Asal buka sosial media, tengok orang lebih mulalah hati berkata macam-macam. Jalan di pasaraya pun begitu, ada saja tak kena orang lain di mata. Asal orang ada lebih rezekinya pun di kata juga.
Sudahnya, bagaimana mahu jadi tenang dan bahagia. Sebab itulah, kata Rosmarlina Binti Abd Gani ini, hidup setiap orang itu adalah pilihan sendiri. Nak jadi baik atau sebaliknya, sendiri jualah yang tentukan.
Hidup Anda Pilihan Anda
Pilihan di tangan anda
Setiap hari kita boleh memilih jalan hidup Kita sendiri.
Contoh bangun pagi.
Pilih untuk tidak marah-marah, masak sarapan dan buat bekal anak-anak dengan mood yang baik.
Atau pilih untuk tidak sabar, marahkan anak, atau marahkan suami jika tidak menolong apa-apa.
Pilih untuk rasa ceria atau senyap seribu bahasa.
Semua ni akan mempengaruhi.
Sabar untuk tahan marah jika anak lambat bangun atau lama sangat mandi.
Pilih untuk penatkan diri dengan exercise atau bersenang lenang.
Pilih untuk masak simple atau gigih masak macam-macam.
Pilih untuk tengok ceramah agama atau drama Korea, drama Melayu atau movie Marvel.
Pilih untuk senyum atau tarik muka penat.
Pilih untuk aktif socmed atau post hanya jika perlu.
Ingat jangan tertekan tengok orang lebih dari kita, hidup tak pernah sama.
Cerita untuk sampai ke puncak itu hanya tuan badan yang tahu.
Pilih untuk rasa happy bila kawan-kawan share kegembiraan diorang.
Dalam kita tidak sedar ig story atau status FB kawan-kawan mewarnai hidup Kita. Pilih untuk scroll laju-laju kalau kurang berkenan.
Kita punye dark side dan bright side kita sendiri, kita punya pilihan untuk buat mana yang baik dan tak ikut kata hati yang tidak baik. Kita hanya manusia biasa yang tak pernah lari dari kesalahan.
Ads
Jangan buka aib sendiri, aib kawan-kawan atau aib suami pada orang lain, simpan kemas-kemas.
Pilihan di tangan anda.
Jadinya warnai setiap hari yg anda lalui itu supaya lebih bermakna.
Hati Tenang Bila Memaafkan Orang Lain
Lagi satu bila dah makin ber umur kita akan penting kan rasa tenang tu, contoh maafkan ajalah sesiapa yg buat salah pada kita, tak payah nak rasa sentap sangat lama-lama, bila dah maafkan orang tu, automatik akan rasa best aja hari-hari, tenang ja hari-hari yang mendatang tu.
Itu jugak dikira pilihan kita untuk memaafkan atau tidak. Sebaik nya jadi lah seorang pemaaf.
Ads
Jaga siratulrahim buat baik pada mak ayah, adik beradik, sedara mara, ipar duai dan kawan-kawan bertanya khabar antara satu sama lain, Pilihan di tangan anda utk kekal positif dan mengeratkan ikatan kekeluargaan itu.
Ingat hari-hari jika rasa nak marah, ada punye pilihan utk cool tenang dan sabar, istighfar banyak-banyak.
Sesungguhnya nya semalam adalah sejarah , hari esok semua orang takkan tahu apa akan terjadi dan hari ini adalah hadiah, coraklah dan hargailah masa sekarang sebaik mungkin.
Salam dari Ros,
Osaka
MW :Hati yang lapang dan tenang itulah punca bahagia ya mak-mak.
Tak salah bila isteri nak bantu suami, tapi kena tahu sempadannya. Saya masih menerima aduan kes tentang para isteri yang tak tahu bahawa mereka berhak dibiayai segala keperluan oleh si suami disebabkan mereka sendiri bekerja dan berkerjaya.
Malah ada para suami yang bertegang urat menegaskan mereka tidak perlu membiayai keperluan si isteri kerana suami telah memberikan izin untuk isterinya itu bekerja. Sama ada gagal memahami hak sendiri atau keliru sebab semua orang yang ingin berkahwin perlu hadiri kursus pra perkahwinan dan setahu saya, perkara mengenai tanggungjawab nafkah ini, memang ada dinyatakan sepanjang kursus.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) berbanding kaum wanita dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.” – surah al-Nisa’ ayat 34.
Islam menetapkan bahawa suami adalah sebagai ketua keluarga. Apabila disebut sebagai ketua maka jelas sudah bahawa seorang suami bertanggungjawab atas segalanya. Makan minum, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan segala yang terangkum sebagai satu keperluan bagi isteri dan juga satu perkara sampingan tetapi menjadi perkara utama apabila dilakukan demi suami tercinta seperti rawatan kecantikan dan solekan.
Malahan, sekiranya suami seorang yang mampu tetapi masih mengizinkan isterinya bekerja, suami sewajarnya menanggung segala kos ulang alik si isteri ketika bekerja. Segala pendapatan isteri pula adalah hak mutlak si isteri dan suami, sekiranya berkehendakkan hasil pendapatan isteri bagi membantunya menanggung perbelanjaan rumah tangga, adalah dikira sebagai berhutang dengan si isteri.
Cuma, demi kerukunan rumah tangga malahan di dalam era globalisasi dan ketamadunan yang kian mencabar ini, memang satu bonus dan satu keperluan bagi sesetengah individu untuk si isteri bekerja bagi membantu meringankan tanggungan suami. Membantu meringankan bebanan dan tanggungan suami bukan bererti suami terlepas daripada tanggungjawab.
Membantu juga bermaksud bukan isteri sebagai tunggak utama sebaliknya si suami. Hanya bila pendapatan suami tidak mencukupi selepas suami telah peruntukkan untuk keperluan, bukan untuk hobi atau perkara tak perlu dahulu, maka si isteri wajar membantu dengan menambah kadar yang tidak mencukupi sahaja.
Membantu bukan bermaksud segala perbelanjaan keperluan rumah tangga dibahagi sama banyak dan isteri diarah membiayai sebahagian daripadanya. Itu prinsip bantuan dan perkongsian yang salah.
Bagi seorang lelaki yang betul-betul ada harga diri, dia akan berusaha dengan sedaya upaya bagi memenuhi segala keperluan isteri, anak-anak dan keperluan rumah tangga tanpa mengharapkan hasil pendapatan isteri.
Menyebut tentang hasil pendapatan isteri, saya ingin mengingatkan para isteri yang bekerja, memang tak salah kita membantu meringankan beban suami tetapi jangan terlalu membiasakan suami kita dibantu sewenangnya. Hasil pendapatan kita adalah hak kita yang mutlak. Kita bebas membelanjakannya sewenangnya hatta nak beli barang kemas selori pun adalah tidak salah. Cuma, secara logiknya, sudah tentulah kita ingin membantu suami kerana suami adalah insan yang kita cintai.
Seperti saya tegaskan, tidak salah membantu tetapi ada batasan. Walaupun tidak semua tetapi kebanyakannya para suami yang sentiasa ditolong ini akan mudah lupa diri. Rasa bebas bernafas sikit, terus segala tugas yang patutnya dipikul oleh suami telah diserah bulat-bulat kepada isteri. Suami pula, mula pasang strategi nak tubuh ‘cawangan’ terkini.
Pendapatan anda itu adalah hak anda sepenuhnya. Sekiranya ingin membantu, berikan sekadar yang perlu sahaja. Biasakan juga menyimpan segala resit perbelanjaan yang anda keluarkan bagi membantu suami menguruskan rumah tangga. Sebabnya, kita tidak tahu apa yang bakal terjadi di belakang hari.
Bukan meminta atau mendoakan tetapi tidak salah jika bersedia menghadapi segala kemungkinan. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Mungkin kita yakin kasih suami sepanjang hayat tetapi dalam sesaat, segalanya boleh berubah.
Kebahagiaan dua puluh lima tahun hidup bersama boleh musnah sekelip mata hanya apabila wujud insan ketiga. Ini yang terjadi kepada seorang klien saya. Setelah dua puluh lima tahun berkongsi dan berkorban segala akhirnya beliau ditinggalkan sendiri bersama hati yang lara. Hanya anak-anak pengubat duka. Sesal dah tak berguna.
Berbanding seorang klien lagi yang telah beringat-ingat sejak awal, hampir segala lelahnya dibayar apabila segala bukti pengorbanannya yang tidak dihargai suami dikemukakan kepada pihak mahkamah. Lantas, beringatlah, jangan dah terhantuk baru nak terngadah.
Artikel: Puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga Dan Guaman Syarie.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Izin atau tak? Suami memang berhak berpoligami. Namun, poligami adalah sesuatu yang sangat mendukakan hati isteri walau pun ia dibenarkan dalam agama. Ikuti pengakuan seorang wanita kepada MW.
Assalamualaikum puan kaunselor yang dihormati. Saya berusia seorang isteri dan ibu kepada tiga puteri berusia 11, 13 dan 16 tahun dan dua putera berusia 9 dan 5 tahun. Saya seorang suri rumah tangga dan saya sendiri yang memilih untuk tidak bekerja selepas melahirkan anak kedua dahulu. Suami seorang akauntan di sebuah syarikat swasta.
Saya bersyukur kerana suami mampu memberikan segala kesenangan untuk saya dan anak-anak. Tak pernah ada yang kurang pun. Dek kerana sibuk dengan anak-anak, saya jarang menemani keluar ke majlis-majlis anjuran syarikat atau client. Bila ada waktu hujung minggu barulah saya dan anak-anak dibawa keluar oleh suami, berjalan atau menonton wayang.
Hidup saya bahagia walau pun saya sedar hubungan saya dan suami agar renggang. Kami makin jarang bercakap dan kalau bercakap, hanya soal anak-anak. Suami juga sering kali pulang lewat kerana sibuk dengan kerja dan sering juga perlu bertugas di luar daerah sama ada di dalam mahu pun luar negeri.
Saya sebenarnya tidak sedar bila suami mula berubah. Namun bila anak-anak mula lahirkan rasa sedih kerana papa semakin sibuk dan jarang keluar bersama, hati saya mula terdetik. Ya, dah lama juga kami tak keluar bersama.
Hujung minggu suami sibuk dengan kerja dan bermain golf. Hairan juga kerana dulunya dia sibuk juga tapi sekurangnya sehari akan digunakan untuk bersama kami. Kebelakangan ini, dia lebih banyak menyuruh saya keluar dengan anak-anak saja dan memberikan saya wang untuk berbelanja.
Puan, memang benar duit itu penting. Tapi saya dan anak-anak juga perlukan perhatian dan kasih sayang suami. Duit yang ditabur pada kami tak mampu buat kami bahagia.
Baru-baru ini, saya ada menerima whatsApp daripada seseorang yang tiada nama. Cuma dia menyatakan suami saya sedang menjalinkan hubungan cinta dengan rakan baiknya. Dia kasihan pada saya yang terlalu baik katanya. Lantas dia membocorkan rahsia itu pada saya. Turut disertakan nombor wanita itu. Hanya Tuhan saja yang tahu hati saya ketika itu namun saya tak cepat melatah.
Saya cuba bersabar melihatkan kelakuan suami. Ya, memang banyak yang mencurigakan. Saya memberanikan diri untuk menghubungi wanita yang dikatakan punya hubungan dengan suami saya itu. Puan, ternyata dengan berani wanita itu mengakuinya. Katanya sudah beberapa bulan mereka bersama dan hubungan mereka serius. Lantas saya memberanikan diri bersemuka dengan suami hari itu juga.
Dia mengakui dia ada kekasih lain. Yang membuatkan saya rasa sedih, marah dan sakit hati, bila ditanya sebabnya, katanya kekasihnya itu boleh dibawa menemaninya ke majlis-majlis dan pandai bergaya.
Puan, luluh hati saya. Teruk sangatkah saya di mata suami? Bukan saya tak nak ikut dia, tapi dia yang tak benarkan. Katanya kasihan pada anak-anak. Sebagai isteri, saya tetap jaga penampilan di mata suami. Saya kecil molek dan wajah saya kata orang lebih awet muda daripada usia sebenar. Tapi ya, saya tak suka bersolek tebal atau seksi seperti kekasih baru suami yang ditunjukkan sendiri oleh suami. Suami juga terus terang meminta saya bersedia untuk dimadukan bila-bila masa saja.
Puan, saya sangat sedih tapi saya tak mampu nak kongsikan dengan sesiapa pun termasuk anak-anak dan keluarga. Hanya seorang rakan baik yang tahu kisah saya ini. Apa yang patut saya lakukan? Saya tak sanggup bermadu kasih.
Isteri Tertekan, Perak
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah.
Wanita yang bergelar isteri sebahagian besarnya akan mencurahkan sepenuh kasih sayang, kesetiaan dan kepercayaan kepada suami dan anak-anak yang Allah kurniakan kepadanya.
