Kakak Sulung Cemburu, Sanggup Fitnah Adik Sendiri 

Kakak adalah orang yang dihormati di kalangan adik beradik. Selalunya kakak yang lebih banyak berkorban untuk adik-adiknya. Namun, ada juga kakak yang sanggup merosakkan kehidupan adiknya sendiri semata-mata kerana cemburu. Macam tak percaya bukan?

Namun, inilah yang dilalui oleh seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Maz saja.

Kakak Sering Cari Salah

Aku anak ketiga daripada lima beradik. Aku punya dua orang kakak, dua adik lelaki. Aku tak tahu kenapa, sejak kecil kak long asyik mencari salahku. Ada saja yang tak kena. Pantang silap pasti aku dicubit dan dimarah. Seingat aku, tak pernah dia bawa aku keluar main bersama.

Hanya kak ngah yang sering jaga aku dan mempertahankan aku bila dimarahi kak long. Mak ayah pula sangat percayakan kak long. Tambahan pula kak long pelajar pintar. Bila balik dari asrama, mak ayah tak pernah suruh dia buat kerja rumah. Semuanya aku yang buat. Kata mereka biar kak long rehat.

Kakak Sulung Cemburu, Sanggup Fitnah Adik Sendiri 

Tetap Sayang Kakak

Walau pun kak long tak pernah layan aku dengan baik, tapi aku tetap sayangkan dia kerana dia kakak darah daging sendiri. Aku tetap menghormati dia sebagai kakak. Tak pernah aku melawan cakapnya kerana malas nak bertengkar. Bila di rumah, aku lebih suka menyendiri dan menjauhi kak long.

Sebab itu juga aku tekad untuk berjaya dan aku juga berjaya ke sekolah berasrama penuh. Bila tamat SPM, aku sengaja minta universiti jauh supaya aku tak perlu selalu balik.

Tak Berubah

Ku sangkakan bila kami sama-sama dewasa, dia akan berubah. Namun ternyata tidak. Bila bercakap, ada saja kata sinisnya. Suka merendah-rendahkan aku walau pun aku sudah bergelar seorang guru. Dia pula seorang pegawai di sebuah jabatan kerajaan.

Dia bertemu jodoh dengan rakan sepejabatnya dan abang long baik orangnya. Mulanya aku rapat juga dengan abang long tapi kemudian aku menjauhkan diri bila tiba-tiba kak long menuduh aku nak menggoda abang long hingga mereka bergaduh besar. Puncanya bila abang long hantar aku ke bengkel untuk mengambil keretaku yang dihantar untuk diselenggara.

IKLAN

Sejak itu, aku makin jauh dari kak long. Aku sangat kecewa dengan tuduhannya itu sedangkan aku hanya anggap abang long sebagai abang apatah lagi aku tak ada abang. Konflik antara aku dan kak long memang tak diketahui mak dan ayah. Lagi pula, takkan mak ayah nak percayakan aku sedangkan kak long anak emas mereka.

Baca artikel lain di sini:

Izin Ber’Me Time’ Dengan Adik Beradik Juga Terapi Stres Buat Isteri

Ibarat Air Dicincang Yang Takkan Putus, Ini 10 Tip Rapatkan Hubungan Adik Beradik

Tinggal Bersama Mak Ayah

Kak long sekeluarga sejak kahwin memang tinggal bersama mak ayah sebab pejabatnya dan abang long tak jauh dari situ. Manakala kak ngah dan aku tinggal di daerah lain. Dua adikku masih di universiti.

IKLAN

Terus terang, aku jarang balik kampung kalau kak ngah tak balik. Kalau kak ngah balik, baru aku balik. Tambahan pula kami sama-sama guru, jadi cuti sekolah biasanya kami akan rancang balik serentak. Kak ngah dah kahwin dan ada dua orang anak. Abang Ngah juga guru dan aku lebih rapat dengannya.

Hanya aku pada usia mencecah 33 tahun masih belum bertemu jodoh. Telingaku dah lali mendengar sindiran kak long yang mengatakan aku ‘tak laku’. Sedih memang sedih bila kakak sendiri cakap macam tu. Tapi, soal jodoh bukan di dalam kawalan aku. Siapa yang tak nak kahwin kan? Bukan tak pernah bercinta, tapi semuanya terputus di tengah jalan.

Kak ngah yang selalu akan memujukku. Katanya kak long memang begitu perangainya, mulut tak ada insurans. Dengan kak ngah aku boleh luahkan apa saja. Kata kak ngah, kak long sebenarnya cemburu dengan aku kerana aku lebih cantik daripadanya. Sejak kecil orang suka puji kecomelanku. Jadi dia cemburu. Aku sedih, takkan sebab itu kak long sanggup layan aku dengan buruk?

Cuba Halang Jodoh

Tak lama kemudian aku berkenalan dengan seorang jejaka, K, yang merupakan kenalan abang ngah. Kami serasi dan berhasrat untuk ke peringkat lebih serius. Tapi tiba-tiba saja dia ‘hilang’ dan memutuskan hubungan tanpa khabar berita. Pasti aku sedih kerana tidak tahu di mana silapku. Dengan kak ngah dan abang ngah aku mengadu. Lantas mereka memujuk K bersemuka dengan kami bertiga.

Tak ku sangka, rupanya kak long puncanya. Dalam diam dia bersemuka dengan K dan memburukkan aku dan dituduhnya aku bukan wanita baik, pernah tidur dengan lelaki lain! Terduduk aku dibuatnya. Sanggup kak long fitnah aku macam tu?

IKLAN

Dengan pertolongan kak ngah dan abang ngah, K akhirnya sedar bahawa diriku difitnah dan dia meminta maaf.

Dipendekkan cerita, aku dan K akhirnya disatukan sebagai suami isteri. Kak long tak hadir langsung di majlisku itu. Dengan mak dan ayah dikatakan dia perlu menghadiri kursus sedangkan aku dan kak ngah tahu, waktu itu dia pergi bercuti ke luar negara bersama keluarganya.

Tiada Penghujung

Aku tak tahu sampai bila kak long akan membenciku. Aku pula sudah makin tawar hati untuk berbaik dengannya. Aku dah cukup bersabar dengan sikapnya selama ini. Namun, demi mak dan ayah, aku masih mampu berlagak biasa bila di depan mereka.

Jangan lupa follow kami di:

Facebook Mingguan Wanita

Instagram Mingguan Wanita

Twitter Mingguan Wanita

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI