sister Sabria

Setiap wanita berperanan penting dalam apa juga bidang yang diceburi. Jika tiada harta benda, kudrat tenaga disalurkan demi memberi sumbangan dan kerja amal untuk membantu masyarakat.

Siapa sangka niat ikhlas dan usaha gigih berterusan membantu golongan memerlukan sewaktu tinggal di luar negara,Datin Paduka Sabariah Hussein,72 atau lebih mesra dengan panggilan Sister Sabria, telah diangkat dan digelar sebagai ‘Muslim Mother Teresa’.

Wanita kelahiran Wadihana, Johor Bahru yang dibesarkan di Singapura ini merupakan seorang sukarelawan yang kini menetap di Kanada.Sister Sabria berhijrah ke Kanada ketika berusia 37 tahun kerana bekerja sebagai seorang guru di Montreal.Beliau kemudian berumah tangga dengan seorang lelaki Kanada dan terus menetap di sana.

Beliau melakukan kerja-kerja amal membantu gelandangan serta mereka yang kurang bernasib baik selama lebih 20 tahun di Montreal, Kanada.Sister Sabria menyediakan jamuan percuma setiap hari kepada golongan kurang bernasib baik dan gelandangan tanpa mengira bangsa mahupun agama.

Kenali Sister Sabria, Hebatnya Wanita Ini Sehingga Digelar ‘Muslim Mother Teresa’!

Tubuhkan Yayasan Sister Sabria & Our Second Home

Sebagai seorang yang prihatin tentang nasib golongan memerlukan,Sister Sabria telah menubuhkan Yayasan Sister Sabria dan mengendalikan dua rumah perlindungan wanita yang diberi nama “Our Second Home”.Sebahagian besar dana yang diperoleh beliau adalah daripada makanan yang dijual pada hari Jumaat di kawasan masjid di negara itu.

IKLAN

Sister Sabria Halal Community Kitchen

Terkini, wanita yang tidak pernah kenal erti penat dalam melakukan kerja-kerja amal ini akan menubuhkan sebuah pusat masyarakat yang dipanggil Sister Sabria Halal Community Kitchen di Kanada.Ia bakal menjadi sebuah hab yang menawarkan pelbagai insiatif sosial dan aktiviti yang tertumpu kepada usaha memberi bantuan serta makanan kepada golongan memerlukan.

Sebuah kedai roti (bakery) dan kafeteria akan dibuka di hab tersebut yang akan dikendalikan sepenuhnya oleh para sukarelawan Sister Sabria Foundation (SSF). Hasil pendapatan yang diraih akan digunakan untuk menyokong projek-projek amal SSF. Dalam pada itu, golongan memerlukan juga boleh mendapatkan makanan dan minuman secara percuma di situ.

Beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 10.00 malam, Sister Sabria Halal Community Kitchen juga mempunyai ‘peti sejuk masyarakat’ bagi membantu golongan memerlukan untuk mendapatkan barang-barang keperluan dapur.

Menurut Sister Sabria lagi, pihaknya akan bekerjasama dengan Yayasan Zakat Kebangsaan Kanada (National Zakat Foundation) dan bank-bank makanan untuk mengumpul dana serta makanan serta menjalin kerjasama dengan banyak badan lain termasuk Human Concern International, Al-Madinah Center dan Anglican Church di negara itu.

IKLAN

Kenali Sister Sabria, Hebatnya Wanita Ini Sehingga Digelar ‘Muslim Mother Teresa’!

Tubuhkan Rumah Anak Yatim Di Johor

Setelah sekian lama menabur bakti di Kanada, Sister Sabria mahu meluaskan kerja-kerja amalnya itu di negara kelahirannya pula. Wanita berjiwa murni ini merancang menubuhkan sebuah rumah bagi anak-anak yatim Rohingnya di Kota Tinggi, tidak lama lagi.

Rumah anak-anak yatim di tapak sebesar 3 ekar itu akan menampung sekitar 70 hingga 80 anak yatim Rohingnya dan 20 hingga 30 anak yatim warga Malaysia sendiri. Menurut beliau lagi, rumah tumpangan yang bertempat di sebuah tanah wakaf itu dijangka melaksanakan pertanian dan penternakan organik agar rumah anak yatim itu dapat meraih sumber pendapatan sendiri.

IKLAN

“Beberapa chalet juga akan dibina berdekatan bagi menggalak lebih ramai pengunjung untuk menziarahi rumah anak yatim itu. Namun sudah tentunya, beberapa peraturan akan ditetapkan bagi menjamin keselamatan anak-anak yatim itu,” jelas Sister Sabria.

Mingguan Wanita mengucapkan tahniah buat Sister Sabria atas pengorbanan dan usaha murni beliau dalam melakukan kerja-kerja amal buat golongan yang memerlukan. Semoga perkara yang dlakukan wanita ini dapat memberi inspirasi buat wanita lain, agar turut melakukan kerja-kerja amal tanpa rasa jemu.

Baca Disini:

Sister Sabria Dapat Gelaran Datin Paduka, Anzalna Imbas Kenangan Manis Dengan Wanita Penuh Inspirasi Ini

Sumber: mediacorp.sg

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI