Laungan “Justice For Zara” bergema di himpunan solidariti depan Sogo. Laungan “Justice For Zara” bergema di pekarangan pusat beli-belah Sogo di ibu kota pada Sabtu malam, apabila orang ramai berkumpul bagi menyatakan solidariti terhadap kes yang menimpa seorang pelajar sekolah menengah di Papar, Sabah.
Himpunan itu mula dipenuhi peserta seawal jam 8 malam, dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat termasuk aktivis yang mahu menunjukkan sokongan terhadap keluarga mangsa.
Pihak keselamatan turut kelihatan menjalankan rondaan dan pemantauan sekitar kawasan himpunan bagi memastikan keadaan terkawal serta aman sepanjang berlangsungnya perhimpunan tersebut.
Beberapa aktivis masyarakat mengambil peluang menyampaikan ucapan solidariti, menegaskan bahawa pelajar berusia 13 tahun itu perlu mendapat pembelaan sewajarnya. Orang ramai yang hadir juga dilihat memegang plakad dengan tulisan seperti ‘Justice For Zara Qairina’ dan ‘Kami Tolak Buli’ sambil melaungkan slogan tersebut berulang kali.
Untuk rekod, Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah, ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolah sekitar jam 4 pagi pada 16 Julai lalu. Beliau kemudiannya dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, namun disahkan meninggal dunia pada 17 Julai.
Pihak polis tidak menolak kemungkinan insiden itu ada kaitan dengan perbuatan buli, dan sehingga kini lebih 80 saksi termasuk pelajar telah dipanggil memberi keterangan.
Sementara itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan bahawa satu prosiding penuh inkuiri akan dijalankan di Mahkamah Koroner bagi menentukan punca sebenar kematian.
Sumber: Sinar Harian (Foto: Muhammad AminnurAliff Mohd Zoki)
Baca artikel lain juga: Himpunan Solidariti Buat Zara Qairina, Bergema Laungan Tuntut Keadilan
Solat Hajat Untuk Zara Qairina, Ribuan Hadir Di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu
Zara Qairina Memang Terjun Sendiri, Doktor Buat Kenyataan Melulu, Keluarga Bakal Saman
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE