cuti sekolah berperingkat

Menjadi kebiasaan bila cuti sekolah, lokasi pelancongan akan jadi penuh sesak kerana musim cuti persekolahan yang serentak. Mungkin selepas ini mak ayah boleh menarik nafas lega kerana cadangan terkini daripada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan bahawa cuti sekolah akan dibuat secara berperingkat mengikut zon negeri-negeri bagi mengelakkan berlakunya kesesakan tersebut.

Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan akan mencadangkan supaya cuti sekolah dibuat secara berperingkat bagi memacu sektor pelancongan dan mengurangkan kesesakan di beberapa tempat tumpuan pelancong tempatan.

Cuti Sekolah Tiga Penggal Pertama

Timbalan Menterinya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, berkata pihaknya mencadangkan supaya cuti sekolah bagi tiga penggal pertama persekolahan dibuat secara berperingkat mengikut negeri, yang biasanya pada Mac, Jun dan September.

“Mungkin kita boleh bahagikan negeri di kawasan utara, selatan dan pantai timur supaya tempoh minggu cuti sekolah di negeri ini berbeza antara satu sama lain.

“Dengan cuti sekolah secara berperingkat ini, kawasan tumpuan pelancong dalam negara akan menerima jumlah kunjungan pelancong lebih sekata sepanjang masa dan bukannya seperti keadaan sekarang apabila keadaan menjadi terlalu sesak menjelang tiba cuti sekolah.

“Kami sedang mengumpul data dari pihak hotel dan pengusaha sektor pelancongan sebelum berbincang dengan Kementerian Pendidikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Arkeologi Negara Keempat, di sini, hari ini.

IKLAN

Kementerian Pelancongan Cadang Cuti Sekolah Berperingkat, Ikut Zon Utara, Selatan & Pantai Timur

Kecuali Cuti Hujung Tahun

Bakhtiar berkata, pada musim cuti sekolah, kebanyakan tempat tumpuan pelancong sesak, seperti di Melaka dan Cameron Highlands.Cadangan itu bagaimanapun, katanya, tidak akan membabitkan cuti hujung tahun yang seragam di seluruh negara.

Beliau berkata, beberapa negara luar seperti Amerika Syarikat dan Australia juga sudah mengguna pendekatan itu bagi mengelak kesesakan pelancong.

IKLAN

Sementara itu, Bakhtiar berkata, pihaknya sedang mendapatkan persetujuan daripada beberapa kerajaan negeri untuk membolehkan empat lagi destinasi di Malaysia diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Empat tapak itu adalah Taman Negara; Royal Belum di Grik, Perak; Permatang Kuarza di Gombak, Selangor dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

“Kami berdepan beberapa cabaran untuk mendapatkan persetujuan daripada kerajaan Pahang, Kelantan dan Terengganu bagi tapak Taman Negara sejak 10 tahun lalu, tetapi bagi tiga tapak lagi, tiada sebarang masalah.

IKLAN

“Saya harap ketiga-tiga negeri ini dapat memberi persetujuan segera supaya kami dapat memanjangkannya kepada UNESCO,” katanya.

Pada masa ini, empat tapak di Malaysia sudah diiktiraf oleh UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia iaitu Georgetown, Pulau Pinang dan Melaka; Lembah Lenggong di Perak; Taman Negara Kinabalu di Sabah dan Taman Negara Mulu di Sarawak.

Sebagai rekod, Malaysia kini mempunyai 965 tapak arkeologi dengan 822 tapak berada di daratan, manakala 143 tapak lagi di dasar laut.Sebanyak 13 tapak diwartakan sebagai Tapak Warisan Negara dan lapan lagi sebagai tapak warisan di bawah Jabatan Warisan Negara.

Mungkin juga ada rasionalnya cadangan ini.Jadi buat mak ayah setuju ke cuti sekolah dibuat secara berperingkat?

Sumber:Bharian

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI