Terlalu banyak kes yang melibatkan anak-anak tular di media sosial baru-baru ini. Jadi mak ayah yang bekerja atau tidak, kebimbangan tetap muncul di hati. Setuju, ada anak depan mata pun belum tentu mereka selamat.
Sebab segala-galanya boleh dapat di hujung jari dan pergaulan dengan rakan-rakan terdekat juga boleh jadi punca berubah watak yang kadang kita pun tak sangka. Jadi apa yang mak ayah boleh buat untuk pastikan anak-anak terlindung daripada kes bahaya yang semakin menular?
Macam yang Puan Intan Dzulkefli kongsikan, zaman ini bukan lagi masanya untuk sekadar berbangga beranak tiap tahun, anak cantik & handsome, anak sekolah cemerlang akademik, tetapi untuk memastikan anak-anak takut Allah, takut bermaksiat kepada Allah, berakhlak mulia di dunia nyata & media sosial, berintegriti di depan manusia & di hadapan Allah.
Boleh Marah Anak Tapi…
Zaman sudah berubah. Kita boleh sekat anak-anak & tak beri smartphone, kurung dalam rumah, tetapi anak-anak boleh mendapatkannya dari kawan-kawan apabila berjumpa & bergaulan.
Kita boleh ugut, marah, pesan pada anak-anak tentang jangan menggatal, jangan ber-couple, jangan keluar dating dengan jantan naik motor sampai lewat malam, boleh jadi depan kita dialah anak solehah, angguk-angguk dengan tawaduk, namun, di belakang kita, boleh jadi sebaliknya. Nauzubillah.
Bila bertemu orang soleh yang berjaya mendidik anak-anak menjadi insan yang soleh-solehah & musleh, saya akan selalu meminta doa, tip & nasihat dari mereka.
I always believe, prevention is better than a cure. Tidak lain hanyalah menyiapkan asas dalam diri anak-anak untuk menempuhi ‘peperangan’ akhir zaman ini.
1. Didiklah anak mengikut zamannya. Tak boleh terlalu keras, akan membuat mereka memberontak. Namun, ibubapa tidak boleh terlalu naif juga, kelak anak pijak kepala kerana ibubapa ‘blur’. Jadi ibu bapa yang bijak, zaman kita membesar tak sama seperti zaman anak membesar. Sentiasa letakkan agama di hadapan walau bagi sesetengah orang, ia pemikiran yang kuno. Islam is the way of life.
2. Bila anak-anak meniti remaja memang akan timbul rasa ‘suka’, ‘tertarik’ pada berlainan jantina, jangan kita jerkah dia sebagai gatal nak kahwin. Nanti dia berpura & berselindung di depan kita, padahal di belakang boleh jadi anak lelaki sudah angkut anak dara orang ke hulu ke hilir, yang perempuan boleh jadi ‘sudah menjadi isteri tanpa akad nikah’ di luar pengetahuan ibu bapa.
Biarkan anak berkongsi perasaan & sebagai ibu bapa, didik jiwa mereka untuk tackle perasaan itu. Jelaskan tentang perubahan hormon remaja, pendidikan seks, solusi dalam islam (nikah setelah faham & sedia galas amanah) serta tanggungjawab di dalam perkahwinan. Hubungan suami isteri adalah mulia & berpahala, tetapi zina adalah keji & berdosa. Namun yang mulia berpahala itu datang sekali dengan pakej tanggungjawab yang berat. Perlukan persediaan. Bukan hal remeh.
Ads
3. Pantaulah aktiviti anak. Smartphone, media sosial, siapa kawan-kawannya, sesekali follow aktivitinya tanpa pengetahuan mereka untuk lebih mengenali ‘watak sebenar’ anak. Barangkali di depan kita dia anak yang naif, namun, rupa sebenar apabila dengan orang lain & di media sosialnya, boleh jadi sudah sangat lain.
4. Mendidik anak lelaki & wanita sama penting & sama hebat cabarannya. Tak boleh hanya ajar anak perempuan tutup aurat, jaga solat, jaga akhlak, melainkan kena seiring, didik anak lelaki agar jadi pelindung, jangan pandang perempuan sebagai objek seks semata, sebaliknya perempuan adalah untuk dihormati, dididik, disayangi & dilindungi. Jika sukakan seseorang, perlu ada keberanian untuk menggalas tanggungjawab sebagai suami, ketua rumahtangga.
Ajar anak lelaki untuk bersifat pemimpin, bukannya tiada misi hidup, tiada motivasi, tiada usaha untuk memajukan diri serta miskin tanggungjawab. Terlalu banyak kes apabila nikah dimudahkan, golongan lelaki ambil mudah pula soal tanggungjawab hingga akhirnya menzalimi isteri & anak-anak. Semuanya kerana jahil.
Oleh itu, sebagaimana kita mahu siapkan anak dara kita untuk menjadi sebaik-baik isteri, siapkanlah juga anak lelaki kita untuk menjadi ketua keluarga yang qawwam.
5. Mengelak zina bukan hanya dengan ugutan, “macam mana kalau kamu mengandung?”, maka nafsunya akan sentiasa cari jalan agar tidak mengandung tetapi zina tetap juga berulang kerana maksiat akan menyebabkan ketagihan.
Didik anak mengelak zina dengan membuat mereka benci untuk menghampirinya. Sedarkan mereka tentang hakikat ianya dosa besar.
Saya teringat ustaz pernah pesan dengan keras;
“Cuba kamu cucuh api di kemaluan kamu bila terbit rasa nak berzina, sanggup tidak? Cucuh tangan dengan api bila terbit rasa nak sentuh kekasih kamu, sanggup tidak? Kalau panas api dunia pun kamu tidak tahan, kamu fikir bagaimana hebat azab seksa api neraka kepada penzina (jika mati tanpa taubat diterima Allah)…”
Ads
Mengingatkan pasangan & anak-anak tentang azab seksa neraka adalah wajib sebagaimana ingatan Allah dalam surah at Tahrim, ada pesanan buat para suami agar memelihara ahli keluarga dari menjadi bahan bakar api neraka. Didikan & nasihat secara lembut itu perlu, namun, ingatan tentang membenci jalan ke arah zina juga SANGAT PERLU.
6. Penglibatan bapa sebagai role-model terbaik keluarga adalah amat penting. Tidak dinafikan pemerhatian peribadi saya, kebanyakan kes zina adalah kerana bapa terlalu alpa hingga lost-touch dengan anak-anak. Tautan hati terlalu longgar.
Pujian lelaki ajnabi yang mahu masuk ‘line’ dapat ditepis dengan mudah kerana hati terisi dengan kasih sayang seorang lelaki yang bersifat hero. Bila ada yang meluahkan hasrat, terus minta jumpa ayah. Ayah didahulukan & dimuliakan.
Bayangkan jika seorang anak perempuan tidak disayang, jarang dipuji, tidak diambil berat oleh bapanya & bila didekati lelaki lain yang menawarkan kasih sayang, pujian, hadiah, kata-kata manis, tentulah anak gadis ini akan cair kerana sifat seorang wanita itu memang suka dimanjakan. Di situlah jantan-jantan ini akan mengambil kesempatan!
7. Yang paling perlu diterapkan kepada anak ialah, takut kepada Allah. Anak perlu berpegang, Allah Melihat walau ibu ayah tidak nampak. Redha Allah bergantung kepada ibu ayah. Kalau menipu ibubapa berkatkah kehidupan kita seterusnya?
Sesungguhnya solusinya ialah berbalik kepada agama sejak dari permulaan hidup, hanya taqwa jualah sebaik benteng maksiat.
Ads
Terakhir sekali, PALING PENTING kita sebagai ibubapa juga perlulah memperbaiki akhlak & tautan hati kita dengan Allah, jangan lupa doakan anak-anak, bacakan doa di ubun anak-anak semasa mereka menyusu & waktu mereka tidur. Sentiasa sebut yang baik-baik untuk anak-anak walau saat sedang marah sekalipun.
Ibubapa juga perlulah bertaubat sekiranya di masa lampau mereka juga pernah bermaksiat tatkala sebelum nikah apatah lagi jika pernah berzina. Pohonlah keampunan dan perlindungan dari Allah SWT agar dipelihara zuriat keturunan kita dari dosa zina & dosa besar yang lain.
Jangan lelah untuk sentiasa mendoakan anak-anak kita;
Allahumma faqqihuma fiddeen, wa ‘alimhuma at takwil. Robbi habli minas soliheen. Allahumma islih dzuriyyati. Amiin amiin ya robbal ‘alamiin.
Ini doa untuk amalan para ibubapa yang wajib diamalkan sebagai pelindung buat anak-anak kita menempuhi era akhir zaman yang sungguh mencabar ini.
Sedikit rahsia didik anak, penyanyi lelaki popular, Shah Indrawan atau lebih dikenali dengan nama glamornya Tomok, 33, dan isteri Rahayu Abbas, 38, cukup bertuah kerana dikurniakan dua cahaya mata lelaki yang cukup bijak dan comel.
Tomok dan Ayu juga menerangkan dalam mendidik anak-anak, mereka tidak memaksa malah kedua-dua anak mereka, Arrianshah Akid atau mesra dipanggil Arrian, 5, dan Andrashah Iman atau mesra dipanggil Andra, 2, mempunyai karektor yang berbeza.
Cara Didik Anak, Bukan Niat Nak Menunjuk
“Tujuan utama saya bukanlah nak menunjuk-nunjuk kisah kehidupan kami sebagai selebriti. Siapalah saya, bahkan saya dan keluarga bukanlah selebriti yang punya nama besar. Di sini, saya cuma mahu berkongsi dengan orang luar mengenai idea mendidik anak-anak. Didikan yang kami terapkan kepada Arrian dan Andra cukup berbeza. Saya tak memaksa tapi ikut kesesuaian anak-anak. Mereka ini punya karakter yang berbeza. Sebenarnya saya tak banyak masa untuk ajar anak sebab sibuk dengan dunia seni. Jadi isteri yang lebih dominan menjaga dan memberi pendidikan kepada mereka,” tambah Tomok lagi.
Ayu pula ketika ditanya menjelaskan dalam mengajar anak-anak dia juga sama seperti ibu bapa yang lain.
“Saya tak ada pengalaman dalam mengajar jadi saya banyak belajar tentang didikan anak-anak menerusi bahan bacaan. Saya kumpulkan bahan-bahan bacaan ilmiah tentang keibubapaan dan pembelajaran awal pendidikan kanak-kanak dan juga sumber Internet, bagaimana untuk membentuk anak-anak kita. Dari situ saya ambil mana yang boleh diterapkan dan bersesuaian dengan anak-anak saya. Kiranya ‘trial and error’. Saya tidak memberi tekanan dan memaksa anak-anak untuk belajar sebab tak nak ganggu proses pembesaran mereka,” ungkap Ayu yang kelihatan lebih muda daripada usia sebenarnya dan teringin untuk memiliki anak perempuan pula.
1. Berbual-bual
Apabila sering berbual-bual dengan anak walau pun pada ketika itu mereka masih belum boleh bertutur dengan baik lagi ada kelebihannya. Walau pun masih belum mengerti dan faham, minda anak-anak sebenarnya seperti span yang menyerap apa yang dilihat dan didengari. Mereka sebenarnya sedang menajamkan kemahiran berbahasa dan komunikasi. Lebih banyak bercakap kepada mereka, lebih baik.
2. Mengagah
Mengagah bayi adalah salah satu komunikasi awal yang boleh dilakukan kepada anak. Selain merangsang, ia juga menggalakkan deria pendengaran. Bayi yang berumur enam bulan atau tujuh bulan akan mula mengesan dan memusing ke arah bunyi itu. Menjelang usiasetahun, bayi sudah mula mengenalpasti lagu kesukaannya dan cuba menyanyikannya.
3. Membaca Buku
Ramai yang tahu, buku jambatan ilmu. Tapi ramaikah yang membacakan buku kepada anak walau pun mereka masih belum mengerti/faham? Membacakan buku sejak awal lagi boleh membantu mengajar bayi tentang interaksi, komunikasi dan konsep tentang bentuk, warna, abjad, memori, nombor dan tatabahasa dalam cara yang menyeronokkan.
4. Kad Imbasan
Perkenalkan kad imbasan sejak awal melancarkan sebutan dan meningkatkan penguasaan tatabahasa. Mula-mula baca dan sebutkan apa yang ada pada kad. Lama kelamaan anak-anak akan menyebutnya sendiri dan kemudian mengejanya. Ini yang Ayu lakukan kepada Arrian.
5. Bermain
Biarkan anak-anak seronok bermain dengan permainan mereka. Ketika bermain, mereka akan mengeksplorasi, berimaginasi dan menajamkan motor halus. Ia juga merangsang skil kognitif dan penyelesaian masalah. Aktiviti mewarna dan menconteng juga salah satu cara bermain yang digalakkan untuk si manja!
6. Aktiviti Fizikal
Berenang, bermain di taman permainan dan berjalan memberikan anak-anak peluang untuk aktiviti yang dapat menggunakan otot dan anggota badan. Ia dapat menguatkan otot, keseimbangan dan sokongan tubuh. Selain itu, ia juga merangsang keyakinan diri kanak-kanak. Aktiviti seperti melompat, berlari, memanjat, berguling dan merangkak merupakan aktiviti yang baik untuk perkembangan motor kasar mereka.
7. Menyanyi
Dedahkan bayi kepada lagu kanak-kanak untuk merangsang pendengaran dan apabila anak mula mennyanyikannya, ia menggalakkan aktiviti pada kedua-dua belah otak. Anak-anak juga jadi lebih ceria dan gembira
Hargai Isteri
Itu sedikit perkongsian dalam bab mendidik anak, tetapi Tomok juga dedah cara terbaik menghargai isterinya yang banyak berkorban masa menjaga anak-anak yang tersayang. Haaa… kalau Tomok sediri, dia kebiasaannya akan memberi ganjaran dengan membawa isteri dan anak-anak bercuti bila berkesempatan.
“Selain bercuti saya juga sering bantu isteri dengan memandikan anak-anak atau menukar lampin pakai buang anak-anak. Dengan cara ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan bebanan kerja Ayu.” Ujarnya lagi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bila pasangan berkahwin, salah satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan tentulah nafkah batin. Tak mustahil juga, tidak dapat tunaikan ‘hasrat’ suami sanggup ceraikan isteri.
Bagaimana agaknya perkahwinan tanpa hubungan intim. Agak pelik bunyinya sebab fitrah pasangan berkahwin adalah tuntutan batin bagi menyambung keturunan.
Ada tak pasangan suami isteri yang tidak pernah atau tidak mampu untuk melakukan hubungan intim. Tak mustahil perkara ini berlaku tetapi tidaklah pada semua. Mungkin ini juga kerana ada penyakit yang jarang kita ketahui.
Sindrom vaginismus atau faraj terkunci, boleh berlaku semasa awal perkahwinan atau selepas melahirkan anak. Gara-gara sindrom ini boleh memperok peranda hubungan suami isteri sehingga bercerai berai. Apakah yang dikatakan faraj terkunci ini. Ikuti penjelasan Dr Kash Mustafa ini.
Faraj terkunci atau vaginismus adalah kekejangan otot di sekeliling faraj. Kesannya, hubungan intim suami isteri berlaku kesukaran dan kesakitan buat isteri.
Kondisi vaginismus ini membuatkan pesakit menderita selama bertahun-tahun dan mengakibatkan tekanan mental berpanjangan. Apatah lagi, jika suami tidak memberi sokongan, sebaliknya sanggup ceraikan isteri
Sebenarnya, vaginismus bukanlah kecacatan dan ada kondisi yang dapat disembuhkan dengan memilih rawatan yang tepat. Sokongan insan tersayang membantu proses penyembuhan lebih cepat.
Keadaan ini juga boleh berlaku kepada pesakit selepas melahirkan anak dan dipanggil secondary vaginismus.
Tahap Vaginismus
Ada 5 tahap yang dikategorikan berdasarkan simptom yang dialami oleh wanita.
.
Bagi pengetahuan semua juga, kebanyakan orang yang mendengar sindrom faraj terkunci memang tak dapat nak bayangkan keadaan itu.
Gambaran yang dijelaskan oleh Dr Kash berdasarkan gambar:
Gambar 1 – Saluran faraj yang normal.
Gambar 2 – Saluran faraj tertutup rapat dan puntu tertutup. Ini bermaksud terkunci. Sebab otot di sekeliling faraj ini kejang dan mengeras.
.
Ini juga perkongsian daripada Dr Kash di tiktoknya yang mana menerusi video berkenaan, dia sedang merawat seorang pesakit wanita yang mengalami sindorm faraj tertutup.
Apa yang lebih mengejutkan adalah apabila pesakit itu tidak datang dengan suami setelah ditanya oleh doktor. Pesakit itu siap memandu sendiri daripada Melaka ke Kelantan untuk menjalani rawatan selama tiga hari.
“Saya terpaksa beranikan diri, suami saya langsung tak nak tahu keadaan saya. Suami dah beri tempoh dua bulan untuk saya sembuh. Kalau saya tak sembuh dalam masa dua bulan, dia nekad nak lepaskan saya. Saya harap sangat doktor dapat bantu saya.”, katanya.
Jadi, buat suami di luar sana bahawa penyakit ini bukan titik noktah perkahwinan. Semua boleh dirawat, tanggungjawab seorang suami adalah berada di sisi isteri beri dia semangat. Ini merupakan ujian dalam rumah tangga.
Namun, tidak semua masyarakat cakna tentang penyakit ini dan ramai yang diluar sana juga mengambil jalan pintas untuk tidak bersama dengan si isteri ketika sakit.
Mingguan Wanita : Setiap penyakit ada ubatnya. Suami jangan cepat buat keputusan, hargai dan berilah sokongan untuk isteri dapatkan rawatan demi menyelamatkan rumahtangga.
@dr.kash_89Sindrom Faraj Terkunci , kesan terhadap rumahtangga. Antara kisah pesakit saya yang membuatkan saya terkesan sehingga hari ini . Semoga lebih byk rumahtangga yg boleh diselamatkan.
Tak baik pandang serong pada golongan ibu tunggal, dia sendiri tak pernah meminta untuk bertukar status sekelip mata. Tetapi kalau itu satu takdirnya, dia terima dengan redha demi anak-anak.
Sebagai orang luar, kita tak berhak memandang sinis pada golongan ibu tunggal atau janda. Apa lagi bergurau senda tantang statusnya.
Kita sendiri tak tahu apa yang membuatkan dia terpaksa memilih untuk menjadi ibu tunggal a.k.a janda. Untuk lebih dekat, jemput baca perkongsian saudara Firdaus Shakirin tentang ibu tunggal atau janda.
Bila Wanita Bertukar Status Jadi Ibu Tunggal
“Hati-hati, dia tu janda…”
“Tengok yang putih duduk kat hujung tu, dia tu janda anak 1… muda lagi dah jadi janda kan…” kata seorang kawan sambil menunjukkan ibu tunggal tu kepada saya.
“So what…?” balas saya…”Tak la, hati-hati la, dia tu kan janda.”
Janda ni orang yang senang dihampiri ke? Janda ni, terdesak sangat nak cinta? Janda ni, tak ada maruah? Tak ada harga diri? Jadi janda itu satu dosa?
Hmm… ini pandangan dan perspektif masyarakat terhadap janda a.k.a ibu tunggal. Kalau dia tahu yang dia akan jadi ibu tunggal, agak-agak dia akan berkahwin tak dengan lelaki yang “menghadiahkan” dia status tu?
Perempuan bergelar ibu tunggal disebabkan lemahnya lelaki dalam menjadi suami.
Dalam rumahtangga, sepatutnya hanya perlu ada siapa? Suami dan isteri… tapi bila lemahnya si suami dalam memerintah, rumah tangganya ada suami, isteri dan mertua. Mertua yang menentukan hala tuju rumah tangga, mertua yang membuat keputusan, mertua yang memastikan rumah tangga anaknya mengikut apa yang dia nak.
Isteri mana yang tahan? “Orang luar” masuk campur dalam urusan rumah tangganya.
Suami jadi bisu, hilang kebebasan untuk bersuara disebabkan tak faham apa maksud perkahwinan, siapa yang bertanggungjawab menentukan hala tuju keluarga itu dan bila sepatutnya “orang luar” itu masuk campur dalam hubungannya dengan isteri.
Punca Wanita Jadi Janda?
Suami tak betul-betul jadi suami sebab tak ada ilmu.
Then datang bab suami abai tentang nafkah, culas tentang kewajipan, dah kawin, tapi malas nak kerja. Kerja tak tetap, sekejap stay sekejap tukar dan selalu harap bantuan dan pertolongan dari isteri. Siapa KETUA KELUARGA sekarang ni? Sesebuah hubungan akan pincang bila mana fitrah tu kita tak ikut. Ketetapan dan panduan yang agama dah gariskan.
Suami asyik dengan kawan-kawan, suami addicted to benda terlarang.
Bila dah kawin, buat macam cara dah kawin. Bukan dok rasa diri tu bujang, boleh keluar sesuka hati melepak main game sana sini. Solat tunggang langgang then mula terjebak dengan benda terlarang. Iman tak kuat, senang ikut pengaruh rakan-rakan dan syaitan.
Belum sentuh lagi bab pukul isteri, bab layan isteri macam hamba, bab tak bagi isteri balik jumpa keluarganya dan sebagainya. Berlakunya kes penceraian untuk sesebuah rumah tangga itu adalah disebabkan lemahnya lelaki dalam menjadi suami. Lelaki yang tahu tanggung jawab, ada ilmu, pandai menggunakan akal dengan baik, dia akan jadi suami yang baik dan “perempuan” yang berkahwin dengannya tak dapat title “ibu tunggal”. Dia akan dapat title isteri solehah dan ibu mithali disebabkan suaminya pandai membimbing dan membentuk dirinya.
Menjadi ibu tunggal itu adalah pilihan yang terbaik untuk mereka berdasarkan apa yang mereka hadapi dan apa yang mereka lalui. Jadi siapa kita untuk nak mempersoalkannya?
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Founder wanita antara ditahan terlibat pengedaran pil kuda di Kelantan, nilai rampasan RM6.16 juta. Memaparkan gaya hidup mewah termasuk menayang kenderaan mewah antara trend...