“Ketika Sihat Dulu Bersama, Apabila Sakit Saya Tak Mahu Meninggalkannya” itulah niat murni dan nekad seorang suami yang menjaga isteri yang sedang lumpuh.
Kisah isteri setia disamping suami ketika sakit mungkin perkara biasa. Tapi kisah suami yang setia disisi isteri disaat suri hati sakit mungkin jarang sekali berlaku. Apatah lagi sakit yang tidak diketahui kesembuhannya, ia boleh dianggap pengorbanan yang luar biasa.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.Namun kasih sayang setulus hati suami ini tidak sesekali memudarkan rasa cinta dan rasa terbeban pada isterinya.
Isteri Lumpuh Sejak 3 Tahun Lalu
“Kasih sayang kepadanya tidak pudar, tidak terbeban uruskannya,” kata Kharudin Hamzah yang terpaksa berulang alik dari tempat kerja ke rumah setiap tengah hari bagi memastikan keperluan isteri terurus.
Khairudin, 58, menjaga isterinya, Hasmah Mohd Idrus, 55, yang lumpuh separuh badan sejak tiga tahun lalu dan anak lelaki tirinya berusia 33 tahun yang mempunyai masalah pembelajaran.
Hasmah yang sebelum ini berniaga nasi lemak diserang angin ahmar dan lumpuh separuh badan bahagian kanan, selain turut mempunyai penyakit darah tinggi serta kencing manis.
“Ayat terakhir isteri panggil ‘abang’ sebelum badannya lembik. Dia menjalani pembedahan mengeluarkan darah beku dalam kepala dan koma dua minggu, tetapi kini sudah hilang upaya dan bicaranya juga sudah tidak selancar dahulu.
“Namun, semua itu tidak melenyapkan rasa kasih saya kepadanya. Saya akan terus jaga walau sesukar mana pun kehidupan kami kerana ketika sihat dulu, kami bersama dan apabila dia sakit saya tidak mahu meninggalkannya,” katanya.
Dia ditemui ketika dikunjungi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Belanja, Khairudin Abu Hanipah yang turut menyampaikan sumbangan di Kampung Padang Bola, di sini, semalam.
Ads
Uruskan Isteri Setiap Hari
Khairudin yang patah kaki kanan selepas kemalangan motosikal di Bukit Berapit pada Ogos tahun lalu, berkata dia akan memberi makan dan minum, memandikan serta menukar lampin pakai buang isterinya setiap hari.
“Saya ambil upah sebagai tukang dan kerja kampung, jadi tidak setiap hari berkerja. Namun apabila keluar bekerja, saya akan balik rumah pada tengah hari untuk beri isteri makan.
“Pembedahan memasukkan besi dalam kaki saya yang patah ditangguhkan kerana situasi pandemik ketika ini. Kalau ikutkan, kaki tak berapa kuat, tapi saya gagahkan juga diri demi keluarga, sekarang bertukang pun buat kerja ringan,” katanya sambil memberitahu pendapatannya tidak menentu, sekitar RM700 sebulan.
Dia mendapat bantuan susu dan lampin pakai buang setiap tiga bulan sekali daripada Baitumal, selain Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.
Sementara itu, Khairudin berkata, keluarga berkenaan antara penduduk kurang berkemampuan di kawasan Belanja yang sering dibantu pihaknya melalui bantuan kewangan dan kotak makanan, selain lampin pakai buang dan wang tunai semalam bagi meringankan beban mereka.
Mingguan Wanita:Besar pengorbanan suami ini susah senang bersama, tetap setia menjaga isteri sakit dan tak pernah rasa terbeban dengan keadaan tersebut. Semoga kasih sayang pasangan ini berkekalan hingga ke syurga.
Bagi yang mengikuti akaun instagram Bujibu Chempel,pasti terhibur dengan keletah bersahaja, aksi mencuit hati serta mimik muka ‘sombong’ kucing paling terkenal ni Malaysia ini. Kucing dari baka ‘British Short Hair’ berasal dari Russia ini, memiliki lebih 1.1 juta pengikut akaun serta merupakan ‘anak sulung’ bagi pasangan selebriti Hairul Azreen dan Hanis Zalikha.
Menurut Hanis yang telah membela Bujibu sejak tiga tahun lalu, kucing ini diperolehi daripada kawan baiknya Johan Eskandar yang juga merupakan pemilik studio Johan and His Cats.
Pasangan selebriti Hanis Zalikha dan Hairul Azreen ini pada awalnya tidak pernah menyangka tujuan membuka akaun Instagram untuk kucing kesayangan mereka itu mampu meraih perhatian ramai pengikut.Mereka memuat naik gambar-gambar kucing peliharaannya itu sebagai satu perkongsian memori kepada peminat kucing.
“Tak fikir langsung Bujibu akan diminati sehingga mencatatkan sejuta pengikut di Instagram. Masa awal-awal saya dan Hairul buka akaun laman sosial tu sekadar nak berkongsi sahaja.
“Saya memang tertarik dengan wajah Bujibu dan keletah dia tu buat kami sekeluarga rasa tenang dan gembira. Malah, tak dinafikan juga ramai yang tengok video Bujibu sebab nak kurangkan tekanan.
Menurut Hanis lagi, meskipun pada mulanya, Hairul agak fobia kerana pernah dicakar kucing sebelum ini, tetapi saat pertama kali dipertemukan dengan bujibu, Hairul rasa selesa dengan karakter Bujibu, dan terus bersetuju untuk memeliharanya.
Bujibu Sebahagian Ahli Keluarga
Bujibu sememangnya bertuah, apabila pasangan Hairul dan Hanis ini sangat menyayanginya dan menganggap sebagai sebahagian ahli keluarga. Malah hubungan mereka dengan kucing ini begitu rapat, Jika tidak, masakan Yusuf sering dipanggil ‘adik’ dan Bujibu dianggap sebagai ‘Abang’, memandangkan Bujibu terlebih dahulu memeriahkan keluarga ini sebelum lahirnya Yusuf.
“Saya dan Hairul memang sukakan kucing dan sangat sayangkan Bujibu. Waktu sebelum Yusuf Iskandar lahir lagi kami dah bela Bujibu dan mengganggapnya ‘abang’ kepada Yusuf. Dia dah jadi sebahagian daripada keluarga kami,”
Mewah & Manjakan Bujibu
Dalam pada itu, Hanis turut berkongsi penjagaan rapi dan keperluan harian yang diperuntukan oleh Bujibu yang seberat hampir enam kilogram itu.
“Saya memang mewahkan dan manjakan dia. Dari dulu kami berikan dia makanan yang terbaik seperti Fancy Feast. Kalau kami keluar bekerja, penghawa dingin akan sentiasa dibuka khas untuk Bujibu. Dia seekor kucing yang suka menonton televisyen sebab dia suka lihat benda bergerak.
“Malah, sebulan sekali kami akan bawa Bujibu ke salun penjagaan kucing.Jika kami bercuti, Bujibu turut dihantar ke hotel.Bujibu seekor kucing yang sangat mudah dijaga dan antara pengerat hubungan saya dan keluarga,”
Hadiah Bermakna Bujibu
Sempena Ulang tahun Kelahiran Ketiga pada 13 Februari, perlantikan sebagai duta kepada Purina, Fancy Feast jenama makanan haiwan peliharaan yang terkenal dan berkualiti merupakan hadiah bermakna buat Bujibu.
“Setiap tahun kami akan meraikan ulangtahun Bujibu.Tahun yang pertama, kedua disambut secara kecil-kecilan bersama keluarga dan tahun ketiga ini sangat istimewa kerana Bujibu raikannya bersama dengan ‘kawan-kawannya’ yang lain,kata Hanis ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Jadi Bujibu yang diadakan di pusat perlindungan haiwan Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA).
Didalam posting instagram Hanis pula, turut ada menzahirkan rasa gembira atas penghormatan Bujibu sebagai duta Fancy Feast ini.Malah tersentuh hati melihat gelagat Yusuf yang penyayang terhadap kucing-kucing lain kerana’didikan’ Bujibu. Hanis juga bersyukur dan menganggap Yusuf dan Bujibu merupakan rahmat dalam keluarga kecil mereka.
“I am bursting with pride and joy. Hari ini Bujibu diberi penghormatan menjadi duta untuk produk ‘gourmet food’ kucing iaitu Fancy Feast. Bujibu sedari kecil memang dimewahkan dan dimanjakan, jadi birthday Bujibu yang ketiga, kami sekeluarga ingin berkongsi buat kucing-kucing di pusat perlindungan untuk merasa ‘gourmet food’ kegemaran Bujibu. Terima kasih Fancy Feast & SPCA kerana menjadikan majlis ini amat bermakna. Paling manis sekali, melihat Yusuf semangat sangat-sangat nak bagi kucing-kucing di pusat perlindungan tuh makan. Dia siap tolak-tolak mangkuk tuh ke arah kucing sambil kata “nah, nah”. Pastu sibuk nak tuang lagi banyak-banyak. I feel like Bujibu has taught you so much, Yusuf. He has taught you love & kindness. He has made you such a caring little man. To top it off, all these are being documented in #MyLittleHeroes #YusufBujibu (Astro Ria) for us to look back together one day. You two are such blessings for our little family.
