Sukar tidur? Sudah pasti itu masalah biasa bagi sebahagian dari wanita walau di mana sahaja anda berada. Mampukah masalah sukar tidur dikurangkan dengan minum teh chamomile?

Teh Chamomile dihasilkan daripada bunga chamomile yang telah dikeringkan. Chamomile adalah daripada keluarga bunga matahari Asteraceace yang pada mulanya menjadi tumbuhan semusim di Eropah dan negara-negara Asia yang mempunyai cuaca sejuk tetapi telah tersebar luas di Amerika Utara dan Australia.

Walaupun ia tumbuhan yang hidup meliar di pinggir jalan, ladang-ladang dan tanah kosong tetapi kini permintaannya yang semakin bertambah terutama dari segi perubatan, bahan kecantikan dan penjagaan diri membuatkan bunga chamomile telah ditanam secara komersial.

Terdapat dua jenis chamomile iaitu jenis chamomile Jerman (Matricaria recutita ) dan chamomile Roman (Chamaemelum nobile). Tanaman chamomile dapat tumbuh setinggi 15 sentimeter (sm) hingga 60 sm. Daunnya panjang dan kecil berkelompok dua atau tiga daun dalam satu tangkai. Bunganya mengeluarkan aroma yang menakjubkan serta pahit rasanya.

Dikatakan teh chamomile mengandungi banyak vitamin dan mineral termasuklah potassium, magnesium, kalsium, sodium, thiamin, riboflavin dan vitamin A. Zat-zat makanan lain termasuklah folat, besi dan zink. Secawan teh chamomile dikatakan menyediakan 2 kcal tenaga dan 0.47 karbohidrat.

Kebaikan teh chamomile pada kesihatan dan tubuh amat banyak.

Mudah untuk tidur

Teh chamomile dikatakan membantu menyelesaikan masalah  mereka yang berhadapan dengan masalah apnea tidur dan sukar untuk tidur. Meminum secawan teh chamomile panas mampu membantu anda mudah tidur dengan bangun dalam keadaan lebih segar. Ia amat disyorkan sebagai suplemen kepada wanita selepas bersalin untuk tidur dengan lebih baik.

Memperbaik pencernaan

Jika anda menderita masalah kerengsaan pada perut, tidak kiralah daripada perut kembung sehingga sindrom usus rengsa, dikatakan teh chamomile boleh membantu. Ini kerana teh chamomile mempunyai sifat-sifat anti keradangan yang mampu membantu melegakan perut bergelodak dan membenarkan laluan angina dan memudahkan pergerakan usus. Ia juga dikatakan mampu melegakan ulser perut dan kekejangan. Dengan meminum teh chamomile juga dikatakan mampu mengeluarkan air, cecair dan sebarang bahan buangan daripada tubuh. Ini bermakna ia mampu bertindak sebagai diuretic. Sifat ini bukan sahaja mampu membantu dalam mengurangkan berat badan tetapi turut memperbaik pencernaan keseluruhan dan menentang perut kembung.

Mengurangkan keradangan

Kehadiran sifat-sifat antikejang dan antikeradangan dalam chamomile amat berkesan dalam merawat kekejangan perut dan usus. Pengambilan teh chamomile dengan kerap dikatakan mampu membantu menghapuskan masalah-masalah seperti sindrom usus rengsa, loya, kejang otot dan gastroenteritis.

Mengawal diabetes

Bahan kimia organik dalam teh chamomile dikatakan mampu membantu dalam merendahkan tahap gula dalam darah dan mengatur jumlah insulin dalam darah pesakit diabetes. Ia mampu membantu menghapuskan penurunan darah dalam gula secara mendadak.

Merangsang kesihatan jantung

Dikatakan teh chamomile mampu membantu merendahkan tekanan darah dan merendahkan tahap kolesterol jahat (LDL). Keadaan ini mampu memastikan jantung dalam keadaan sihat.

Merangsang sistem imun
Sebatian fenolik yang hadir dalam teh chamomile dikatakan mampu membantu dalam menguatkan sistem imun dan menentang jangkitan. Sebatian lain yang turut hadir dalam teh chamomile turut mampu menentang selesema, demam selesema, sinus, sekaligus melegakan sesak hidung.
Melegakan tekanan dan kegelisahan

Salah satu kegunaan popular teh chamomile adalah dalam merawat tekanan dan kegelisahan. Minumlah teh chamomile ketika anda berasa letih kerana sifat melegakan yang diberikan teh ini dikatakan mampu meningkatkan tahap serotonin dan melatonin dalam tubuh. Hormon-hormon ini dikatakan mampu menghapuskan tekanan dan kerisauan. Dikatakan juga dengan meminum 1 hingga 2 cawan teh chamomile setiap hari mampu membantu melawan tekanan kronik.

Menjaga kulit
Berikutan dengan sifat semulajadi antikeradangan dan antioksidan yang terdapat dalam teh chamomile, ia juga turut digunakan sebagai  bahan dalam produk penjagaan kulit. Sapuan krim daripada teh chamomile dikatakan mampu melegakan kerengsaan atau masalah kulit seperti ekzema.
Melegakan sakit akibat haid

Sifat antikeradangan teh chamomile menjadikan teh ini sebagai penenang popular pilihan wanita yang berhadapan dengan simptom-simptom haid seperti perut mengembung, kejang, kegelisahan, berpeluh, sukar untuk tidur dan perubahan mood.

Merawat reaksi alahan

Teh chamomile dikatakan mampu membantu mengubah tindakbalas imun kepada alahan dalam tubuh. Ini kerana antihistamin dalam teh chamomile mampu melegakan reaksi alahan di seluruh tubuh.