Isteri sedang berpantang tak boleh buat semua benda sendiri dan tak mampu bergerak lasak sangat. Jadi inilah peluang suami ambil tugas seorang isteri, bantu selagi boleh demi jaga tubuh badan sampai kembali sihat.
Haaa… mungkin nampak mudah tapi kalau dah anak dua tiga orang, tak cukup tangan juga! Moga kaum lelaki lebih memahami Mak-mak yang baru lepas bersalin dan boleh amal tip ini…
1. Bangun awal dari bini
Tak biasa pun, kena cuba juga. Kalau payah bangun, beli jam! Haaa… suami kena bangun lebih awal sebelum isteri bangun dari tidur selama tempoh berpantang. Sediakanlah air mandian untuk isteri anda. Rebuskan daun-daun kayu untuk air mandian si isteri. Biasanya seminggu pertama, digalakkan mandi air rebusan daun ini untuk kembalikan kesegaran badan. Kalau susah nak jumpa daun-daun ubat untuk mandian, cukuplah sekadar menyediakan air suam untuk mandian isteri (bagi yang tak mempunyai water heater).
Ads
2. Sarapan mudah
Sediakan sarapan untuk isteri seawal mungkin. Sebaiknya lepas solat Subuh, sediakanlah sarapan untuk isteri anda… Kalau boleh, tidak perlu sambung tidur semula… Kalau tak dapat sediakan sarapan yang agak berat, memadai segelas milo dan roti bakar..Pasti isteri anda rasa amat dihargai.
3. Takut pun, kena mandikan bayi
Cubalah belajar untuk mandikan anak sendiri walaupun kepala masih lembut. Kalau tak begitu nak mahir mandikan bayi, sekurang-kurangnya bantulah isteri, ibu atau mentua sediakan air mandian. Bayi biasanya dimandikan dengan air suam untuk elakkan hypothermia. Pada peringkat awal, kawalan suhu badan bayi masih lemah.
4. Cuba uruskan anak yang lain
Kalau anak dah ramai, pastikan segala urusan anak-anak itu diuruskan. Janganlah semua nak harapkan isteri yang baru lepas bersalin untuk menjaga anak-anak yang lain. Biarkan si isteri berehat sepenuhnya dengan bayi yang baru dilahirkan. Urusan-urusan yang dimaksudkan merangkumi makan-minum, mandi, pakaian sehinggalah menidurkan anak.
Ads
5. Sediakan air pun penting
Sediakan keperluan-keperluan yang sering dianggap remeh, berhampiran isteri seperti sebotol air minuman berserta gelas, tuala, bakul baju kotor, majalah dan buku kegemaran (untuk mengelakkan boring).
6. Ada di sisi bukan asyik melepak
Mungkin bini jenis berdikari tapi cukuplah anda berada di sisinya untuk menghulurkan bantuan apa-apa yang perlu. Jangan sampai isteri terpaksa menjerit-jerit memanggil untuk minta bantuan sedangkan si suami tertidur di depan televisyen selepas menonton astro.
Ads
7. Bersihkan mana yang patut
Pastikan persekitaran isteri dan bayi sentiasa bersih dan kemas. Bantu isteri mengumpulkan pakaian kotor dan basuhlah pakaian-pakaian itu. Tidak susah sekiranya anda menggunakan mesin basuh. Jangan harapkan isteri untuk bangun berjalan untuk membasuh dan menyidai pakaian. Dalam tempoh berpantang, yakinkan isteri tugasan membasuh, jemur dan angkat pakaian boleh dilakukan anda.
8. Motivasi tanpa bayaran
Sungguhpun anda letih, janganlah ditunjukkan depan isteri. Isteri perlukan semangat untuk pulih dari kesan-kesan melahirkan. Jika suami tiada semangat, sentiasa lesu dan lemah, isteri akan rasa sedih dan mungkin menggalakkan dia jadi lebih murung. Elok anda cuba maniskan wajah walau kadang tak mampu nak buat.
9. Ikhlaskan hati, jangan ungkit
Jika sebelum ini isteri menghabiskan lebih 365 hari dalam setahun menjaga makan minum, pakaian anda dan anak2 lain, apalah salahnya memanjakan dia hanya untuk tempoh 40 hari berpantang. Inilah masanya anda buktikan cinta dan kasih sayang anda padanya. Isteri itu kan amanah untuk suami.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Betapa hebatnya kuasa peluk anak tetapi masih ramai mak ayah yang tidak mengamalkan tip mudah ini untuk melembutkan hati anak-anak yang sedang kecewa.
Lagi teruk, ada mak ayah terus marah dan membiarkan anak baik sendiri. Salah gayanya itu, sepatutnya anak-anak kena dipeluk dan dicium setiap hari bagi mood bahagianya muncul.
Seperti yang saudara Muhammad Hassan amalkan, peluk cium itu makanan jiwa dan rohani untuk anak-anak.
Bina emosi,bina akhlak.
Anak-anak tinggikan suara depan mak ayah,melenting apabila ditegur,susah dengar cakap apabila disuruh. Sebenarnya bukan akhlak mereka bermasalah sebaliknya emosi mereka sedang terganggu. Anak buat salah mak ayah pukul,tengking,denda,pulau mereka. Dari kecil anak-anak dibesarkan dalam suasana huru hara. Paling Sadis dipukul sehingga meninggalkan kesan. Semua ini akan ganggu emosi mereka.
Apa kata sentiasa peluk dan cium anak jika mereka buat salah,tidak dengar cakap. Bagi yang dewasa ajak berbual, dengar apa yang mereka ingin luahkan. Adakalanya kita perlu jadi pendengar yang setia untuk mereka, bahkan lebih dari kawan-kawan mereka. Dengar masalah mereka walaupun dalam perkara yang remeh.
Kuasa Peluk Anak
Insya Allah asbab peluk dan cium anak degil akan jadi anak yang taat, anak yang kasar akan jadi anak yang mendamaikan. Rahmat الله akan bersama kita tatkala saat kita peluk anak dengan kasih sayang. Rotan dah boleh gantung di dinding dengan tenang.
Nabi s.a.w tidak pernah pukul anak dan isteri. Cara nabi s.a.w bentuk umat dengan akhlak dan kasih sayang. Senda gurau bersama anak dan isteri. Adakalanya nabi s.a.w berkejar-kejaran dengan aisyah r.ha. Biarkan aisyah r.ha menang dan adakalanya nabi s.a.w menang. Nabi s.a.w suka bergurau dengan anak-anak kecil. Inilah akhlak seorang manusia yang sangat mulia disisi Allah s.w.t,didik umat dengan penuh kasih sayang.
Tuan Puan Perbaiki JIWA kita, perbanyakkan istighfar. Anak degil, anak bermasalah, anak isap rokok, anak tidak solat, suka keluar rumah,balik lewat malam puncanya dari kita. Kita tidak hidupkan kasih sayang dalam jiwa mereka. Mereka tidak faham apa itu erti kasih sayang, yang mereka faham erti ‘ketakutan’ ‘Kebencian’
Dari kecil ajar anak-anak ‘khidmat’. Kemas rumah bukan sebab takut mak ayah, tetapi sebab sayang mak ayah, sebab nak kejar pahala. Setiap hari dakwah mereka kelebihan khidmat. Dengan khidmat الله lembutkan hati yang keras.
Adik kemas rumah, basuh pinggan, basuh kasut sekolah, buang sampah nanti الله bagi hadiah untuk adik disyurga, nanti الله sentiasa sayang adik,nanti الله bantu adik ketika susah dan senang. Bukan kemas rumah untuk dapat hadiah atau habuan dunia. Hari-hari cakap begini kepada Anak.
Salah faham kita hari ini, letak habuan dunia depan anak. Anak kemas rumah mak janji bagi rm10, mak janji bagi PS3, mak janji ajak jalan-jalan di Mall. Sampai satu tahap mereka akan ‘boikot’ jika tidak tunaikan apa yang kita janjikan. Hadiah bagi kemudian untuk raikan mereka.
Apa Yang Mak Ayah Perlu Buat
Waktu makan suapkan makanan untuk anak walaupun telah dewasa. Hidupkan solat-solat sunat bersama anak, hidupkan zikir, berzanji,qasidah, ta’lim, al-quran secara berjemaah.
Saya yakin dan percaya, akan lahirnya anak-anak yang Taat الله Rasul jika kita sentiasa hidupkan suasana kasih sayang dalam kehidupan mereka. Paling penting Jangan tunjukkan masalah peribadi kita, masalah pejabat kita,jangan gaduh suami isteri depan mereka. Tunjukkan akhlak dan layanan yang baik terhadap mereka.
Anak adalah amanah yang الله anugerahkan kepada kita untuk bawa mereka masuk syurga bersama. Ibu-ibu,ayah-ayah, tahan tangan kita dari memukul mereka. Ringankan tangan untuk peluk cium mereka.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Masa kecil, bersusah payah mak menjaga anak-anak yang ditinggalkan oleh suami. Tapi, bila anak berjaya, mudah sangat dia mengaku zuriat. Sedangkan selama ini, ayah langsung tak ambil tahu.
Inilah realiti yang boleh dikatakan berlaku pada masyarakat sekarang. Bila ayah ada kehidupan baru, anak dan bekas isteri diabaikan. Belum lagi apa yang dilakukan semasa hidup bersama.
Sedar tak sedar, anak dah berjaya baru nak mengaku zuriat, anaknya sendiri. Jangan mudah nak mengaku, mentang-mentanglah anak sudah berjaya dan berkerjaya hebat. Barulah nak mengaku anak bila hilang segalanya yang diburu selama ini.
Bila anak dah besar, dah berjaya, bekerjaya, baru claim tu anak dia. Kalau anak buat tak tahu kat ayah, dikatakan itu anak derhaka.
Masa anak kecik, langsung buat tak tahu kat anak. Sementelah masa anak tengah membesar, pun tak ambik tahu hal anak. Rapat dgn anak, tak langsung, apatah lagi hal kebajikan anak pun tak dijaga.
Lepas tu kata anak derhaka.
Anak ni, kalau boleh kata ayah dia derhaka, lama dah dia kata. Tapi atas dasar hormat, anggap itu org tua dia, tentunya dia simpan ketat-ketat perasaan marah, dendam, sakit hati terhadap bapa dia sendiri.
Dia nampak bagaimana ayah dia layan ibu dia. Anak nampak perangai dan perbuatan bapa dia. Selama mana ayah dia macam tu, dia kira dan akan ingat.
Kedudukan anak ni, bila marah orang tuanya, tentu sekali orang akan label dia kurang ajar.
Sebab tu bila dia besar, dia tak bangga dengan ayahnya kerana yang membesarkannya tu, ibunya, orang yang selalu tunaikan dan bagi apa yang dia nak, ibunya, kebajikan dia ibunya yang sediakan.
Ayah bila ada kehidupan lain, dia lupa dah anak-anak, bila kehidupan tu tiba-tiba hilang dari genggaman dia, automatik dia nampak anak-anak, ingat anak-anak.
Masa inilah anak-anak sudah jadi manusia tatkala si ayah hanyut dibawa arus dunia.
Mingguan Wanita : Begitulah, bila diri terbuai dengan kehidupan lain, terus tak ingat anak isteri. Tapi bila jatuh terduduk, isteri dan anak ini jugalah dicarinya.
Isteri walau sebesar mana pun rintangan dalam rumah tangga, tetap akan cuba bertahan. Sentiasa ada di belakang suami, saat susah dan senang.
Namun, kesabaran isteri juga teruji dengan sikap suami. Makin lama makin menipis dengan sikap baran suami. Sikap itu makin memuncak di waktu PKPB ini. Ikuti luahan rasa isteri itu kepada MW.
