
Dalam hubungan suami, isteri, komunikasi memang perkara terpenting. Tidak kiralah pasangan yang baru kahwin atau pun telah berpuluh tahun bernikah. Jika komunikasi gagal, maka hubungan rumah tangga yang selama ini bahagia pasti akan mulai kelat.
Kadang-kadang kita rasa kita banyak berkomunikasi dengan pasangan, berwhatapps dari dinihari hingga menjelang petang sepanjang pasangan berada di pejabat. Tetapi masalah dalam rumah tangga tetap muncul, di mana salahnya. Rupa-rupanya komunikasi yang selama ini kita terapkan tak efektif kerana hanya sehala.
Ikuti perkongsian, Firdaus Shakirin
Dalam sehari, berapa jam kita berkomunikasi dengan pasangan kita?
Komunikasi yang berkualiti, yang effective?
Tahukah kita bahawa masalah utama dalam rumah tangga hari ini ialah kurangnya komunikasi antara suami dan isteri?
Komunikasi adalah sebagai cara kita berhubung, memberitahu atau menyampaikan sesuatu…
Komunikasi yang berkesan ialah komunikasi yang boleh menyelesaikan masalah atau mencapai persetujuan bersama atau memahami apa yang dilalui oleh pasangan dan seterusnya menjadikan keadaan itu lebih baik dari sebelumnya.
Komunikasi Berkesan
Komunikasi sangat-sangat membantu dalam rumah tangga. Dengan berkomunikasi kita tahu apa yang ada di dalam hati masing-masing.
Apa yang dia simpan, apa yang dia pendam, apa yang dia ingin luahkan, apa yang dia nak tegur, apa yang dia nak nasihat dan sebagainya.
Selalu bersembang, selalu bercakap, selalu berwhatapps, tapi end up masing-masing masih tak puas hati. Masalah masih ada…
Kenapa?
Sebab komunikasi yang tidak effective… Komunikasi di mana hanya seorang memberi, seorang lagi menerima tanpa membalas semula… Bahasa mudah, masuk kiri, keluar kanan… Apa reaksi dan respon pun tiada…
Untuk meminimumkan konflik dan salah faham dalam rumah tangga, maka komunikasi antara suami dan isteri sangat penting… Banyak masalah yang boleh diselesaikan jika suami, isteri mempunyai komunikasi yang berkesan antara mereka…
Ambik tahu akan pentingnya komunikasi antara kita dan pasangan jika mahukan hubungan yang berkekalan…
Sumber: Firdaus Shakirin
MW: Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat kita semua dan supaya setiap pasangan menyedari bahawa pentingnya komunikasi berkesan. Kerap berkomunikasi tidak bermakna komunikasi anda efektif, oleh itu cuba periksa balik hubungan anda dan pasangan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
‘Itupun Tak Boleh Fikir Ke’ Awasi Proses Gaslighting Dalam Rumah Tangga

Menurut Dr Raja Kamariah Raja, dalam drama ‘Bisik Bisik Gelora’ ada banyak babak berlaku proses gaslighting dalam rumah tangga toksid.
Bermaksud, babak yang berbentuk penderaan emosi sehingga bila emosi mangsa telah dimanipulasi, dia menjadi ragu-ragu dengan pemikiran, tingkah laku malah perasaan sendiri.
Baik suami mahupun isteri, perlu hadam kan ilmu penting ini. Kerana apabila berada dalam sebuah perhubungan toksid, proses gaslighting boleh berlaku.
Jangan sampai suami isteri tidak menyedarinya.
Proses Gaslighting Dalam Rumah Tangga
Sebenarnya saya tertengok cerita ‘Bisik Bisik Gelora’ sambil tunggu Azan Magrib untuk berbuka puasa. Banyak perkara dalam drama tu yang perlu masyarakat tahu (saya rasa nak cadang, setiap drama ni ada ‘pocket info’ ,
- jangan lakukan ini di rumah / amaran
- sikap seumpana ini perlu dielakkan)
Banyak nak kupas, tapi satu je dulu ye.
