Sayangnya seorang ayah dan bimbangkan anak masih belum bertemu jodoh yang sesuai, sehingga sanggup melakukan apa sahaja asalkan anaknya berkahwin.
Kejadian yang dilaporkan berlaku di Bangkok, Thailand ini, seorang ayah bergelar jutawan sanggup menawarkan ganjaran sebanyak 10 juta baht (RM1.3 juta) kepada mana-mana lelaki yang sanggup mengahwini anak gadisnya tetapi bakal menantu itu perlu menepati tiga syarat utama, menurut akhbar Mirror baru-baru ini.
Arnon Rodthong, 58, rasa kecewa kerana anaknya, Karnsita, 26, masih bujang dan belum berkahwin lagi. Buat masa ini, gadis itu membantunya mengusahakan perniagaan keluarga di wilayah Chumphon, selatan Thailand.
Tak Perlu Bayar Duit Hantaran Kahwin & Dapat Saham Ladang Durian
Menariknya, Rodthong turut mengecualikan bayaran hantaran perkahwinan yang kebiasaannya menjadi adat setempat oleh bakal suami Karnsita. Gadis itu merupakan seorang graduan universiti yang fasih bertutur dalam bahasa Inggeris dan Cina.
Bukan itu sahaja, Rodthong itu juga menyatakan kesanggupan memberi wang 10 juta baht kepada bakal menantu dan mereka juga akan menerima saham dalam bisnes ladang durian yang dianggarkan bernilai beberapa juta dolar Amerika Syarikat.
Tiga Syarat Yang Mesti Dipenuhi
Rodthong menyatakan dia tidak mempunyai apa-apa halangan terhadap jenis kerakyatan calon menantu itu. Bagaimanapun, ini TIGA syarat yang dikenakan oleh jutawan itu dan perlu dipenuhi oleh calon menantu tersebut:
1.Dia tidak perlu jadi orang pandai, memadai hanya perlu tahu membaca dan menulis. Tolong jangan bawa ijazah kamu ke rumah.
2.Dia juga perlu jadi seorang yang rajin dan kuat bekerja dan bukannya malas.
3.Selain itu, calon juga perlu bersikap kedekut berhubung soal duit dan turut gemarkan durian.
Rodthong memiliki ladang durian besar yang berupaya mendatangkan hasil kira-kira 50 tan sehari. Ladang itu adalah paling besar di wilayah Thailand.
“Saya mahu seseorang yang boleh menjaga perniagaan dan mengekalkannya. Saya tidak mahu seseorang dengan ijazah sarjana muda, sarjana atau doktor falsafah. Saya mahu lelaki tekun. Saya cuma mahukan seseorang dengan sikap kuat bekerja. Itu sahaja.
“Sebaik sahaja ada menantu, saya akan serahkan semua aset saya kepadanya,” katanya yang beragama Buddha serta memiliki beberapa hartanah di wilayah sama.
Bagaimanapun, Karnsita memberi bayangan bahawa bakal kekasihnya itu mungkin berdepan kesukaran mengaut wang daripada bapanya kerana dia mahu ‘menggunakan duit itu untuk diri sendiri bagi menjalani pembedahan plastik di Korea’.
MW: Sayang seorang ayah pada anak perempuannya. Meskipun agak ‘keterlaluan’ menawarkan ganjaran dan mencari calon secara terbuka, namun itulah mungkin salah satu cara si ayah menzahirkan rasa sayang pada anaknya.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI