Kawan jadi madu, “awalnya rasa sedih dengan niat suami tapi akhirnya saya terima. Kisah Shuhadah Jaafar yang ditakdirkan bermadu dengan kawan baiknya, Nor Azura Mohd Azmin amat jarang dikongsikan.
Ini kerana, tak semua wanita sanggup berkongsi suami sementelah yang menjadi madu adalah rakan sendiri.Berkongsi pengalaman bermadu dengan rakan, Shuhadah berkata, jujur di awal berita itu diterima, dirinya sukar menerima situasi itu bahkan berasa sedih.
“Bila tahu suami ada hati dengan kawan saya dan nak berkahwin dengannya, memang saya sedih. Tapi bila difikirkan semula dan suami pun berterus terang niatnya nak halalkan hubungan, saya terima kerana yang penting mereka tak ada hubungan di belakang saya,”katanya berkongsi kisah manisnya bermadu dengan rakan sendiri.
Dari rakan menjadi madu. Inilah uniknya hubungan Shuhadah dan Nor Azura.
Memetik laporan Harian Metro, jelas Shuhadah, dia dan Nor Azura berkenalan selepas membuat tempahan baju di butik yang sama, pernah keluar berdua dan bertemu di beberapa acara namun tidak kerap.
“Jadi (saya) terkejut selepas suami luahkan hasrat berkahwin dengan wanita yang saya anggap kawan. Lagi pun, isteri mana yang nak dimadukan, malah saya sendiri ambil masa berfikir serta pertimbangkan perkara itu.
“Tapi akhirnya saya terima kerana suami beritahu hasratnya untuk berkahwin lagi bukan kerana nafsu tapi kebaikan memandangkan dia menguruskan perniagaan bersama isteri keduanya.
Ads
“Saya pun kasihan dengan madu kerana dia pun ada kisah sedih yang berlaku dalam hidupnya sebelum ini,” katanya.
Menurut Shuhadah, keputusannya memberi keizinan kepada suami untuk berkahwin lagi dibuat selepas mempertimbangkan keadaan dan perasaan semua pihak. Dia menganggap langkah itu lebih baik berbanding membiarkan perkara yang boleh menimbulkan konflik pada masa hadapan.
Katanya, apabila perasaan sudah wujud antara suami dan rakannya itu, soal hati bukan sesuatu yang mudah untuk dipaksa. Justeru, dia memilih untuk reda dan memberi keizinan agar hubungan tersebut berlangsung secara sah dan terbuka.
Shuhadah turut menjelaskan, pendedahan mengenai perkahwinan itu dibuat di media sosial bagi mengelakkan salah faham serta fitnah selain mahu memberi peringatan kepada lelaki yang berniat berpoligami supaya berlaku jujur terhadap isteri pertama.
Ads
Meraikan hari bahagia mereka sekaligus bermadu dengan kawan sendiri
Dia juga berharap hubungannya bersama suami dan madu dapat dipelihara dengan baik serta saling bertolak ansur demi memastikan keharmonian rumah tangga. Pada masa sama, Shuhadah berharap masyarakat tidak melabel isteri kedua sebagai perampas kebahagiaan orang lain.
Menurutnya, layanan baik yang diberikan oleh madu terhadap dirinya serta anak-anak memudahkan mereka membina keserasian malah hubungan mereka kini semakin rapat.
Sementara itu, Muhammad Azizi berkata, perasaannya terhadap isteri kedua hadir tanpa dirancang dan bukan dengan niat merosakkan persahabatan antara dua wanita tersebut. Bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku, dia mengambil keputusan untuk berkahwin mengikut saluran yang sah.
Ads
Sebagai suami, dia mengakui terharu dengan sikap bertolak ansur isteri pertama yang bukan sahaja memberi keizinan malah bersungguh-sungguh memohon kepada mahkamah bagi meluluskan perkahwinan tersebut.
Muhammad Azizi berkata, dia memilih untuk berterus terang dan tidak mengambil jalan pintas kerana percaya kejujuran dan komunikasi adalah asas penting dalam perkahwinan. Malah, majlis akad nikah isteri kedua turut berlangsung di rumah mereka atas persetujuan isteri pertama.
Mengulas tanggungjawab selepas bergelar suami kepada dua isteri, Muhammad Azizi mengakui dia berasa sebak dan sedar amanah untuk berlaku adil bukan perkara mudah.
Dia turut menafikan perkahwinan kedua dilakukan atas dasar nafsu sebaliknya menegaskan niatnya adalah untuk membimbing serta memberi perlindungan, selain mengingatkan lelaki di luar sana supaya tidak menyembunyikan hasrat berpoligami kerana ia hanya akan memudaratkan hubungan rumah tangga. Kredit :- Harian Metro.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Wanita didakwa bunuh kanak-kanak tujuh tahun sugul di mahkamah, berdepan hukuman 30-40 tahun penjara. Seorang wanita yang didakwa membunuh kanak-kanak berusia 7 tahun kini hanya mampu berserah kepada takdir akan perjalanan hidupnya.
Saniah Osman, 55 tahun berdepan tuduhan membunuh membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di Pasir Gudang di sini, Disember lalu kelihatan sugul dan hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nabilah Nizam.
Saniah yang juga seorang peniaga dibawa ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh Muhammad Aswad Muhammad Fairuz di ruang tamu sebuah rumah di Taman Kota Masai, Pasir Gudang antara jam 7.30 malam, 29 Disember hingga jam 1.30 pagi, 30 Disember tahun lalu.
Memetik laporan Harian Metro, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, jika sabit kesalahan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ibu tertinggal anak dalam kereta sukar kawal emosi, dilihat menangis saat tunggu jenazah di unit forensik. Tiada kata-kata mampu menggantikan perkara yang telah terjadi. Inilah yang berlaku kepada seorang ibu yang tanpa sengaja tertinggal anak kecilnya yang berusia dua tahun di dalam kereta dalam satu kejadian di Seremban hingga membawa kepada asbab anak kecilnya meninggal dunia semalam.
Hari ini, tangisan dan kesedihan mengiringi suasana di perkarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau, apabila ahli keluarga kepada kanak-kanak yang ditemui meninggal dunia di dalam kereta petang semalam menunggu proses bedah siasat selesai dijalankan.
Paling terkesan pastinya kedua ibu bapa anak syurga ini kerana keduanya dilihat sukar mengawal perasaan dan hanya tangisan mungkin mampu melegakan perasaan tatkala diuji dengan kejadian sedih begini.
Kedatangan ahli keluarga dan kenalan yang memberikan kata-kata semangat buat ibu bapa kanak-kanak yang meninggal ini menambahkan lagu suasana pilu.
Memetik laporan Harian Metro, ahli keluarga dilihat tiba di unit berkenaan jam 11.45 pagi namun pihak media difahamkan bedah siasat dijalankan jam 2 petang.
Pihak media cuba mendapatkan ahli keluarga, namun mereka kelihatan tidak bersedia untuk ditemubual.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim mengesahkan bedah siasat bermula jam 2 petang di Unit Perubatan Forensik hospital berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya belum memutuskan jumlah saksi yang akan dipanggil untuk memberikan keterangan dan pihaknya masih menjalankan siasatan termasuk menunggu keputusan punca kematian.
“Buat masa ini, siasatan menjurus kepada kewujudan pengabaian ibu bapa dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan ibu kanak-kanak terbabit yang berusia 35 tahun dan bekerja di sebuah bank di Seremban hanya menyedari anaknya tertinggal di dalam kereta ketika mahu pulang ke rumah pada jam 5 petang.
Mangsa dipercayai ditinggalkan sejak jam 8 pagi apabila ibunya terlupa untuk menghantarnya ke rumah pengasuh.
Polis turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033222.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Wanita Muslim Malaysia cipta sejarah apabila Dr Nur Shahidah Abdul Rashid muncul sebagai satu-satunya jurutera keselamatan nuklear dari Malaysia yang berkhidmat di Perancis. Kejayaan anak kelahiran Malaysia ini menembusi bidang kejuruteraan nuklear antarabangsa bukan sahaja mengharumkan nama negara, malah mengangkat imej wanita Muslim di mata dunia.
Pada usia 34 tahun, Dr Nur Shahidah membuktikan bahawa status sebagai wanita Muslim dan ibu kepada seorang cahaya mata bukan penghalang untuk melangkah jauh dalam kerjaya berprofil tinggi. Malah, peranan sebagai ibu menjadi sumber kekuatan untuk terus berani mencabar diri di bumi asing.
“Saya bangga dan terharu kerana menjadi satu-satunya rakyat Malaysia di sini. Tapi rasa takut dan gementar pun ada kerana bertanggungjawab menjaga nama baik negara dan agama di mata dunia,” ujar beliau.
Kini, Dr Nur Shahidah berkhidmat sebagai Jurutera Keselamatan Nuklear di Autorité de sûreté nucléaire et de radioprotection (ASNR), iaitu autoriti nuklear Perancis. Kepakaran beliau menjadikannya satu-satunya rakyat Malaysia yang berkhidmat di agensi berprestij tersebut sejak Oktober tahun lalu.
Beliau merupakan pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Nuklear Lanjutan dalam Pengurusan Sisa Radioaktif dari Universiti Pohang Sains dan Teknologi (POSTECH), Korea Selatan. Dr Nur Shahidah meluahkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan, apatah lagi menyedari peluang tersebut bukan mudah diperoleh.
Keputusan berhijrah ke Perancis dibuat selepas tamat tempoh berpantang anak sulung. Bagi Dr Nur Shahidah, pengalaman merantau bukan perkara baharu kerana sebelum ini beliau pernah menetap hampir tujuh tahun di Korea Selatan dan lebih setahun di Vienna, Austria.
“Bezanya kali ini bukan belajar, tetapi bekerja. Namun saya bersyukur kerana suami dan anak lelaki berusia lapan bulan turut bersama di Perancis,” katanya.
Sokongan suami, Muhammad Abdul Rahman Ismail, 34, menjadi penguat semangat utama selepas hampir sembilan tahun berkahwin dan hidup berjauhan sebelum ini.
Di ASNR, Dr Nur Shahidah terlibat secara langsung dalam pengendalian dan semakan lesen reaktor modular kecil serta reaktor modular termaju. Beliau turut menjalankan analisis dan simulasi pencemaran radionuklid serta bahan kimia toksik terhadap alam sekitar dan manusia menggunakan perisian SYMBIOSE.
Selain itu, beliau juga merangka pelan pengurusan keselamatan alam sekitar dan manusia serta terlibat dalam projek sampingan pengendalian lesen pembinaan Cigéo, iaitu repositori geologi dalaman untuk sisa radioaktif.
Mengakui bekerja dalam sistem kerajaan Perancis bukan sesuatu yang mudah, Dr Nur Shahidah memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan budaya kerja, bahasa dan sistem dokumentasi.
“Perlu membaca banyak dokumen terjemahan dari bahasa Perancis ke bahasa Inggeris serta belajar berkomunikasi secara efektif dalam pasukan antarabangsa,” jelasnya.
Walaupun dipilih oleh ASNR, tanggungjawab beliau bukan hanya kepada Perancis, tetapi turut melibatkan kerjasama dengan pelbagai negara lain.
Walaupun sering disalah anggap kerana penampilan muda dan sederhana, Dr Nur Shahidah pernah bekerjasama dengan institusi besar seperti Agensi Nuklear Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Institut Kajian Tenaga Atom Korea (KAERI).
“Sebagai isteri dan wanita Muslim, saya sentiasa berusaha menjaga nama baik Malaysia dan imej Islam di mata dunia,” katanya.
Baru-baru ini, Dr Nur Shahidah dicalonkan dalam senarai simpanan Pegawai Pelindung di Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA). Jika diberi peluang, beliau berhasrat untuk kembali mencurah bakti kepada negara.
Kisah Dr Nur Shahidah menjadi inspirasi besar bahawa wanita Muslim dan ibu mampu berjaya di peringkat global tanpa mengorbankan prinsip, keluarga dan jati diri. Ia adalah bukti nyata bahawa wanita Muslim Malaysia mampu berdiri sebaris dengan pakar dunia dalam bidang berisiko tinggi dan berprestij.