Ketika nikmati saat bahagia, cukuplah hanya insan terdekat saja tahu. Tanamkan rasa syukur dengan setiap apa yang Allah kurnia dan cukupkan.
Tidak semua keinginan kita Allah makbulkan, kerana Dia tahu apa yang kita perlu, bukan apa yang kita mahu.
Ikuti perkongsian sarat nasihat daripada Ustazah Asma’ Harun ini dan hadam baik-baik.
Ketika Nikmati Saat Bahagia
CUKUP
Walaupun ketika kita menikmati saat bahagia dan hanya insan terdekat sahaja yang tahu, ia cukup.
Saat kita melihat kejayaan demi kejayaan anak atau prestasi dalam pekerjaan, perniagaan atau kehidupan, kita dan hanya insan terdekat yang tahu, ia cukup.
Saat kita sakit atau dalam ujian, dan kita sangat struggle menguruskannya, hanya diri atau insan terdekat sahaja yang tahu, maka ia cukup.
Sebenarnya, apa sahaja cerita dalam hidup kita atau orang lain, ukuran utamanya kita menikmati dan mensyukurinya pada Ilahi dengan menjadi hamba yang mentaati-Nya dengan hati dan diri.
Bukanlah bila ada yang tidak pernah berkongsi tentang kebaikan suaminya bermaksud suaminya tidak membahagiakan. Tidak berkongsi kecemerlangan atau pujian terhadap anak bukanlah bermaksud anak mereka tidak membanggakannya.
Tidak berkongsi tentang prestasi dan kualiti hidup mereka, maka dianggap tidak mendaki tangga kejayaan.
Hanya Insan Terdekat
Ramai dalam kalangan kita yang berjaya dan bahagia tapi tidak berkongsi di media sosial, mereka rasa cukup dengan menikmati dan mensyukurinya dalam ruang mereka sahaja.
Ads
Namun tetap memuji dan mengucap tahniah kepada yang berkongsi, dalam hatinya tiada rasa iri hati atau mencemuh, kerana faham semua orang ada cara dan tujuannya.
Sebahagian kita suka atau sekali sekala berkongsi bukan kerana suka menunjuk atau memuji diri, namun boleh jadi kerana ingin beri ilham atau contoh kepada yang memerhati.
Saya bila melihat dan membaca posting sahabat atau secara random yang kenal atau tidak, saya selalu memerhati sesuatu dengan dalam, hingga banyak tindakan dan keputusan yang dibuat hasil pemerhatian , muhasabah dan kajian tidak rasmi di Media Sosial.
Tuan Puan,
Kembali kepada tajuk, bahaya apabila nilai rasa cukup semakin susah untuk dicapai, contohnya, ramai yang mula rasa bahawa ucapan dan doa yang tulus sahaja tidak cukup untuk satu hari istimewa seperti hari lahir atau ulang tahun pernikahan.
Media sosial sangat mempengaruhi diri dan generasi, sedangkan dulu kita ok sahaja bila tiba hari lahir, hanya dapat doa dan ucapan, kita tidak tahu jiran rumah sebelah atau kenalan yang jauh dapat apa ketika hari lahir mereka.
Ada waktunya, untuk melatih rasa cukup pada diri dan anak dan memberi rasa manis walaupun ketika tidak dapat apa yang dibayangkan adalah dengan ilmu.
Ads
Iya, saat hari lahir anak tiba, ada waktu disambut dengan sedikit majlis bersama keluarga kecil kami dengan hanya sebiji kek, ada waktunya tiada apa-apa.
Lalu dijelaskan bahawa kek itu tidak mesti, yang wajib adalah mensyukuri Allah dan berterima kasih pada Umi dan Abi serta siapa yang telah bersama sehingga saat ini. Berkenaan hadiah atau majlis, kita selalu bersama dan sentiasa saling memberi itu lebih utama.
Bila angguk dan senyum, maksudnya dia faham. Dan biasa saya beri juga hadiah bukan kerana hari lahir, tetapi kerana anak itu semakin matang.
