Ini suara hati seorang wanita yang ingin melihat Malaysia kembali gah seperti dulu. Wanita yang tidak tahu menggunakan senjata, namun ada pena untuk digunakan sebagai senjata yang paling kuat.
Luahan hati Cik Puan Ammy dari pengalaman zaman kanak-kanak mengundi dengan mak ayahnya, dikongsikan bersama Mingguan Wanita dalam catatan yang cukup menyentuh hati. Dengan iringan doanya, “Semoga kerajaan yang baru ini akan membangunkan negara dan ekonomi kita semakin pulih malah akan menjadi lebih baik.”
Kita Nak Mengundi Sayang
Dahulu, seingat aku ketika itu aku masih anak hingusan, masih lagi kanak – kanak yang mandi di sungai tanpa berbaju, mentah dan naif, dosa dan pahala masih dibahu ibu dan ayah. Petang itu sedang berbasikal ke hulu kehilir bersama kawan – kawan aku melihat ramai orang memasang dan menggantung bendera – bendera kecil di tepi – tepi jalan, pada pokok – pokok dan pagar – pagar kedai. Aku hairan kenapa mereka memasang bendera pelbagai corak dan warna itu, adakah kami akan menyambut sesuatu perayaan…
“Kita nak mengundi sayang…”
Jawab ayah bila aku bertanya.
“Undi tu apa dia pok…?”
Panggilan manja aku pada ayah. Ayah hanya diam, senyum dan mengusap lembut rambutku.
“Tu bendera apa pok..?”
Aku menyoal lagi. Setahu aku bendera yang selalu mereka bawa, gantung dan pasang pada tiang – tiang hanyalah satu sahaja. Ada bintang, bulan dan jalur – jalur merah dan putih, bendera Malaysia.
“Yang ada keris tu, bendera AMNO, yang ada tulis S46 tu, Semangat 46, yang hijau ada bulat putih kat tengah tu PAS…”
“Untuk apa tu pok. Kita nak raya eh..?”
Ayahku ketawa kecil bila mendengar soalan daripada anaknya yang berumur 8 tahun itu. Alhamdulillah sehingga kini aku masih berpeluang melihat senyuman dan ketawa itu.
“Adik kecil lagi dah besar nanti pok bagitahu..”
Ayah menyeluk poketnya dan menghulurkan RM1.
“Dah, pergi main. Kawan – kawan dah tunggu tu.”
Ads
Aku pun berlalu….
Ketua Inilah Boleh Tolong Kita Bila Susah
Hari berlalu. Hampir setiap hari aku lihat mereka tidak jemu menampal kertas – kertas pelbagai corak di kedai – kedai dan pagar – pagar rumah, bersemangat sekali. Pada suatu pagi ayah dan mak mengajak aku temani dia beratur. Barisannya amat panjang sekali. Lebih panjang daripada barisan untuk membeli makanan di kantin sekolah.
“Nak pangkah undi dan memilih pemimpin kita. Hari tu kan Adik tanya pok bendera – bendera tu untuk apa, untuk ni la.”
Ramainya orang beratur daripada pagi sampai tengahari. Pelbagai bangsa ada, Cina, India, Melayu dan ada jugak Orang Asli. Bila tiba giliran ayah aku turut serta masuk dan aku tengok ayah pangkah dua keping kertas gambar yang sama.
“Kenapa pok pangkah gambar tu bukankah kena right. Gambar tu salah ke?”
Ayah ketawa kecil. Maklumlah sudah biasa di sekolah kan. Bila betul cikgu tanda right, kalau salah cikgu akan pangkah.
“Bila kita pangkah maknanya kita dah pilih dia. Sebab dia boleh jadi ketua kita. Boleh tolong kita bila kita susah. Macam Adik pilih siapa jadi ketua kelas kat sekolah. Satu lagi, ni rahsia tau… Jangan bagitahu sesiapa pok pangkah gambar apa walaupun dengan mak.”
Aku mengangguk walaupun aku tidak faham.
Keesokan hari ayah bagitahu aku gambar yang ayah pangkah itu telah menang.
“Ini lah ketua dia. Perdana menteri kita.“
Ads
Ayah tunjukkan pada aku wajah orang yang ayah pilih menjadi ketua itu di kaca television. Dia bercakap panjang dan ayah tekun mendengarnya sehingga aku terlena di riba ayah. Rindunya pada ayah.
Aku Tak Lagi Temani Ayah Mengundi
Masa berlalu. Daripada sekolah rendah, kini sudah ke sekolah menengah. Aku tidak lagi menemani ayah keluar mengundi untuk memilih pemimpin. Aku yakin ayah masih pangkah gambar atau lambang yang sama kerana Perdana Menteri Malaysia tidak pernah berubah.
Kata ayah, jika rakyat masih percaya akan beliau dan beliau menjalankan tugas yang diamanahkan oleh rakyat dengan baik selagi itulah beliau layak menjadi Perdana Menteri Malaysia dan jika suatu hari nanti beliau ingkar maka rakyat berhak memilih Perdana Menteri yang baru, itulah yang dinamakan ‘mengundi’ atau Pilihan Raya Umum! Ayah kata beliau banyak berjasa kepada negara. Pelbagai pembangunan yang telah beliau bangunkan dan salah satunya menara KLCC.
Dewasa aku di bawah kepimpinan beliau. Adat berjuang, adakalanya kita rebah. 1998 ekonomi Malaysia merundum. Ramai yang terkena tempias. Ramai yang kehilangan pekerjaan dan ada perniaga yang tutup kedai.
Namun gigih beliau membangunkan kembali. Syukur pada ilahi Malaysia kembali membangun. Sudah menjadi hukum dunia. Bila di atas mesti akan terima pelbagai tomah dan caci. Namun beliau tenang tidak melatah. Beliau tangani dengan bijak.
Penghujung 2003, beliau umumkan perletakkan jawatan. Pada aku mungkin 22 tahun menjadi Perdana Menteri Malaysia beliau sudah penat. Beliau ingin berehat dan menjalani hari – hari tua bersama isteri tersayang. Menghabiskan sisa – sisa kehidupan bersama kasih sayang anak dan cucu.
Malaysia Sudah Ada Perdana Menteri Yang Baru
Malaysia ada perdana menteri yang baru. Lama benar aku tidak mendengar ayah berceloteh mengenai perdana menteri baru itu. Mungkin ayah tidak ada cerita menarik atau mungkin aku tidak sebetah dulu yang suka bertanya.
Sebenarnya aku tahu apa yang sedang berlaku. Pelbagai tragedi berdarah berlaku tidak kurang juga bencana alam yang mengorbankan ratusan nyawa. Cukup lah aku diam – diam sahaja kerana aku sedar aku ibarat mentimun mereka ibarat durian. Digilis sakit dan menggilis pun tetap sakit. Ayah kata kita orang awam jangan campur urusan politik, jangan kerana pulut santan binasa. Biarlah mereka selesaikan urusan mereka dan kita dengan urusan kita. Kalau tidak suka, diam – diam kita ubah. Undikan rahsia…
Akhirnya aku diberi kuasa untuk ‘pangkah’ lambang yang aku suka. Kata ayah pastikan ‘lambang’ yang kita pilih itu ketuanya boleh menjalankan tanggung jawabnya sebagai pemimpin. Pilih ikut kata hati dan naluri. Ingat jasa yang mereka beri. Aku pangkah lambang apa yang ayah pangkah.
Tradisi… Bila ayah kata mereka menang dan berjaya mengekalkan tempat mereka di Malaysia. Aku hanya senyum sahaja. Biarlah selagi kita bebas beriadah di luar rumah tanpa ada serangan bom atau peluru sesat maka bersyukur lah Malaysia masih aman. Rakyat masih bersatu padu. Tapi sampai bila..?
Ads
Melihat yang miskin ditindas, yang kaya menjadi raja. Mangsa dipenjara dan dihukum sedangkan si pelaku dibela. Kadar jenayah semakin berluluasa ekoran kos sara hidup semakin tinggi sehinggakan kerana satu tin susu anak sanggup meragut dan merompak. Kenapa Malaysia sudah menjadi sedemikian rupa?
Tidak keterlaluan kalau aku mengatakan rakyat jelata, terutama sekali golongan bawahan dan pertengahan paling terkesan serta tertekan dihimpit kos hidup yang terlampau tinggi seperti apa yang dialami ketika ini. Selagi keadaan ekonomi terus merudum, selagi itulah golongan yang berpendapatan kecil tidak termampu mengimbangi kadar kenaikan harga barang dan perbelanjaan harian yang terus meningkat kesannya para peniaga menjadi mangsa maki dan hamun.
Aku Kena Ubah
Malangnya bila ekonomi negara sedang bergelut untuk berada di landasan yang kukuh, masalah rasuah pula semakin hari semakin serius sehingga gagal dikawal. Bukan itu sahaja, semakin ramai ketua dan pegawai tinggi jabatan kerajaan yang ditahan membabitkan kesalahan, malahan jumlah wang suapan mencecah jutaan ringgit dengan bersembunyi di dalam rumah sendiri. Maruah negara semakin tercalar.
Aku kena ubah. Hak memilih ditangan aku. Benar kata ayah. Kita bagi peluang pada mereka 5 tahun sahaja untuk buktikan ketulusan untuk membela nasib rakyat. Jika rasa tersepit kita ubah lagi. Lima tahun bukan satu masa yang lama.
Hari ini 09 Mei 2018 untuk kali kedua aku di beri peluang untuk ‘memangkah’ dua keping kertas ‘keramat’ itu. Dan aku bersyukur kerana besama – sama aku ada ‘lelaki tua’ yang aku anggap telah ‘penat’ itu kembali untuk membela nasib rakyat.
Beliau lupakan hidup selesa yang diidamkan selama ini. Lupakan sebentar kegembiraan bermain dengan cucu – cucu. Di usia ini… Sekali lagi sudi beliau sanggup menggalas tanggungjawab yang pernah di amanahkan kepada yang lain tetapi disia – siakan.
Beliau kembali berusaha mengutip dan mencantum kembali sisa – sisa harapan rakyat yang berderai dek kerana rasa kesal dan kecewa ditindas dalam diam. Kali ini, aku ‘pangkah’ bukan kerana tradisi, bukan kerana lambang bukan dek kerana cerita – cerita ayah.
Bukan Senang Nak Pecahkan Tradisi
Walaupun waktu itu seperti berdiri ‘diatas pagar’. Bukan senang untuk memecah tradisi. Aku tahu bukan semua yang berkuku besi, kerana ada yang bersungguh – sungguh membela nasib rakyat, contohnya seperti menteri besar di negeri aku.
Beliau cukup sayangkan rakyatnya. Banyak jasa beliau kepada rakyatnya. Membela peniaga – peniaga kecil seperti aku. Aku sayangkan berliau dan aku yakin di luar sana ada beribu lagi yang sayangkan beliau. Namun inilah bak kata si bijak pandai ‘dek kerana nila setitik’ rosak susu sebelanga.
Dengan Bismillahirahmanirahim tanpa memandang pada lambang – lambang yang lain… Aku tunaikan tanggujawab aku sebagai rakyat Malaysia. Walaupun aku hanya wanita biasa, namun hatiku sekeras waja.
Demi masa depan anak -anakku, anak – anak bangsaku aku perlu cuba. Kali ini aku tidak lagi tertidur di riba ayah takala mendengar hujah – hujah bernas beliau. Sama – sama bersengkang mata kesubuh hari bersama ayah mendengar keputusan rasmi PRU 14 dan ianya tidak sia – sia.
Beliau sekali lagi diberi mandat menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke 7. Semoga beliau berjaya membawa Malaysia kembali gah dimata dunia. Semoga beliau dikurniakan kesihatan yang baik dan dipanjangkan umur.
