Keluarga Arwah Zafri Rancang Pindah Ke Melaka – “Tak Sangka, Zafri Yang Pindah Dulu”

“Saya dan suami buat keputusan untuk hentikan bantuan pernafasan anak kerana keadaannya sudah terlalu kritikal dan hanya bergantung dengan mesin. Kami memang sedih, namun kasihan melihat keadaan Zafri.”

Demikian luahan penuh sebak Nur Izati Mohd Hairi, 34, ibu kepada Muhammad Zafri Aman Shaiful, murid berusia 11 tahun yang meninggal dunia kira-kira jam 2.30 petang kelmarin selepas dua hari bertarung nyawa dipercayai akibat murid autisme lemas ketika menyertai aktiviti air di Kompleks Sukan Desa Tasik, Sungai Besi pada 5 November lalu.

Keluarga Arwah Zafri Rancang Pindah Ke Melaka – “Tak Sangka, Zafri Yang Pindah Dulu”
Kredit: Sinar Harian

Rancang Pindah Ke Melaka

Menurut Nur Izati, dia dan suaminya, Aman Shaiful Yatin, 39, sudah merancang untuk berpindah ke rumah sendiri di Melaka pada awal tahun hadapan selepas suaminya bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Namun, mereka tidak menyangka anak mereka yang ‘pergi’ dahulu.

“Kami sudah merancang pindah ke rumah sendiri di Melaka awal tahun hadapan kerana suami akan bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hujung tahun ini, tapi Zafri yang ‘pindah’ dulu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Kejadian Tragis Di Kompleks Renang

Muhammad Zafri, murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sebuah sekolah rendah di sini, dilaporkan lemas semasa menyertai Program Sokongan Keyakinan Air. Kanak-kanak itu dan adik kembarnya, Muhammad Zakir, sudah tiga tahun mengikuti aktiviti renang di kompleks sama tanpa sebarang kejadian sebelum ini.

Pasangan kembar itu disahkan menghidap autisme sejak berusia lebih setahun. Pada hari kejadian, mereka menyertai program berkenaan bersama guru, pembantu dan murid lain.

“Saya hantar anak ke sekolah pagi itu dan mereka ke kompleks berkenaan dengan kenderaan guru. Pada jam 10.38 pagi, cikgu telefon saya sambil menangis sebut nama Zafri dan minta saya ke kolam renang segera.

“Saya yang dalam perjalanan ke sekolah agama segera ambil anak di sekolah itu dan kemudian bergegas ke kompleks sukan berkenaan. Apabila sampai, saya lihat Zafri sudah terbaring kaku, tidak sedarkan diri dengan badan serta muka yang sudah membiru,” katanya.

Ads
Keluarga Arwah Zafri Rancang Pindah Ke Melaka – “Tak Sangka, Zafri Yang Pindah Dulu”
Muhammad Zafri (kanan) bersama kembarnya, Muhammad Zakir. – Foto ihsan Nur Izati Mohd Hairi – Berita Harian

Usaha Menyelamat Yang Tidak Berhasil

Menurutnya, jurulatih di lokasi kejadian sudah memberikan bantuan pernafasan, namun nadi Zafri dikatakan tiada sebelum pasukan perubatan tiba dan membawanya ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Melihat keadaan anak ketika itu, saya tahu mungkin Zafri sukar diselamatkan, namun sebagai ibu saya tetap berharap ada keajaiban. Apabila di hospital, pasukan perubatan berusaha menyelamatkan anak saya sebelum denyutan nadinya kembali ada.

“Saya sangat bersyukur dan anak diberikan rawatan serta bantuan pernafasan, namun keadaannya semakin kritikal apabila dia sudah tidak boleh menerima susu (dimasukkan melalui tiub). Otaknya juga tidak dapat memberi maklum balas dan membengkak. Itu yang saya dan suami setuju tamatkan bantuan pernafasannya,” katanya sebak.

Kenangan Bersama Anak Autisme

Nur Izati turut berkongsi bahawa Zafri seorang anak yang periang, aktif dan penyayang, terutama terhadap adik kembarnya.

“Zafri boleh bercakap, namun masih agak pelat berbanding Zakir yang pertuturannya kurang jelas. Mereka berdua sangat rapat dan walaupun berbeza kelas, Zafri akan menunggu Zakir untuk makan bersama dan sebaliknya serta akan berpimpin tangan ke sekolah.

Ads

“Rumah saya tak pernah sunyi dengan bunyi Zafri kerana biasalah, anak autistik suka membuat bunyi. Kini semua berubah, Zakir juga cakap rindu abangnya dan mahu pulang ke rumah untuk duduk di bilik mereka. Dia masih sedih dan banyak termenung,” katanya.

Keluarga Arwah Zafri Rancang Pindah Ke Melaka – “Tak Sangka, Zafri Yang Pindah Dulu”
Pasangan kembar ini begitu akrab antara satu sama lain.- Sinar Harian

Detik Akhir Sebelum Kejadian

Tambahnya lagi, seminggu sebelum kejadian, Zafri pernah berkata dia tidak perlu bersekolah lagi. Malah, pada malam sebelum kejadian, anaknya itu begitu teruja menantikan aktiviti renang keesokan harinya.

“Zafri memang tidak takut air, suka aktiviti air berbanding Zakir. Pada hari kejadian, Zafri juga mandi awal kira-kira 6.40 pagi, selalunya dia hanya akan mandi jika hari sudah cerah dan ketika ke sekolah juga, dia tidak pimpin tangan adiknya serta jalan lambat tidak seperti selalu,” katanya.

Reda Dan Tidak Menyalahkan Cikgu

Jenazah Allahyarham Muhammad Zafri selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam As-Shuhadah, Sungai Udang, Melaka.

Nur Izati dan suaminya reda dengan pemergian anak mereka, malah tidak menyalahkan pihak sekolah atau guru atas kejadian itu.

Ads

Saya tidak salahkan cikgu kerana mereka sudah menjaga dan mendidik kedua-dua anak saya dengan baik. Zafri juga selalu cakap dia mahu pergi sekolah jumpa cikgu. Setiap kali balik sekolah Zafri akan cerita mengenai aktiviti sekolah bersama cikgu.

“Semua cikgu baik dengannya dan Zafri juga cerita ada cikgu kesayangan dan cikgu dianggap BFF (sahabat baik), malah semua cikgu juga baik dengan saya,” katanya.

Artikel lain: Ibu Murid Autisme Lemas Ketika Aktiviti Air Di Kolam Renang Reda Anak Pergi Tak Salahkan Cikgu-cikgu

Pensyarah UiTM Lemas: Insiden Tragik Di Kolam Renang Resort Kemaman

 

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di download sekarang!

KLIK DI SEENI