Lapan tahun berlalu, namun luka di hati seorang ibu tidak pernah sembuh. Hari ini, akhirnya Mahkamah memihak kepada seorang wanita yang berjuang demi anak gadisnya walau jasad sudah lama dikembalikan kepada bumi.
Dalam satu keputusan yang menyentuh emosi sesiapa pun yang bergelar ibu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan kerajaan Malaysia membayar ganti rugi berjumlah RM1.1 juta kepada Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen, ibu kepada mendiang Ivana Esther Robert Smit, model muda warga Belanda yang ditemukan maut pada 2017 dalam keadaan misteri.
Tragedi Yang Tidak Terjawab
Ivana, ketika itu baru berusia 18 tahun, ditemui tidak bernyawa di tingkat enam sebuah kondominium mewah, selepas dipercayai jatuh dari tingkat 20 unit milik pasangan warga Amerika, Alex Johnson dan Luna Almazkyzy. Namun, kes kematiannya ditutup hanya sebagai ‘mati mengejut’.
Sebagai seorang ibu, Verstappen tidak pernah dapat menerima keputusan itu. Baginya, terlalu banyak yang tidak masuk akal, terlalu banyak soalan yang tidak pernah dijawab.
“Mereka hanya buka kertas siasatan kematian mengejut, dan tutup kes. Sedangkan saya tahu, ada sesuatu yang tidak kena…” – Verstappen dalam tuntutannya.
Mahkamah: Polis Gagal Jalankan Siasatan Sewajarnya
Hakim Roz Mawar Rozain menyatakan bahawa terdapat kecuaian serius dan pelanggaran tanggungjawab oleh pihak polis. Antara kegagalan tersebut termasuk tidak menutup tempat kejadian, tidak menyita barang bukti penting, dan tidak menyiasat saksi utama dengan sewajarnya.
Lebih mengejutkan, Mahkamah turut memutuskan bahawa pihak polis melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan melakukan siasatan yang tidak profesional terhadap kematian seorang remaja wanita yang cukup muda dan rentan.
“Walaupun telah ada arahan kehakiman yang jelas, bukti menunjukkan bahawa defendan gagal mematuhinya dengan bersungguh-sungguh.
“Pegawai penyiasat yang sama terus dikekalkan, dan tindakan tidak berkesan diambil.
“Walaupun kes ini diteruskan, defendan gagal mengemukakan sebarang bukti yang menunjukkan kaedah siasatan yang dilakukan.
“Siasatan ini pada hakikatnya terhenti tanpa kemajuan yang ketara sejak 2019.
“Justeru, kegagalan mematuhi arahan kehakiman yang jelas ini adalah satu lagi pelanggaran tanggungjawab statutori. Ia juga boleh membawa kepada penghinaan terhadap mahkamah,” katanya.
Roz Mawar berkata, terdapat pelanggaran tanggungjawab statutori dan tanggungjawab penjagaan oleh defendan, yang menyebabkan plaintif mengalami kerugian langsung dan akibat yang boleh dijangka.
Beliau turut memutuskan terdapat unsur penyalahgunaan kuasa dalam jawatan awam (misfeasance in public office), yang membabitkan pelakuan perbuatan tidak sah dalam kapasiti rasmi yang tidak mencapai piawaian sewajarnya yang dijangka daripada pegawai penguatkuasa undang-undang.
“Tindakan defendan sepanjang siasatan kematian si mati jauh daripada piawaian yang sepatutnya dijangka daripada pegawai penguatkuasa undang-undang.
“Terdapat bukti forensik yang besar seperti hasil toksikologi yang diabaikan.
“Ini mencerminkan satu penyimpangan ketara daripada standard siasatan yang diterima serta kewajipan statutori.
“Siasatan gagal menggunakan metodologi forensik lanjutan yang boleh memberikan gambaran masa penting mengenai trauma yang dialami si mati,” katanya.
Menurutnya, defendan tidak meneliti secara menyeluruh keterangan saksi utama berbanding bukti fizikal dan forensik yang ada.
“Kes ini mencerminkan kegagalan besar dalam sistem penguatkuasaan undang-undang Malaysia,” katanya.
Mahkamah mengakui cabaran dalam siasatan yang kompleks, namun berkata bukti menunjukkan banyak penyimpangan daripada piawaian yang diterima mengakibatkan keadilan dinafikan kepada plaintif.
“Kematian seorang wanita muda berusia 18 tahun dalam keadaan mencurigakan sepatutnya mendorong siasatan yang paling teliti dan profesional.
“Namun sebaliknya, bukti menunjukkan kegagalan yang berterusan, ketidakcekapan dan pengabaian terhadap prosedur yang sepatutnya,” tambah mahkamah.
Keputusan Yang Mengangkat Suara Seorang Ibu
Verstappen memenangi saman terhadap empat pihak termasuk Ketua Polis Negara dan Kementerian Dalam Negeri. Mahkamah mengarahkan mereka membayar:
RM500,000 ganti rugi am
RM300,000 ganti rugi teruk
RM300,000 ganti rugi teladan
RM100,000 kos perbicaraan
Lebih bermakna lagi, Mahkamah turut memerintahkan agar siasatan dibuka semula, dan pegawai penyiasat terdahulu, ACP Faizal Abdullah, dikeluarkan dari Pasukan Petugas.
Bukan Duit Yang Dicari, Tapi Jawapan Buat Anak
Wang ringgit bukan nilai sebenar di sebalik perjuangan ini. Seperti kebanyakan ibu yang kehilangan anak secara tiba-tiba, Verstappen hanya mahu tahu kebenaran. Mengapa Ivana jatuh? Siapa yang bersamanya malam itu? Apa yang sebenarnya berlaku di sebalik pintu tertutup?
Kini, siasatan baharu harus dimulakan. Dan setiap tiga bulan, Polis Diraja Malaysia mesti memberikan laporan kepada Jabatan Peguam Negara mengenai kemajuan siasatan, seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah.
Dalam suasana perbicaraan yang penuh emosi dan menjadi perhatian seluruh negara, satu suara penting tampil mempertahankan kasih seorang ibu dan ayah. Datuk kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, iaitu Zahari Mohd. Reba, 57 tahun, berdiri teguh mempertahankan anak dan menantunya.
Bapa kepada Zaim Ikhwan dan bapa mentua kepada Ismanira Abdul Manaf itu menyatakan dengan yakin bahawa kedua-duanya adalah ibu bapa yang bertanggungjawab, dan tidak pernah sekalipun mengabaikan cucu sulung mereka yang kini menjadi nama yang disebut-sebut di bibir rakyat Malaysia.
“Saya kenal anak dan menantu saya. Mereka sangat sayangkan Zayn… Layanan mereka sama rata antara Zayn dan adiknya, Zahin. Tak pernah berbeza,” ujar Zahari dalam nada sebak ketika memberi keterangan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, semalam.
Cinta Seorang Datuk Terhadap Cucu
Zahari turut berkongsi bahawa dirinya sangat rapat dengan Zayn Rayyan, dan saban minggu akan memastikan cucu-cucunya datang ke rumah untuk meluangkan masa bersama.
“Setiap Sabtu atau Ahad, bila ibu dan ayah Zayn tidak bekerja, saya akan pastikan mereka datang ke rumah… Bermesra, duduk bersama. Zayn sangat manja dengan saya,” kongsinya dengan nada hiba.
Pernyataan ini bukan sekadar membela, tetapi menunjukkan betapa ikatan keluarga ini kuat dan penuh kasih sayang. Jauh daripada bayangan pengabaian seperti yang didakwa sebelum ini.
Dalam perbicaraan bela diri yang masih berlangsung, Ismanira diperintah membela diri, manakala suaminya, Zaim Ikhwan Zahari telah dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mengabaikan anak mereka sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Bela Diri
Peguam bela Ismanira, yang terdiri daripada Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh, sedang giat membuktikan bahawa Ismanira bukanlah ibu yang culas, tetapi ibu yang sedang bergelut mempertahankan dirinya dan nama baik seorang wanita yang sudah pun kehilangan anak.
Perbicaraan yang dijalankan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh akan bersambung lagi esok. Bagi Zahari, tuduhan ini bukan sahaja mengguris hati seorang datuk, tetapi juga mencabar kekuatan seorang keluarga yang sedang diuji.
“Saya percaya pada anak dan menantu saya. Mereka bukan pembunuh. Mereka adalah ibu bapa yang pernah saya lihat menitiskan air mata kerana rindu dan sayang pada arwah Zayn.”
Mengikut pertuduhan pindaan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini antara pukul 12 tengahari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Justeru mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ismanira diperintah membela diri manakala suaminya Zaim Ikhwan dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan itu.
Siapa sangka, koleksi The Runway Collection 2025: A Celebration of Grace, Variante di Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) baru-baru ini memperlihatkan deretan busana muslimah hasil sentuhan magis seorang pereka fesyen bernama Leslie Variyan.
Leslie yang juga merupakan pengasas dan Pengarah Urusan dan Kreatif Variante, berkata jenama fesyen untuk wanita itu telah bertapak sejak lebih 20 tahun dan mempunyai pelbagai koleksi untuk setiap lapisan wanita.
Malah rekaan terkini diinspirasikan daripada warisan budaya seperti songket dan batik diperkemaskan lagi dengan sentuhan terperinci bagi 25 busana yang diperagakan di pentas Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) baru-baru ini.
Menurut Leslie lagi, Variante telah bersama KL Fashion Week selama 12 tahun dan tahun ini koleksi Variante bertemakan A Celebration of Grace.
“Tema itu dipilih memandangkan kami menggabungkan elemen lembut dan ‘strong’, maskulin dan feminin untuk menghasilkan busana yang anggun. Untuk koleksi kali ini, saya menggunakan motif batik dan songket dalam tekapan di mana saya terinspirasi dengan tenunan batik di Terengganu,” katanya.
Fesyen Pilihan Wanita Muslimah
Ketika ditemui usai pertunjukan fesyen baru-baru ini, Leslie melahirkan rasa bangga dengan kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia yang dapat diterjemahkan dalam koleksi rekaan Variante dan disesuaikan dengan pemakaian wanita Muslimah.
“Malaysia punya pelbagai diversiti budaya dan ia diterjemahkan dengan baik dalam fesyen. Variante meraikan semua golongan wanita dan koleksi yang kami tampilkan juga sopan dan elegan”.
“Rekaan Variante merupakan buah tangan saya buat wanita di Malaysia di mana saya mahu koleksi yang mudah untuk digayakan, selesa dengan harga yang berpatutan,” kata Leslie lagi.
Koleksi A Celebration of Grace mengetengahkan perincian yang besar di bahagian lengan, dengan sedikit sentuhan drama bagi menambah nilai keanggunan dan keyakinan diri buat si pemakai. Ia diserikan pula dengan penggunaan rona warna pelbagai dan fabrik yang berstruktur menjadikan koleksi Variante antara yang paling menonjol di KLFW2024 baru-baru ini.
Sudah lebih 20 tahun bertapak dalam inudtsri fesyen di Malaysia, Leslie turut menyatakan hasrat untuk membawa jenama Variante ke peringkat global.
“Apa yang membanggakan saya, jenama Variante turut mendapat tempat di hati peminat luar negara terutamanya dari Asia Tengah, Indonesia dan China. Ramai pelancong luar terutama wanita Muslim sukakan koleksi Variante kerana kesopanan dan anggun apabila digayakan,”ujarnya mengakhiri perbualan.
Sekali lagi, pertandingan Miss and Mrs. Plus World Malaysia 2023/2024 (MPWM) menjadi medan pertandingan ratu cantik memartabatkan kejelitaan wanita merangkumi kebijaksanaan, keyakinan dan bersifat Malaysia.
Miss & Mrs. Plus World Malaysia 2023–24 (MPWM) kini telah dibuka untuk pendaftaran. Sesi ujibakat peringkat kebangsaan dijadualkan mulai September hingga Oktober di empat buah negeri iaitu Pulau Pinang, Johor, Sabah, dan Sarawak. 40 calon akan disenarai pendek di mana 20 untuk Miss Plus World Malaysia dan 20 lagi untuk Mrs. Plus World Malaysia.
Peluang Wanita Bersaiz Besar Bergelar Ratu Cantik
Calon yang disenarai pendek akan bersaing untuk pelbagai gelaran dan acara kemuncak peringkat akhir akan berlangsung dalam bulan pertama tahun 2024 nanti. Ini merupakan acara ke empat MPWM di Malaysia.
MPWM merupakan acara rasmi untuk salah satu acara ratu cantik antarabangsa terkenal , Miss Plus World. Ia menawarkan peluang keemasan kepada wanita yang bersaiz besar
untuk mempamerkan kecantikan dalaman dan luaran mereka.
Acara ratu cantik ini bertujuan untuk memilih wanita yang berkualiti bukan sahaja sekadar dalam aspek kecantikan tetapi juga dari aspek kebijaksanaan,keyakinan diri,dan kemampuan untuk berkhidmat sebagai duta kepada negara Malaysia.
Acara ratu cantik ini juga akan menjadi saluran untuk menyampaikan mesej positif dan kisah-kisah misi kemanusiaan ,kesihatan,pendidikan,keamanan dan penghormatan terhadap kepelbagaian.
Semua wanita pelbagai kaum- bujang atau telah berkahwin sangat dialu-alukan untuk menyertai acara ini – dengan syarat merupakan warganegara Malaysia atau penduduk tetap di Malaysia.
Calon-calon boleh menyertai acara ini dibawah dua kategori: Miss Malaysia Plus World untuk wanita berusia 18 hingga 34 tahun, atau Mrs. Malaysia Plus World untuk wanita berusia 18 hingga 45 tahun.
Gelaran ratu cantik MPWM pernah dimenangi oleh Lam Man Tang dan Sherlyn Chan (2022–23), Elena Tong dan Anna Liza Del Castillo (2021–22), dan Melissa Mohan Tyndall dan Shakti Chhabra (2020–21).
Monkii Global Holdings dan I Creative Event Sdn. Bhd., diketuai oleh Nicklaus Chia, Junn Chow, dan Megan Tan, telah dilantik oleh Miss Plus World Malaysia Organisation sebagai penganjur utama acara dan kumpulan pengurusan yang baru untuk acara Miss Plus World Malaysia 2023-2024 ini.
Monkii Global Holdings dan I Creative Event Sdn. Bhd. berpengalaman luas dalam pengurusan acara ,penerbitan,perniagaan dan pemasaran.
Ratu Cantik
Penganjur acara menawarkan beberapa pilihan pemasaran untuk syarikat dan jenama-jenama yang ingin menaja acara ini sebagai ruang pendedahan dan platform publisiti.
Atelier Group sebagai penaja utama acara ini diwakili oleh Dr. Sam Kuan. Klinik Atelier merupakan rakan strategik dan pembentang utama serta pakar dalam bidang penjagaan kesihatan, estetika, dan terapi sel stem.
Manakala Phytoscience merupakan jenama antarabangsa supliment kesihatan terkenal diwakili oleh Puan Sri Datin Sri Ela Tan, pengasas bersama Phytoscience.
Menurut Megan Tan,penganjur bersama acara Miss & Mrs Plus World Malaysia ini beliau berharap para wanita bersaiz besar tidak berasa dipinggirkan dan sentiasa yakin dengan kebolehan diri sendiri.
“Melalui penganjuran acara ini juga diharap dapat mengikis pandangan negatif terhadap wanita yang bersaiz besar” kata Megan Tan.
MPWM merupakan acara rasmi untuk salah satu acara ratu cantik antarabangsa terkenal, Miss Plus World .
Maklumat penuh berkaitan acara tersebut boleh didapati melalui laman web www.missplusworldmalaysia.com atau dengan menghubungi Vinna (012 566 9603) atau Calven (012 917 8388).
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bayi kembar tiga Mejar Mohd. Fikry dimasukkan semula ke NICU selepas didakwa berlaku kecuaian Hospital Melaka. Mejar Mohd. Fikry luah rasa kecewa namun tetap reda dan berharap kejadian sama tidak berulang.