Masalah menantu dengan mak mentua seakan tiada kesudahannya. Kalau yang baik, baiklah tapi kalau yang hubungan sentiasa sahaja ‘panas’ memang akan terus berlarutan. Ramai menantu yang mungkin tak sebulu dengan mentua atas alasan kerana suami jenis anak mak atau disebabkan mentua terlalu cerewet.
Menantu Tak ‘Ngam’ Dengan Mak Mentua
Sebenarnya ada banyak cara yang lebih manis untuk anda dekat dengan hati mentua, malah sekelip mata akan disenangi di kalangan ipar-duai. Kenapa perlu pilih jalan negatif kalau cara positif dan hasilnya semua bahagia dalam hubungan kekeluargaan.
Ini Cara Rapatkan Balik Hubungan Yang Suam-suam Kuku
Jom ikut cara ini:
1. Elak Tanggapan Buruk
Wanita selalu bersangka buruk dengan ibu mertua kerana perasaan takut tidak dapat menjadi isteri yang baik kepada anaknya. Sebab pemikiran inilah yang membawa kepada aura negatif. Cuba anda bersangka baik dengan ibu mertua anda, pasti semua akan baik-baik sahaja.
2. Belajar Kenal Ibu Mertua
Di awal perkahwinan, belajarlah untuk lebih mengenali sikap ibu mertua. Tanya kepada pasangan, apa yang disukai dan dibenci oleh ibunya. Ketahui bagaimana mertua anda sebenarnya dan kemudian barulah anda mengikut rentaknya. Namun anda juga harus lebih sopan dan tertib kala bersama dengannya.
3. Samakan Dengan Ibu Sendiri
Jalan paling mudah, letak status hormat di depan. Mesti semua perkara jadi senang. Kalau saat berdepan dengan bebelan ibu kandung sendiri, anda mampu. Pasti kes melibatkan teguran daripada mentua dapat ditelan dengan baik. Layanlah dia dengan sempurna dan hormatilah dia dengan sebaiknya. Allah sudah menjanjikan pahala dan rahmat jika kita ikhlas dalam memberikan yang terbaik untuk orang tua.
4. Bertolak Ansur
Hubungan kekeluargaan perlu dilengkapkan dengan sifat tolak ansur yang bukan sedikit. Biarpun dihimpit waktu dan kerja yang padat, cubalah memberikan ruang untuk bersama mereka. Bertolak ansur dalam apa jua permasalahan pasti buat hubungan lebih harmonis.
5. Ambil Hati Ibu
Berusahalah untuk mengambil hati mentua walau payah. Lebih senang, pulang untuk menjenguk ibu di kampung. Semakin kerap anda meluangkan masa semakin baik hubungan yang cuba dijalinkan. Mendekatkan ibu mertua dengan cucu-cucunya sudah pasti buat ibu lebih gembira.
6. Hadiah Sampingan
Tidak hanya ambil hati, anda juga harus bijak mencuri hati kecilnya. Biarkan hatinya tersentuh dengan pemberian ikhlas anda. Hadiah berupa barangan kesayangan dan kegemaran ibu mertua pasti buat hatinya gembira dan lembut. Namun ingat, hati perlu ikhlas. Jangan pula sudah memberi, anda mengungkit!
7. Pekakkan Telinga
Hati orang tua banyak ragamnya. Ada sahaja perkara yang tidak kena pada matanya. Sebagai menantu, pekakkan sahaja telinga dan usahlah disimpan dalam hati akan apa jua patah perkataan yang keluar daripadanya. Anggap sahaja segala hal positif dan anda sendiri perlu tenang saat terima arahan atau mungkin secebis nasihat. Tak perlu berdalih, sekali pun rasa salah lebih baik belajar menerima.
8. Kurangkan Lawatan
Jika anda dapat kesan emosi mentua kurang baik atau keadaan anda dan ibu mertua kurang baik, ada baiknya kurangkan sesi lawatan ke rumahnya. Cukup hanya sebulan atau dua bulan sekali. Itu pastinya lebih selamat dan pasti lebih menjaga hubungan.
9. Jadikan Kawan
Ibu mertua yang cerewet tidak kena pada gayanya memang buat sakit hati. Ubah angin dan rentak hubungan anda dengan menjadikan ibu mertua seperti kawan. Berkongsilah apa sahaja dengannya asalkan tidak melampaui batas. Cubalah berinteraksi secara baik. Ajak ibu mentua keluar membeli belah atau makan bersama tanpa suami. It’s girl time! Hebat, bukan?
10. Bercuti Bersama
Sesekali ajaklah ibu mertua untuk turut bercuti bersama anda sekeluarga. Tidak salah rasanya menggembirakan hatinya. Ada kalanya dia juga perlukan rehat sambil melihat dunia luar. Hatinya yang keras pasti mampu dilembutkan jika anda selalu bersamanya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Berbanggalah jadi surirumah kerana ramai wanita yang bekerjaya juga mahu duduk di rumah besarkan anak sendiri jika bersempatan. Masing-masing ada peranan dalam meneruskan hidup. Jika sudah tersurat, mak-mak bergelar seorang surirumah, pasti sahaja ada hikmahnya.
Begitu juga dengan mak-mak yang bekerjaya, sudah tentu mereka juga mempunyai peranan di syarikat atau kepada masyarakat. Hidup mengikut ketentuan yang Allah telah tentukan.
Ikuti perkongsian Syahirah Omar dan hadam baik-baik ya. Jangan mudah terpengaruh dengan kata-kata orang.
Pernah juga,
Rasa teruknya jadi surirumah ini.
Waktu tengah struggle dulu, dengan anak-anak masih membesar dan menuntut perhatian, tiba-meniba aku rasa nak sambung belajar. Tengok kawan-kawan sudah bergelar Dr falsafah, aku?
Ada kat rumah tengah lap kencing berak anak.
Rasa loser sangat! Pressure satu macam. Tak ada life duduk rumah!
Ramai Wanita Juga Teringin Duduk Di Rumah
Aku pun hendak berjaya. Aku hendak jadi seperti mereka. Tetapi hendak berjaya juga perlu pengorbanan bukan? Pengorbanan masa. Pengorbanan bersama keluarga. Mungkin mereka sendiri tak pernah meluah rasa dengan kita. Hakikatnya, kita cuma lihat luaran saja.
Makin tua ni barulah dapat berfikir.
Kita semua boleh berjaya dalam bidang masing-masing. Dan jika ditakdirkan kita duduk di rumah jaga anak sekalipun, kita juga boleh berjaya mendidik anak-anak kita.
Kalian tahu berapa ramai yang nak sangat mahu saja duduk di tempat kita besarkan anak anak dengan sendirinya? Cuma mereka terpaksa bekerja.
Kita berbisnes dari rumah bantu kewangan keluarga, kita juga patut berbangga dengan diri kita. Kita hebat sebenarnya. Bukan senang tau duduk rumah, kerja lagi dari rumah. Semua sudah merasa musim PKP hari itu kan?
Biarpun pendapatan kita bukan mencecah angka 1 juta. Tak mengapa. Lagipun kita bukan warganegara Indonesia. Duit juta-juta sekelip mata. Tidak kaya bukan bermakna kita sambil lewa, kita ada komitmen luar biasa, support system kita semua tak sama.
Hari ini,
kita tengok diri kita. Masih survive. Masih hidup biar ujian yang datang kita menangis terduduk bagai nak gila. Kita masih lagi survive. Ada saja Tuhan beri kita jalan keluar.
Persetankan saja mereka yang bercakap itu ini.
Biar saja mereka!
Hidup ini kau boleh mati kalau dengar cakap cakap manusia.
Pesan orang tua,
Gembira jangan sampai terlupa.
Bahagia jangan sampai alpa.
Hidup ini ujian.
Bila susah itu ujian.
Bila senang itu juga satu ujian.
Saat kau menggunung atau melangit,
Jangan sesekali lupa untuk terus tunduk ke bumi.
Esok lusa kita tak tahu apa ujian Tuhan nak beri.
MW: Bersyukurlah dengan takdir hidup yang telah Allah tentukan. Pasti ada hikmah di sebalik setiap satu kejadiannya. Tak kisahlah anda seorang suru rumah atau bekerjaya, anda tetap berkorban dan memberi sumbangan pada keluarga dan orang lain.
Inkues Zara Qairina bermula 3 September 2025, seramai 195 saksi dirakam percakapan. Mahkamah Koroner Kota Kinabalu menetapkan prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian pelajar...