Baru celik tengok dunia, ada yang sanggup tinggalkan bayi dalam surau. Apa salah anak ini, sehingga jadi mangsa orang dewasa yang mahu selesaikan masalah hidupnya dengan cara begini.
Menurut laporan siasatan, polis Daerah Johor Bahru Selatan mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di sebuah surau di Taman Daya pada tengah hari 7 Jun lalu.
Lelaki Tinggalkan Bayi Dalam Surau
Menurut polis, bayi tersebut ditemui oleh seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun ketika datang ke surau berkenaan untuk menunaikan solat sekitar jam 12 tengah hari. Saksi kemudian menghubungi pihak polis dan hospital untuk tindakan lanjut.
Siasatan awal mendapati seorang individu dipercayai lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an telah meletakkan bayi tersebut di kawasan berhampiran tabung surau sebelum beredar dari lokasi.
Ads
Pemeriksaan oleh pegawai perubatan mendapati bayi lelaki itu berada dalam keadaan baik, stabil dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kasihan Si Kecil Jadi Mangsa Orang Dewasa
Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana meninggalkan atau mendedahkan kanak-kanak. Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Ads
Polis kini sedang giat mengesan individu yang terlibat dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan melalui talian hotline 07-2182323.
Dalam hal ini, polis menyeru masyarakat agar menggunakan saluran bantuan yang tersedia sekiranya berdepan masalah atau kesukaran, demi memastikan kebajikan dan keselamatan kanak-kanak sentiasa terpelihara.
Perdebatan mengenai identiti, budaya dan pemakaian wanita Melayu sering menjadi topik yang hangat diperkatakan dalam masyarakat. Antara isu yang sering dibangkitkan ialah sama ada pemakaian tudung dan hijab merupakan budaya asal masyarakat Melayu atau sekadar pengaruh luar yang muncul pada era moden.
Hakikatnya, jika diteliti melalui pelbagai manuskrip lama, catatan pengembara asing serta rekod sejarah Nusantara, terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa wanita Melayu telah lama mengamalkan pemakaian yang sopan serta menutup aurat sejak berabad-abad dahulu.
Malah, amalan bertudung dalam kalangan wanita Melayu dikatakan telah berkembang seiring dengan proses Islamisasi yang berlaku di Alam Melayu sejak zaman Kesultanan Melaka.
Walaupun bentuk dan gaya pemakaiannya berbeza mengikut zaman, prinsip menutup kepala dan menjaga aurat sudah menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat Melayu Islam.
Menurut kajian sejarah, pemakaian tudung dalam kalangan wanita Melayu pada peringkat awal lazimnya menggunakan kain sarung, kain tenunan atau kain pelekat yang besar.
Kain tersebut akan diletakkan di atas kepala dan dilabuhkan sehingga ke dada sebelum dipegang di bahagian bawah dagu.
Penampilan itu menjadikan ia kelihatan seperti tudung atau jilbab yang dikenali pada hari ini.
Selain istilah tudung, masyarakat Melayu juga menggunakan pelbagai istilah lain seperti selendang, kerubung, selubung, kelumbung, selayah dan layah bagi merujuk kepada penutup kepala wanita.
Dalam budaya Melayu Islam, pakaian bukan sekadar melindungi tubuh tetapi turut mencerminkan nilai kesopanan dan maruah seseorang.
Sebab itu, wanita Melayu sejak dahulu sangat sinonim dengan baju kurung dan penutup kepala sebagai lambang identiti diri.
Menariknya, bukti mengenai cara berpakaian wanita Melayu turut direkodkan oleh beberapa pengembara dan penulis Barat yang pernah datang ke Nusantara.
Antara yang sering dirujuk ialah Ludovico Di Varthema, seorang pengembara Itali yang melawat Melaka sekitar tahun 1506.
Dalam catatannya, beliau menggambarkan pakaian orang Melayu ketika itu mempunyai persamaan dengan masyarakat Islam di Kaherah, Mesir.
Menurut beberapa pengkaji sejarah, catatan tersebut dipercayai merujuk kepada pakaian wanita Melayu yang dilihat di pasar-pasar Melaka ketika era Kesultanan Melayu Melaka.
Selain itu, penulis lain seperti Salih Jaudat pada tahun 1908 turut mencatatkan bahawa wanita Melayu mengenakan kain sarung sebagai pakaian dan penutup kepala sehingga hanya bahagian mata kelihatan.
Catatan yang hampir sama turut direkodkan oleh beberapa penulis Eropah lain termasuk Joyce Thomas Athol, John Frederick Adolphus McNair dan R.O. Winstedt.
Mereka menggambarkan wanita Melayu sebagai golongan yang mengenakan pakaian labuh serta menggunakan kain sebagai pelindung kepala ketika berada di luar rumah.
Sejak proses Islamisasi berkembang di Alam Melayu, baju kurung dan tudung menjadi antara pakaian yang paling sinonim dengan wanita Melayu.
Pakaian tersebut bukan sahaja memenuhi tuntutan kesopanan, malah menjadi simbol budaya yang diwarisi daripada satu generasi ke generasi berikutnya.
Walaupun Tanah Melayu pernah dijajah oleh kuasa Barat seperti Portugis, Belanda dan British, identiti pakaian wanita Melayu masih kekal bertahan dalam masyarakat.
Malah, banyak foto dan rekod awal abad ke-20 menunjukkan wanita Melayu masih mengenakan baju kurung labuh dan penutup kepala dalam kehidupan harian mereka.
Ini menunjukkan bahawa budaya berpakaian sopan bukan sesuatu yang baharu diperkenalkan, sebaliknya telah lama berakar dalam kehidupan masyarakat Melayu Islam.
Memasuki dekad 1960-an dan 1970-an, masyarakat Malaysia mula menerima pengaruh fesyen Barat yang lebih moden.