Isteri Sedih Sikap Baran Suami
Assalamualaikum puan. Saya ibu kepada empat orang cahaya berusia 10, 13, 16 dan 17 tahun. Saya bekerja di sebuah syarikat swasta. Syukur, saya masih ada kerja dan pendapatan untuk kelangsungan hidup di saat pandemic Covid-19 yang ramai hilang kerja.
Suami juga bekerja di sebuah syarikat swasta dan selepas PKPP diumumkan, dia juga bekerja dari rumah. Hanya beberapa hari dalam seminggu dia ke pejabat.
Apa yang ingin kongsikan dan minta sedikit pandangan puan, sikap suami. Suami seorang yang panas baran. Sejak awal kahwin lagi saya memang tahu sikapnya itu dan sanggup menerima dirinya seadanya. Saya juga sentiasa berdoa agar dirinya akan berubah.
Makin Tua Makin Menjadi
Ternyata sikap orang teramat sukar untuk berubah. Namun saya tetap bertahan walau pun sikapnya itu makin menjadi-jadi. Sebabnya dia tak pernah pukul saya dan anak-anak walau pun dia baran. Hanya barang rumah ada yang akan pecah. Pintu rumah juga pernah rosak keran ditumbuknya. TV pernah rosak bila dibaling remote kerana anak-anak berebut siaran.
Tapi saya tetap sabar. Namun sikapnya itu makin menjadi-jadi bila usia lewat 40-an kini. Hal remeh akan jadi besar. Pantang salah ditengking dan diherdik. Bukan saya saja bahkan anak-anak. Biasanya saya hanya diam kerana tak ingin panaskan keadaan. Akhirnya saya menangis sakit hati.
Bila anak-anak makin besar, mereka dapat lihat layanan ayah mereka pada saya. Tapi saya sentiasa ingatkan anak-anak supaya jangan dilawan ayah mereka. Bersabar saja. Hanya anak lelaki sulung saya yang sering merungut di depan saya. Katanya dia bersabar demi saya. Tapi kalau ayahnya sanggup ‘naik tangan’ dia akan bawa saya lari.
Bila PKPB bermula kembali (saat e-mel ini saya hantar ke MW), saya risau kerana suami akan banyak masa di rumah. Tentu ada saja yang tak kena. Kalau tak saya, anak-anak akan jadi mangsa kemarahannya. Hinggakan anak-anak lebih rela berkurung dalam bilik daripada bersemuka dengan ayah mereka.
Isteri Lambat Masak Punca Gaduh Besar
Sehingga beberapa hari lepas, saya dimarah teruk kerana terlambat masak sedangkan ketika itu saya memang tak sihat. Dia pun tahu yang saya tengah sakit kepala. Diamuknya, habis periuk dilempar ke luar rumah. Saya juga dimaki hamun di depan anak-anak dan buat pertama kali, saya menjawab dan suami hampir menampar saya.
Saya terperanjat dan hanya mampu menangis. Tak sangka anak sulung saya melihat dari jauh. Selepas ayahnya beredar dia datang kepada saya dan mengajak saya tinggalkan rumah dan bawa adik-adiknya bersama. Katanya dia takut satu hari nanti ayahnya akan pukul juga saya. Bahkan katanya, dia tak kisah kalau saya nak bercerai dengan suami!
Saya tahu anak saya itu makin hilang sabar dengan sikap ayahnya itu. Namun saya tetap pujuknya dengan lembut. Saya nak dia bersabar bersama saya. Puan, saya sayangkan suami saya walaupun dia panas baran dan saya sentiasa menjeruk rasa sepanjang perkahwinan kami. Bagaimana saya nak cuba redakan perasaan sedih saya ini? Apa yang boleh saya lakukan untuk redakan panas barannya itu?
Isteri Terluka, KL
Jawapan:
Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Baran atau mudah marah dan melenting adalah satu tindakan agresif dari seorang pelaku. Ia boleh mengeluarkan serangan fizikal, kata-kata yang menyakitkan hati, atau serangan terhadap barangan yang berada di persekitarannya.
Sifat Diwarisi
Baran ini sebahagian besar diwarisi, dan juga proses sosialisasi daripada keluarga yang membiarkan sifat baran itu menjadi “habit” atau pelaziman kepada tingkah lakunya. Pelaziman ini akan membentuk karakternya sehingga dewasa. Dan apabila terbentuk sekian lama, maka karakter atau perangai tersebut agak sukar untuk diubah.
Saat manusia marah, syaitan memasuki salur darah individu menyebabkan berlaku hilang pertimbangan akal fikiran, manakala wajah mulai merah dengan degupan jantung berlari kencang.
Tindakan itu mendorong manusia bertindak di luar kotak fikiran yang waras hingga boleh mengancam nyawa orang sekelilingnya termasuk diri sendiri. Panas baran, ‘kepala angin’ atau ‘naik hantu’ berlaku kerana kesukaran menangani perasaan marah yang menyebabkan seseorang itu hilang malu sehingga sanggup bertindak di luar batasan dan tidak mustahil boleh mencederakan orang lain. Perasaan marah yang tidak terkawal boleh memusnahkan apa saja.
Sukar Diubah
Puan yang dirahmati Allah. Tidak dinafikan sukar apabila berhadapan dengan suami yang panas baran. Perkara sekecil kuman pun boleh jadi besar. Sikap panas baran memang sukar untuk diubah. Namun mungkin puan mampu mengubah diri puan untuk menanganinya.
Daripada apa yang puan ceritakan, saya dapat melihat puan seorang yang amat sabar dalam menangani baran suami. Kalau dari sudut Islam, puan adalah isteri yang solehah kerana ujian seorang isteri biasanya datang daripada karenah suami. Jika dapat bersabar dengan kerenahnya, amatlah besar pahalanya. Mungkin beberapa panduan ini boleh membantu puan untuk mendapat ketenangan dan keadilan buat diri puan.
Isteri Ubah Diri Sendiri Dulu
Seperti yang puan sedia maklum, bukan mudah untuk mengubah suami untuk berubah tingkah lakunya. Jika puan tidak mulakan untuk mengubah diri puan, maka puan akan berada dalam kesengsaraan seperti yang puan rasai kini. Maka perubahan itu perlu datang dari puan.
Ada seorang ibu bertanya, kenapa anak jadi biadab? Saya bertanya, siapa yang membiarkan anak menjadi biadap terhadap kita? Saya juga pernah ditanya oleh seorang suami, bagaimana nak atasi isteri yang suka queen control? Saya bertanya semula kepadanya, kenapa membiarkan diri di”control”?
Jangan Biarkan
Maka kalau ditanya macam mana nak hadapi suami baran yang selalu suka tengking dan pukul? Saya bertanya, siapa yang membiarkan diri ditengking dan dipukul? Bukankah diri sendiri ada maruah, ada harga diri.? Kenapa biar orang lain tengking dan pukul sesuka hati. Bukankah diri sendiri yang bergelar isteri adalah amanah Allah ? Selama bertahun dilahir dan dibesarkan oleh ibu bapa, tidak lah tertekan seperti mana yang dihadapi apabila telah berumah tangga.
Justeru, jika puan mahukan kebahagiaan, dan mahu suami berubah, maka puan sendiri perlu berubah. Dari sini yang bertanya akan terhenti sejenak, kenapa orang yang hampir dengan kita jadi begitu. Salah dia kah atau salah diri kita yang tidak mampu membentuk dirinya untuk jadi lebih baik?
Justru, dari sini, puan bahawa kita tidak mampu mengubah orang yang kita sayangi, orang yang hampir dengan kita, tetapi kita mampu mengubah diri sendiri yang nantinya insya-Allah mampu pula mengubah orang yang hampir dengan kita.
Luahan Hati ini dijawab oleh: Puan Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor dan penulis bebas.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Shu Shukri "sekolahkan" Hafidz Roshdi, "dah kalah tu kalahlah, nafkah anak sesen pun tak bagi. Hari ini, di instagram storiesnya, pempengaruh Nurul Shuhada Mat...