Menjadi rutin seorang wanita dalam menguruskan rumah tangga seperti membersihkan rumah dan sebagainya. Namun siapa sangka rutin yang biasa dilakukan tiba-tiba memudaratkan sehingga menyebabkan kulit pada jari-jemari menggelupas teruk sehingga berair dan berbau. Itulah yang dialami oleh Zaiazrein Akhmar Zainal Abidin, 27, yang berasal dari Nilai, Negeri Sembilan.

Menjadi kebiasaan untuknya membersihkan bilik air di rumah, mungkin itu hendak dijadikan penyebab, dengan tidak semena-mena selepas melakukan kerja tersebut, jari-jarinya ditumbuhi bintik-bintik air yang memberikan rasa gatal yang tidak terhingga. Sangkanya mungkin hanya dijangkiti kulat air biasa, tapi ia sebenarnya adalah salah satu jenis penyakit ekzema.

“Masa mula-mula kena tu saya cuci bilik air dan itu mungkin salah satu penyebab. Lepas itu terus terasa gatal dan naik bintik-bintik air. Suami saya cakap mungkin disebabkan pakai cincin. Lama-kelamaan ia makin teruk dan merebak kepada 10 jari tangan saya.

Lepas Basuh Tandas, Jari Tangan Wanita Ini Gatal Teruk Hingga Busuk Dan Berair
Keadaan jari tangan Akhmar yang berair dan berbau

“Saya ingatkan ini jangkitan kulit yang biasa jadi saya hanya ke farmasi untuk dapatkan ubat. Menurut pekerja di farmasi yang saya pergi itu, saya terkena jangkitan kulat air, jadi dia sarankan untuk saya beli krim. Saya pakai krim yang dibeli di farmasi, ia jadi lebih kering begitu juga dengan losen tangan, ia seakan tidak berfungsi malah memudaratkan lagi keadaan kulit saya yang sedia ada. Saya selalu basuh tangan dan pakai sarung tangan untuk elakkan jari bersentuhan dengan benda-benda lain. Tambahan pula ia memang menyakitkan.

Menurut Akhmar, dalam keluarganya memang tiada yang pernah menderita dengan penyakit ekzema sepertinya. Justeru keadaan itu sedikit sebanyak membuatkan dirinya tertanya-tanya apakah punca sebenar.

Rawatan di lima klinik

Risau dengan keadaan jari tangan yang semakin hari semakin teruk, Akhmar tidak hanya duduk dan menunggu jari-jarinya sembuh sendiri. Sudah tiga klinik kulit yang dikunjungi, namun hasilnya masih sama, malah keadaan semakin teruk.

“Dalam tempoh setahun lepas keluar semua air-air, ia berjangkit ke 10 jari-jari saya. Ia mula merekah membengkak yang akhirnya kulit yang sudah agak rapuh itu membuatkan jari-jari saya senang berdarah.

IKLAN

“Bukan setakat itu sahaja, kulit yang mudah tanggal dan berdarah itu buatkan saya hilang mood untuk memandu sendiri dan juga buat kerja-kerja rumah yang lain termasuklah memasak.  Anak pun saya takut nak pegang risau berjangkit pada anak yang masih kecil itu. Sampai satu tahap saya tak berani makan makanan laut sebab ingatkan benda ini berlaku kerana alergik dengan makanan tersebut.

“Bukan sahaja ke farmasi, malah saya turut ke klinik pakar kulit untuk dapatkan rawatan. Masa pergi klinik pakar kulit, ada doktor yang berpendapat kemungkinan ia adalah kesan ubat bius yang masih belum keluar sepenuhnya dari badan saya ketika bersalin dua tahun yang lalu. Pendapat itu dibuat berdasarkan cerita saya tentang penyakit gatal-gatal di kaki selepas melahirkan anak suatu masa dahulu. Saya fikir mungkin ada benarnya juga. Tapi ubat yang diberi selepas ke klinik-klinik berkenaan masih tidak menunjukkan tanda-tanda untuk sembuh.

“Tak dinafikan memang banyak belanja yang saya keluarkan utnuk penyakit kulit yang saya hidapi ini. sampai satu tahap bila suami ajak untuk dapatkan rawatan di klinik pakar kulit yang tular saya menolak kerana hampir berputus asa dengan keadaan jari tangan saya. Kalau nak ikutkan tiga klinik pakar dan dua klinik biasa yang saya kunjungi untuk berubat tapi keadaan masih lagi sama.”

Lepas Basuh Tandas, Jari Tangan Wanita Ini Gatal Teruk Hingga Busuk Dan Berair
Setelah hampir setahun menderita, jari tangan Akhmar kini beransur sembuh

Akhirnya penderitaan berakhir

Pelbagai usaha yang telah dilakukan namun semuanya tidak menunjukkan tanda untuk sembuh. Hampir setahun Akhmar menanggung derita dengan penyakit kulit yang masih tidak sembuh-sembuh. Akhirnya desakan suami untuk ke Hospital Columbia Asia, Seremban menjadi penyelesaian buat penyakit yang hampir setahun ditanggung oleh Akhmar.

IKLAN

“Akhirnya suami ajak saya untuk ke Hospital Columbia Asia di Seremban 2, dan Alhamdullilah semuanya dipermudahkan. Saya bertemu doktor yang tepat untuk merawat ekzema yang saya alami dan akhirnya penderitaan saya bakal berakhir.

Ekzema Dyshidrotik Dermititis

Rawatan yang diterima daripada pakar Dermatologi di hospital tersebut iaitu Dr. Najeeb Ahmad Safdar menunjukkan kesan yang positif. Lima hari dimasukkan ke wad, penyakit ekzema yang dihidapi Akhmar dikenal pasti sebagai Dyshidrotik Dermititis perlahan-lahan mula sembuh.

“Akhirnya apa yang berlaku kepada saya terjawab. Saya mengalami ekzema yang dikenali sebagai Dyshidrotik Dermititis. Menurut doktor ekzema jenis ini biasanya menghasilkan lepuhan kecil dan kegatalan di tepi-tepi jari dan kaki. Gejalanya dapat dilihat seperti lepuhan kecil berisi air, kegatalan, merah, kupas, bersisik dan juga berasa sakit. Dan biasanya kaum wanita lebih mendapat daripada kaum lelaki,” ceritanya tentang ekzema yang dihidapinya itu.

IKLAN

Dimasukkan ke wad selama lima hari, keadaan Akhmar semakin bertambah baik. Kulitnya perlahan-lahan sembuh dan sehingga kini dia masih lagi mendapatkan rawatan susulan dari hospital tersebut.

“Saya dimasukkan ke wad selama lima hari. Dalam 5 hari itu tangan yang dahulu berair dah kering dah tak mcam dulu lagi dan jari perlahan-lahan kembali seperti biasa. Kalau sebelum ini jari-jari saya bengkak dan putih disebabkan ekzema itu, sekarang ia sudah kemerahan dan kembali seperti biasa. Cuma ada

“Dalam masa 10 hari Nampak perubahan, bila dah warded dan diberi rawatan di hospital barulah saya Nampak perubahan dekat kulit jari saya. Hari kedua rawatan tu saya dah tak gatal-gatal seperti sebelumnya,” ujarnya penuh kesyukuran.

Menurut doktor yang merawat Akhmar juga, punca sebenar penyakit yang dialami olehnya bukanlah berpunca daripada makanan.

“Doktor juga ada cakap ekzema yang saya alami ini bukan disebabkan oleh makanan. Tapi sebab darah dalam badan. Ia mungkin berpunca daripada sabun yang saya gunakan di rumah seharian. Doktor juga beritahu ekzema ini akan berulang kembali kalau kita tak jaga apa yang kita pegang apa yang kita sentuh. Jadi untuk mengelakkan perkara sama berulang, kini saya mengambil langkah berjaga-jaga saya memang tak pakai sabun biasa dan hanya menggunakan sabun yang disarankan oleh doktor sahaja kerana bimbang jangkitan tersebut akan berulang semula. Kalau basuh baju pun saya akan gunakan sarung tangan. Pencucui pinggan mangkuk pun saya gunakan yang baik untuk kulit sahaja. Alhamduliilah setelah berhenti menggunakan sabun-sabun biasa saya dapat lihat ada perubahan.”

Lepas Basuh Tandas, Jari Tangan Wanita Ini Gatal Teruk Hingga Busuk Dan Berair
Suami banyak beri sokongan dari segi moral dan kewangan ketika Akhmar menderita ekzema yang teruk

Sehingga kini Akhmar masih lagi mendapatkan rawatan susulan dari hospital yang sama. Doktor menasihatkan supaya Akhmar mengambil langkah berjaga-jaga selama setahun supaya penyakit ini tidak berulang lagi.

Turut meninggalkan pesanan kepada orang ramai di luar sana, saran Akhmar jika ada tanda sepertinya segeralah berjumpa dengan doktor pakar agar ia dapat dirawat tanpa menunggu lama.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI