
Ini bukan kes tak percaya tetapi kena gigih juga pantau whatsapp pasangan sebab takut ada gambar mengarut yang orang hantar dalam group tertentu.
Haa… jangan tak tahu ya, cara orang dah kahwin main whatsapp agak pelik sikit! Konon nak bergurau tetapi kadang agak memalukan dan menyakitkan mata. Kalau buatnya tetiba ank buka phone mak ayah, macam mana?
Tak ke haru jadinya!?
Jadi tak kira suami atau isteri, tolong pantau phone pasangan kita setiap hari. Andai ada yang rasa benda ini tak memburukkan hubungan rumah tangga, jemput baca perkongsian saudara Muhammad Ahmad ini…
Bergurau Dalam Group Whatsapp
Tuan puan. Tidak kiralah kita ini suami orang atau isteri orang. Tetap tidak boleh ‘bergurau senda’ dalam group whatsapp. Tetap tidak boleh kongsi gambar dedahkan aurat.
Saya pun hairan. Tidak malu kah seorang wanita bergelar isteri orang berbalas mesej berunsurkan lucah dengan suami orang.
Malam tadi saya kena remove dalam satu group. Entah macam mana kawan saya add.(group bisnes)
Saya tegur beberapa kenalan. Tidak boleh kita isteri orang bercerita tentang hal ‘dalam kain’ kepada suami orang. Bukan main galak lagi mereka bersembang. Si lelaki lagilah melayan. Dalam group tersebut juga ramai lelaki bujang.
Bila ditegur kata kita tidak ‘sporting’. Amboi takkan nak ‘sporting ’ sehingga bebas berkata-kata, bergurau senda dengan lelaki orang?
Saya teringat satu hadith:
Abu Said al-Khudri berkata. Berkata Rasulullah:-
إِنَّ مِنْ أَشَرِّ النَّاسِ عِنْدَ اللَّهِ مَنْزِلَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ الرَّجُلَ يُفْضِي إِلَى امْرَأَتِهِ وَتُفْضِي إِلَيْهِ ثُمَّ يَنْشُرُ سِرَّهَا
“Seburuk-buruk manusia dipandangan Allah pada hari Kiamat ialah suami yang melakukan hubungan intim dengan isterinya kemudian menceritakan keintimannya kepada orang lain” [Hadith riwayat Muslim no: 1427.
Lihat juga firman الله dalam surah Al-Ahzab Ayat 32.⤵️
Tolong Pantau Whatsapp Pasangan
Tuan puan. Pantaulah whatsapp pasangan kita. Bukan hanya pantau HP anak sahaja. Dengan anak bukan main lagi larang ada HP takut terjebak dengan pornografi, tapi mak ayah sendiri bebas berkongsi gambar berunsurkan lucah.
Pasangan juga kita perlu pantau. Sebelum mereka leka dan terjebak dengan pornografi. sekurangnya kita dapat mencegah dari awal.
Saya tidak bersetuju jika ada yang melarang sport check HP pasangan. Kenapa perlu ada jurang antara kita? Apa yang mahu disembunyi kan?
Ingatlah maksiat menjauhkan kita dari Rahmat الله.
Maksiat akan memusnahkan institusi kekeluargaan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kalau Kita Dah Meninggal, Nak Anak-anak Ingat Maknya Jenis Macam Mana?

Nak mendidik memang tak mudah, silap gaya mungkin anak-anak langsung tak rasa rindu pada mak ayahnya.
Ini bukan dikira bila mak ayahnya sudah tiada tetapi nampak jelas sesudah anak-anak berumah tangga dan ada kehidupan sendiri.
Kalau berjaya mendidik, anak-anak tak lupa mudah apa yang pernah dia lalui sepanjang zaman anak-anaknya.
Sebab itulah pentingnya cara mendidik anak-anak, seperti yang ditekankan dalam perkongsian Puan Farhana Muhammad, sedikit ilmu yang diperoleh daripada Ustazah Norhafizah Musa, betapa pentingnya mencipta teladan yang baik depan anak-anak.
Gambaran Yang Baik Untuk Anak-anak
Bayangkan macam mana kita melihat mak kita sendiri. Dari kita kecil lagi, kita boleh nampak gambaran mak ayah kita.
Kata ustazah, mak ustazah memang sangat rajin baca Al-Quran. Ia dipuji oleh suaminya. Ayah ustazah selalu puji mak ustazah depan anak-anak tentang Al-Quran.
“Abah berterima kasih kepada mak kerana mak telah memberikan penekanan Al-Quran kepada anak-anak sejak kecil lagi.”
Ustazah cakap, dari sekarang dia boleh bayangkan mak mereka macam mana. Dari usia 4 tahun, balik tadika mak akan suruh baca Al-Quran. Lepas Asar, baca Al-Quran. Lepas Maghrib, baca Al-Quran. Lepas Isyak, baca Al-Quran. Bukan disebabkan murid yang rajin, tetapi gurunya yang rajin.
Lepas Subuh, mak tak buka telekung. Mak cuma lilit telekung ke belakang untuk siapkan anak-anak ke sekolah. Di anjung masih kelihatan sejadah masih terbentang (dari Subuh lagi) bersama Al-Quran dan bantal (tempat letak Al-Quran). Masa kecil ustazah tidak faham kenapa mak tidak simpan sejadah. Lepas anak-anak berangkat ke sekolah, mak kembali mengaji di sejadahnya. Kemudian solat sunat dua rakaat. Selesai semua itu, barulah mak buka telekung dan sambung kerja yang lain.
Bila ustazah dewasa, baru ustazah faham apa yang mak buat. Jumpa sebuah hadith, “Barangsiapa solat Subuh berjemaah di masjid, diikuti dengan zikrullah sehingga matahari naik (waktu syuruk), lepas 15 minit solat sunat Isyraq 2 rakaat. Barangsiapa melakukan sedemikian, maka untuknya pahala haji dan umrah sempurna.”
Kata ustazah, mak tak pernah ajar semua itu. Gambaran yang mak titipkan ke dalam memori kita sejak kecil lagi. Apabila sudah besar, baru terjawab. ‘Patutlah mak tak buka telekung selepas Subuh.’
‘Mak rajin sungguh baca Al-Quran.’
‘Bibir mak tak putus dengan zikrullah.’
Sekarang cuba bayangkan, apa yang anak kita bayangkan tentang kita?
Jangan sehingga kita sudah meninggalkan dunia ini, jam 2 petang hari Sabtu, boleh anak kita cakap mengenai kita, “Ni kalau ada mama ni, sama-sama tengok Hindustan dengan mama ni.”
Bila tengok cerita korea, anak teringat akan mamanya yang teresak-esak setiap kali menonton cerita korea.
Agak-agak apa bayangan anak kita apabila kita sudah meninggal?
Mama yang kuat tidur? Mama yang kuat makan? Mama yang suka marah? Atau.. mama yang suka sujud? Mama yang kuat ibadah? Mama yang kuat doa? Mama yang mulia akhlaq?
Apa Yang Anak-anak Akan Ingat Tentang Mak Ayah
Hari ini kita ‘tolong’ bayangkan apa yang anak-anak kita bayangkan mengenai kita nanti. Apabila kita sudah memikirkan sedemikian, bermakna kita sedang mempersiapkan diri untuk qudwah hasanah anak-anak. Jika kita tidak buat sekarang, anak-anak kita tidak ada bayang tentang semua itu.
Tonjolkan diri kita sekarang supaya kita menjadi aura, qudwah kepada anak-anak. Pertontonkan kepada anak-anak macam mana menjadi soleh dan solehah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bertemu Jodoh Dengan Lelaki 22 Tahun Lebih Muda, Mak Mentua Tak Restu…

Jodoh adalah rahsia Allah. Kita tak tahu siapakah jodoh kita. Kadangkala, jodoh itu dengan individu yang usianya lebih separuh daripada usia kita sendiri!
Ikuti pengakuan daripada seorang wanita yang telah bertemu jodoh dengan lelaki yang berusia 22 tahun lebih muda daripada dirinya dan mendapat tentangan hebat daripada keluarga si lelaki terutama mak mentua. Ikuti pengakuannya kepada Puan Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor dan juga penulis tetap ruangan YA TUHAN di dalam MAJALAH MINGGUAN WANITA.
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah sentiasa. Sukar untuk saya kongsikan kisah peribadi saya ini namun saya gagahi jua untuk berkongsi agar menjadi panduan untuk wanita di luar sana yang mungkin menghadapi masalah yang sama dengan saya. Setahun lepas, saya bertemu jodoh dengan seorang lelaki yang 22 tahun lebih muda dan ini menimbulkan konflik apabila saya tak diterima oleh keluarga mentua terutama maknya.
Saya berusia 47 tahun dan memiliki sepasang cahaya mata yang kini berusia 23 dan 21 tahun. Saya memiliki perniagaan sendiri dan syukur, ia melebihi daripada mencukupi untuk menampung kehidupan saya dan anak-anak.
Warisan Suami
Saya balu kematian suami, sebelum bertemu jodoh dengan suami sekarang. Perniagaan yang saya miliki juga sebenarnya adalah perniagaan yang saya bangunkan bersama arwah suami dahulu. Kini salah seorang anak saya turut serta dalam mengendalikan syarikat tersebut.
Sepuluh tahun lalu, suami meninggal dunia secara tiba-tiba akibat penyakit jantung dan ia tamparan hebat buat diri saya kerana kami sangat rapat. Ke mana saja berdua. Nasib baik ada anak-anak yang menjadi kekuatan untuk saya teruskan hidup. Selepas kematian arwah suami, fokus saya pada bisnes dan anak-anak.
Bukan sedikit lelaki yang cuba mendampingi namun saya tolak mentah-mentah. Mana taknya, kebanyakan mereka bergelar suami orang dan prinsip diri saya, takkan sesekali mengambil hak orang atau berkongsi kasih dengan wanita lain.
Apabila anak-anak semakin dewasa dan perniagaan pun stabil, saya mula ada masa untuk libatkan diri dalam aktiviti yang saya suka. Antaranya, saya kembali aktif membuat aktiviti lasak iaitu hiking. Mulanya anak kedua (lelaki) yang kenalkan saya dengan hobi ini bila saya sibuk nak buat aktiviti sihat.

Perkenalan
Saat itulah juga saya kenal dengan seorang pemuda, M, yang merupakan rakan hiking anak. Dia bekerja di sektor awam. Pada mulanya dia memanggil saya ‘auntie’ kerana saya mak kepada rakannya (anak saya) namun saya tak tahu sejak bila, panggilan itu bertukar menjadi ‘awak’ dan ‘saya’. Katanya saya tak nampak tua malah kali pertama bersua, dia ingatkan saya ini kakak kepada anak saya.
Sikap M yang sangat ambil berat dan penyayang membuatkan saya selesa bersamanya. Namun saya tetap ‘sedar diri’ akan jarak usia kami dan pendamkan saja rasa suka yang mula bercambah. Saya rasa tak layak untuk dirinya yang baru berusia 25 tahun, lebih kurang sebaya anak saya!
Ternyata takdir tersurat, dia juga sukakan saya dalam diam dan telah luahkan isi hatinya saat kami sama-sama hiking menawan Gunung Ledang. Waktu itu, saya seakan tak percaya dan minta dia beri saya masa.
Terima
Berbulan juga saya berfikir dan buat solat istikharah. Akhirnya pintu hati saya terbuka untuk menerima dirinya walau saya sedar macam-macam rintangan akan datang. Namun, saya bersyukur kerana anak-anak dapat terima kehadiran papa baru mereka dan itu juga alasan utama saya terima M.
Masalah paling perit apabila keluarga M terutama maknya tak dapat terima saya sebagai menantu sehingga kami tekad berkahwin diam-diam di utara tanah air. Kini, selepas setahun, maknya masih tidak dapat terima saya. Hanya ayah dan adik beradik M (M anak sulung) sudah mula terima. Sebab itu juga saya tak pernah balik ke rumah M tapi saya sentiasa galakkan M balik dan jalankan tanggungjawab sebagai anak.
Saya sedar bukan mudah mak mentua saya nak terima janda berusia seperti saya sebagai menantu untuk anak bujangnya. Apatah lagi kami sebenarnya sebaya. Namun, saya tak dapat putarkan masa dan sayangkan M. Saya nak rumah tangga ini berkekalan. Apa pandangan puan untuk saya mengambil hati ibu mentua saya?
Puan K, Setiawangsa.
Jawapan:
Dengan Nama Alllah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Kata orang jodoh pertemuan di tangan Allah… tua, muda, cantik, kurang cantik, kurus, gemuk, hitam, putih, semuanya tidak terbatas apabila jodoh telah sampai dengan ketentuan Allah. Kadang-kadang ada orang tidak menjangka jodohnya dengan seseorang yang jauh beza umurnya.
Jadi Bualan
Jika lelaki lebih tua berbanding wanita, itu mungkin biasa. Namun jika sebaliknya iaitu wanita lebih jauh berusia dari lelaki, ianya akan jadi bualan orang. Pada hal, nabi sendiri berkahwin dengan Siti Khadijah yang jauh lebih berusia daripadanya dan isteri yang paling dicintai nabi.
Puan yang dirahmati Allah. Tidak dinafikan siapa sahaja yang bergelar ibu bapa mahukan jodoh yang terbaik untuk anaknya. Tidak kira anak lelaki mahupun perempuan, majoriti ibu bapa mahukan kebahagiaan bukan sahaja untuk anak mereka, tetapi “bahagia” di mata mereka.
Erti Bahagia
Mungkin bahagia pada mereka tidak sama dengan bahagia buat anak. Malah mereka cukup mengambil kira pandangan orang terhadap menantu yang bakal dipilih oleh anaknya. Bagaimana rupanya, akhlaknya, kedudukannya, harta yang dimilikinya, latar belakang diri dan keluarganya, semuanya dilihat sebagai kayu pengukur kepuasan atau kebahagiaan ibu bapa.
Kriteria Pilihan
Jika pilihan anaknya menghampiri kriteria idaman ibu bapa, maka tidaklah berlaku krisis antara anak dan menantu. Namun jika sebaliknya, maka keadaan itu boleh jadi berpanjangan yang memerlukan kebijaksanaan pihak anak dan menantu untuk menguruskan keadaan.
Jika dilihat dalam perspektif yang lebih jauh, pastinya seorang ibu mahukan zuriat daripada anaknya sendiri, iaitu cucu dari darah dagingnya. Ini adalah antara kemuncak kebahagiaan seorang ibu dan bapa apabila dapat bergelar nenek dan datuk.
Letak Diri
Jika puan dapat meletakkan diri puan dalam situasi ibu mentua puan, pastinya puan dapat merasakan betapa kecewanya hati seorang ibu. Jika puan dapat membayangkan ini terjadi kepada puan, bagaimana andai ditakdirkan anak puan yang lelaki berusia 23 tahun mendapat jodoh yang berusia lewat 40-an. Bagaimana perasaan puan?
Bagaimana puan dapat memberitahu orang lain bahawa menantu puan adalah wanita yang hampir sebaya dengan puan? Bolehkah puan menerima hakikat itu. Rasa saya siapa sahaja yang bergelar ibu berkemungkinan mengalami kekecewaan.
Faham Situasi
Jika puan dapat memahami situasi yang saya paparkan di atas, maka puan boleh menerima hakikat bahawa mentua puan masih belum menerima puan. Sekurang-kurangnya ini boleh memberi kelegaan kepada diri puan.
Untuk memenangi hati mentua bukan sesuatu yang mudah. Namun, sekurang-kurangnya puan bersyukur kerana ramai yang telah dapat menerima puan – bapa mertua dan adik beradik suami, malah anak-anak puan telah dapat menerima pilihan puan.
Tak Mudah
Seperti yang saya sebutkan, bukan mudah untuk memenangi hati ibu mentua puan, namun beberapa pendekatan boleh puan gunakan bukan untuk memenangi hatinya, tetapi puan melakukan yang terbaik untuk ibu mentua.
Mungkin puan ada melakukan ini, namun, berterusanlah berbuat baik dengannya. Pertama selalu belikan hadiah di hari ulang tahunnya, ulang tahun perkahwinan, Hari Ibu, Hari Wanita, menyambut Ramadan dan menyambut Syawal.
Hadiahkan melalui suami jika puan merasakan dia masih belum menerima kehadiran puan. Jika hadiah puan tidak sudi diterimanya, jangan mudah putus asa, anggapkan puan telah bersedekah untuk mertua. Pahala bersedekah tetap mengalir. Teruskan berbuat baik dan mengambil berat tentangnya melalui suami. Jika keadaan mengizinkan barulah puan menziarahinya.
Mohon Pertolongan Allah SWT
Kedua, banyakkan solat malam dan memohon pertolongan Allah agar dilembutkan hatinya untuk menerima kehadiran puan. Banyakkan zikir Ya Latiff dan niat agar Allah lembutkan hatinya untuk menerima puan.
Ingat, kita tidak mampu mengubah hati manusia dengan usaha yang kita lakukan, namun, Allah sahaja yang boleh melembutkan hati manusia. Ketiga, selalu ingat setiap yang Allah takdirkan dalam hidup kita ada hikmahnya yang kita tidak tahu. Allah hantar orang yang paling dekat dalam hidup kita tetapi tidak menyukai kita. Apa hikmahnya?
Tingkatkan Keimanan
Ya, Allah mahu kita berusaha berbuat baik walaupun orang tidak menyukai kita kerana Allah mahu meningkatkan keimanan kita. Allah mahu kita akan sentiasa berdoa dan mendekati-Nya memohon pertolongan. Sebab itu Allah bagi banyak ujian kepada Nabi dan kepada orang-orang terpilih kerana Allah mahu mengujinya.
Jika kita sebagai hamba menerima ujian itu dengan berlapang dada, selalu bermunajat dengan Allah untuk atasi masalah hubungan dengan orang itu, maka usaha kita mendekati Allah itulah hikmah yang kita tidak nampak. Bayangkan jika tiada ujian ini dalam hidup.
Tak Bersungguh-sungguh
Mungkin kita tidak bersungguh-sungguh berdoa , solat malam dan melakukan malan-amalan yang mendekatkan diri dengan Allah bukan? Lazimnya begitulah…. Jika tiada ujian dalam hidup kita, mungkin kita akan leka dengan kehidupan dunia, menjalani hidup yang biasa-biasa sahaja tanpa menyelami erti kehidupan yang sebenar.
Rajin-rajin mengikuti kuliah agama, bersedekah dan mendekati orang-orang miskin dan kurang upaya. Maka kita akan dapati Allah hanya menguji kita sedikit sahaja berbanding orang lain yang lebih jauh melalui kesukaran dan kesusahan dalam hidup.
Jika Allah izinkan, Dia akan lembutkan hati ibu mertua puan untuk menerima puan. Jika belum masanya, maka teruskan berdoa dan berbuat baik terhadapnya. Mudah-mudahan Allah memakbulkan doa puan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kesan Anemia Masa Hamil, Ibu Tolonglah Kasihan Pada Bayi Di Dalam Perut

Biasanya Anemia atau lebih dikenali sebagai penyakit kurang sering dialami wanita dan remaja perempuan. Kaum ini lebih berisiko mengalami anemia kerana kekurangan zat besi lebih banyak berbanding lelaki, sedangkan keperluannya dalam sehari adalah tinggi.
Masalah anemia sering dilihat sebagai penyakit ringan tapi sebenarnya tak dipandang remeh sebab berpotensi menjejaskan sistem imun. Jadi apa pula kesan pada si bayi? Haaa… ini yang doktor Taufiq Razif dah kupaskan, mohon kaum mak-mak baca sampai habis.
Kesan Anemia Pada Bayi
Ya Allah. Rupanya ramai lagi yang pandang sebelah mata je penyakit ‘kurang darah’ ( anemia ) masa tengah hamil. Ada yang sanggup taknak makan ubat yang doktor bagi. Jangan camtu wahai ibu-ibu semua.
Kalau doktor dah bagi ubat tambah darah Iberet ataupun Obimin tu makan je la ye. Mungkin kadang-kadang timbul rasa tak selesa di perut, cirit birit dan loya bagi sesetengah orang tapi demi bayi kat dalam perut tu tolong la tahan kejap.
Kesian bayi kat dalam perut ni. Tahu tak apa boleh jadi pada si comel kat dalam perut tu kalau haemoglobin rendah sangat?
1. Bayi tu boleh keluar awal daripada yang sepatutnya / kelahiran pra-matang. Bayangkan lah apa jadi kalau dah keluar lebih awal daripada waktunya. Paru-paru dia tak kuat lagi. Organ lain pun tak matang lagi. Macam-macam lagi boleh jadi.
2. Boleh sebabkan kematian bayi dalam kandungan ( Intrauterine Fetal Death ) disebabkan bayi tu tak dapat cukup oksigen. Yela, haemoglobin tu kan tugasnya nak angkut oksigen. Rosak la otak anak kita kalau tak cukup oksigen kat dalam tu.
3. Kemurungan pada si ibu tu sendiri selepas melahirkan yang dipanggil Post Partum Depression. Memang anemia ni dikaitkan juga antara penyebab kemurungan pada ibu lepas bersalin. Tiba-tiba rasa diri tak berguna, emosi jadi tak menentu dan boleh jadi timbul perasaan nak cederakan anak sendiri!
Apa pun ikut cakap doktor ye. Kalau rasa loya dan tak selesa perut masa makan ubat tu boleh makan bersama makanan lain kecuali susu, pil kalsium dan antasida.
Boleh juga cuba makan daging ayam untuk tambah zat besi dalam darah terutamanya bahagian hati ayam tu dan boleh juga cuba makan kismis, roti, ikan, jem kacang, oat dan sayuran hijau macam bayan dan lain-lain.
Nota:
Tolong save info ni dalam handphone masing-masing ye sebab ilmu ni akan sangat berguna bila dah hamil nanti.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!


