Kes bunuh pelajar Kolej Vokasional: 1 dipenjara seumur hidup, 12 dipenjara selama diperkenan TYT. Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 kali sebatan ke atas seorang bekas pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu berusia 20 tahun selepas didapati bersalah membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, pada Mac tahun lalu.
Kes Bunuh Pelajar Kolej Vokasional: 1 Dipenjara Seumur Hidup, 12 Dipenjara Selama Diperkenan TYT
Hakim Datuk Duncan Sikodol pada prosiding penetapan hukuman hari ini turut memerintahkan 12 tertuduh yang masih di bawah umur dipenjara selama diperkenankan Yang Dipertua Negeri Sabah atas kesalahan sama.
Pada 22 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Tawau memutuskan 13 remaja berusia antara 16 hingga 19 tahun terbabit bersalah membunuh Mohamad Nazmie Aizzat.
Ads
Hakim Duncan ketika membacakan keputusan itu berkata semua tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Mereka dituduh bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat, 17, di bilik asrama kolej berkenaan pada jam 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac tahun lalu.
Mohamad Nazmie Aizzat atau lebih mesra dengan panggilan ‘Ijat’ ditemui mati selepas disyaki dipukul beramai-ramai oleh 13 rakan di bilik asrama 7 Resak dan 5 Belian antara jam 9 malam pada 21 Mac sehingga jam 7.38 pagi pada 22 Mac, di kolej berkenaan.
Ads
Kejadian disyaki berpunca perselisihan faham berhubung isu kehilangan wang milik dua daripada 13 tertuduh.
Peguam ibu Zara Qairina nafi terima arahan saman doktor terkenal – “Tidak betul..” Peguam kepada Noraidah Lamat, 45, iaitu Hamid Ismail, menegaskan bahawa khabar angin yang tersebar di media sosial mengenai tindakan saman terhadap seorang doktor terkenal adalah tidak benar.
Menurut Hamid, kenyataan yang mendakwa anak guamnya mengarahkan beliau memfailkan saman itu tidak berasas.
“Tidak betul (kenyataan itu),” katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Sejak awal pagi Jumaat, beberapa hantaran di Facebook mula tular dengan dakwaan kononnya keluarga kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13, akan mengambil tindakan undang-undang terhadap doktor tersebut.
Antara hantaran tersebut berbunyi, “Terkini! Ibu Zara Qairina arah peguam saman seorang doktor terkenal” dan “Memang dia terjun sendiri – Keluarga Zara Qairina bakal saman doktor”.
Untuk rekod, pada 16 Julai lalu, Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu, dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar. Mangsa ditemukan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia sehari kemudian di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).
Kematian remaja ini mencuri perhatian ramai, termasuk di media sosial, apabila ia dikaitkan dengan dakwaan berlakunya kes buli di sekolah berkenaan.
Gegaran gempa bumi lemah di Segamat, kerajaan Johor nasihat elak struktur tidak kukuh. Kerajaan Johor menasihati orang ramai agar menjauhi struktur-struktur tidak kukuh dan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa, susulan gegaran gempa bumi lemah yang dikesan berlaku di Segamat pada jam 6.13 pagi tadi.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz berkata, beliau telah berhubung dengan Pegawai Daerah Segamat, Mohd Ezzuddin Sanusi dan dimaklumkan bahawa setakat ini tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan.
“Kerajaan Negeri Johor sedang memantau keadaan ini dengan teliti bersama agensi berkaitan. Nasihat saya kepada rakyat, jauhi struktur-struktur tidak kukuh dan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa.
“Pihak Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan terus membuat pemantauan rapi dan mengeluarkan makluman dari semasa ke semasa,” katanya dalam hantaran di laman Facebook pagi ini.
Beliau turut mengajak rakyat sama-sama berdoa agar negeri Johor serta seluruh negara sentiasa dilindungi daripada sebarang musibah.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon dalam hantarannya berkata MetMalaysia telah mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian gempa bumi itu.
Beliau berkata, berdasarkan data yang direkodkan, gegaran tersebut berkekuatan 4.1 magnitud di daerah yang jaraknya terletak kira-kira 180 kilometer dari ibu negeri itu dan turut dirasai di kebanyakan kawasan di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan selatan Pahang.
“Jabatan Meteorologi akan membuat pemantauan lanjut dan mengeluarkan maklumat terkini dari semasa ke semasa,” katanya.
Pendakwaan 5 remaja tetap diteruskan esok, -“We will proceed.” Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan prosiding pendakwaan terhadap lima remaja perempuan bawah 18 tahun akan berjalan di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Sabah, esok seperti dijadualkan.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar ketika dihubungi Harian Metro mengesahkan perkara itu.
“We will proceed (kita akan teruskan),” katanya ringkas.
Beliau memberikan maklum balas susulan kenyataan daripada pasukan guaman yang mewakili ibu kepada arwah Zara Qairina Mahathir, 13, yang memohon pertuduhan ditangguh dan dilaksanakan mengikut Seksyen 507D (2) Kanun Keseksaan. Seksyen berkenaan membawa hukuman maksimum 10 tahun penjara.
Pasukan guaman berkenaan berpendapat pertuduhan sedia ada iaitu di bawah Seksyen 507C (1) terlalu ringan serta tidak setimpal dengan tragedi yang berlaku. Mereka juga menekankan isu double jeopardy iaitu larangan seseorang didakwa dua kali atas kesalahan sama.
Untuk rekod, Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Ia terpakai kepada individu yang menggunakan kata-kata atau komunikasi berunsur ancaman, kesat, atau menghina sehingga menyebabkan orang lain terganggu, tertekan, ketakutan atau kebimbangan.
Semalam, Mohd Dusuki turut mengesahkan bahawa kelima-lima suspek terbabit dalam kes buli pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Sabah akan dihadapkan ke mahkamah.
Sebelum ini, polis sudah menyerahkan kertas siasatan kes kematian Zara Qairina kepada AGC untuk tindakan lanjut. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kertas siasatan tersebut siap selepas pihak berkuasa merakam keterangan daripada 195 orang saksi.
“Pihak polis sudah menyerahkan kepada Peguam Negara dan sekarang kita tunggu keputusan sama ada yakin dengan hasil siasatan untuk meneruskan apakah proses seterusnya,” katanya ketika sesi penerangan mengenai keselamatan dan ketenteraman awam di Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjelaskan siasatan kes ini merangkumi tiga elemen utama iaitu buli, pengabaian dan gangguan seksual. Semua hasil siasatan itu kini dalam perhatian AGC untuk menentukan bentuk tindakan, sama ada pendakwaan dijalankan ataupun inkues diteruskan bagi meneliti bukti dengan telus.
Mahkamah Koroner Kota Kinabalu sebelum ini menetapkan prosiding inkues kematian Zara Qairina akan bermula pada 3 September depan. Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Azreena Aziz yang bersidang sebagai Koroner menetapkan perbicaraan selama 19 hari pada 3 dan 4, 8 hingga 12, 17 hingga 19 serta 22 hingga 30 September. Seramai 195 saksi akan dipanggil sepanjang prosiding tersebut.
AGC dalam kenyataan sebelum ini menyatakan inkues diadakan bagi menentukan punca sebenar kematian pelajar berkenaan, termasuk menilai sama ada terdapat unsur jenayah. Prosiding ini dibuat mengikut subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).
Untuk makluman, Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada jam 3 pagi, 16 Julai lalu. Mangsa dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan asrama, dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth, namun disahkan meninggal dunia sehari kemudian.