Drama ni menunjukkan bagai mana terdapat banyak babak babak ‘gaslighting’. ‘Gaslighting’ ini ialah bentuk penderaan emosi, yang melibatkan manipulasi terhadap emosi/perasaan seseorang sehingga menyebabkan mangsa mempersoalkan,
- pemikiran, tingkahlaku atau perasaan mereka betul atau tidak
- timbul rasa ragu ragu
- macam ‘ye ke aku buat ni?’ ‘betul ke Tindakan aku ni?’ , ‘memang aku lah yang salah… tak fikir dulu sebelum cakap.’ Sehingga la terpaksa ‘berkorban’
Kalau perasan, Jad selalu sebut ‘Itu pun tak boleh fikir ke?’ secara berulang ulang kali – ini antara boleh menyebabkan seseorang (mangsa) mempersoalkan diri mereka sendiri. Serba salah jadinya… tambah plak bila Jad selalu juga sebut ‘itu pun aku nak kena fikirkan ke?’ dan semua ini adalah salah satu proses ‘gaslighting’ / ‘brain washing’ dalam hubungan toksid.
Tanda-tanda Arumi Telah Lalui Proses Gaslighting
Tanda – tanda Arumi telah lalui proses gaslighting’ ni ialah bila Arumi rasa dia tidak lagi seperti dulu. Dulu pandai melawan, sekarang tidak.. cepat cemas (tambahan pula dia ada anxiety – haa bab ni bagus, dia paparkan bagaimana dia handle anxiety dia).
Kalau uols perasan, Arumi juga dah mula persoalkan kesalahan dia, kelemahan dia dan akhirnya menjadikan seorang yang sering meminta maaf. Walau pun tak salah.
Sebenarnya, kalau Arumi tau hak dia, dan dia pun dah tak tahan dengan toxic relationship ni, dia boleh je buat laporan polis.
1. Arumi boleh buat laporan polis, sebab didera secara emosi seperti dalam Akta Keganasan Rumahtangga (AKRT):
• AKRT 1994 – “sengaja atau cuba meletakkan mangsa dalam keadaan ketakutan kecederaan fizikal – ni ada Jad cakap ‘jangan sampai aku buat kau…’
• Pindaan AKRT 2012 pula menyebut – “menyebabkan penderaan psikologi termasuk kecederaan emosi pada mangsa” – ni banyak kali Jad buat Arumi – ugutan, tengking, mengugut, dan sebagainya
2. Satu lagi, Jad ada isu panas baran – kena ingat, panas baran ni, selalu nya mempunyai dikotomi ekstrem – sangat sangat panas baran DAN sangat sangat romantik (tak ada tengah tengah)
Tolong lah Ali, bawa Jad pergi jumpa Psikologist atau Psikiatrik untuk rawatan.
Paling utama, selagi orang ini tidak mendapat rawatan, dia ada ‘trigger point’ – at anytime, walau baik macam mana, sikap dia yang suka herdik, marah, dan sebagainya akan datang semula. Cuma dalam drama ni, Jad belum guna keganasan secara fizikal terhadap Arumi je.
Dan Jad juga tidak ada empati – self centered sebab di hanya fikirkan emosi dia pemikiran dia. Dia hanya nampak Arumi susahkan dia sbb dia selalu kata ‘kenapa kau selalu susahkan aku’ berulang kali – tanda orang yang tiada empati.
Baca sini : Suami Cakap Tak Lapik Lebih Mendera Emosi Isteri, Bisanya Boleh Robohkan Tiang Rumah Tangga
Fahamkan Kitaran Keganasan Rumah Tangga
Saya nak juga maklumkan kat semua, Keganasan Rumahtangga ni ada kitarannya.
Fasa Ketegangan
Memula Fasa Ketegangan (yang masa episod gaduh gaduh dan Arumi masih balas balik kat Jad bila Jad marah)
Proses Gaslighting
Pastu bila lalui proses ‘gaslighting’ Arumi dah tak balas dah. Minta maaf je. Ni nama nya Fasa Keganasan (walau bukan fizikal, tapi mental dan emosional lah dalam drama ni)
Fasa Kemaafan
Tapi lepas tu jangan terpedaya bila dah masuk seterusnya iaitu Fasa Kemaafan… haaa minta maaf…. nanges nanges, taubat, janji tak buat lagi, beli hadiah (ayat ayat cinta – ni pernah terjadi dalam episod Jad ajak Arumi shopping)
Fasa Honey Moon
Masa ni, memanglah kita rasa dia dah berubah, dah baik, dah romantic, ambil berat dan sebagainya… tu nama nya Fasa Honey Moon – semua baik belaka.
Pastu dalam jangka masa panjang. Kalau tak bawa ke rawatan psikologi ke.. kaunselor perkahwinan ke.. tendency untuk berulang tu ada.
Saya harap baik perempuan, baik lelaki, tahu ilmu ini.. yang ada dalam diri, tolong cari pertolongan dari pakar. Dan yang sedang lalui, fikirkan lah… tindakan wajar yang perlu diambil.
Soalan: Boleh kah orang macam Jad ni berubah? Jawabnya BOLEH. Dengan syarat dapatkan rawatan psikologi. Dan mereka boleh happily ever after.
* Untuk makluman, semua teknik dan ilmu ni ada pada SKUAD WAJA – so, tingkatkan ilmu, jom join SKUAD WAJA supaya kita sama sama ada ilmu dan bijak bertindak. Kalau tidak untuk diri sendiri, mana tau dapat bantu orang lain juga!
Sumber/Foto : Raja Kamariah Raja
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Sebelum Nak Kahwinkan Anak Lelaki, Tolong Luluskan Senarai Ini Dulu!

Seronok mak ayah nak kahwinkan anak lelaki, dapat menantu perempuan yang mampu menguruskan hidup anaknya. Pakaian teratur dan perut pun mungkin terjaga.
Eh, tetapi kalau ikutkan zaman sekarang ni, suami isteri sepatutnya tolong menolong buat kerja rumah. Tak boleh nak harapkan orang rumah je buat, tambah bab cuci pinggan seketul. Sedap je makan main letak!
Cuba mak ayah didik anak lelaki dari kecil buat kerja rumah, mungkin esok-esok hari menantu pun senang. Tak payah pakai bibik bagai. Kalau ada mak ayah yang berniat nak terima menantu dalam masa terdekat, semak dan ikut perkongsian daripada Puan Nurul Izzah Zainol tentang kahwinkan anak lelaki.
MENGKAHWINKAN ANAK LELAKI
Sebelum mak ayah nak menghantar meminang bagi pihak anak lelaki kalian, eloklah duduk bermuhasabah sambil evaluate adakah patut anak lelaki kalian dikahwinkan dengan anak orang lain.
Selalu benarlah yang saya dengar orang tua-tua sebut kat anak laki-laki,
“Along hang kawenlah cepat. Nanti senang ada orang rumah tolong jaga makan pakai semua.”
Tepuk dahi saya tuan-tuan! Bila mentaliti bahawa bila nak kahwinkan anak laki supaya ada bini tolong jaga makan pakai. Memang sungguhlah sebab akibatnya kata-kata orang tua-tua ni bila berkahwin, ke atas bahu isterilah segala beban ditanggung. Sudahlah dipanggil lagi orang rumah.
Mak ayah sekalian, salah yang amat saranan dan expectation kalian. Mengkahwinkan anak lelaki kalian bererti kalian SATISFIED atau telah berpuas hati bahawa dia layak dan bersedia memikul beban sebagai lelaki yang bertanggungjawab ke atas segala inci hal ehwal anak dan isteri.
Saya kira jika dapat digaris panduankan apa kriteria untuk mengkahwinkan anak lelaki, eloklah saya cadangkan senarai di sini :
1) Baligh dan mumayiz sahaaj tidak memadai. Cukup umur syarat berkahwin dalam undang-undang sahaja iaitu 18tahun sahaja tidak cukup. Umur 30 tahun tapi perangai kanak-kanak pun ramai. Jadi umur bukanlah ukuran semata2 layak berkahwin. Ia ditonjolkan dengan kedewasaan dan kematangan seorang anak jantan sejati.
2) Kemampuan kewangan. Bukan patut simpan berjuta-juta. Bukan patut ada honda city civic dan rumah semiD atas nama sendiri. Tapi cukuplah ada kenderaan yang FIT untuk bergerak dan rumah yang masuk akal untuk didiami. Termasuklah jika boleh tidak sampai berlama-lama mendiami rumah mak ayah selepas berkahwin.
3) A domestic man. Mak ayah tenung-tenung tengok si anak laki kalian lepas makan pinggan berbasuh ke tidak. Baju yg dipakai disepahkan atas bawah katil? Bilik anak bujang macam sarang tikus? Sampah kat dapur rajin tak dibuangnya ? Rajin ke pasar teman mak membeli? Ohoi,jangan ingat ni soalan-soalan untuk cari anak dara ok. Kalau anak dara pembersih dapat anak teruna hampeh macam ni mau depression ya Tuhan.
3) Cukup solat dan puasa. Ni kalau tak cukup jangan memandai nak kahwinkan. Dengan harapan ada bini nanti pandailah bini didik dia solat? Eh,eh,eh? Celah mana kerja bini nak kena didik benda basic yang patut mak ayah dah settle kan bila dah baligh lagi?
4) Baran, ganas, suka pukul, mulut puaka. Kalau anak laki kalian sejak kecik sampai tua memang mcm tu lah perangai singanya. Sikit-sikit naik tangan, sikit-sikit pecahkan barang, sikit-sikit protest tak tentu hala pantang ditegur. Tolonglah, mohon dengan sangat, simpanlah elok-elok anak laki kalian jangan dikahwinkan. Elok bawak berubatlah dulu sampai hilang penyakit baran tu.
5) A family man. Yang ni susah nak explain betul-betul. Tapi kan a family man ni boleh nampak jenis yang care kalau family members ada masalah. Dialah yang paling cepat datang tolong. Family man jugak bukan jenis kaki lepak dengan member-member. Lebih suka dok rumah dan kisah hal ehwal rumah. Satgi dia repair apa yg rosak, berkebun, rajinlah tolong mak ayah adik kakak kat rumah tu. Suka main dengan anak-anak sedara. Tapi ingat tau, bukan yang jenis suka betul dok rumah terperap dalam bilik,atengok tv, main game etc. Sampai makan minum pun dihidangkan.
6) Pemurah dan tidak kedekut. Yes, ada yang memang mampu dah bab duit ringgit. Ada semua dah aset untuk kahwin. Tapi kalau sesen pun susah nak hulur untuk belanja rumah atau dapur. Simpan ketat untuk spend sikit untuk mak ayah atau adik beradik. Susahlah gini kalau berkahwin. Perangai kedekut ni bukan boleh berubat lepas kahwin tau. Yang tak semena-mena jadi mangsa adalah si isteri. Habis di paunya duit bini sampai sehelai sepinggang. Percayalah!
Bahaya oi penyakit kedekut ni bila dah kahwin! Sampai beranak pinak pun si mak lah tanggung semua. Harta dia, dia buat modal kawen lain. Lol!
7) Ni bukan last but not least ok. It should come first. Non smoker man. Mak ayah, buat syarat “ Hang berenti merokok dulu baru mak pi minang. Kalau dak hang mereputlah dgn rokok tu sampai dalam kuboq”
So kalau semua kriteria ni memang tak dak lagi kat anak laki, takkan nak simpan lama-lama jadi antertua (anak teruna tua) haha. Haa… nak buat macam mana mak cik pakcik. Benda rosak kasi repairlah dulu baru boleh pakai. Kalau dah permanent rosak kasi angkat barulah. Lol.
Disclaimer: Paling malas betul nak letak sebab nanti ada je lah yang komen saya ni generalize. Kalau hangpa takdak kena mengena dengan ini cerita, jangan sentap okeh.
Rule posting saya mudah, saya tulis apa yg sy experience. Bukan jiran sebelah, depan dan belakang rumah punya experiences. Termasuklah bukan laki saya pnya experiences. Get it?
Makluman: Artikel yang diterbitkan ini telah mendapat keizinan daripada penulis asal.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Berhentilah Jadi Isteri Dan Ibu Sempurna, Pilihlah Untuk Bahagia Dulu

Apabila bergelar seorang isteri dan ibu, tidak dinafikan kita inginkan rumahtangga dan anak-anak segalanya diuruskan dengan sempurna. Adakala apabila terlalu inginkan ‘kesempurnaan’ itu, segalanya ingin diuruskan seorang diri tanpa mengharapkan bantuan. Ia membuatkan diri sendiri rasa cukup penat dan lelah.
Kesannya, mulalah diri rasa tertekan, jiwa terbit kemurungan dan hilang kebahagiaan dalam diri demi memastikan segalanya memenuhi kesempurnaan yang diinginkan.
Jika mak-mak mempunyai sikap begini, seeloknya hentikanlah. Berhentilah jadi isteri dan ibu yang sempurna,sebaliknya pilihlah untuk bahagiakan diri sendiri dahulu.
Jemput hayati perkongsian nukilan oleh Puan Najibah Mustaffa ini;
Selalu kita dengar orang cakap, bila perempuan ini pandai serba serbi. Untunglah suami dan anak-anaknya. Bahagialah keluarganya. Pandai memasak sedap, hebat mengemas, menghias rumah, berdandan berhias pun tak kalah. Didik anak-anak pun mantap. Cantik pulak tu. Ewah.
Saya pun di awal perkahwinan cuba untuk jadi begitu. Anak seorang OK lagi, masa tu boleh je buat sendiri semua. Hatta kalau gas habis pun, boleh je pergi kedai beli dan angkat masuk rumah. Haha dia punya power.
Bukan suami tak tolong, diri sendiri yang tak pandai minta tolong. Sebabnya acah acah mahu jadi sempurna semuanya. Terbiasa berdikari pun sama. Rumah mesti kemas, kain mesti berlipat, baju kerja suami siap bergosok, makan minum siap hidang terjaga semuanya. Masak tu mesti meriah lauk. Ewah lah sangat.
Bila anak sudah bertambah, dari satu jadi dua, tiga dan kini empat. Lama kelamaan, badan jadi sangat penat. Usia pun semakin meningkat. 4 tahun sahaja lagi nak cecah 40 tahun. Sakit pun dah terasa sana sini.
Tambah lagi bila saya mula berniaga. Mana nak tengok WhatsApp, coaching team, pantau outlet, guide staf, buat marketing, bla bla dengan senarainya yang panjang.
Penat.
Fasa Penat
Perempuan bila tenang gembira dia sangat comel macam teddy bear atau hello kitty. Tapi bila penat dia akan jadi orang lain. Kadang tu singa, harimau, hantu kak limah segala.
Saya pernah lalui fasa penat dan tertekan ini selepas melahirkan anak keempat. Dengan dia susah nak tidur, nak menyusu sahaja. Melekat dengan ibu. Tak boleh langsung ibu jauh. Masa tu saya tak rasa seronok pun duduk rumah sendiri. Tak rasa kasih pun tengok suami dan anak-anak. Serabut.
Sebabnya? Penat. Penat ni boleh jadi pintu masuk Syaitan hasut itu ini. Mengeluh, mengungkit, sedih, kecewa bla bla yang negatif. Bila penat solat pun tak khusyuk. Huhu.
Mujurlah saya tersedar yang ini bukan kehidupan yang saya cari. Saya tak boleh biar berterusan dengan penat. Cari ilmu, baca perkongsian di FB.

Berhenti Jadi Sempurna
Tahulah saya jawapannya. Saya perlu berhenti jadi sempurna. Hanya perlu jadi bahagia. Saya perlu mula belajar minta tolong ahli keluarga dan orang lain.
Seminggu sekali saya ambil bibik. Dia kemas rumah, lipat kain, tukar cadar, kadang tu basuh langsir, sental tandas, mop lantai semua. Complete satu rumah dikemas.
Hari hari lainnya saya mengemas 2 kali sehari sahaja. Pagi sebelum anak bangun, petang sebelum Maghrib. Kemas pun sekadar pastikan rumah tidak berselerak sangat sebab ada anak anak kecil yang suka bawa mainan sana sini, lantai disapu, dan dapur bersih dari pinggan mangkuk tak berbasuh dan sampah.
Kain baju berbakul, kalau larat dan sempat, lipat. Kalau tak pejam mata tunggu bibik datang minggu depan.
Saya selalu sahaja sebut kepada suami dan anak-anak, ibu penat, ibu nak rehat. Tak mahu paksa diri berlebihan.
Yang saya jaga sangat hanyalah makan minum keluarga. Memang memasak 2-3 kali sehari. Itupun ringkas sahaja. Ada karbo, protein, sayur cukup. Syukur yang penting kenyang. Sebab saya selalu percaya, masakan mengikat kasih sayang keluarga dengan sangat indah. Ada juga lah hari beli je lauk bila tak sempat atau tak ada bahan basah dalam peti. Hihi.
Malam malam berehat sahaja. Bergolek dengar cerita anak-anak.
Pilih Untuk Bahagia
Sudah tua tua begini. Saya mahu lebih masa untuk tambah ilmu, baiki ibadah. Mahu lama lama di tikar sejadah, mahu tadabbur alquran, mahu baca buku banyak-banyak dan buat apa yang menggembirakan.
Benar, khidmat kepada rumahtangga adalah medan pahala. Namun janganlah sampai menekan diri. Ramai ibu hari ini tertekan. Bacalah banyak kisah yang berlegar di media sosial.
Kita pilih untuk bahagia dulu. Barulah semuanya terlihat sempurna pada mata kita. Walaupun tidak pada mata orang lain.
Dan para suami, bantulah isteri anda bahagia dengan kurangkan rasa penatnya. Sebab bila ibu gembira dan bahagia, seisi keluarganya turut berbahagia.
Najibah Mustaffa
Catatan sementara tidurkan anak.
Semoga perkongsian ini bermanfaat dan menjadi panduan buat kita.Berhentilah jadi isteri dan ibu yang sempurna,sebaliknya pilihlah untuk bahagiakan diri sendiri dahulu.
Sumber: Najibah Mustaffa
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