Ada waktunya, ramai pekerja tak rasa cukup dengan apa yang dia dapat daripada majikan sama ada gaji, penghargaan atau layanan. Kerana luasnya batasan rasa cukup itu dinilai daripada perbandingan dengan apa yang dilihat dan didengar daripada individu lain.
Begitulah pula majikan, juga mengalami isu yang sama.
Maka, disinilah pentingnya bagaimana ada ketikanya mencari sebab lain untuk manisnya rasa cukup.
Ads
Contoh, pasangan tidak seperti yang kita impikan, jauh sangat daripada apa yang dibayangkan, namun dia mudah membantu apabila diminta, walaupun yang kita harap pasangan sendiri tahu apa yang perlu dibuat tanpa diminta, namun sekurangnya dia bukan menolak!
Begitulah, ada ketika jika tak rasa cukup kerana keinginan, maka cukupkan kerana kesyukuran.
Nukilan daripada Bumi Makkah alMukarramah.
Asma’ binti Harun
Mingguan Wanita : Bersyukurlah dengan apa yang kita ada, tak perlu hebohkan satu dunia kita terpaling bahagia, terpaling berjaya.
Pernah tak dalam rumahtangga ada ketika serba tak kena, tiba-tiba rasa benci, kadang rasa nak marah tak tentu pasal, kerap prasangka buruk pada pasangan, isu kecil pun boleh jadi isu besar. Ia berlarutan berhari-hari. Malah hubungan pun mula lah jadi dingin. Tengok muka pasangan pun rasa meluat, tapi dalam hati rasa sayang dan bila berjauhan rasa rindu! Hah, bila keadaan ini berlaku, salah satunya adalah berpunca daripada jin/ syaitan penghasut yang bernama “Dasim”.
Selain itu, ia juga boleh jadi berpunca daripada gangguan sihir pemisah. Mungkin ada yang rasa cemburu, hasad dengki dengan kebahagiaan rumahtangga yang dimiliki.
Menurut Ustaz Norazri Medzlan dari Pusat Rawatan syifa An-Nur Cawangan Jengka, dalam perubatan Islam ada ayat tertentu yang boleh diamalkan untuk ‘membatalkan’sihir ini. Baca berulang kali selepas solat agar terhindar daripada sihir ini.
Berikut perkongsian daripada Ustaz Norazri Medzlan sebagai panduan.
“Suami isteri kalau tiba-tiba tanpa sebab rasa benci di antara satu sama lain, hubungan menjadi dingin, ada sahaja yang tidak kena didalam rumahtangga. Berlarutan sehingga berhari-hari. Bacalah surah Al-Baqarah Ayat 102 berulang kali setiap kali selepas solat.”
“Didalam perubatan islam ayat ni adalah sebagai ayat pembatal sihir iaitu sihir pemisah. Jika anda membaca ayat ni anda merasa sesuatu pada tubuh seperti pening, panas, bedebar-debar, loya atau muntah. Kemungkinan tubuh anda mempunyai gangguan makhluk halus (jin). Segera ke pusat rawatan islam untuk mendapatkan rawatan.”
Maksudnya:
“Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)”.
“Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui.”
MW: Semoga perkongsian doa ini bermanfaat dan dijadikan amalan. Semoga rumahtangga kita terhindar daripada hasad dengki dan cemburu manusia, kerana bahayanya sihir pemisah ini yang boleh meruntuhkan rumahtangga yang dibina.
Tidak kiralah dengan sesiapa pun, jika mak, ayah buat salah cepat-cepat minta maaf. Beralahlah walaupun bukan kita puncanya semata-mata untuk memulihkan hubungan. Tidak salah rendahkan ego dan meminta maaf.
Hari-hari kita buat salah dengan Allah. Hari-hari pula kita merintih merayu supaya Allah ampunkan dosa kita. Tanpa rasa jemu. Tanpa rasa malu.
Namun, itu tak sesekali menjadikan kita manusia hina. Bahkan kita jadi lebih mulia. Bahkan ia mengangkat darjat dan martabat kita di sisi-Nya.
Ada kala kita buat salah dengan manusia secara spesifik. Kita kena cepat-cepat minta maaf dan mengaku salah kita. Takut nanti tak sempat. Takut nanti ada salah seorang daripada kita yang mati dulu.
Jangan dipelihara rasa sombong dan ego kita. Beralahlah walaupun ada kalanya kita bukanlah puncanya pun. Itu akan memulihkan hubungan kita yang mungkin retak jika dibiarkan berlama-lama.
Minta Maaf dan Mengaku Salah
Terkadang juga kita buat salah dengan manusia secara umum. Tambah pula kalau kita ini figura masyarakat, selebriti, ahli politik dan tokoh agama.
Usah dibelit-belit lagi jika ternyata memang ianya salah kita. Usah dicari-cari dalil dan dalih untuk membenarkan tindakan kita. Sehingga kita terpaksa berbohong ke sini dan ke sana.
Yang salah itu salah. Walau macamana caranya sekalipun kita berusaha untuk justify, ia tetap salah.
Jangan cari salah orang untuk tutup salah sendiri. Sampai tergamak tuduh orang sana sini. Hingga tak tersedar boleh jadi fitnah dan caci maki.
Jangan salah guna ayat Al-Quran untuk kepentingan diri. Tafsir dan hurai ikut sedap hati. Reka dan tokok tambah fakta ikut nafsu. Itu namanya menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah.
Jangan petik hadis Nabi Muhammad SAW untuk sokong kelemahan diri. Pusing sana, sini juga supaya kena dengan kita dan selera kita. Selongkar juga sampai tak kira sudah hadis tu apa statusnya. Ini memang perbuatan terkutuk lagi terkeji.
Mengaku salah. Minta maaf. Jangan diulang lagi. Itu saja caranya.
Orang yang suka mengaku salah, itu orang hebat. Hebat dunia, hebat akhirat.
#KAB
MW: Ternyata orang yang mengaku salah dan sering meminta maaf adalah orang yang hebat. Percayalah.
Setiap kali Ramadan akan melabuhkan tirai, kita berdoa meminta Allah SWT lanjutkan usia serta dianugerahi kesihatan yang baik, mudah-mudahan dapat bertemu Ramadan akan datang. Ya, kita jarang memohon doa seumpama itu pada waktu-waktu lain, namun Ramadan mempunyai daya tarikan tersendiri untuk kita berbuat demikian.
Itulah kemuliaan Ramadan. Kehadirannya amat dinantikan setiap muslim mukmin yang faham erti kemuliaan Ramadan bagi meraih kebahagiaan hidup duniawi dan ukhrawi, meraih pahala berlipat kali ganda.
Ramadan memberi peluang untuk setiap muslim mukmin meraih ganjaran daripada Allah SWT demi mencari kejayaan dan kebahagiaan yang hakiki lagi abadi. Sejak awal bulan Rejab lagi Rasulullah s.a.w menyuruh umatnya berdoa, “Ya Allah, berkatilah hidupku pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah aku (untuk terus hidup) ke bulan Ramadan.”
Maka sangat beruntung bagi insan-insan yang diberi kesempatan hidup pada bulan Ramadan kali ini. Rasa syukur itu harus dibuktikan dengan amal soleh yang disyariatkan Islam bagi memenuhi ruang masa di sepanjang Ramadan yang penuh kemuliaan ini.
Bukti Kecintaan Ilahi
Ramadan memperlihatkan tentang ketinggian kasih sayang (sifat al-Rahman dan al-Rahim) Allah SWT kepada manusia. Ramadan dengan segala kebaikannya dianugerahkan khusus untuk umat Nabi Muhammad s.a.w yang amat dikasihi-Nya, umat akhir zaman yang singkat usia tetapi boleh menyamai amalan umat terdahulu yang panjang usia mereka.