Baginya, memadai Allah kurniakan suami yang baik, yang tidak menduakannya dan anak-anak yang baik akhlaknya, mengatasi kekayaan yang diberikan oleh suami. Sekadar ada rumah, kenderaan, wang saku dan keperluan diri dan keluarga yang mencukupi sudah boleh menjadikan seorang isteri bahagia.
Harapan isteri, dengan memberi tumpuan kepada suami dengan memberi layanan yang baik dan mentaati perintah suami, akan mendapat layanan yang baik juga dari suami, khususnya tidak ada wanita lain yang hadir dalam hidupnya.
Namun, “ku sangka anas hingga ke petang , rupanya hujan di tengah hari”. Allah memberikan ujian kepada isteri yang baik dengan menjadikan suami punya hati dan cinta wanita lain selain daripada dirinya. Ujian yang Allah berikan itu adalah untuk meningkatkan keimanan isteri. Pun begitu, cara mengendalikan suami punya beberapa alternatif, reda dan terima ketentuan Allah, atau mahu berjuang mempertahankan suami hanya untuk dirinya sahaja.
Kita pernah mendengar satu frasa yang menyebut “ wanita banyak sembilan nafsu tetapi hanya ada satu akal, manakala lelaki hanya ada satu nafsu tetapi ada sembilan akal. Dan nafsu lelaki yang satu itu hanyalah wanita. Maka Allah izin lelaki berkahwin hingga empat orang jika dia benar-benar boleh berlaku adil. Persoalan suami mampu atau boleh berlaku adil itu adalah soal kedua.
Yang utama adalah Islam mengizinkan suami berkahwin selagi mana dia mampu dan berlaku adil terhadap isteri-isterinya. Bukan mudah jika dia memikul amanah itu. Semuanya dipersoalkan di hadapan Allah jika dia tidak berlaku adil.
Oleh itu, bukanlah kita sebagai wanita boleh mempertikaikan hukum Allah atau melarang suami dari berkahwin lagi kerana Allah yang cipta hukum itu, maka dia tahu apa yang terbaik buat hamba-Nya.
Kepada isteri seperti puan yang berhadapan dengan suami yang mahu berkahwin lai, ada tiga pendekatan yang puan boleh pilih. Pertama, meredai suami berkahwin lagi dan puan kekal sebagai isterinya.
Jika ini puan melepasi ujian ini, Masya-Allah, hebatnya puan sebagai isteri solehah yang dijanjikan syurga Allah. Kedua puan menyebut puan tidak dapat menerima poligami, iaitu dimadukan, maka puan boleh memohon perceraian. Namun ini amatlah dibenci Allah, namun ianya dihalalkan Ketiga puan menolak sekeras-kerasnya wanita itu berkongsi kasih dengan puan.
Saya tidak pasti manakah pilihan yang puan akan ambil tindakan. Pertama buat solat istikharah apakah cara terbaik yang puan akan lakukan. Berdasarkan apa yang puan coretkan dalam kisah ini, saya mengandaikan puan buat pilihan ketiga, iaitu tidak mahu berkongsi suami.
Mungkin beberapa pendekatan ini boleh membantu, namun ianya tidak semudah yang dijangka. Berkemungkinan besar ianya akan gagal, kerana kuatnya dorongan cinta. Namun puan jangan berputus asa. Pertama, puan perlu bersyukur kerana suami adalah orang yang bertanggung jawab terhadap isteri dan anak-anak. Keperluan puan dan keluarga senantiasa dipenuhi. Persepsi terhadap suami perlu positif jika puan mahu memenangi kembali cinta suami.
Puan juga perlu menukar penampilan, senantiasa bergaya khususnya di hadapan suami. Puan sahaja yang tahu apa kegemaran suami. Kedua, jika masih tidak berubah, puan boleh berbincang dengan suami tentang hasrat puan yang tidak mahu dimadukan.
Alasan suami puan tidak dibawa ke sana sini kerana kurang penampilan hanyalah alasan seorang lelaki yang mahu mencuba menu dan cita rasa yang lain. Dia akan tetap begitu. Puan teruskan berhias untuknya. Jika tiada perubahan, puan boleh libatkan ahli keluarga yang paling disegani oleh suami, sama ada sebelah suami mahu pun sebelah keluarga puan.
Ketiga, puan perlu berani berjumpa wanita itu bersama ahli keluarga terdekat dan nyatakan bahawa puan tidak mahu dimadukan. Jika wanita itu masih berkeras dan suami juga mahu meneruskan hasratnya, dan puan juga sudah tidak mampu membendung keadaan, maka jangan mudah mengalah.
