Kahwin di usia muda menjadi trend kini apabila wujud segelintir remaja yang memilih untuk mendirikan rumah tangga semata-mata ingin bersama pasangan.
Trend kahwin muda ini pada permulaannya nampak indah, namun tanpa ilmu secukupnya sudah pasti rumah tangga yang dibina setahun jagung runtuh di tengah jalan. Berkahwin muda bukanlah jalan penamat.
Tidak dinafikan, Islam sendiri tidak melarang umatnya berkahwin awal. Tetapi ianya bukan satu trend yang harus diikuti. Sebaiknya sebelum berkahwin tidak kiralah wanita atau lelaki harus berfikir sedalam-dalamnya sebelum menempuh alam perkahwinan yang sudah tentu bakal berubah 360 darjah.
Menurut Kaunselor, Normaliza Mahadi, trend kahwin muda ini terjadi apabila terdapat pasangan muda yang terlanjur. Jadi berkahwin dalam usia muda dijadikan jalan penyelesaian. Perkahwinan yang terjadi adalah semata-mata untuk menghalalkan hubungan. Sebenarnya perkahwinan bukanlah semudah itu.
“Sebaiknya sebagai ibu, bapa anda seharusnya mendalami ilmu parenting secukupnya. Jadi fenomena kahwin awal ini tidak akan berlaku. Sejak anak masih kecil tanamkan dalam diri bahawa perkahwinan bukan semudah disangka.
“Pernikahan bukan semata-mata untuk menghalalkan hubungan antara wanita dan lelaki dan juga menghalalkan seksa. Hubungan kelamin bukanlah tiang dalam rumah tangga. Erti sebenar perkahwinan itu snagat luas dan tanggungjawab setelah berkahwin juga sangat besar dan berat.
“Dari awal terangkan dan fahamkan anak tentang perkahwinan, bukanlah setelah mendirikan perkahwinan baru ceritakan itu dan ini kerana segalanya sudah terlambat. Jadi anak-anak yang faham akan perkahwinan tidak semudahnya berkahwin jika belum bersedia,” katanya satu persatu.
Kahwin Muda Tetapi Tidak Bersedia
Sebenarnya terdapat dua golongan yang ingin berkahwin muda iaitu terlanjur dan yang kedua adalah ingin kebebasan untuk berkahwin dengan pasangan. Sekiranya anak anda masih muda dan ingin bernikah, Normaliza menyarankan agar menasihati anak agar tangguhkan terlebih dahulu sebelum menanggung tanggung jawab yang besar.
Manakala bagi pasangan muda yang terlanjur, sebagai ibu bapa seharusnya kalian mengambil nafas seketika. Tindakan mengahwinkan anak bukanlah penyelesaian.
“Sebagai ibu bapa, anda mungkin tidak mahu kehidupan anak anda dan cucu yang bakal lahir bertambah keruh jika pernikahan dijadikan jalan penyelesaian. Sebaliknya berfikir secara waras, mungkin anda boleh menjaga anak yang bakal lahir.
“Jika bimbang dan tidak bersedia mungkin anda boleh menghantar anak anda ke pusat pemulihan sehingga dia selamat melahirkan anak. Menikahkan anak yang terlanjur di usia yang muda seolah-olah anda melepaskan tanggungjawab anda.
“Tidak dinafikan anda yang bertindak menutup aib dengan menikahkan anak kerana malu. Tetapi malu ini hanya seketika, lama-kelamaan segalanya akan bertambah jika anda bijak mengawal keadaan. Berkahwin bukanlah satu-satunya solusi bagi pasangan yang terlanjur,” tambah Normaliza ketika menjadi tetamu jemputan MWTalkshow tengahari tadi bagi mengupas topik “Trend Kahwin Muda”.
Bagi yang ketinggalan menonton MWTalkshow tadi, jangan lupa ikuti siaran ulangan pada jam 8 malam nanti di Astro Prima 105 dan Prima HD 121.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI