
KL Fashion Week 2026 kembali menghangatkan industri fesyen tempatan menerusi edisi ke-14 yang bakal berlangsung dari 3 hingga 9 Ogos 2026 di Esplanade, Taman KLCC.
Bertemakan “Destinasi: Tanah Air”, acara tahunan ini bukan sekadar mengetengahkan rekaan fesyen terkini, malah menjadi platform meraikan identiti Malaysia menerusi kreativiti lebih 50 pereka dan jenama tempatan.

Dengan sokongan Suria KLCC, KLCC (Holdings) Sdn. Bhd. serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), KL Fashion Week 2026 dijangka menjadi antara acara fesyen terbesar negara yang menghubungkan industri kreatif, budaya dan ekonomi dalam satu platform bertaraf antarabangsa.
Meraikan Identiti Malaysia Melalui Fesyen

Tema “Destinasi: Tanah Air” dipilih bagi mengangkat keunikan budaya Malaysia menerusi rekaan fesyen moden yang diinspirasikan daripada warisan tempatan.
Ruang pertunjukan KL Fashion Week 2026 turut diberikan nafas baharu dengan inspirasi motif arkib batik Yayasan Sabah. Pentas peragaan serba putih yang berbentuk jam pasir bersama susun atur tempat duduk lebih organik dijangka memberikan pengalaman lebih imersif kepada tetamu dan pencinta fesyen.
Malah, panel skrin LED bersaiz besar akan dipasang bagi membolehkan pengunjung Suria KLCC mengikuti setiap pertunjukan fesyen secara langsung walaupun berada di luar ruang utama acara.
Baca juga: Motif batik & songket jadi elemen utama Variante. Fesyen sesuai wanita berhijab
Lebih 50 Pereka Fesyen Tempatan Beraksi
Antara tarikan utama KL Fashion Week 2026 ialah penyertaan lebih 50 pereka dan jenama tempatan yang bakal mempersembahkan koleksi masing-masing sepanjang tujuh hari acara berlangsung.
Tahun ini menyaksikan kemunculan beberapa label baharu seperti PLAZÄ, NanaLyana, Asyraf Arrif, inisaya by Jeffery Goh, 99%ANGEL, CDH dan EMRI.


Turut mencuri perhatian ialah penampilan Sharifah Kirana serta ManChien yang memperkenalkan label baharunya, Super Structure.
Tidak ketinggalan, dua nama besar industri fesyen Malaysia iaitu Rizman Ruzaini dan Fiziwoo kembali dengan persembahan istimewa. Rizman Ruzaini bakal mengadakan dua pertunjukan berturut-turut, manakala Fiziwoo menampilkan barisan pakaian lelaki di bawah label Woo Brothers.
Batik Malaysia Diberi Pentas Istimewa
Sebagai sebahagian daripada usaha memperkasakan warisan tempatan, KPDN sekali lagi memperkenalkan segmen Fashion Forward Batik Malaysia.
Segmen khas ini menampilkan 30 rekaan eksklusif daripada 10 pereka fesyen tempatan menggunakan batik asli dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Usaha tersebut membuktikan tekstil warisan negara mampu diterjemahkan dalam sentuhan moden tanpa menghilangkan nilai tradisi, sekali gus berpotensi menembusi pasaran premium antarabangsa.
Lebih Daripada Sekadar Pertunjukan Fesyen
Menurut Pengasas Kuala Lumpur Fashion Week, Andrew Tan, KL Fashion Week 2026 bukan hanya siri pertunjukan fesyen, sebaliknya sebuah pengalaman komuniti yang menghimpunkan pencinta fesyen, pereka, penggiat industri dan masyarakat umum.

Beliau berkata tema “Destinasi: Tanah Air” membawa fesyen Malaysia kembali kepada akar budayanya sambil membuka ruang kepada perkembangan industri ke tahap lebih tinggi.
Anda mungkin berminat dengan
Penganjuran kali ini juga memberi penekanan kepada pengalaman pengunjung melalui pelbagai aktiviti interaktif di Suria KLCC termasuk pop-up jenama tempatan, pameran seni visual, penggayaan pelajar fesyen dan ruang khas JOM Malaysia anjuran KPDN.
Platform Perkukuh Industri Fesyen Malaysia
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerjasama dengan KL Fashion Week 2026 merupakan sebahagian daripada agenda memperkasa produk tempatan menerusi kempen JOM MALAYSIA.
Menurut beliau, acara ini menjadi platform penting memperkenalkan jenama Malaysia kepada pemain industri, pelancong dan media antarabangsa, sekali gus memperluaskan peluang pasaran untuk usahawan tempatan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC, Francis Tan menyifatkan penganjuran tahun ini sebagai peluang terbaik mengangkat kreativiti tempatan dan menjadikan KLCC sebagai destinasi utama yang menggabungkan budaya, gaya hidup dan kecemerlangan fesyen Malaysia.
Destinasi Wajib Pencinta Fesyen

Dengan barisan pereka terkenal, koleksi eksklusif, ruang pameran interaktif dan sokongan pelbagai pihak, KL Fashion Week 2026 dijangka terus mengukuhkan kedudukannya sebagai acara fesyen paling berprestij di Malaysia.
Lebih daripada sekadar pentas memperagakan pakaian, acara ini menjadi simbol kebangkitan industri fesyen tempatan yang semakin diyakini di peringkat antarabangsa serta membuka peluang kepada bakat baharu untuk terus menyerlah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