Cuba alihkan fokus puan kepada perkara lain daripada hanya fokus kepada suami. Jangan megalah kepada “emosi” yang kalah seperti sedih, tidak boleh terima kenyataan suami ada yang lain. Dan pelbagai minda dan perasaan negatif yang hadir dalam diri puan. Saya rasa daripada apa yang puan nyatakan suami ada harta. Jika nampak suami beri beria-ria mahu kahwin, minta dia buat wasiat, iaitu harta tertentu untuk milik puan. Biar puan kalah hati, tetapi menang yang lain.
Minta suami izinkan puan menceburi bidang perniagaan atau bidang yang puan minati. Puan perlu ada sebuah kereta sendiri yang dinamakan atas nama puan. Puan aktifkan diri dengan perniagaan. Pada masa yang sama puan aktifkan diri dengan aktiviti kebajikan membantu masyarakat sekeliling yang susah dengan memberi pertolongan. Dengan kata lain, tiga perempat daripada tumpuan puan kepada suami dialihkan kepada aktiviti puan di luar daripada lingkungan rumah.
Apabila puan aktif dalam bidang ini, maka pemikiran dan perasaan puan akan dikuasai oleh faktor lain yang bukan suami dan hal-hal yang berkaitan dengan dirinya. Maka hati puan akan sedikit tenang. Ingat bahawa hidup ini bukan hanya untuk seorang lelaki bergelar suami, tetapi kepada ramai manusia, selagi mana ianya tidak menyalahi hukum dan adat.
Dan apabila puan kurang fokus kepada suami, secara tidak disedari fokus suami akan beralih kepada puan. Dalam mengendalikan pendekatan ini, puan perlu bijak dan pastikan puan dalam kedudukan yang kuat khususnya dari segi emosI. Tanda Allah sayang kita, adalah Allah hadirkan ujian untuk kita. Agar kita akan lebih dekat dengan Allah.
Dijawab oleh: Puan Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Pilih pasangan sekufu, dengan harapan dapat hidup bahagia dalam rumah tangga kerana tiada perbezaan ketara dari segi gaya hidup. Namun, ternyata apa yang diharapkan tak terjadi.
Pilih wanita yang dianggap dapat susah senang hidup bersamanya, namun lelaki itu kecewa akhirnya bila dia dicurangi oleh isteri tersayang. Ikuti pengakuannya kepada Mingguan Wanita.
Bukan senang nak hidup senang. Perlu ada kemahuan dan usaha. Aman, 30, bukan berkelulusan tinggi. Selepas SPM, dia melanjutkan pelajaran di pusat kemahiran di dalam bidang automotif. Selepas tamat belajar, dia bekerja di sebuah bengkel milik bangsa Cina. Uncle itu sangat tegas dan cerewet tapi Aman banyak belajar daripadanya ilmu tentang penyelenggaraan kereta. Sehingga akhirnya Aman menjadi orang kanannya.
Aman sedar, pada zaman serba mencabar ini, dia perlukan duit jika hendak pinang anak dara orang. Sebab itu dia kerja keras dan hidup berjimat. Dia nak selepas kahwin nanti isteri dan anak-anaknya akan hidup selesa.
Aman pernah bercinta ketika mula bekerja tapi putus di tengah jalan apabila keluarganya tidak merestui perhubungan mereka. Alasan mereka kerana Aman seorang mekanik. Sejak itu Aman pasang hasrat untuk berjaya dalam hidup. Punya bengkel sendiri.
Aman berkenalan dengan seorang gadis manis yang sering berkunjung ke bengkel tempatnya bekerja untuk servis kereta. Dari hari pertama, memang dia perasan gadis itu seolah-olah menyukainya. Sehinggalah tauke bengkel sendiri yang mengusik. “Aman, saya tengok itu Amoi manyak suka sama kamu woo..”. Aman hanya tersenyum kerana dia sedar siapa dirinya. Tak berani hendak cuba ‘masuk daun’. Nama gadis itu Ayu, anak seorang ahli perniagaan. Bekerja di syarikat ayahnya sendiri. Mereka umpama burung enggang dan pipit. Mana layak terbayang bersama.
Dalam masa yang sama, Aman kenal dengan seorang gadis lain, Syida yang membantu makciknya di sebuah kedai makan. Orangnya pun manis dan nampak lemah lembut. Dia pun seperti ada menaruh minat pada Aman. Anak yatim, kematian ibu. Sekarang tinggal bersama makciknya dan membantu makciknya berniaga. Aman rasakan Syida pilihan tepat untuknya kerana mereka setaraf.
Kata orang, sekufu. Dalam tempoh enam bulan, mereka bertunang dan berkahwin. Majlis perkahwinan mereka tetap meriah walau dalam keadaan sederhana sahaja. Aman tetap cuba berikan yang terbaik untuk isterinya.
Beberapa bulan pertama, Aman dan Syida hidup bahagia. Mereka tinggal di sebuah flat dua bilik yang dibeli sendiri oleh Aman. Atas permintaan Syida, Aman benarkan Syida terus bekerja di kedai makciknya. Selagi belum ada anak, boleh juga isi masa lapang Syida. Fikir Aman. Dia bukan fikirkan soal duit kerana dia mampu menanggung isterinya itu.
Aman semakin sibuk apabila tauke lamanya menjual bengkel tempatnya bekerja kepada Aman kerana tiada siapa yang hendak ambil alih dan dia berhijrah ke luar negara. Diserahkan bengkel itu kepada Aman yang dianggap seperti anaknya sendiri. Kehidupan Aman semakin sibuk. Dia tekad untuk membesarkan lagi bengkelnya itu. Malah, Aman telah membuka kedai mencuci kereta bersebelahan bengkelnya. Memang dia teramat sibuk sehingga jarang dapat keluar bersama Syida. Aman bersyukur kerana Syida masih bekerja, jadi tidaklah dia sunyi di rumah. Aman harap Syida faham dia berusaha untuk masa depan mereka juga.
Tanpa disedari, hubungan Aman dan Syida makin renggang kerana kesibukan Aman. Kadangkala pulang awal pagi lebih-lebih lagi musim perayaan.
Namun tak sangka, Syida curang di belakang Aman. Dia bermain cinta dengan seorang lelaki yang sering makan di kedai makciknya. Mulanya sekadar teman mencurah rasa, akhirnya sama-sama jatuh cinta. Lelaki itu seorang kakitangan kerajaan dan sudah punya isteri dan tiga anak.
Aman tidak sedar apa yang berlaku sehingga dibocorkan sendiri oleh makcik Syida kerana kasihankan Aman. Bertungkus-lumus bekerja tapi isteri bermain cinta dengan lelaki lain. Mulanya Aman seakan tidak percaya, namun selepas diintip dan melihat sendiri isterinya bermesra dengan lelaki lain, dia percaya.
Syida pula berterus terang bahawa dia sudah tidak sayangkan Aman dan minta dilepaskan dengan baik. Demi maruah seorang suami dan tidak sanggup lagi menyimpan isteri yang terang-terangan mengaku curang, Aman jatuhkan talak satu.
Setahun berlalu dan Aman tidak berpaling ke belakang. Syida sudah berkahwin dengan kekasihnya sebaik tamat edah dahulu dan Aman tetap sendiri. Fokusnya pada perniagaannya yang sudah semakin maju sehingga mampu membuka dua buah bengkel lain.
Aman agak fobia mengenangkan keruntuhan rumah tangganya yang putus di tengah jalan. Disangka mengahwini wanita yang setaraf, dapat memahami dirinya. Rupanya sebaliknya yang terjadi.
Tak sangka, selepas setahun, Ayu muncul di bengkel Aman. Rupanya selepas Aman berkahwin, dia membawa diri ke luar negara menyambung pelajaran di sana.
Kini dia kembali dan masih setia menjadi pelanggan bengkel kereta Aman. Ayu telah meluahkan rasa hatinya kepada Aman. Yang masih setia mencintai Aman. Katanya, sikap Aman yang jujur, rajin dan kuat bekerja membuatkan dia jatuh hati sejak dulu. Aman masih terasa perit dengan kegagalan rumah tangganya.
Namun dia cuba untuk membuka hati untuk menerima Ayu. Jika ada jodoh, dia tidak menolak untuk disatukan dengan gadis itu kelak. Namun, bukan untuk masa terdekat. Dia perlu merawat duka di hati terlebih dahulu..
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Rendam muka dalam air sejuk, bukan hanya kurangkan mata sembap tapi reset emosi. Masih ramai yang pandang remeh dengan tip ini tetapi sebenarnya merendam muka dalam air sejuk waktu pagi banyak manfaat.