjawab mahu mengambilnya di tempat kejadian.
Semua barangan itu berjaya diselamatkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Alor Gajah untuk menerima rawatan.
Difahamkan, kesemua mangsa daripada Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab dan nahas berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang ke sekolah selepas menyertai Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN) Ping Pong di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Cheng.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bertahan dengan masalah tulang belakang bengkok, remaja perempuan, Arissa El Zahra Reduan perlukan sumbangan RM10 000 untuk kos pembedahan skoliosis yang dijangka dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada 8 September ini.
Bapanya, Reduan Saad, 41, berkata dia hanya menyedari Arissa El Zahra, 13, menghidap penyakit itu ketika anak perempuannya berusia 10 tahun selepas mendapati kedua-dua bahunya tidak seimbang dan tulang belakang mula membengkok.
“Pada mulanya, saya nampak dia macam membongkok sedikit, tetapi lama-kelamaan saya perasan tulang belakang anak saya senget sebelah dan kedua-dua bahunya juga tidak seimbang.
“Perubahan itu menyebabkan saya dan isteri membawanya berjumpa dengan pakar ortopedik di HRPB pada 5 Jun 2024 dan mereka mengesahkan bahawa anak saya menghidap penyakit itu,” katanya.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata selepas disahkan menghidap skoliosis, Arissa El Zahra terlebih dahulu diberi rawatan menggunakan pendakap belakang bagi mengawal tahap kebengkokan tulang belakangnya sebelum pembedahan dapat dilakukan.
Reduan yang bekerja sebagai pembantu jualan berkata doktor tidak dapat terus melakukan pembedahan ketika itu kerana Arissa El Zahra masih terlalu muda dan perlu menunggu masa yang lebih sesuai berdasarkan perkembangan fizikalnya.
“Arissa El Zahra mula memakai pendakap tulang belakang itu sejak September tahun lepas dengan kos kira-kira RM2,500. Pendakap ini perlu dipakai hampir 24 jam sehari kecuali ketika mandi bagi membantu mengawal keadaan tulang belakangnya daripada terus membengkok.
“Walaupun agak tidak selesa pada peringkat awal, Arissa El Zahra tetap mengikut arahan doktor dan tabah memakainya setiap hari kerana dia faham rawatan ini penting sementara menunggu masa sesuai untuk menjalani pembedahan,” katanya.
Reduan berkata sepanjang tempoh memakai pendakap berkenaan, Arissa El Zahra perlu menjalani pemeriksaan susulan secara berkala bagi memantau perkembangan keadaan tulang belakangnya.
Beliau berkata hasil pemeriksaan terkini mendapati tahap kelengkungan tulang belakang anaknya telah mencecah kira-kira 70 darjah, menyebabkan rawatan menggunakan pendakap tidak lagi mencukupi dan pakar ortopedik mencadangkan agar pembedahan dilakukan segera.
“Doktor nasihatkan supaya pembedahan dilakukan dalam tempoh terdekat kerana kami bimbang jika dibiarkan terlalu lama, lengkungan tulang belakangnya akan menjadi semakin teruk dan boleh memberikan kesan kepada fungsi organ dalaman, terutama apabila dia semakin membesar.
“Sekarang pun kami nampak perubahan pada Arissa El Zahra. Dia mudah letih, pergerakannya semakin terbatas dan tidak boleh melakukan aktiviti seperti biasa. Sebagai ibu bapa, kami risau melihat keadaan dia dan berharap pembedahan ini dapat membantu membaiki kehidupannya,” katanya.
Reduan berkata dia amat mengharapkan bantuan daripada orang ramai bagi menampung kos pembedahan berkenaan ekoran kemampuan kewangan keluarganya yang agak terhad.
“Saya bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah pasar raya dengan pendapatan bersih kira-kira RM2,100 sebulan. Jumlah itu agak terhad kerana perlu menampung keperluan dua lagi anak yang masih bersekolah selain perbelanjaan harian keluarga, memandangkan isteri saya tidak bekerja,” katanya.
Selain itu, katanya, orang ramai yang berhasrat menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan beban keluarga boleh menyalurkannya ke akaun Maybank bernombor 158284021706 atas nama Mohd Reduan Saad.
Lelaki Bangladesh kahwini wanita lumpuh berusia 69 tahun sebelum dipercayai mempergunakan isterinya untuk mendaftarkan tiga syarikat yang dikaitkan dengan kegiatan menyediakan permit kerja palsu kepada warga asing.