Sesebuah kerajaan akan terus disokong dan tidak perlu bimbang kalah pada pilihan raya sekiranya ia benar-benar berkhidmat serta berprihatin terhadap nasib rakyatnya.
5 tahun bukan satu jangka masa yang lama. Kuasa mengundi ditangan kita. Kalau tidak suka, diam – diam kita ubah. Undikan rahsia.
Sungguh tak sangka, faktor merajuk merupakan antara punca terbesar ramai warga emas memilih untuk tinggal di Rumah Kebajikan Orang-Orang Tua atau lebih dikenali Rumah Seri Kenangan bagi menghabiskan sisa-sia hari tua.
Perkara ini didedahkan oleh Puan Zaiton Muhammad,57, Pembantu Perawatan Kesihatan yang telah berkhidmat dan menabur bakti selama hampir 35 tahun disini.
“Saya percaya Setiap orang tua yang mendaftar masuk disini mempunyai masalah yang tersendiri. Tapi pandangan peribadi saya sendiri selama 35 tahun bekerja di Rumah Seri Kenangan, asasnya yang menjadi punca terbesar dan paling ramai masuk disini disebabkan akibat ‘merajuk’ dengan dengan orang sekeliling. Baik merajuk dengan anak-anak, menantu, keluarga, adik beradik dan sebagainya. Bila dah merajuk, ramai yang memilih untuk tinggal disini kerana rasa tidak diperlukan dan tidak mahu menyusahkan sesiapa.”
“Kita kena sedar orang tua mempunyai egonya yang tersendiri serta mudah berkecil hati.Sebagai anak kita perlu ikutkan ‘rentak’ mereka dan sabar melayani mereka.” ujar Zaiton ini yang lebih mesra dipanggil Ibu.
Pelajaran Terindah
Menurut wanita cekal dan penyayang ini, bekerja di Rumah Seri Kenangan sejak berusia 19 tahan sehingga sekarang banyak mengajar beliau pengalaman hidup. Daripada cara melayani orang tua, memahami ragam mereka, saat mendepani kematian dan sebagainya.Segalanya dijadikan iktibar dan ‘pelajaran’ terindah buat beliau.
Berikut antara perkongsian tip oleh Zaiton bagi menjaga warga emas/ mak ayah yang lanjut usia.
1. Anak perlulah sentiasa bersabar dan memahami perangai / ragam orang tua.
2. Mengalahlah dalam apa juga keadaan dan situasi. Tangani dengan sebijaknya walaupun kurang bersetuju dengan pendapat mereka.
3. Sebagai anak, jangan mudah ambil hati dengan percakapan atau perbuatan mak ayah.
4. Pendam segala kemarahan dan jangan luahkan pada mak ayah.Hormati mereka dalam apa juga keadaan.
5.Bijak tangani ego mak ayah yang tak suka dibangkang pendapat mahupun suruhan mereka.
Orang tua atau mak ayah yang lanjut usia memang memiliki jiwa yang sensitif, mudah merajuk dan paling tak suka anak-anak melawan kata-kata mereka. Kita sebagai anak, kenalah bijak melayani mereka. Bercakap biarlah berlapik, atur susun kata sebaik-baiknya.Ingatlah segala jasa dan pengorbanan mereka, sewaktu kita kecil dahulu.
Memang tak mudah untuk melayani dan menjaga orang tua, apatah lagi jika yang telah berusia dan mengalami masalah kesihatan seperti nyanyuk dan sebagainya.Namun bersyukurlah masih memiliki mak ayah dikala ramai anak-anak lain mengharapkan redha, doa dan keberkatan daripada mak ayah mereka dah telah lama pergi meninggalkan dunia ini.
Semoga hanya balasan pahala yang berlipat kali ganda, diberikan buat anak-anak yang gigih, menjaga dan melayan orang tua yang telah lanjut usia dengan sebaik-baiknya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kes bayi meninggal dunia di rumah pengasuh antara isu yang seringkali menjadi kebimbangan buat mak-mak yang bekerja.Benar ajal dan maut ditangan tuhan, tetapi jika berpunca daripada kecuaian, pasti terbit rasa kekesalan dihati.
Terbaru, kejadian yang dilaporkan berlaku di Kuantan, seorang bayi lelaki berusia 13 bulan meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri ketika dalam jagaan di rumah pengasuhnya di Indera Mahkota 15, dekat sini, hari ini.
“Sabtu lalu saya bermain dengan dia. Cucu sihat dan aktif seperti biasa. Hari ini, tiba-tiba sahaja saya dapat tahu dia sudah tiada.”
Itu luahan Hadijah Gan Abdullah, 63, nenek kepada Ahnaf Hanafi Mohd Hanif, berusia setahun, yang disahkan meninggal dunia di sebuah klinik di Indera Mahkota 8 di sini hari ini, selepas ditinggalkan di rumah pengasuh.
Tidak Sedarkan Diri
Hadijah berkata anaknya, Mohd Hanif Sulaiman, 28, dan isterinya Roshidah Abdullah, 30, menerima panggilan telefon daripada pengasuh cucunya sekitar pukul 2.45 petang, memaklumkan anak tunggal mereka tidak sedarkan diri.
Katanya, anaknya juga difahamkan bahawa pengasuh itu meminta jirannya untuk membawa Ahnaf Hanafi ke klinik kerana tidak mempunyai kenderaan.
“Saya juga sudah biasa di klinik itu kerana menjalani rawatan di situ. Saya diberitahu cucu sebenarnya sudah tiada apabila sampai di klinik itu dan kami diminta membuat laporan polis.
“Pengasuh mengatakan cucu merengek dan dia masukkan ke dalam buaian. Saya tanya jika cucu diberi susu, tapi pengasuh kata tidak. Sukar untuk kami terima Ahnaf sudah tiada kerana dia sihat dan dia juga sebenarnya tidak biasa dibuai kerana kami tidak menggunakan buaian.
“Ayahnya beritahu Ahnaf seperti biasa pagi ini… hanya sedikit sakit pada kulit, tapi tidak mungkin itu menyebabkan kematiannya,” katanya semasa ditemui Bernama di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, hari ini.
Pengasuh Baru
Hadijah yang merupakan pesara guru menambah cucunya baharu sebulan lebih ditinggalkan di situ, selepas pengasuh lama di Kampung Tiram di sini, mengambil dua bayi, menjadikan mereka khuatir bagaimana beliau mahu menjaga begitu ramai kanak-kanak dalam masa yang sama.
Justeru itu, Mohd Hanif, seorang akauntan dan isteri yang merupakan kerani sebuah syarikat swasta di Indera Mahkota mencari pengasuh baharu dan difahamkan pengasuh itu turut menjaga empat kanak-kanak lain, katanya.
“Ahnaf baharu menyambut ulang tahun kelahiran pertama pada 9 Disember lalu. Saya tak sangka perkara ini boleh berlaku kepada kami kerana sering membaca kejadian seumpamanya di surat khabar.
“Bila saya baca tentang kanak-kanak terjatuh, tersedak susu atau kejadian lain melibatkan bayi, saya akan mengingatkan anak-anak supaya sentiasa berhati-hati dengan anak mereka,” katanya.
Tindakan Undang-Undang
Hadijah yang menetap di Bukit Setongkol di sini menambah Ahnaf adalah cucu kedua bongsu daripada lima cucunya dan sedang aktif merangkak dan cuba bertatih.
Beliau menambah mereka telah membuat laporan polis di Balai Polis Indera Mahkota sekitar pukul 4 petang tadi dan sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pengasuh itu, jika wujud unsur kecuaian. Jenazah Ahnaf Hanafi akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Ubi di sini esok, kerana mereka menunggu keluarga Roshidah dari Marang, Terengganu.
Ibu bapa kanak-kanak itu enggan ditemuramah dan Roshidah difahamkan enggan menjamah makanan sejak kejadian berlaku dan perlu ditenangkan beberapa anggota keluarga dan rakan sekerja.
Klasifikasi Mati Mengejut
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Polis Mohamad Noor Yusof Ali semasa dihubungi berkata,punca kematian belum dapat dipastikan dan ibu bapa bayi itu dimaklumkan pengasuh bahawa anaknya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam buaian dengan mata terbuka.
“Bapa bayi itu sudah membuat laporan di Balai Polis Kuantan berhubung kejadian itu,” katanya.
Mohamad Noor berkata, setakat ini kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan pihaknya akan melakukan siasatan lanjut.
“Kita akan mendapatkan bantuan dan laporan Jabatan Kimia untuk mengetahui punca kematian,” katanya lagi.
Mingguan Wanita mengucapkan salam takziah buat keluarga ini, semoga bersabar diatas segala ujian dan dugaan yang menimpa. Alfatihah.
Allahu, 1 Ramadan yang disambut semalam negara dikejutkan dengan tragedi berdarah apabila tiga beradik kehilangan nyawa dan empat yang lain parah, gara-gara ditetak oleh seorang lelaki kurang siuman.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2.30 petang itu, tiga kanak-kanak maut manakala empat parah selepas ditetak lelaki dipercayai kurang siuman dalam kejadian amuk di Kampung Sungai Haji Mohamad, Selekoh dekat Rungkup, petang semalam.
Tiga beradik yang maut berusia antara dua hingga lima tahun manakala empat yang parah termasuk ibu ketiga-tiga mangsa serta dua pelajar sekolah bagaimanapun masih belum dikenal pasti. Mangsa yang maut merupakan Nur Ziah Fasihah Mohd. Fadzil, 2, Muhammad Firash Zaffril, 3, dan Mohammad Faqhqih Zahirulhaq, 5.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, ketika kejadian, lelaki yang dipercayai kurang siuman menceroboh masuk ke rumah didiami tiga mangsa dan ibunya. Jelasnya, suspek yang merupakan rakan kepada bapa ketiga-tiga mangsa bertindak menceroboh rumah tersebut.
“Suspek dipercayai melibas parang ke arah ketiga-tiga mangsa dan menyebabkan mereka maut di lokasi kejadian.
“Selain itu, suspek turut menetak ibu mangsa, Zuraidah Md. Ali, 35, sehingga menyebabkan pergelangan tangan kirinya terkulai dan ibu jari kanannya putus,” katanya.
Bersenjatakan Parang
“Dalam tempoh setengah jam kemudian, suspek yang berusia 37 tahun menghala ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Haji Mohamad yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah mangsa, menetak dua pelajar sekolah dan seorang orang awam.
Beliau berkata, polis bagaimanapun berjaya menahan suspek berdasarkan maklumat orang awam dan merampas senjata digunakan suspek iaitu parang.
“Siasatan masih diteruskan dan setakat ini polis mengklasifikasikan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk kampung yang enggan dikenali ketika dihubungi, berkata suspek dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an dan tinggal tidak jauh daripada rumah mangsa.
“Sejak dua tiga hari lalu, dia kelihatan macam tidak berapa sihat dan kami tidak menyangka dia sanggup melakukan perbuatan yang sebegitu kejam di hari pertama berpuasa,” katanya.
Beliau berkata, semua mangsa dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat dan menerima rawatan lanjut.
Allahu berat sungguh dugaan buat keluarga ini pada permulaan Ramadan tahun ini. Salam takziah diucapkan, semoga keluarga ini terus tabah dan diberi kekuatan untuk menerima takdir serta ketentutan tuhan. Al Fatihah.
Ustazah Asma' difitnah, zahir rasa terkilan 10 malam terakhir Ramadan dicemari. Sejak semalam, tersiar kenyataan di media massa pendakwah Ustazah Asma' Harun yang dikatakan...