Kebahagiaan rumah tangga pelakon Redza Rosli dan isterinya, Bella Hanna, kini semakin bermakna apabila pasangan ini bakal menimang cahaya mata pertama tidak lama lagi.
Dua tahun selepas melangkah ke alam perkahwinan, berita gembira itu dikongsikan sendiri oleh pasangan sama cantik sama padan ini menerusi satu hantaran manis di Instagram.
“Sangat bersyukur dengan nyawa yang sedang membesar dalam kandungan saya. Dah lama saya impikan momen ini dan sekarang impian menjadi nyata. Tak sabar untuk bertemu bayi ini tidak lama lagi,” tulis Bella penuh rasa syukur sambil menyertakan emoji bayi lelaki.
Tampil Sedondon
Momen indah itu turut diraikan dalam majlis pengumuman jantina bayi yang berlangsung dalam suasana intim dan penuh kasih di sebuah lokasi bertema taman. Berlatarkan rona putih dan coklat lembut, pasangan ini tampil sedondon dengan busana mengikut tema, manakala tetamu terdiri daripada keluarga dan rakan rapat.
Ads
Sebagai penyeri majlis, para tetamu turut menyertai permainan ‘teka jantina bayi’ sebelum detik debaran terlerai apabila semburan warna biru menandakan bahawa Redza dan Bella bakal menimang anak lelaki!
Ads
Doa Peminat
Rakan baik pasangan itu, pelakon Wanns Ahmad, turut berkongsi momen bersejarah tersebut di media sosial, mengundang ucapan tahniah dan doa yang tidak putus daripada peminat serta rakan artis.
Untuk rekod, Redza, 33, dan Bella, 29, mendirikan rumah tangga pada 21 Jun 2024, selepas sama-sama membintangi drama popular Luruhnya Bunga Cinta musim pertama dan kini, kisah cinta mereka beralih ke fasa baharu, menanti kehadiran si kecil yang bakal melengkapkan kebahagiaan rumah tangga mereka.
Istilah bahagia sememangnya sedang melingkari kehidupan penyanyi Shila Amzah apabila ibu tersayang selamat bergelar isteri dan kini kembali mengecap kebahagiaan bersama pasangan hidupnya.
Malah Shila tidak dapat menyembunyikan rasa terharu apabila tanpa sedar menjadi ‘pengawas’dalam perjalanan cinta ibunya.
Shila atau nama penuhnya Nurshahila Amir Amzah berkata segala yang berlaku benar-benar di luar jangkaan. Perkenalan ibunya dengan suami baharu itu berlaku dalam tempoh yang singkat dan tidak banyak berbeza kisah cintanya bersama suami tersayang, Ubai.
Älhamdulillah saya sangat gembira. Benda yang tak dijangka. Perkenalan mereka sangat singkat sepert saya dan Ubai. Dari kawan, tak tunggu lama terus ajak kahwin. Mak saya pun lalui benda yang sama,”katanya.
Shila berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media album Shila Amzah berjudul SA25.
Menurut Shila lagi, meskipun ibunya sudah berusia, ia bukanlah alasan untuk menghalang wanita tersebut untuk mencari kebahagiaan baharu dalam kehidupannya selepas hampir dua tahun hidup bersendirian.
Tambah Shila lagi, kebahagiaan seseorang tidak seharusnya disekat oleh faktor usia atau pandangan masyarakat yang tidak berfikiran terbuka.
Bercerita lanjut, Shila berkata sebaik sahaja melihat Brigedier Jeneral Zainal Abidin Mohammad Salleh yang kini bergelar bapa tirinya, dia dapat merasakan aura positif yang berlaku dalam diri ibunya. Katanya, sejak perkenalan itu, kebahagiaan jelas terpancar di wajah ibu tersayang.
“Pertama kali jumpa Babah, dia ada aura tersendiri. Orang kata kalau kita dah tempuh macam-macam sebelum ini, sekali pandang pun dah tahu.
Pada masa yang sama, Shila dan suaminya, Ubai tanpa sedar mengambil peranan sebagai penjaga ibunya sekaligus memastikan ibunya tidak terlalu lama menjalinkan hubungan tanpa hala tuju.
“Saya dan Ubai macam jadi ‘pengawas’ mak saya. Kami lebih kepada mengingatkan dia supaya ‘jangan lama-lamalah ya kalau macam ni’. Tiba-tiba saya pula rasa macam jadi mak dia! Kelakar pula bila fikirkan balik,”ujar Shila usai ditemubual media.
Untuk rekod, Fauziah sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Datuk ND Lala pada tahun 1989 dan sah bercerai selepas 34 tahun mendirikan rumah tangga. Perkongsian hidup selama 34 tahun mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Shila, Amir Syafiq, Amir Syahir dan Syada.
Shila Amzah melakar satu lagi pencapaian apabila melancarkan album penuh terbaharu berjudul SA25, simbolik kepada 25 tahun perjalanan kariernya dalam industri seni. Album ini menghimpunkan 10 lagu baharu, satu remake serta empat bonus track yang merangkumi fasa penting dalam kehidupan dan kerjaya Shila.
Album terbaharu Shila Amzah, SA25, bukan hanya sebuah projek muzik, tetapi sebuah pengkisahan perjalanan diri yang menggabungkan kekuatan, luka lama dan proses penyembuhan.
Salah satu karya paling berat dalam album ini ialah “Sirna Hati”, sebuah lagu yang terinspirasi daripada pengalaman sebenar melibatkan penderaan emosi dan fizikal. Proses menulis lagu tersebut bukan mudah, malah membuka kembali memori yang cuba dilupakan.
Namun Shila menyifatkan suaminya, Ubai, sebagai individu yang membantu dirinya mengharungi proses itu. Dorongannya agar Shila menulis sebagai bentuk penutupan kisah lama menjadikan lagu itu bukan sekadar karya, tetapi terapi yang menyembuhkan.
Walaupun Shila bekerjasama dengan beberapa komposer berbeza, DNA muziknya kekal utuh. Individu-individu seperti Izzy Musa, Raja Nazrin Shah dan Ubai bukan sekadar rakan kreatif, tetapi teman yang memahami Shila sebagai manusia dan sebagai seniman. Kefahaman itulah yang memastikan muzik Shila tidak lari daripada identiti utamanya walaupun melalui pelbagai evolusi.
Pelakon dan pelawak terkenal, Shuib, 41, akhirnya menamatkan teka-teki peminat apabila mengesahkan bahawa isterinya, Watie Hanifiah, 36, kini sedang hamil lima bulan. Pengesahan itu sekali gus menjawab spekulasi yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini.
Menurut Shuib, mereka sengaja memilih untuk tidak berkongsi berita tersebut lebih awal kerana mahu memastikan keadaan kandungan benar-benar stabil sebelum diumumkan kepada umum.
“Alhamdulillah, seperti yang ramai perasan, isteri saya memang sudah hamil lima bulan. Ketika dia hamil anak pertama (yang kemudian gugur), kami dapat tahu ketika berada di Madinah. Ketika itu saya rasa sangat sayu kerana teringat arwah isteri, Siti Sarah, yang kali terakhir hamil anak bongsu kami.
Apabila Watie hamil kali ini, perasaan itu datang semula… macam deja vu. Ada rasa sayu dan sedikit takut. Namun, kehamilan pertama itu bukan rezeki kami,” jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran single sulung Amad Dayyan di sebuah restoran.
Shuib turut memberitahu bahawa kehamilan kali ini adalah hasil perancangan mereka berdua, dan masing-masing benar-benar mengharapkan kehadiran cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga.
“Untuk yang kedua ini memang kami rancang. Alhamdulillah, lekat. Watie pun sangat teruja dan berjanji akan menjaga kandungan betul-betul kerana sebelum ini dia kuat bekerja. Saya sangat bersyukur kerana sekurang-kurangnya kami dikurniakan zuriat bersama. Kami memang mahu membina keluarga yang lengkap,” katanya lagi.
Baginya, kelahiran anak ini membawa makna yang istimewa buat keluarga kecil mereka.
“Sebelum ini, saya sudah ada empat anak, manakala Watie tiada. Kami berharap adanya satu ikatan yang benar-benar menghubungkan kami, iaitu melalui anak. Dari awal lagi saya mahu Watie rasa dirinya sebahagian daripada keluarga ini. Dengan adanya anak ini, ada juga darah daging saya dengannya. Anak-anak pun faham… bila mereka ada adik, wujud hubungan adik-beradik yang sebenar,” ujarnya.
Sementara itu, Watie Hanifiah berkongsi bahawa kandungannya berada dalam keadaan baik dan dia kini lebih berhati-hati berbanding sebelum ini, terutama selepas melalui keguguran pada Mei lalu.
“Alahan tiada, cuma sebelum ini saya kerap sakit kepala dan meminta suami tarik rambut. Tetapi beberapa hari kebelakangan ini sudah berkurang. Untuk kandungan kali ini, saya sangat berhati-hati dan menjaganya sebaik mungkin. Saya tak kisah jantina, janji bayi sihat. Lelaki atau perempuan masih rahsia… tunggu majlis pengumuman jantina nanti,” katanya.
Foto yang dimuat naik oleh Shuib di Instagram baru-baru ini, memaparkan keadaan perut Watie Hanifiah yang semakin membesar, turut menarik perhatian ramai dan menguatkan lagi spekulasi sebelum ia disahkan.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada Jun 2023, dua tahun selepas pemergian Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin pada 2021. Hasil perkongsian hidupnya bersama Siti Sarah, Shuib dikurniakan empat cahaya mata: Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra, Ariq Matin, dan Ayash Affan.
Tidak pernah terlintas di hati Fauziah Sarman, 57, atau lebih mesra disapa Mama Zie, bahawa setelah dua tahun lebih melalui kehidupan sebagai wanita solo, pintu hatinya kembali diketuk dengan begitu indah.
Lebih mengejutkan, lamaran daripada jejaka bernama Brigadier Jeneral Zainal Abidin Muhammad Salleh, 55, hadir hanya selepas sebulan mereka berkenalan.
Menurut Mama Zie, perjalanan jodohnya ini bermula secara sederhana — namun dihiasi gerak takdir yang tidak disangka. Semua bermula apabila pelakon Serina Redzuawan, sahabat baiknya, mengambil peranan sebagai ‘mak comblang’ moden, bijak menyusun beberapa pertemuan santai untuk mereka.
“Adalah orang yang macam jodoh-jodohkan kami. Serina pun pandai, dia bukan buat perjumpaan sekali. Dua tiga kali dia kenakan. Masa itu memang tak terfikir langsung nak cari teman hidup, tapi dengan dia… lain. Jumpa sekali, rasa nak jumpa lagi,” cerita Mama Zie sambil tersenyum.
Walau lamaran itu hadir begitu cepat, Mama Zie mengaku dia sendiri seakan sukar mempercayainya. “Tiba-tiba dalam sebulan kena ajak kahwin. Sepatutnya lebih awal, cuma ada halangan. Akhirnya 22 November lalu jadi juga,” katanya dalam nada penuh syukur ketika ditemui di majlis pelancaran album baharu Shila Amzah, SA25.
Bagi seorang ibu, kebahagiaan anak-anak selalu menjadi keutamaan. Dan apa yang membuatkan perjalanan baharu ini lebih manis adalah restu serta sokongan empat cahaya matanya.
“Seronok sebenarnya saya dah ada teman bercerita. Dua tahun lebih juga ‘single’. Tapi sekarang ada orang untuk temankan… Anak-anak pun okay. Mereka tak pernah jumpa dia sebelum ini, tapi bila mereka nampak saya happy, mereka pun happy. Katanya, ‘Mak mesti jumpa orang yang baik sebab mak nampak berseri’,” luahnya, sebak namun bahagia.
Dari sisi suami pula, pertemuan dengan Fauziah dirasakannya seperti sebuah hadiah daripada Allah setelah lapan tahun hidup sebagai bapa tunggal.
“Saya dah ‘single’ lapan tahun. Masa itu habis untuk membesarkan anak. Bila nak terima Fauziah, saya bawa anak berjumpa dulu. Tengok mereka serasi, adik-beradik pun suka pada dia… Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Ini semua takdir,” katanya.
Pasangan ini selamat disatukan pada Sabtu lalu, dan berita gembira itu turut dikongsikan pereka fesyen Seth & Luth melalui hantaran video di Instagram.
Sebelum ini, Fauziah pernah mendirikan rumah tangga bersama ND Lala pada tahun 1989 dan dikurniakan empat anak: Shila, Amir Syafiq, Amir Syahir dan Nur Syuhada. Selepas melalui perjalanan rumah tangga yang panjang, penuh cerita suka dan duka, kini beliau kembali diberi peluang merasai bahagia sebagai seorang isteri.
Sesungguhnya, jodoh tidak pernah lewat atau awal. Ia hadir tepat pada waktu yang telah ditulis. Dan bagi Mama Zie, babak hidupnya kini dibuka semula dengan cahaya, ditemani seseorang yang membuatnya kembali tersenyum dari hati.