Kematian Zara Qairina, pakar patologi beri keterangan tak mungkin terjatuh secara tak sengaja atau ditolak. Hari ini bermulalah inkues mencari punca kematian arwah Zara Qairina yang ditemui tidak sedarkan dari di bawah bangunan asrama sekolahnya.
Perbicaraan akan mengambil masa 19 hari dengan memanggil 70 saksi bagi melengkapkan siasatan mengenal pasti punca kematian pelajar ini yang mencetuskan gelombang buat arwah.
Pada hari pertama perbicaraan inkuesnya, Pakar Patologi Forensik, Dr Jessie Hiu yang bertugas di Hospital Queen Elizabeth memberi keterangan kematian allahyarham Zara Qairina Mahathir tidak mungkin berpunca daripada terjatuh secara tidak sengaja mahupun ditolak dari kedudukan berdiri di lokasi kejadian.
Pakar Patologi Forensik, Dr Jessie Hiu
Memetik laporan Harian Metro, Pakar Patologi Forensik, Dr Jessie Hiu berkata, pada 2 Ogos lalu, beliau diminta untuk memberikan pendapat profesional mengenai kecederaan antemortem (sebelum kematian) yang dialami Zara.
“Saya sudah meneliti rekod perubatannya, termasuk radiograf, laporan imbasan CT dan CTA, serta menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian.
Ads
“Berdasarkan pemeriksaan di asrama si mati, ukuran dari lantai ke rel besi melintang paling atas yang dipasang pada tembok konkrit di tingkat tiga ialah 118 sentimeter (cm).
“Saya dimaklumkan ketinggian antemortem si mati ialah 154 cm. Perbezaan antara ketinggian si mati dengan rel besi melintang paling atas ialah 36 cm.
“Ketinggian rel besi itu adalah lebih daripada tiga perempat ketinggian si mati dan berkemungkinan berada di atas pusat gravitinya,” katanya ketika siasatan di lokasi kejadian dijalankan pada 2 Ogos, jam 12.30 tengah hari.
Ads
Dr Hiu berkata demikian ketika membacakan kenyataan bertulis saksi setebal lima muka surat di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Ads
Kenyataan itu turut menyatakan, bagi wanita, pusat graviti lazimnya terletak di bahagian pelvis, selalunya di bawah pusat dalam kedudukan berdiri.
“Berdasarkan ukuran ketinggian dan lebar tembok konkrit, ketinggian rel besi, serta ketinggian antemortem si mati, adalah berkemungkinan untuknya memanjat tembok konkrit itu, menyeberangi rel besi, dan berdiri di atas tembok konkrit tersebut.”
Dr Hiu berkhidmat sebagai pakar patologi forensik di Hospital Queen Elizabeth di sini sejak 1998. Secara purata, pakar itu mengendalikan dan menyelia antara 100 hingga 150 bedah siasat setahun.
Beliau juga pernah memberi keterangan sebagai saksi pakar secara purata 10 hingga 15 kali setahun di Mahkamah Majistret, Sesyen dan Tinggi di Sabah serta Labuan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kes Zara Qairina: Arwah Dituduh Mencuri Sehari Sebelum Ditemui Tidak Sedarkan Diri. Mahkamah Koroner dimaklumkan bahawa pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, ada berbual mengenai dakwaan kecurian membabitkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir sebelum remaja berusia 13 tahun itu ditemukan tidak sedarkan diri.
Saksi kelima inkues, Linah Mansoding yang bertugas sebagai pengawal keselamatan sekolah, menyatakan bahawa wujud perbualan pelajar mengenai Zara Qairina yang dikatakan terlibat mencuri daripada seorang pelajar lain dikenali sebagai A.
Menurut Linah, pada 15 Julai, pelajar A memaklumkan kepadanya bahawa dompet miliknya hilang.
“Dia memberitahu dompetnya ada di dalam beg pada waktu pagi, tetapi hilang pada waktu malam. Terdapat wang tunai RM300 dan satu kad bank di dalamnya. Namun, dia tidak menyatakan siapa yang mengambil dompet berkenaan,” jelasnya sambil menambah bahawa dia menasihati pelajar berkenaan agar meminta warden menyimpan wang mereka.
Peguam keluarga Allahyarham, Shahlan Jufri kemudian menyoal Linah berhubung dakwaan kecurian tersebut di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Linah menjelaskan, pelajar A ada melaporkan kehilangan dompet itu kepada pelajar senior, sebelum warden bernama Ustaz Rizani menyiasat dengan bercakap kepada kedua-dua pelajar terbabit serta menemubual pelajar lain secara individu.
“Ketika Zara Qairina didakwa mencuri, pelajar tingkatan empat memanggil dan menyoalnya,” katanya.
Bagaimanapun, apabila ditanya mengapa Zara Qairina sahaja yang dituduh dalam kalangan ramai pelajar asrama, Linah mengakui dia tidak mengetahuinya.
