Sebutan talak dua itu disebut Aiman di hadapan 22,000 orang yang sedang mengikuti siaran langsung Tik Tok isterinya ketika itu. Ia adalah perceraian kedua pasangan itu selepas bercerai kali pertama kira-kira dua minggu lalu, namun kembali rujuk.
Jatuh Talak Dua Atau Tiga?
Menerusi siaran langsung ini, pasangan terbabit bertengkar dan saling tuduh-menuduh sehingga emosi masing-masing tidak terkawal.
Di sebalik isu talak dilafaz secara siaran langsung di mana Aiman ketika itu didapati telah tiga kali menyebut perkataan cerai kepada Siti Jamumall, ada yang bertanya berapa talak yang jatuh kepada pempengaruh ini sebenarnya. Adakah jatuh talak 2 atau talak 3.
Peguam Syarie,Tuan Fahmi Ramli berkongsi maksud talak dua yang dilafazkan Aiman secara terperinci dalam perkongsiannya di media sosial.
Talak 2 atau Talak kali ke-3?
Berkaitan dengan isu talak ketika Live pempengaruh media sosial, Siti Jamumall oleh suaminya Aiman, ada isu yang menjadi pertanyaan beberapa pihak.
Ramai orang menonton dan mendengar secara ‘Live’ bahawa suaminya menyebut 3 kali perkataan yang mempunyai “Talak 2”.
Pertama ayatnya:-
“Aku ceraikan Siti dengan talak 2”
Kedua ayatnya:-
“Siti Surani binti Wahidin, aku ceraikan kau dengan talak 2”
Ketiga ayatnya:-
“Sekali lagi saksi semua, aku ceraikan Siti Surani binti Wahidin, aku ceraikan kau dengan Talak 2”
Dalam kes ini, ketiga tiga lafaz yang disebutkan oleh si suami, sangat jelas ianya adalah Sarih iaitu ketiga-tiganya ada perkataan “Cerai”. Maka tidak boleh dinafikan ia memang berniat untuk menceraikan isterinya tersebut.
Jika suaminya tidak menyebutkan perkataan Talak atau cerai, contohnya “Kita berpisah” maka itu boleh dianggap lafaz kinayah yang perlukan kepada Niat suami. Dalam kes ini, pada hemat saya telah mencukupi segala Rukun Talaq mengikut Hukum Syarak.
Apa itu Rukun Talaq?
Rukun Talaq adalah perkara untuk menjadikan satu lafaz itu adalah sah:-
i) ORANG YANG MELAFAZKAN TALAQ (AL-MUTALLIQ): iaitu Plaintif selaku suami yang sah.
ii) TEMPAT YANG HENDAK DIJATUHKAN TALAQ (AL-MAHAL): iaitu Defendan selaku isteri yang sah.
iii) KUASA MENTALAQKAN (AL-WILAYAH): iaitu wujudnya sifat mukallaf yang sempurna bagi Plaintif untuk melakukan tasarruf dengan sendirinya, iaitu berkuasa menjatuhkan talaq yang telah dibuat secara sedar, sukarela, tanpa sebarang paksaan atau sebarang halangan yang menafikan kuasa Plaintif menjatuhkan talaq.
iv) LAFAZ TALAQ (AL-SIGHAH): iaitu lafaz talaq secara soreh menggunakan perkataan “CERAI” dalam bahasa Melayu yang dapat difahami dengan jelas dan telah diucapkan secara lisan oleh Suami kepada Isteri. Lafaz tesebut juga jelas mengandungi kata sandaran yang ditujukan kepada suami iaitu “AKU” dan isteri iaitu “KAU”.
v) NIAT (AL-QASD): iaitu wujudnya niat dalam hati Plaintif selaku suami bahawa lafaz talaq tersebut diniatkan dengan talaq satu.
Berapakah bilangan Talak yang berlaku?
Walaupun di dalam kes ini, suami menyebut Aku ceraikan dengan Talak 2, namun ayat atau lafaz ini bukan dilafazkan sekali sahaja. Bahkan lafaz ini diungkapkan sebanyak 3 kali dan mempunyai SELANG MASA (fasl) antara yang pertama, kedua dan ketiga lebih kurang 4-5 saat (anggaran) pada setiap lafaz tersebut.
Selang masa ini adalah cukup untuk dikatakan lafaz yang berlainan waktu dan cukup untuk mengambil sekurang-kurangnya “Satu Nafas” atau lebih. Maka, setiap ayat ini cukup untuk menyatakan ia membawa makna yang tersendiri dan tidak bersandar kepada ayat yang lain.
Saya merujuk kepada pandangan al-Syarbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj, jilid 4, halaman 480 yang menerangkan mengenai selang masa atau fasl ((الفصل dalam lafaz talaq seperti mana berikut:-
تَنْبِيهٌ : الْمُرَادُ بِالْفَصْلِ أَنْ يَسْكُتَ فَوْقَ سَكْتَةِ التَّنَفُّسِ .
Bermaksud: “Jika suami mendatangkan tiga ayat yang berulang-ulang padanya lafaz mubtada’ (subjek) dan khabar (predikat) seperti berkata kepada isteri yang telah disetubuhi: Kamu tertalaq, kamu tertalaq, kamu tertalaq, dan diselangi jarak masa, maka jatuhlah tiga talaq, sama ada dia berniat ta’kid (menguatkan) atau sebaliknya, kerana niat tersebut menyalahi maksud yang zahir.
(Huraian:-Talaq tiga berlaku dalam masalah ini kerana dengan wujudnya selang masa antara setiap lafaz talaq, maka kesemua lafaz talaq dikira sebagai lafaz yang berasingan, kerana itu adalah maksud yang zahir bagi kewujudan selang masa, di mana setiap lafaz membawa maksud tersendiri iaitu satu talaq, yang menjadikan kesemua lafaz menjadi tiga talaq).
Begitu juga dengan pandangan pandangan al-Ramli dalam kitab Nihayah al-Muhtaj, jilid 6, halaman 459 yang menerangkan mengenai selang masa atau fasl ((الفصل dalam masalah lafaz talaq yang sama iaitu seperti mana berikut:-
( وَلَوْ ) ( قَالَ أَنْتِ طَالِقٌ أَنْتِ طَالِقٌ أَنْتِ طَالِقٌ ) أَوْ أَنْتِ طَالِقٌ طَالِقٌ طَالِقٌ ( وَتَخَلَّلَ فَصْلٌ ) بَيْنَهُمَا بِسُكُوتٍ أَوْ كَلَامٍ مِنْهَا أَوْ مِنْهُ بِأَنْ يَكُونَ فَوْقَ سَكْتَةِ تَنَفُّسٍ وَعِيٍّ (فَثَلَاثٌ) يَقَعْنَ وَلَوْ مَعَ قَصْدِ التَّأْكِيدِ لِبُعْدِهِ مَعَ الْفَصْلِ وَلِأَنَّهُ مَعَهُ خِلَافُ الظَّاهِرِ
Bermaksud: “Jika suami berkata: Kamu tertalaq, kamu tertalaq, kamu tertalaq atau: Kamu tertalaq, tertalaq, tertalaq dan diselangi jarak masa antara keduanya dengan diam suami atau dengan percakapan dari isteri atau percakapan dari suami dengan kadar melebihi satu nafas atau jeritan, maka jatuhlah talaq tiga walaupun dengan niat ta’kid kerana berjauhannya niat ta’kid itu bersama jarak masa dan kerana niat ta’kid tersebut bersama dengan berlalunya jarak masa adalah menyalahi maksud yang zahir.
Maka, daripada kes Cerai Live ini, saya katakan telah berlaku 3 kali lafaz talak yang berbeza dan boleh menjadikan ia sebagai Talak 3.
Bukankah ada perkataan Talak 2 setiap satu lafaz tersebut.
Pada hemat saya, jika suami hanya menyebut sekali sahaja lafaz cerai dengan ayat “Aku ceraikan kau dengan Talak 2”, mungkin ia boleh diambil niat sama ada suami bermaksud Talak untuk kali ke-2 yang mana sebelum ini pernah cerai Talak 1 kali pertama ATAU niatnya untuk menjadikannya sebagai Talak 3 yang mana sebelum ini pernah cerai Talak 1 dan nak tambah 2 menjadikan ia Talak 3.
Berbeza dalam kes Siti Jamumall ini kerana, suaminya menyebut 3 kali. Bukan sekali, tetapi 3 kali dengan selang nafas melebihi 2 saat dan cukup menjadikan ia lafaz yang berlainan. Walaupun tertera “Talak 2” pada setiap ayat yang mahu dianggap sebagai Talak kali ke-2, tapi disebabkan lafaz itu telah disebut 3 kali, maka saya tidak rasa perlu melihat kepada bilangan Talak yang disebut.
Pada hemat saya, dalam kes ini, yang perlu difokuskan adalah berapa kali lafaz tersebut dilafazkan oleh suami. Bukan Talak 2 yang disebut pada setiap ayat tersebut.
Maka, saya berpandangan kes ini telah berlaku Talak Bain Kubra atau lebih jelas Talak 3 kerana telah disebut sebanyak 3 kali ayat yang berbeza dan mempunyai perkataan Cerai pada setiap ayatnya. Talak 3 ini membawa maksud, tidak boleh Ruju’ mahupun bernikah semula melainkan si isteri telah bernikah dengan lelaki lain, bersetubuh dan diceraikan oleh suami barunya.
Memandangkan Siti Jamumall ini dalam keadaan mengandung, maka tempoh iddahnya adalah sehingga dia melahirkan anak tersebut atau jika dia mengalami keguguran, Nauzubillah.
Wallahualam. Ini hanya pandangan peribadi saya sebagai Peguam Syarie. Pandangan ini mungkin berbeza dengan keputusan hakim kelak kerana bergantung kepada sesi perbicaraan di Mahkamah Syariah. Yang pasti, Hukum Allah tetap Hukum Allah.
TONTON VIDEO MENARIK DI SINI :-
Demikian luah Hawa Osman ibu kepada arwah Zulfarhan yang didera kejam ditekap dengan seterika wap sebanyak 90 kali termasuk di kemaluan.