Sebaik buka mata jam 5 pagi tadi, Muhammad Haziq Zikri Mohd Zairul, 9 tahun bertanyakan keadaan ibu ayah dan neneknya. Kerana, sebelumnya Haziq diberitahu makciknya yang ibu bapanya serta adik maut dalam kemalangan membabitkan pertembungan kenderaan MPV yang mereka naiki dengan lori treler.
“Pak Lang, sekarang ni Haziq seorang saja ke yang hidup?” Pertanyaan Haziq meruntun hati ayah saudaranya, Mohd Zakri Mat Isa, 37 yang dipanggil Pak Lang itu.
Namun, berat hati bapa saudara itu mahu mengiyakan pertanyaan anak kecil yang sekelip mata bergelar yatim piatu ini.
Haziq yang petah berkata-kata itu menceritakan ketika kejadian dia tertidur. Dan sebaik membuka mata, dia tersedar sudah berada di hospital.
“Memang saya tak sampai hati nak beritahu mak ayahnya sudah tiada.” Tapi anak saudaranya itu beritahu yang dia dah tahu selepas diberitahu sendiri oleh ibu saudaranya bernama ‘Cik Sara.’
Kemalangan yang berlaku di Kilometer 5, Jalan Keramat Pulai semalam, menyebabkan Haziq mengalami patah tangan kanan dan dirawat di Zon Kuning, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.
Bapa Haziq, Mohd Zairul Mat Isa, 34, ibunya, Nuartiqah Abd Hamid, 30 malah adik perempuannya, Nur Qaseh Damia, 4 serta neneknya, Fatimah Mat Isa, 68 antara mangsa yang maut dalam kemalangan.
Arwah Zairul dan isteri juga baru saja menyambut ulang tahun perkahwinan mereka pada 3 Ogos lalu.
Turut terkorban, ibu saudaranya Hasliza Mahmud, 40 dan suaminya Zulkifli Shuib, 41 dan anak tiri Hasliza, Mohd Alif Firdaus, 3.
Dua lagi yang terselamat adalah anak Hasliza, Firash Mikhael Azrie Syah, 11 dan abangnya yang dikenali sebagai Apit, 16 tahun dan cedera parah.
Maklum Zakri lagi, keluarga adiknya dan sepupunya itu jarang berjalan jauh untuk melancong. Selalunya, mereka berjalan-jalan di destinasi dekat dengan kampung mereka saja iaitu di sekitar Kedah atau Pulau Pinang.
Malah, kenderaan yang mereka naiki itu pun sebenarnya dipinjam dari kenalan.
Kesemua mangsa, sejak Ahad lalu berkunjung ke Pulau Pangkor dan bermalam di sana. Seterusnya memilih untuk bermalam semalam di Cameron Highlands. Ketika dalam perjalanan pulang ke kampung halaman mereka di Kedah itulah, tragedi berlaku.
Ibunya yang terbabit dalam kemalangan maut itu juga tak menunjukkan tanda-tanda akan pergi meninggalkan mereka untuk selama-lamanya.
Sempat arwah ibunya bermalam bersama cucu di rumahnya serta rumah abang ketika sambutan Aidiladha yang lalu.
“Sejak kebelakangan ini ibu sentiasa ceria. Ada juga dia meninggalkan pelbagai pesanan kepada kami.” ujarnya yang mengetahui kejadian kemalangan itu sekitar 7.30 malam. Itu pun selepas dimaklumkan kakak kepada Hasliza yang menyedari insiden berkenaanmellaui berita di media massa.
Ketujuh-tujuh jenazah akan dihantar pulang ke Kampung Badlishah, Serdang, Kedah dan akan dikebumikan di dalam satu liang lahad.
MW : Al Fatihah, semoga keluarga mangsa tabah menghadapi berita duka ini.
Allahu, mengucap panjang dengan kejadian pembuangan mayat bayi yang baru berlaku ini. Menurut laporan, bayi tersebut diperlakukan dengan menyayat hati, ditutup mulut, dibalut dengan selimut dan dimasukkan ke dalam beg sekolah serta mayat bayi tersebut di buang ditempat pembuangan sampah.
Seorang remaja perempuan dan teman lelakinya yang masing-masing berusia 17 tahun ditahan susulan penemuan mayat bayi dalam lori sampah sebuah kuarters penjawat awam di Presint 18, Putrajaya dekat sini, semalam.Turut ditahan, bapa kepada remaja perempuan itu yang berusia 43 tahun.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata ketiga-tiga suspek direman antara dua hingga empat hari bermula hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.