Linah juga memberitahu, sepanjang sesi persekolahan 2025 yang bermula Mac lalu, dia hanya sempat berinteraksi dengan Zara Qairina dua kali, pertama selepas terlihat video TikTok remaja itu, dan kali kedua ketika menegahnya berada di kawasan dobi selepas tengah malam.
Merujuk kepada video TikTok tersebut, Linah berkata dia ada bertanya kepada Zara Qairina mengenai identiti gadis dalam rakaman itu, namun remaja berkenaan enggan memberikan penjelasan lanjut.
Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia sehari kemudian di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu.
Kanak-kanak dipukul dengan tukul masih kritikal, suspek disahkan ada rekod dadah & halusinasi. Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang cedera parah selepas dipukul dengan tukul oleh bapa saudaranya di Jelawat, Bachok, Khamis lalu masih berada dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian.
Mangsa, Muhammad Ammar Muhammad Badrul, kini bergantung kepada mesin bantuan pernafasan selepas mengalami kecederaan serius di bahagian kepala.
Bapanya, Muhammad Badrul Remli, 31, berkata anaknya hanya menunjukkan sedikit tindak balas ketika pertama kali tiba di hospital.
“Semalam, anak saya adalah gerakkan sedikit kepalanya macam nak beritahu ‘minta tolong’. Doktor maklumkan keadaannya sangat kritikal dan memerlukan pemantauan berterusan,” katanya pada Jumaat.
Menurut beliau, sebelum kejadian, dia menjemput anaknya pulang dari sekolah bersama seorang lagi anak suspek berusia lapan tahun. Namun, Muhammad Ammar meminta untuk tinggal di rumah bapa saudaranya bagi bermain dengan sepupunya.
“Masa tiba di rumah abang ipar saya itu untuk hantar anaknya, saya tanya anak saya, dia minta duduk di rumah itu sebab nak bermain dengan sepupunya. Saya tinggal dia di situ dan ke Kota Bharu atas urusan kerja, sebelum ini jarang saya tinggal dia di sana,” jelasnya.
Badrul berkata, sekitar jam 4.30 petang, kakaknya yang merupakan isteri suspek memaklumkan bahawa anaknya telah dipukul dengan tukul hingga parah.
Dia bergegas ke rumah berkenaan dan mendapati anaknya dalam keadaan berlumuran darah di sebuah bilik stor kecil.
”Ketika kejadian, kakak beritahu dia sedang tidur manakala dua anaknya bermain di ruang tamu manakala seorang lagi anak mereka berusia 14 tahun sedang mandi,” katanya.
Bapa kepada dua anak itu turut meluahkan rasa terkejut kerana abangnya itu tidak pernah menunjukkan sikap agresif sebelum ini.
“Abang ipar saya ini baik sahaja dengan anak-anak saudara dan tak pernah pun berkelakuan agresif,” katanya.
Selepas kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu, suspek yang berusia 46 tahun melarikan diri menaiki motosikal sebelum ditemukan meninggal dunia di sebatang pokok ru di Pantai Melawi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohd Azrie Sulaiman mengesahkan suspek mempunyai sejarah penyalahgunaan dadah dan dipercayai berhalusinasi ketika kejadian.
“Suspek mempunyai sejarah penyalahgunaan dadah dan dipercayai berhalusinasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, polis turut menahan isteri suspek berusia 36 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dengan senjata berbahaya serta Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Mayat suspek dihantar ke HPUSM untuk proses bedah siasat, manakala kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menjejaskan sensitiviti keluarga mangsa,” katanya.
Datin Shahida pesan pada anak-anak. Sebagai ibu bapa, nasihat yang berkesan kepada anak merangkumi aspek agama dan duniawi seperti mendidik akhlak mulia, berbakti kepada ibu bapa, menjaga adab, mengajar tanggungjawab, menyokong minat dan bakat anak, memberi kepercayaan, serta menjadi contoh terbaik melalui perbuatan. Penting juga untuk membina bonding yang kuat, bersabar dalam proses mendidik, dan memilih masa serta cara yang tepat untuk memberi nasihat agar ia meresap ke dalam diri anak.
Begitu jugalah yang diamalkan pasangan pempengaruh dan juga ahli perniagaan berjaya Dato’ Seri Aliff Syukri dan isterinya Datin Seri Shahida. Sebagai ibu dan ayah banyak yang dipesan. Malah biasanya seusai solat mereka akan memberi tazkirah pada anak-anak.
Benarlah bukan mudah untuk mendidik anak-anak namun cara Datin Shaheda dan Dato’ Aliff boleh dijadikan contoh buat ibu bapa di luar sana. Sememangnya kebahagiaan sebenar bukanlah terletak pada harta semata-mata, tetapi pada kasih sayang yang kaya dalam keluarga.
Terbaru video Dato’ Aliff Syukri menyampaikan tazkirah penuh kasih sayang kepada anak-anak meraih perhatian warganet. Ramai terkejut kerana jarang melihat sisi lembut dan mendalam seorang bapa yang ada dalam dirinya.
Kata-kata nasihat yang lahir dari hati itu bukan sahaja menyentuh anak-anak, malah turut mengundang sebak dalam kalangan netizen.
Menerusi perkongsian di TikTok yang berjaya mencuri perhatian ramai hingga meraih lebih 2.1 juta tanda suka dan lebih 5 ribu komen itu, terserlah detik penuh keberkatan apabila Datuk Aliff bersama isteri menyampaikan nasihat dan amanat, ketika duduk berhimpun selepas solat Maghrib berjemaah.
Dalam suasana tenang itu, lahirlah tazkirah seorang ayah yang sarat dengan kasih sayang dan nasihat bernilai.
Tatkala itu juga isi hati seorang ayah yang mahu melihat anak-anaknya membesar dengan jiwa yang kuat, hati yang lembut, serta menjadikan agama sebagai pedoman hidup.
Ramai netizen mengakui tersentuh dengan pengakuan tersebut, rata-rata menyifatkan ia sebagai sisi berbeza Dato’ Aliff yang jarang ditonjolkan.
Ada yang mendoakan beliau terus istiqamah membimbing keluarga dengan nilai agama, malah tidak kurang juga yang berkongsi kerinduan terhadap arwah ayah dan ibu masing-masing setelah menonton momen tersebut.
“Mungkin, inilah watak sebenar Dato’ yang anak dia selalu cakap,”
“Kepada ibu bapa luar sana, kaya atau miskin.. ini satu contoh yang perlu ada pada setiap keluarga, kena ada sesi untuk deep talk, tazkirah dan lain-lain.. buatlah setiap bulan ke, 3 bulan sekali ke, 6 bulan sekali ke.
“Bagus Dato’ Aliff motivasikan anak-anaknya ke jalan Allah. Semoga dirahmati Allah selalu dan dimurahkan rezeki,”
Setiap ibu bapa pasti menyimpan harapan agar anak-anak bukan sekadar berjaya dalam pelajaran atau kerjaya, tetapi juga cemerlang di akhirat.
Anak yang mampu berdikari, berperibadi mulia, serta menjaga maruah keluarga adalah doa yang tak pernah putus daripada setiap ayah dan ibu.
Bagi Dato’ Aliff Syukri, ukuran kejayaan tidak hanya terletak pada wang ringgit atau kemewahan hidup. Sebaliknya, kejayaan sebenar ialah apabila beliau dapat membentuk zuriatnya menjadi anak-anak soleh dan solehah, berilmu, berdisiplin, serta tahu menjaga nama baik keluarga.
“Kekayaan mungkin boleh diwarisi, tetapi bukan iman, kerana itulah abah sentiasa ingatkan anak-anak abah untuk jadi anak yang beriman, soleh dan solehah,”katanya.
Menurut bapa asal Kuala Lipis, Pahang itu, beliau menegaskan, kejayaan dunia hanyalah pinjaman, tetapi kejayaan akhirat adalah bekalan yang kekal abadi.
“Solat jangan ditinggal, jangan tunggu disuruh baru nak buat. Ingat, bila abah dah tiada nanti, semua ini jadi kenangan. Keluarga itu satu amanah. Amayan sebagai anak sulung perlu belajar jadi pemimpin, bertanggungjawab, menjaga adik-adik dan perniagaan keluarga. Jadilah seorang yang tegas, bijak, berfikiran luas dan berjiwa besar,” pesan beliau.
Menurutnya lagi, beliau sanggup berkorban apa sahaja demi anak-anak — termasuk memberikan pendidikan terbaik dan keselesaan hidup.
Namun, hanya Allah yang mampu menjadikan seseorang itu anak soleh dan beriman.
“Sebab itu doa abah tak pernah putus, semoga kamu semua jadi insan yang hebat, beragama, dan mendengar kata. Satu hari nanti, bila abah sudah tiada, kamu jugalah yang akan solatkan dan uruskan jenazah abah,” katanya penuh sebak.
Beliau turut berpesan agar anak-anak menjauhi cinta remaja yang melalaikan, pergaulan bebas dan amalan yang boleh merosakkan masa depan.
“Abah tak kisah anak nak berkawan atau keluar ke mana, asalkan jangan tipu. Ingat, orang bahagia adalah orang yang hidup dengan kasih sayang, bukan dengan kebohongan.”
Tentang soal jodoh, beliau menegaskan pilihan pasangan bukan kerana harta atau pangkat, tetapi kerana budi pekerti dan keturunan yang baik.
“Abah dan mama pernah melalui zaman remaja, memang masa tu hati memberontak. Tapi bila dah meningkat usia, baru kita faham bahawa nasihat orang tua semuanya demi kebaikan,” katanya lagi.
Mahu Anak-Anak Jadi Insan Berguna
Inilah percaturan seorang ayah dan ibu, setiap nasihat, doa dan teguran yang diucapkan hanyalah untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang baik, berakhlak mulia, berjaya di dunia serta mulia di sisi Allah di akhirat kelak.
Detik itu akan menjadi satu contoh bahawa kebahagiaan sebenar bukanlah terletak pada harta semata-mata, tetapi pada kasih sayang yang kaya dalam keluarga.