Sebulan Ramadan merupakan puncak limpahan kasih sayang Allah SWT untuk semua insan khusus kepada hamba-hamba-Nya yang ikhlas berkorban demi mencari keredaan-Nya. Manusia dan dosa memang tidak dapat dipisahkan. Sempena kedatangan Ramadan, Allah SWT menawarkan peluang pengampunan dosa untuk setiap hamba-Nya yang ikhlas dan bersungguh-sungguh mahukan segala kesalahannya diampunkan. Mereka menyedari bahawa pengampunan dosa daripada Allah SWT merupakan limpahan kasih sayang-Nya.
Bersihkan Diri
Makanya tempoh sebulan Ramadan merupakan peluang terbaik untuk setiap insan kembali membersihkan diri daripada dosa dengan bertaubat kepada-Nya. Ini peluang untuk insan kembali kepada sifat fitrah yang pernah dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w seumpama seorang bayi yang baru dilahirkan ke muka bumi.
Teringat kita kepada hadis Rasulullah s.a.w yang sangat masyhur tentang Ramadan, “Bulan Ramadan, awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya keselamatan daripada azab api neraka”.
Sabda baginda yang lain, “Barang siapa berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan maka akan diampunkan segala dosanya yang terdahulu.”
Justeru itu, rebut peluang ini dengan memperbanyakkan istighfar, memohon keampunan atas kesalahan dahulu. Segala kesalahan mohon Allah SWT ampunkan, yang kecil, yang besar, yang dilakukan secara sengaja atau tidak sengaja. Maka mohonlah keampunan dengan sepenuh keinsafan serta menanam keazaman untuk tidak mengulanginya lagi.
Pengorbanan
Setiap insan pasti akan kembali menghadap Ilahi suatu hari nanti. Atas maksud itu, setiap insan harus berusaha memperbanyakkan amal soleh sebagai bekalan untuk kehidupan ukhrawi nanti.
Ambil peluang yang ditawarkan pada bulan Ramadan ini dengan ganjaran kebaikan yang tiada pada bulan-bulan yang lain. Rebut lah segala kelebihan yang dijanjikan Tuhan di sepanjang Ramadan. Allah SWT kurniakan Lailatul Qadar di mana ganjarannya lebih baik daripada seribu bulan.
Rasulullah s.a.w memotivasikan para sahabat dengan menyebut bahawa pahala ibadah digandakan sehingga seribu kali ganda, pahala amal sunat digandakan menjadi pahala wajib. Pintu syurga dibuka luas dan pintu neraka ditutup rapat.
Semua iblis dan syaitan dibelenggu supaya tidak ganggu manusia. Sehubungan itu, selalulah bermuhasabah tentang matlamat asal kehidupan ini. Matlamat yang kita ingin capai adalah kehidupan akhirat yang hakiki dan kekal abadi. Awasi diri agar tidak tertipu oleh kehidupan duniawi yang sementara dan penuh tipu-daya ini. Kekalkan diri secara istiqamah dengan matlamat hidup yang diajar oleh Rasulullah s.a.w.
Justeru itu, kedatangan Ramadan kali ini perlu disambut dengan kesyukuran dan kegembiraan kerana Allah SWT masih mengasihi kita. Kegembiraan hati ini merupakan lambang keyakinan dan keikhlasan kita menghambakan diri kepada-Nya. Mohonlah agar kita direzekikan kekuatan fizikal, emosi dan spiritual untuk beramal soleh di sepanjang Ramadan tahun ini, insya-Allah.
Artikel sumbangan: Dr. Muhammad Jantan, Perunding Motivasi & Psikologi RMJ Holistic Solution, yang juga kolumnis ruangan Mencari Keredaanmu di dalam majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pelajar tingkatan tiga trauma dipercayai Dirogol dua pelajar senior di dalam kelas dan dirakam video. Seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah dilaporkan mengalami trauma teruk dan enggan ke sekolah selepas dipercayai menjadi mangsa rogol bergilir-gilir oleh dua pelajar lelaki senior.