Namun pada masa yang sama, muncul gerakan dakwah yang aktif dalam kalangan mahasiswa dan golongan intelektual yang mengajak masyarakat kembali memahami Islam sebagai cara hidup.
Antara organisasi yang memainkan peranan besar ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Melalui gerakan ini, semakin ramai wanita Melayu mula memakai tudung secara lebih meluas dan terbuka.
Menurut Prof. Dr. Khalijah Salleh yang pernah menjadi pemimpin wanita ABIM, pemakaian tudung pada peringkat awal menerima pelbagai tentangan dan sindiran.
Namun hasil kesedaran yang semakin berkembang, pemakaian tudung akhirnya diterima secara meluas sehingga menjadi norma dalam masyarakat hari ini.
Sejarah menunjukkan bahawa identiti wanita Melayu sentiasa berkembang mengikut zaman tanpa meninggalkan akar budaya dan nilai agama yang menjadi asas kehidupan masyarakat.
Perbincangan mengenai pakaian dan hijab tidak seharusnya dilihat secara sempit, sebaliknya perlu difahami dalam konteks sejarah, budaya dan perkembangan masyarakat Melayu itu sendiri.
Apa yang pasti, pelbagai catatan lama membuktikan bahawa wanita Melayu mempunyai tradisi berpakaian sopan yang panjang dan kaya dengan nilai peradaban.
Memahami sejarah ini bukan sekadar mengenang masa lalu, tetapi membantu generasi hari ini menghargai warisan yang telah membentuk identiti masyarakat Melayu sejak berabad-abad lamanya.
Dalam kehidupan berkeluarga, cinta bukan selamanya indah seperti yang diimpikan. Ada ketika, hubungan yang dibina atas dasar kasih sayang akhirnya bertukar menjadi medan ujian paling menyakitkan. Itulah realiti yang cuba dibawakan menerusi Ikatan Terlarang, drama Astro terbaru yang bakal menemui penonton bermula 8 Jun ini.
Drama Ikatan Terlarang hadir dengan jalan cerita yang dekat dengan kehidupan masyarakat hari ini, khususnya mengenai konflik rumah tangga, pengkhianatan dan kekuatan seorang wanita untuk bangkit semula selepas dihancurkan oleh orang yang paling dipercayai.
Menampilkan gandingan mantap Erysha Emyra dan Hisyam Hamid, drama ini dijangka menjadi antara drama Astro terbaru yang paling mencuri perhatian penonton tahun ini.
Watak utama, Azura yang dilakonkan oleh Erysha Emyra digambarkan sebagai seorang wanita dan ibu yang berdepan ujian besar dalam kehidupannya. Apa yang bermula dengan kebahagiaan rumah tangga akhirnya bertukar menjadi mimpi ngeri apabila rahsia dan konflik mula terbongkar satu demi satu.
Dalam drama Ikatan Terlarang, Azura bukan sekadar wanita yang menangis dan meratapi nasib. Sebaliknya, dia dipaksa untuk menjadi lebih kuat demi mempertahankan dirinya sendiri dan keluarganya.
Lakonan penuh emosi Erysha Emyra dijangka memberi impak besar kepada penonton, terutama wanita yang pernah melalui episod sukar dalam rumah tangga. Watak Azura juga membawa mesej bahawa wanita tidak seharusnya terus tenggelam dalam kesedihan, sebaliknya perlu mencari kekuatan untuk bangkit semula.
Sementara itu, Hisyam Hamid pula membawakan watak Lukman, seorang suami yang berdepan konflik antara cinta, kepercayaan dan pengkhianatan.
Gabungan Erysha Emyra dan Hisyam Hamid berjaya menghidupkan emosi dalam setiap konflik yang berlaku. Hubungan mereka dalam drama ini tidak hanya memaparkan kisah cinta biasa, tetapi turut menyentuh isu kepercayaan, ego dan luka emosi yang sering berlaku dalam realiti rumah tangga masa kini.
Selain dua pelakon utama itu, drama Ikatan Terlarang turut dibintangi Mawar Rashid, Adriana Adnan, Alif Hadi dan Raja Azura yang masing-masing membawa kekuatan tersendiri dalam penceritaan drama ini.
Apa yang membezakan Ikatan Terlarang dengan drama lain ialah keberanian naskhah ini mengetengahkan perjalanan emosi seorang wanita yang perlahan-lahan mencari semula dirinya selepas diuji.
Drama ini bukan sekadar tentang cinta dan perkahwinan, tetapi juga mengenai keberanian seorang wanita untuk memilih dirinya sendiri selepas terlalu lama bertahan dalam hubungan yang menyakitkan.
Konflik yang dipaparkan juga terasa sangat dekat dengan masyarakat hari ini. Sebab itu, ramai percaya Ikatan Terlarang berpotensi menjadi antara drama Melayu 2026 paling trending di media sosial.
Selain jalan cerita yang berat dan emosional, visual drama ini juga dijangka mampu menarik perhatian penonton dengan sinematografi yang lebih matang dan moden.
Bagi peminat drama berat penuh emosi dan konflik kekeluargaan, Ikatan Terlarang pastinya wajib masuk dalam senarai tontonan anda.
Drama ini akan mula bersiaran pada 8 Jun, setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam menerusi Astro One dan juga platform penstriman sooka.
Dengan jalan cerita yang relatable, lakonan penuh penghayatan serta mesej tentang kekuatan wanita, tidak mustahil Ikatan Terlarang bakal menjadi antara drama paling diperkatakan tahun ini.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kemalangan ngeri yang meragut enam nyawa di Kampung Baru Pinang Tunggal meninggalkan kesan mendalam buat seorang wanita, Siti Nur Atikah Ahmad Shukri, 40.