Katanya, remaja perempuan itu direman empat hari sehingga Isnin depan, manakala bapa dan teman lelakinya direman dua hari sehingga esok.
“Siasatan mendapati bayi perempuan tersebut dilahirkan pada Rabu lalu kira-kira jam 11.30 pagi oleh suspek.
Menurutnya suspek remaja perempuan tersebut bertindak menutup mulut bayi itu dengan tuala dan membalut badannya dengan selimut sebelum dimasukkan ke dalam beg sekolah.
“Suspek kemudian memasukkan beg sekolah tersebut ke dalam plastik sampah yang diikat dan diletakkan di luar rumah bersama sampah yang lain.Plastik sampah yang mengandungi bayi tersebut telah dibuang oleh bapa suspek ke rumah sampah dikawasan perumahan mereka,” katanya.
Kredit Foto: The Star Online
Mayat Bayi Dibedah Siasat
Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Putrajaya bagi tujuan bedah siasat yang akan dijalankan hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang bayi.Suspek berdepan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Roslina Atan di talian 019-2685008 atau Pusat Kawalan Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460522 sambungan 584 atau 585 atau pun menghubungi mana-mana balai polis berdekatan.
“Kita juga menasihatkan ibu bapa dan masyarakat supaya sentiasa memantau pergerakan dan pergaulan anak-anak remaja mereka supaya tidak terbabit dengan gejala negatif dan anasir yang tidak baik,” kata Mazlan lagi.
Semalam, seorang pekerja Alam Flora menemui mayat bayi berkenaan ketika memasukkan sampah ke dalam lori sampah dari tempat rumah sampah di Blok D kuarters penjawat awam terbabit.Polis yang menerima laporan kejadian itu pada jam 9.27 pagi menghantar sepasukan anggota polis bagi menjalankan siasatan.
MW: Pesanan buat mak ayah, jangan terlampau memanjakan anak-anak dan pantaulah pergaulan mereka. Ambil peduli jika terdapat sebarang perubahan fizikal pada anak.Remaja mungkin tak panjang akal untuk berfikir yang mana baik dan buruk pada masa hadapan, tapi peranan kita sebagai mak ayah seharusnya bertindak lebih matang dan rasional. Doakan yang baik-baik buat keluarga ini.
Selama ini bila beli buah-buahan kering macam aprikot, kiwi, kismis, buah tin, strawberi malah prun, mak ayah akan beli saja yang ada di kedai atau pasaraya kan. Rupanya, cara nak pilih buah-buahan kering ini ada panduannya. Bukan saja sesetengah limau mandarin direndam sulfur dioxide.
Malah cecair kimia ini juga digunakan dalam pengeluaran buah-buahan kering. Seperti yang dimaklumkan, Puan Ainini Zainal, Pengasas dan pengarah Oven Nini, “Patutlah bila makan aprikot kering, kiwi kering, perit rasa tekak. Ada yang makan terus semput.”
Sekadar ulang semula info. Hari tu dah pernah kongsikannya, masa ‘musim’ limau mandarin. Tentang penggunaan sulfur dioxide ini.
Ini kerana Sulfur dioxide juga digunakan dalam pengeluaran buah-buahan kering, ya.
Contohnya:
Aprikot. Kiwi. Kismis. Buah tin. Strawberry. Prun.
Cara Nak Tentukan Buah Buahan Kering Yang Baik
Macam mana nak tahu yang mana ok yang mana tak?
PILIH YANG WARNANYA GELAP DAN BUKANNYA CERAH (KUNING/OREN/HIJAU/MERAH CERAH).
Aprikot yang kering semulajadi warnanya gelap. Bukan oren.
Kiwi juga begitu.
Kismis, ‘avoid’ terus yang warna kuning cerah tu. Pilih terus yang gelap/hitam kerana yang itu tiada sulfur dioxide digunakan.
Buah-buahan yang kering semulajadi, warnanya sedikit gelap.
Ini Pengalaman Sendiri
Teringat dulu pernah lepas makan aprikot dan kiwi kering, terus rasa sakit tekak dan ‘wheezing’, rasa susah nak bernafas.
Mulanya ingat kebetulan saja.
Tapi silap kita, selalu anggap kebetulan memanjang tanpa fikir kenapa jadi begitu, kan?
Buah buahan kering ni, lagi risau yang re-pack dan timbang tu.
Kat mana nak belek labelnya lagi, kan?
Sebab tu perlu tahu juga bab begini.
Nampak warna tak gelap, tak perlulah beli, ya.
