Tiga tahun melayari bahtera perkahwinan, jaguh paralimpik kebanggaan negara, Datuk Abdul Latif Romly, bakal bergelar bapa tidak lama lagi. Melalui perkongsian isterinya, Datin Nurul Nabila Farhana Musaidi memaklumkan mereka bakal bergelar ibu dan bapa menerusi satu hantaran ringkas di media sosial miliknya.
“Love, mommy & daddy,” tulisnya bersama foto memaparkan mereka berdua.
Nurul Nabila berkongsi gambar berlatarkan pemandangan di tepi pantai, yang jelas menampakkan baby bump. Namun tidak dinyatakan usia kandungannya itu.
Ads
Menjengah ke ruangan komen di laman sosial Nabila pula, ia dihujani ucapan tahniah daripada rakan-rakan serta warganet yang teruja dengan berita gembira itu. Mereka menitipkan doa agar kehamilan Nabila dipermudahkan segala urusan sehingga melahirkan cahaya mata sulung berjalan lancar.
Ads
Pasangan ini mendirikan rumahtangga pada 13 Disember 2022. Lebih istimewa, mereka merupakan rakan sejak zaman persekolahan di Sekolah Menengah Syed Alwi, Kangar, Perlis.
Abdul Latif Romly menerima pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan sempena Hari Wilayah Persekutuan 2022 di Istana Negara.
Latif menghadiahkan pingat emas ketiga Malaysia dalam acara lompat jauh lelaki T20 di Stadium Olimpik Tokyo, tahun lalu sekali gus mengulangi pencapaian yang diraih di temasya sama di Rio 2016.
Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Pasir Gudang apabila jenazah pelajar Universiti Malaya (UM), Ahmad Arif Zawir Mohd Ali, 22, selamat dikebumikan tanpa kehadiran kedua ibu bapanya yang ketika itu masih berada di Mekah.
Arwah yang meninggal dunia selepas terjatuh dari kediaman kolejnya di UM, disemadikan dengan penuh hiba diiringi doa dan linangan air mata adik-beradiknya.
Abangnya, Ahmad Auf Mohd Ali, 35, berkata seluruh keluarga reda dengan ketentuan ini, meskipun sukar menerima hakikat bahawa ummi dan abah tidak dapat berada di sisi untuk memberikan penghormatan terakhir.
“Ummi dan abah kini berada di Mekah bertugas sebagai mutawif membawa jemaah umrah sejak 7 Oktober lalu. Mereka sempat mengikuti proses bedah siasat dan solat jenazah di UM pagi tadi menerusi penstriman langsung sebelum menaiki penerbangan pulang jam 2 petang tadi,” katanya sebak.
Difahamkan, kedua ibu bapa arwah, Mohd Ali Hashim, 63, dan Roslina A. Rahman, 61, dijangka tiba di KLIA sekitar 12.30 tengah malam.
Ahmad Auf, yang merupakan anak ketiga daripada sembilan beradik, berkata ibu bapanya berhasrat untuk pulang lebih awal bagi menatap wajah anak mereka buat kali terakhir, namun urusan penerbangan yang ketat di Tanah Suci menyebabkan niat itu tidak kesampaian.
“Mereka reda, sebab Arif pergi pada hari Jumaat, hari yang mulia. Tapi tetap terasa kehilangan itu… sebab ummi dan abah sangat rapat dengan dia,” katanya.
Jenazah Allahyarham disemadikan dengan penuh penghormatan dan doa, disaksikan oleh ahli keluarga serta sahabat terdekat.
7 Okt: Ibu bapa Allahyarham berangkat ke Tanah Suci sebagai mutawif.
Jumaat (hari kejadian): Allahyarham terjatuh di kolej kediaman UM; keluarga di Makkah dimaklumkan selepas solat Jumaat.
Sabtu (petang): Pengebumian di Mutmainnah Cahaya Masai.
Sabtu (2.00 ptg): Penerbangan ibu bapa pulang; tiba 12.30 tgh malam di KLIA (jadual baharu).
“Ibu akan sentiasa menyayangi dan merindui kamu, selalu…”
Itulah bait kata yang menggoncang jiwa seorang ibu yang kehilangan anak gadisnya dalam tragedi penuh tragis di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, semalam.
Dalam satu hantaran di Facebook, wanita itu meluahkan rasa rindu yang tidak bertepi terhadap pemergian anak perempuannya yang baru berusia 16 tahun anak yang selama ini menjadi sumber ketenangan dan kebanggaan keluarga.
“Dia seorang anak yang sangat penyayang, baik hati dan berdisiplin. Sejak kecil, dia tidak pernah membuat kami risau.
