Latah Tiada Kaitan Dengan Gangguan Jin Atau Saka, Ustaz Senarai 8 Cara Merawat

Latah atau melatah ini bukan dibuat-buat. Pelatah boleh keluarkan perkataan atau lakukan perbuatan tak disengajakan akibat terkejut. Ada juga yang anggap disebabkan gangguan jin atau saka.

Bagi memperbetulkan anggapan di atas, Ustaz Wan Asrul Al-Kalantani (sang faqir) jelaskan tabiat latah ini tiada kaitan dengan gangguan jin apatah lagi saka. Malah melatah ini sebenarnya boleh dipulihkan dengan 8 cara yang disenaraikan oleh ustaz seperti di bawah.

Latah Tiada Kaitan Dengan Gangguan Jin, Saka Atau Sihir

MELATAH bukan penyakit mental.
Melatah juga TIADA KAITAN dengan Saka atau Jin apatahlagi sihir.
Ianya adalah masalah ‘Dorongan Tabiat’ atau juga ‘ Tekanan Karakter’.

Sama seperti tabiat mengenyit-kenyitkan mata. Menyengetkan hidung. Menggaru kepala semasa sedang berfikir, menggigit kuku hingga rapat ke isi tanpa sedar, memakan bahan kumuh dari hidung setelah mengoreknya dan lain-lain lagi. Orang kampung sang faqir menggelarkan ini sebagai Culture Bound Syndrome.

 

Latah Bukan Penyakit Mental Apalagi Saka, Boleh Pulih Dengan Rawatan Ini
Latah juga boleh membuatkan pelatah berasa kepenatan selepas melatah.

8 Cara Rawat Latah Pada Diri Seseorang

Ada beberapa kaedah dalam menangani Latah ini.

Antaranya :

1. Lazimkan membaca Al Quran setiap hari, jadikan rutin. Bahan bacaan lain, tidak boleh kah? Boleh. Tetapi Al Quran diutamakan. Kenapa ya? Kerana membaca Al Quran perlu dengan Tartil dan Tadabbur. Setiap satu huruf ada makhraj dan sifat.

IKLAN

2. Lazimkan mandi sebelum fajar. Ianya membantu menyegarkan tubuh dan sama sekali minda.

3. Lakukan senaman pernafasan.

4. Elakkan pengambilan sebarang gula putih. Kebanyakan orang yang melatah berhadapan dengan masalah ketagih makan atau minum benda manis, samada air gas ataupun air minuman kopi 3 in 1. Jika tabiat ini mampu dikurangkan, mereka sudah mampu mengurangkan lebih dari suku risiko melaratnya latah mereka.

5. Tidur yang cukup. Hormon melatonin amat berkaitan dengan latah. Perembesan hormon yang tidak betul, iaitu tidur malam dalam cerah ataupun tidak cukup tidur akan membawa faktor dorongan tabiat dan tekanan karakter bertambah, watak mereka akan semakin bervariasi kerana kortisol sering ‘dipasang’.

Lazimnya juga, kortisol jenis ini boleh dilihat pada lelaki yang terserlah sifat kewanitaan serba sedikit. Ada huraian lain tentang ini. Bakal menyusul.

IKLAN

Lagi Tip Tangani Melatah

6. Betulkan semula hal berkaitan dengan pencernaan dan penghadaman. Rata-rata orang yang melatah berhadapan samada dengan sembelit, buasir, gastrik atau gerd. Jika hal ini dapat diperelokkan, maka mereka sedang menurunkan lebih dari suku risiko bertambahnya watak mereka.

7. Orang melatah pantang digelikan, mereka jenis dari yang mudah geli. Reseptor terlebih sensitif. Cara lainnya adalah, mandi sebelum fajar. Amat membantu.

8. Paling utama, jangan hidupkan ‘suis’ mereka. Dengan cara menepuk, mencuit, menyergah dan sebagainya, dengan niat untuk mengusik mereka.

 

Latah Bukan Penyakit Mental Apalagi Saka, Boleh Pulih Dengan Rawatan Ini
Orang latah kena tidur secukupnya untuk bantu tangani masalah latah.

Orang Sekeliling Pun Kena Bantu Pelatah.. Bukan Lagi Dorong Mereka

Sang faqir tidak pasti jika orang melatah rasa bangga dengan reaksi mereka. Cuma, bagi sang faqir watak si pelatah tersebut adalah suatu yang mengaibkan, malahan akan memalukan orang lain juga.

IKLAN

Cuba bayangkan, yang melatah itu adalah ibu kita, dan orang mengusik serta mentertawakan ibu kita di hadapan khalayak, tidak cukup dengan itu, mereka membuat rakaman video, dan menyebar tular akannya ke ruangan alam maya sehingga seluruh pelusuk dunia mampu melihatnya. Ini AIB.

Anda ketawa, mereka sengsara. Ini tidak adil!!(baca dengan gaya Abdul Wahhub menepuk kerusi)

Kerjasama dari orang sekeliling sebenarnya amat membantu orang melatah untuk singkirkan dorongan tabiat dan tekanan karakter yang ditanggung mereka.

Sang faqir benci melihat orang mempergunakan kelemahan orang lain untuk mengaibkan mereka. Ini bukan ajaran Islam. Bergurau ada caranya. Bukan bergurau biawak (ggura bewok) bak kata orang Kelantan.

Kesimpulannya, jika ada orang cop Latah ini sebagai gangguan jin atau saka, sila berikan ‘starlight’ pada dahi tukang cop itu dengan pantas dan cepat sehingga mereka tidak sedar mereka telah di’starlight’.

Hidup di dunia bukan tujuan hendak perbodohkan orang. Jika tidak boleh beri manfaat, jangan pula timbulkan mudarat. Titik.
-AFIWAAK-

Sumber/Foto : Wan Asrul Al-Kalantani

Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI