Wahai wanita di luar sana yang masih bujang! Jika ada masalah, jangan jadikan suami orang sebagai kaunselor, mereka bukanlah penasihat terbaik. Silap-silap masalah sendiri pun mereka tak pandai uruskan.
Sebaiknya carilah sahabat yang sama jantina atau ahli keluarga yang boleh dipercayai. Bukannya berkongsi masalah dengan suami yang menjadi hak wanita lain. Mula-mula mungkin sekadar berkongsi masalah, lama-lama mungkin terjatuh cinta.
Ikuti perkongsian Cikgu Nurul Haslinda ini dan fahami apa mesej yang cuba dia sampaikan:
Bila kita sudah berumah tangga janganlah sesekali kita cuba untuk suka-suka berkenalan dengan orang lain di alam maya.
Kerana dengan suka-suka itulah boleh membuka ruang-ruang kecurangan dan sekaligus meruntuhkan sebuah rumahtangga yang sudah lama di bina.
Lebih-lebih lagi anda wahai suami jangan cuba mengurat atau suka-suka mengusik wanita lain, kerana mereka akan jadi tersuka tanpa sengaja atau memang nak cari pasangan hidup dan tidak kisah melukakan hati isteri anda. Malah ada yang sanggup bermadu.
Tak Perlu Berkongsi Masalah Dengan Suami Orang
Begitu juga bagi wanita. Jangan dilayan jika lelaki itu suami orang. Tak perlulah jadikan lelaki itu tempat meluahkan masalah atau apa-apa. Carilah sesama jantina ataupun keluarga terdekat anda.
Suami orang itu bukan kaunselor atau penasihat yang baik. Diri sendiri pun dia tak dapat urus inikan masalah orang lain.
Ada juga di awal perkenalan sudah mula umpan dengan duit dan macam-macam semata-mata untuk memikat.
Walaupun hakikatnya anda tidak mampu. Tanpa bantuan isteri yang berkerja dan tidak berkira, anda memang tidak mampu.
Kasihan si isteri niat membantu untuk meringankan beban suaminya tidak disyukuri malah bila suaminya ada duit sikit mulalah dilaburkan untuk orang lain.
Menyara bulanan orang lain dan mengabaikan isteri serta anak-anaknya. Sangat tidak bertimbang rasa dan kejam.
Sesekali bila bersendirian, renunglah isteri dan anak-anak anda. Apa yang belum lagi anda lakukan untuk membuat mereka gembira.
Jangan di fikirkan untuk menambah isteri lagi kerana anda sebenarnya tidak mampu untuk menyara keluarga yang besar.
Suami Orang Tak Mampu Selesaikan Masalah Sendiri
Tidak malukah selama ini anda nampak senang kerana atas bantuan isteri anda? Mereka tidak berkira kerana memikirkan keluarga. Malah isteri sanggup habiskan duit dia sendiri untuk kepentingan keluarga. sedangkan si suami habiskan duit untuk berfoya-foya.
Akhir sekali jauhilah ber’chatting’ dengan berlainan jantina jika tidak ada urusan penting kerana selain menjadikan kita curang, ia juga merupakan satu zina kecil. Hargailah pasangan anda kerana rezeki anda ada pada mereka.
MW: Sememangnya, bukan tindakan yang bijak menjalinkan hubungan dengan suami orang. Selalunya hubungan yang sekadar suka-suka itulah menjadi serius seterusnya meretakkan hubungan suami, isteri yang sedia ada. Jadi berfikirlah sebelum terlanjur menjalin hubungan cinta dengan suami orang.
Impian mak ayah dan anak-anak, kadangkala tak sama. Tapi, janganlah mak ayah cuba penuhi impian sediri hingga anak-anak terpaksa melepaskan impian mereka pula. Ikuti luahan rasa seorang ibu berkenaan dengan harapannya pada anaknya. Kaunselor, puan Hajah Maimunah Haji Mohamad telah memberikan pandangannya.
Assalamualaikum puan yang dihormati. Saya mempunyai tiga orang anak yang kini sudah meningkat remaja. Dua perempuan dan seorang lelaki (bongsu). Saya bekerja sebagai akauntan dan suami pula seorang jurutera cari gali. Alhamdulillah kehidupan kami selesa dan kami mampu memberikan keselesaan buat anak-anak.
Namun saya dan suami bukan daripada keluarga senang. Kami berdua berasal daripada kampung dan sama-sama memasuki universiti. Ketika itu kami berjumpa dan jodoh kami berkekalan hingga kini.
Anak sulung saya perempuan, kini berusia 31 tahun, sudah bekerja sebagai seorang pensyarah. Masih bujang kerana fokus pada kerjaya. Anak kedua, lelaki, berusia 29 tahun, bekerja di sebagai seorang jurutera di sebuah syarikat minyak ternama. Saya bersyukur kerana kedua anak saya itu mampu berjaya di bidang masing-masing. Dari kecil saya dan suami sangat menitikberatkan pendidikan anak-anak dan mahu mereka bekerja sebagai tenaga profesional walau pun mungkin tak mengikut jejak langkah kami berdua.
Kerisauan kami adalah kepada anak bongsu kami yang bakal menduduki SPM. Dia pelajar cemerlang dan belajar di sebuah sekolah berasrama penuh. Saya dan suami memasang impian untuk melihatnya belajar di luar negara. Yang merisaukan kami, dia seolah-olah tidak berminat dan berkata ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang kulinari.
Bukan saya hendak menidakkan profesi yang berkaitan dengan bidang kulinari, malah saya tahu ramai yang berjaya dalam bidang ini termasuk menjadi chef selebriti. Namun saya dan suami ada pendapat kami sendiri. Sebolehnya kami ingin dia bekerja di bidang profesional, sama macam kami dan abang serta kakaknya.
Saya yakin keputusan SPMnya cemerlang dan saya masih lagi dalam usaha memujuknya. Lagipun dia anak perempuan. Bagi saya, bekerja di bidang kulinari lebih sesuai untuk lelaki kerana tugas memasak seperti di hotel dan sebagainya bukan mudah. Apatah lagi jika sudah berkeluarga kelak.
Anak bongsu saya ini keras kepala dan sejak kecil dia akan lakukan apa yang dia rasakan betul. Pening kepala saya dan suami memikirkannya. Bagaimana kami dapat memujuknya untuk memilih bidang yang lebih sesuai sebagai wanita?
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Setiap ibu bapa menginginkan anak-anaknya berjaya. Berjaya di dunia dan berjaya di akhirat. Sejak kecil anak-anak akan diberi penekanan pembelajaran di sekolah dan di pusat-pusat tuisyen. Usia 7 tahun telah dihantar mengikuti tuisyen sama ada selepas persekolahan atau sebelah malam. Malah, “home tution ” disediakan untuk anak dengan bayaran yang tinggi bagi mereka yang mampu.
Sehinggakan kadang-kadang anak terlalu dibebankan dengan akademik yang berorientasikan peperiksaan hingga menyebabkan anak-anak tiada masa untuk meneroka minat dan kerjaya yang mereka minati. Kejayaan ini kadang-kadang menjadi satu pertandingan atau persaingan di kalangan ibu bapa. Anak siapa yang hebat…Terdapat juga ibu bapa yang mahukan kerjaya anak mereka mengikut acuan yang mereka bentuk. Satu segi adalah baik kerana kadang-kadang anak kurang mengetahui apa yang patut diberi keutamaan dan yang terbaik untuk
Namun kadang-kadang ibu bapa terlupa bahawa terbaik itu sebenarnya adalah untuk ibu bapa sendiri. Ada ibu bapa yang mahu anak mengambil bidang kedoktoran, bidang guaman. Profesion yang menjadi kemegahan mana-mana ibu bapa. Ada juga ibu bapa yang tidak dapat merealisasikan impiannya dulu untuk bidang yang dipohon menyebabkan hasrat itu “dijelmakan” dalam diri anak dan mengharapkan anak meneruskan cita-citanya.
Ada anak-anak yang menurut sahaja kemahuan ibu ayah untuk mengikuti jurusan yang ibu bapa cadangkan. Namun saya pernah mendengar ada anaknya yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang kedoktoran tetapi apabila menerima scroll, menyerahkan scroll itu buat ibu ayah.
Bagi anak, dia sudah memenuhi impian ibu ayahnya. Impiannya ditangguhkan dan kini tiba masa untuknya mencari keinginan dan minat kerjayanya. Ada juga anak yang boleh menerima bidang itu setelah meneroka ilmu yang terdapat di dalamnya dan meneruskan kerjaya mengikut perancangan ibu atau ayah.
Setiap anak ada kelebihannya. Pandangan kita sebagai ibu atau bapa memanglah akan memilih yang terbaik buat anak. Puan berpendidikan tinggi dan berkerjaya yang baik, saya pasti cadangan puan itu adalah terbaik untuk anak bongsu seperti yang puan rancang bersama suami.
Namun, yang baik buat puan tidak semestinya yang betul buat anak. Dalam teori pemilihan kerja seperti VPI (Vocational Preference Inventori) menyatakan seseorang itu akan lebih gembira dan bertenaga apabila minat kerjayanya adalah selari dengan bidang kerjaya yang dipilih.
Tidak kira bidang kerjaya apa yang dipilih oleh anak, sebagai ibu dan bapa, puan dan suami boleh mencadangkan dan memberi gambaran realistiknya bidang itu, kebaikannya, peluang kerja dan ilmu yang diperoleh. Walau bagaimanapun jika anak menolak, maka tentu ada justifikasinya.
Minta dia beri alasan kenapa berminat dengan bidang itu. Minta dia buat sedikit kajian tentang bidang tersebut dan prospeknya. Jika anak puan punya minat yang mendalam, dia pasti tahu prospek kerjaya tersebut. Tidak kiralah bagaimana kaedah yang bakal dibuat untuk mencapainya, sebagai ibu, puan boleh memainkan peranan membantu dia bagaimana untuk mencapai cita-cita tersebut. Contohnya beri dia beberapa menu pilihan yang boleh dia ceburi.
Anak mungkin tidak nampak, tetapi puan boleh memberi pilihan-pilihan untuknya seperti menjadi tenaga pengajar, membuka perniagaan sendiri atau kaedah yang lebih canggih yang boleh dia ceburi. Minta dia lakarkan. Jika dia masih mahu, puan boleh meletakkan syarat yang dirasakan munasabah, realistik, boleh dicapai dan ada “time frame’ bagaimana dia mahu capai.
Jadi “coach” atau jurulatih kepada anak dengan sering adakan perbincangan. Anak akan rasa disokong, ada kebersamaan dan akan menjalani kehidupan yang lebih ceria dan bersemangat. Elakkan berkata anak “degil” kerana itu adalah doa dari seorang ibu. Setiap perkataan dari ibu atau ayah adalah doa sebenarnya yang kadang-kadang kita tidak perasan keluar dari mulut kita.
Sebenarnya dia bukan degil. Dia ada prinsip dan ketegasan pada diri. Kalau kita perhatikan, apa yang dia miliki dan bertingkah laku itu adalah daripada acuan kita ibu bapanya. Kita juga ada sifat tu, kalau tidak bagaimana anak mewarisi sifat itu. Hanya ibu bapa kita yang tahu kita ini bagaimana…maka sifat itu anak akan warisi.
Kejayaan seorang anak sebenarnya bukan diukur dari segi kejayaan akademik dan profesion yang disandangnya. Memiliki ilmu agama yang tinggi, boleh membaca al-Quran dengan baik, solat tidak tinggal, sering membantu ibu bapa, akhlak yang baik, ada kehidupannya yang tersendiri adalah antara perkara-perkara yang kita sebagai ibu bapa perlu titik beratkan dan beri didikan hingga dia mampu menjadi anak yang boleh menjadi peneman kita di dunia dan memberi syafaat semasa di alam barzakh nanti…yang akan mendoakan untuk puan dan suami apabila telah tiada di dunia.
Itulah kejayaan sebenar untuk kita sebagai ibu bapa yang tiada bandingan. Biar lah dia menjadi penjual buah atau bekerja yang pada pandangan kita “lekeh’ tetapi dia adalah anak yang mampu menjaga kita di usia tua. Mampu mendoakan dan membaca al-Quran serta sedekahkan untuk puan dan suami al-Fatihah dan bacaan al-Quran ketika di alam barzakh nanti. Berdoalah agar anak puan menjadi insan soleh.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Boleh dikatakan tugas suri rumah memang tak pernah habis. Ada sahaja yang perlu dibereskan dan diuruskan. Ditambah bila ada anak-anak, ada sahaja kerja rumah yang perlu dilakukan. Penat memang penat tapi kalau isteri yang tak lakukan siapa lagi.
Melainkan kalau suami jenis yang ringan tulang dan kesian melihat isteri bekerja tidak henti, mahulah ditolongnya. Tolong jaga anak-anak, basuh pinggan atau sapu sampah pun sudah cukup buat isteri tersenyum dan berterima kasih.
Tetapi, kalau jenis suami yang hanya balik kerja, duduk bersilang kaki sambil menonton televisyen dan datang ke meja makan apabila semua hidangan tersedia. Mahunya, isteri ‘makan hati’. Lama-kelamaan, isteri yang pendiam pun boleh jadi ‘tarzan’ sebab nak melayan anak, kemas rumah dan sebagainya.
Jadilah, suami yang bertanggungjawab dan bersatu hati dalam membantu isteri. Seperti apa yang dikongsikan oleh Wawa Shauqi tentang suami, ketua keluarga yang sekali sekala ambil alih tugas isteri. Barulah tahu, penat, lelah dan keadaan emosi bila melakukannya setiap hari.
Kalian yang bernama suami. Janganlah begini.
Tidak dinafikan, bukan semua suami begini. Malah ramai saja yang bertanggungjawab. Tapi yang masih beginilah perlu dibuka mata dan hati.
Suami kawan saya ni bukanlah jahat. Baik sangat orangnya. Peramah.
Tapi itulah… mentaliti bujang masih melekat kuat.
Selepas kahwin, sepatutnya mentaliti itu dah tak boleh disimpan lagi. Dia punya anak dan isteri.
Anak isteri bukan sekadar perlukan nafkah makan dan pakai. Emosi anak dan isteri juga perlu diisi.
Baru tahu bagaimana hidup yang tepu terkepung dengan anak-anak. Sambil badan dibanting tak henti sampai penat. Kesempatan nak bersosial jarang sangat dapat.
Apatah lagi untuk berhenti sebenar berehat.
Alam perkahwinan ini memerlukan kerjasama.
Dapat isteri yang rajin, Alhamdulillah. Syukur sangat. Tapi jangan kerana itu, tenaganya dikerah sampai hilang ayu.
Kalau rasa mereka mampu melayan kalian seperti raja, layanlah mereka seperti seorang permaisuri. Diurut, dibelai, dibelanja medipedi.
Tugas jadi ketua keluarga ni tak mudah. Ketua bukan duduk bersenang di atas takhta. Tapi mata perlu sentiasa mencari tugas rumah yang belum sempurna.
Selagi isteri tak habis buat kerja, selagi itu jangan fikir nak duduk saja. Cari apa lagi tugas yang perlu dibantu selesaikan.
Jangan tunggu si isteri menyuruh itu ini. Itukan tugas ketua.
Kalau tugas itu pun dibuat si isteri, tak hairanlah gadis ayu yang kita kenal dulu bertukar watak jadi singa betina.
Jangan cerita ‘zaman mak aku dulu elok je’.
Zaman mak kita, si suami berpanas di bendang atau menebang balak.
Zaman kita, si isteri pun turun padang mencari nafkah.
Jadi, biarlah adil dan sama-sama merasa susah.
Betul tak kawan?
Ikuti sunnah Rasulullah kita Muhammad SAW. Walaupun Baginda sibuk mentadbir ummah, bekerja, berperang dan berdakwah, tapi tugas membantu isteri tetap Baginda jalankan dengan penuh komited.
Itulah sunnah yang patut kita kejarkan. Sebelum sibuk cerita pasal sunnah poligami.
MW: Jangan ikutlah sunnah dengan berkahwin empat saja.
Keterujaan seorang pelajar diragut apabila dia maut dalam perjalanan ke sekolah. Remaja ini menaiki motosikal baru yang dibeli bapanya untuk ke sekolah. Namun takdir mengatasi segalanya apabila pelajar ini meninggal dunia akibat kereta buat pusingan U di tempat yang salah.
Seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat maut apabila motosikal ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kereta yang membuat pusingan U di Jalan Tanjung Rambutan-Chemor, berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Rambutan pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, Nurul Syahira Zamri, 16, dari Kampung Kolam, Jalan Chemor disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan ke sekolah dengan menaiki motosikal jenis Honda SM Sport yang baru sahaja dibeli bapanya untuk kemudahan pergi ke sekolah.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, kejadian berlaku apabila kereta jenis Perodua Kenari dipandu wanita berusia 46 tahun membuat pusingan U secara tiba-tiba menyebabkan mangsa yang berada di laluan berkenaan tidak sempat mengelak.
“Keadaan itu menyebabkan mangsa dikatakan terlanggar bahagian tepi sebelah kanan kereta itu lalu tercampak di atas jalan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya.
Menurutnya, siasatan mendapati lokasi kemalangan adalah kawasan dilarang membuat pusingan U. Ketika membuat pusingan, katanya, kereta berkenaan turut terlajak masuk ke laluan bertentangan menyebabkan satu lagi pelanggaran berlaku membabitkan kenderaan itu dengan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun.
“Bagaimanapun kedua-dua pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan, cuma kerosakan pada kenderaan masing-masing.
“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu wanita tersebut tidak mempunyai lesen memandu,” katanya.
Jelas A Asmadi lagi, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat.
“Siasatan lanjut kini diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
MW: MW merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan. Ternyata bukan mudah untuk menerima pemergian anak secara tiba-tiba begini. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosanya dan keluarga allahyarham tabah menerima ujian berat ini. Al-Fatihah.
Sebelum menyambut Hari Raya Aidiladha, ada baiknya anda ambil tahu cara bahagikan daging korban dahulu. Ini lebih afdhal dan tidak lah buatkan anda rasa ralat jika betul agihkan daging pada orang yang tepat.