Dia sentiasa mengambil berat terhadap ibu bapa dan orang lain, serta tidak pernah meminta apa-apa daripada kami,” tulis si ibu, yang kini hanya mampu berbicara dengan bayangan memori.
Baginya, anak yang pergi itu bukan sekadar darah daging, tetapi cerminan kasih yang paling tulus.
“Anak seindah itu, namun ditimpa nasib yang begitu kejam. Saya benar-benar kehilangan kata-kata, hati saya amat sakit. Semoga dia berada dalam keadaan baik di dunia lain, semoga rohnya tenang dan bahagia.”
Luahan itu diakhiri dengan ungkapan yang meruntun hati.
“Ibu akan sentiasa menyayangimu dan merindui kamu, selalu.”
Dalam nada tenang yang menyembunyikan derita, wanita itu turut berterima kasih kepada semua yang mengirim doa dan kata semangat buat keluarganya yang kini berdepan kehilangan paling pedih dalam hidup.
Dalam kejadian sekitar jam 9.10 pagi kelmarin, pelajar perempuan berusia 16 tahun itu ditemui berlumuran darah dengan beberapa kesan tikaman pada badan. Polis kemudian menahan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dan merampas dua senjata tajam di lokasi kejadian.
Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menyeru seluruh wanita di Malaysia agar mengambil langkah berani dan bertanggungjawab terhadap kesihatan diri dengan menjalani pemeriksaan saringan barah payudara lebih awal, bukan hanya apabila gejala sudah muncul.
Baginda bertitah, tindakan kecil yang dilakukan secara berkala mampu memberi impak besar dalam menyelamatkan nyawa, sekali gus mengurangkan kadar kematian akibat penyakit berbahaya itu.
“Kanser payudara masih menjadi kanser utama dalam kalangan wanita di Malaysia dan antara penyumbang utama kepada kematian akibat kanser.
Saya amat prihatin apabila lebih separuh daripada kes masih dikesan pada peringkat lewat. Hal ini menunjukkan masih ramai wanita belum tampil untuk menjalani saringan awal,” titah baginda ketika merasmikan Larian Pink Ribbon di Dataran Wawasan, hari ini.
Pink Ribbon Run sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara (Pink October) 2025 di Dataran Wawasan, Putrajaya dibawakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama rakan strategik Majalah Nona, Mingguan Wanita, NCSM, UniSZA dan MHTC. Ia turut dihadiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Tengku Permaisuri Norashikin turut menyambut baik tema kempen kesedaran barah payudara tahun ini, “Bersatu Demi Wanita: Sebarkan Kesedaran, Selamatkan Nyawa”, di mana menurut baginda mencerminkan kekuatan, kasih sayang dan perpaduan seluruh masyarakat dalam melindungi wanita daripada ancaman penyakit tersebut.
“Saya percaya, dengan usaha berterusan seperti ini serta sokongan menyeluruh daripada semua pihak, matlamat untuk mengurangkan kematian akibat kanser payudara seperti yang digariskan dalam Global Breast Cancer Initiative akan dapat dicapai.”
Baginda turut menzahirkan rasa bangga melihat penyertaan lebih 900 peserta dalam acara larian berkenaan yang datang daripada pelbagai lapisan masyarakat. Satu simbol solidariti terhadap perjuangan wanita melawan barah payudara.
Dalam titahnya, baginda berharap semangat perjuangan itu tidak terhenti di bulan Oktober sempena Bulan Kesedaran Barah Payudara, tetapi diteruskan sepanjang tahun agar usaha pendidikan dan saringan dapat diperkasa secara berterusan di seluruh negara.
“Teruskan memberi sokongan kepada wanita yang sedang berjuang melawan barah payudara. Hargai keberanian dan kekuatan mereka .jadikan mereka sumber inspirasi kepada kita semua,” titah baginda penuh makna.
Pada majlis yang sama Tengku Permaisuri Selangor berkenan menyampaikan Anugerah Inspirasi Cancer Survivor Nona 2025 kepada Puan Sarlinawati Abd Mues, Puan Azlinda Tammatulmadzi, Puan Noor Afifah Abdul Razak dan Puan Nurul Munirah Mohd Sobri (diwakili ibu, Nur KarinaCheong Binti Abdullah).
Tengku Permaisuri Norashikin turut merakamkan penghargaan kepada KKM, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta, media dan institusi pendidikan atas komitmen mereka dalam memperkukuh kesedaran masyarakat tentang kepentingan pengesanan awal.
“Kejayaan kempen ini hanya dapat dicapai melalui semangat bersatu hati dan tanggungjawab bersama,” titah baginda menutup bicara.