
Kesedaran kanser payudara meningkat, hampir 20,000 wanita jalani saringan awal – Dr Dzulkefly. Usaha meningkatkan kesedaran wanita terhadap kepentingan saringan awal kanser payudara menunjukkan hasil positif apabila 19,678 wanita telah menjalani saringan dalam tempoh kurang sebulan, antara 1 hingga 24 Oktober 2025.
Angka ini hampir mencapai sasaran 20,000 wanita yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tempoh Oktober hingga Disember tahun ini. Ia sekaligus membuktikan kesedaran wanita Malaysia terhadap pentingnya pemeriksaan awal semakin meningkat.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, KKM akan meneruskan usaha memperluas capaian saringan dan meningkatkan pengesanan awal menerusi inisiatif Post-Pink October.
“Walaupun Pink October bakal melabuhkan tirainya, semangat solidariti untuk menyebarkan mesej kesedaran perlu diteruskan. KKM akan memastikan lebih ramai wanita tampil menjalani saringan payudara bagi mengesan penyakit lebih awal,” katanya.

Tambah beliau, kanser payudara kekal sebagai kanser utama di Malaysia dengan lebih 50 peratus kes dikesan pada tahap tiga dan empat yang menunjukkan kepentingan saringan awal dalam menyelamatkan nyawa.
Larian Pink Ribbon Run 2025 Jadi Lambang Solidariti
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Pink Ribbon Run 2025 yang dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin di Dataran Wawasan, Putrajaya.
Dengan tema “Bersatu Demi Wanita: Sebarkan Kesedaran, Selamatkan Nyawa”, acara ini menjadi penutup rasmi kempen Bulan Kesedaran Kanser Payudara 2025, menghimpunkan 900 peserta daripada pelbagai latar belakang sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan wanita melawan kanser.


Program ini turut menampilkan promosi kesihatan, sesi Sembang Wanita Xtra, dan pemeriksaan saringan percuma khas untuk golongan B40, bagi memperluas akses pemeriksaan dan menggalakkan lebih ramai wanita mendapatkan rawatan awal.
Komitmen KKM: Terus Lindungi Kesihatan Wanita
Walaupun Pink October melabuhkan tirainya, KKM akan meneruskan aktiviti di bawah inisiatif Post-Pink October bagi memastikan mesej kesedaran dan aktiviti saringan kanser payudara diteruskan sepanjang tahun sebagai komitmen KKM untuk memperkukuh akses saringan, meningkatkan rawatan dan memastikan setiap wanita di Malaysia mempunyai peluang untuk dikesan serta dirawat dengan lebih awal.

“Kerjasama erat antara semua pihak membuktikan bahawa kesedaran dan tindakan bersama berupaya memperkukuh dan memperkasa program pencegahan dan kawalan kanser serta memperluas capaian saringan kanser payudara di seluruh negara. Ini selaras dengan nilai MADANI – Kesejahteraan dan Ihsan.”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!