Buah Tin/Aprikot Bebas Sulfur Dioxide
Jika anda ingin dapatkan yang selamat, cari yang berlabel
Tanggal 10 Julai 2016, bayi yang cukup dinantikan ibu bernama Siti Aishah Muhamad Razli, 28 disambut penuh kesyukuran. Bayi yang dipanggil Ayish ini dilahirkan cukup sempurna sifat dan kesihatannya.
Setelah berbincang, ibu bapanya sepakat menamakan permata hati mereka, Nor Muhammad Qalish Nor Hadi Qusyairi. Anak ini telah menginjak usia 1 tahun empat bulan.
Sesungguhnya panas yang diharap ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Dalam kenikmatan mengulit bayi yang baru berusia 30 hari, Aishah mula resah. Nor Muhammad Qalish mula menunjukkan kelainan yang ketara.
Tanpa membuang masa, ibu membawa anaknya ke hospital. Dan disahkan terkena jangkitan kuman RSV Virus. Membuatkan bayi itu diintubate selama tujuh hari dan selebihnya exrubate serta menggunakan oksigen biasa.
Tak lama anaknya beransur pulih. Hatinya lega dan berbunga riang apabila dapat pulang ke rumah. Selepas sembilan hari menerima rawatan di Hospital Pediatrik Sultanah Bahiyah, Alor Star (PICU), Nor Muhammad Qalish atau panggilan manjanya Ayish dibenarkan pulang.
Dengan pesanan doktor, “Seandainya Ayish sesak nafas lagi, dia perlu dibawa ke hospital dengan segera.”
Ayish Masuk Wad
Sekitar Disember, Ayish diserang demam panas. Biar pun telah mendapat rawatan di klinik dan mengambil neubelizer, demam Ayish tetap tidak surut malah dia mengalami sesak nafas.
Tiba-tiba Aishah teringat pesan doktor. Segera dia bawa Ayish ke Hospital Sultanah Bahiyah ke bahagian kecemasan pada 6 Disember 2016.
Alhamdulillah dengan rawatan neubelizer, pernafasan anaknya kembali normal tetapi perlu dengan bantuan oksigen.
Ayish perlu dimasukkan ke wad dan sekali lagi pada malamnya Ayish demam panas, malah dia juga didapati kekurangan oksigen. Keadaan itu memaksa Ayish ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Ayish perlu intubate dan diberi morphen untuk tenangkan dirinya.
“Sampel darah Ayish diambil untuk pemeriksaan lanjut. Keputusan doktor mengatakan anak saya kena jangkitan kuman yang amat kuat iaitu Adenovirus. Virus ini menyerang organ dalaman. Badan anak saya membengkak.
“Keadaan anak saya ketika itu kritikal dan tenat. Masa itu saya mengaku saya lemah dan pengsan selepas tahu keadaan anak saya.
“Selama tiga bulan Ayish intubate dan pernah diberi bantuan iaitu dengan mesin gegar untuk bukakan paru-paru dia.
“Kemudian, dalam masa dua minggu dia kembali dengan mesin bantuan ventilator tapi dengan kadar setting yang tinggi bagi pernafasan dia.
“Pernah juga doktor tukarkan ke bantuan oksigen biasa tetapi dia mampu bertahan untuk empat hari sahaja. Jadi doktor minta Ayish menjalani tracheostomi.
“Jika dia terus intubate akan mengakibatkan masalah pada saluran pernafasannya dan risiko tinggi. Kami keliru untuk pilih yang mana yang terbaik buat Ayish.”
Anaknya Ditebuk Leher Untuk Terima Bantuan Pernafasan
Setelah berbincang dengan suami, akhirnya kami mengambil keputusan untuk menurut kata-kata doktor kerana itu yang terbaik buat anaknya.
Memikir kata-kata orang sekeliling menambah lagi tekanan. Hinggakan Aishah disahkan tekanan darah tinggi dengan bacaan 189.
Setelah berdoa dan memohon petunjuk, akhirnya Allah permudahkan urusan Ayish menjalani pembedahan untuk menebuk lehernya dan diberi bantuan pernafasan melalui lehernya.
Anaknya menunjukkan perkembangan yang positif apabila tracheostomi tiada pendarahan. Lukanya pun beransur sembuh tetapi keadaan paru-paru Ayish tetap tidak berubah.
Serangan Virus C.R.E
Hati Aishah bertambah duka, bila doktor memaklumkan yang Ayish berisiko lumpuh kerana mengalami tekanan darah tinggi mencecah 159.
Pelbagai jenis ubat diberikan pada Ayish. Hari demi hari berlalu, setelah beberapa bulan di ICU , keadaan Ayish makin stabil.
“Tetapi kegembiraan kami tidak lama apabila pada bulan Jun tahun lalu, Ayish diserang virus C.R.E. dan dikuarantinkan selama dua minggu dan diberi ubat antibiotik.”
Walaupun Ayish telah bebas daripada kuman tetapi unit kawalan penyakit meminta anaknya dikuarantin selama setahun bermula hari pertama Ayish terkena jangkitan.
“Bayangkan selama setahun kami perlu tinggal di hospital. Biar pun penat, saya dan suami tidak pernah mengeluh. Kami redha dengan ujian ini.
“Setelah sekian lama, akhirnya pada 1 Disember 2017, anak saya dipindahkan ke Pedeatrik High Dependency Ward (PHDW). Tetapi anak saya masih on tracy iaitu masih diberi bantuan pernafasan melalui leher tapi dengan menggunakan mesin bypap.
“Sejak awal, doktor maklumkan anak yang on tracy memerlukan penjagaan rapi. Hingga saat ini, Ayish masih berada di hospital dan hampir setahun sebulan kami menginap di sini.
“Kami hanya mampu melihat Ayish riang dalam masa tiga bulan sahaja, selebihnya kami melihat badannya yang terbujur kaku.”
Setiap hari melihat keadaan Ayish yang terbaring di atas katil dan dari ekor matanya, jelas dia sedar kehadiran mak ayahnya.
Tiada panggilan ibu atau ayah. Momen syahdu ini hanya sekadar pandangan mata dan belaian lembut kami untuknya. Tiada suara tetapi cukup menghibakan hati.
Sudah tentu, Aishah 100% berubah sejak anaknya sakit. Dirinya yang sebelum ini periang, terus jadi murung, pendiam dan kerap menangis.
Dia juga tidak berselera untuk makan, hanya air kosong sepanjang menjadi santapan Aishah. Malam-malamnya juga tidak mampu untuk melelapkan mata apabila Ayish mengalami saat-saat kritikal.
Moga Ada Keajaiban Untuk Ayish Off Tracy
Sejak Ayish menjadi penghuni tetap di hospital, perhatian Aishah memang lebih banyak terarah kepada anak kecilnya berbanding dua lagi anaknya. Mujurlah dia tidak bekerja.
Suami pula yang bekerja di Selangor terpaksa berhenti kerja sejak Ayish sakit. Sekarang Aishah dan suami bergilir-gilir dalam wad menjaga Ayish.
“Saya juga mempunyai dua orang anak hasil perkahwinan sebelum ini dan masing-masing telah bersekolah. Mereka juga telah kehilangan bapa kandung dalam kemalangan awal Januari 2016.
“Selang beberapa bulan, bapa saya sendiri meninggal akibat tekanan darah tinggi. Jadi 2016, merupakan tahun yang amat sukar apabila Ayish juga dihinggapi penyakit ini pada tahun yang sama.
“Setiap kali lihat anak menangis, meronta kesakitan itu perit sekali rasanya. Air mata saya tertumpah setiap kali melihat Ayish menangis. Dan automatik akan senyum sekiranya Ayish senyum.
“Senyuman Ayish adalah pengubat kesedihan saya. Tetapi tiap kali air mata dia keluar, berjuraian jugalah air mata saya.
“Saya berharap Allah akan bagi keajaiban untuk Ayish supaya off tracy. Ayish akan cepat sihat dan sembuh macam anak-anak orang lain dan dapat menjalani kehidupan dia yang normal.”.
Bantulah Aishah Dan Anak Kecilnya Ini
Buat masa sekarang, Aishah dan suaminya hanya bergantung kepada pendapatan jualan yang mereka jalankan secara kecil-kecilan. Aishah menerima tempahan gubahan coklat bagi meneruskan kehidupan keluarga kecil ini.
Mungkin kala ini bebanan tidak begitu ketara kerana pihak hospital masih bekalkan keperluan Ayish.
Tetapi Aishah telah dimaklumkan, sekiranya Ayish dibenarkan pulang ke rumah, kos rawatannya memang tinggi kerana anak yang menjalani tracheostomi memerlukan banyak perkara antaranya steril untuk sedutan, tiub ryles tiub untuk penyusuan, set bagging dan susu Ayish sekarang adalah susu Pediasure yang agak mahal harganya.
Simpati dengan ujian buat keluarga kecil ini. Anda yang mahu menghulurkan bantuan dan meringankan beban mereka, bolehlah berbuat demikian menerusi akaun Bank Rakyat, 22-384-103292-1 atas nama Siti Aishah Muhamad Razli.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pelajar tingkatan tiga jatuh asrama kritikal, ibu rayu doa orang ramai anak kembali pulih. Tiada yang lebih menyakitkan daripada melihat darah daging sendiri terbaring...