Jangan halalkan terus orang berhutang dengan kita, lama tak bayar makin banyak pahala diraih. Hutang oh hutang. Kerana hutang dari kawan boleh jadi lawan. Siapa pernah alami hal begini? Semuanya kerana hutang. Masa meminjam muka manis tapi bila perlu buat bayaran, akhirnya boleh jadi musuh.
Di sebalik ramai yang pernah terkena di mana beri pinjam tapi kawan lambat bayar, ada tak bayar terus, ada yang sengaja tak nak bayar serta macam-macam perangai lagi. Di sebalik ramai tak sedar, semakin lama orang berhutang dengan kita (kerana keengganannya membayar) maka setiap hari kita akan dapat pahala sehinggalah orang yang meminjam menjelaskan semua hutang piutangnya.
Perkara biasa jika ada kawan-kawan yang berhutang. Perkara biasa juga jika ada kawan-kawan yang tak bayar hutang. Ada ketika tuntut semula hutang seolah-olah seperti kita pula yang meminta sedekah. Mukanya selamba, muka kita pula yang malu-malu alah. Ada juga sehingga putus silaturrahim.
Jangan Halalkan Terus Orang Berhutang Dengan Kita
Ramai yang malas ambil pusing lalu halalkan sahaja. Sikap yang bagus tapi agak kurang beruntung. Saya nasihatkan jangan dihalalkan orang berhutang itu. Tapi berikan dia masa untuk membayarnya. Dari Sulaiman bin Buraidah dari ayahnya katanya;
‘Sesiapa yang memberi masa kepada orang berhutang yang kesempitan, dia akan mendapat pahala satu sedekah untuk setiap hari’.
“Kemudian aku mendengar baginda berkata, ‘Sesiapa yang memberi masa kepada orang yang berhutang yang kesempitan, dia akan mendapat dua pahala sedekah untuk setiap hari’.
“Aku pun bertanya, Wahai Rasulullah, engkau kata, ‘Sesiapa yang memberi masa kepada orang berhutang yang kesempitan, dia akan mendapat pahala satu sedekah untuk setiap hari’. Kemudian aku mendengar engkau berkata, ‘Sesiapa yang memberi masa kepada orang yang berhutang yang kesempitan, dia akan mendapat dua pahala sedekah untuk setiap hari’.
Ads
Lalu baginda bersabda, ‘Dia akan dapat pahala satu sedekah untuk setiap hari sebelum tiba waktu pembayaran. Jika tiba masa pembayaran lalu dia masih memberi masa, dia akan mendapat pahala dua kali sedekah untuk setiap hari’.” [HR Ahmad 22942; Isnaduh Sahih].
Contoh, jika anda memberi tempoh 2 bulan untuk melunaskan hutang kepada si peminjam, maka selama 2 bulan itu anda akan mendapat satu pahala sedekah setiap hari, Insya’Allah.
Apabila telah sampai tempoh dua bulan tadi, anda beri lagi masa kepada peminjam, maka ketika itu anda akan mendapat 2 pahala sedekah setiap hari, Insya’Allah.
Lama Tak Bayar Makin Banyak Pahala Diraih
Tapi apa nilainya satu pahala sedekah itu? Banyakkah? Saya bawakan beberapa hadis lain untuk menunjukkan betapa besarnya satu pahala sedekah itu.
“Hindarkan dirimu dari Neraka walaupun hanya dengan separuh kurma, jika tidak ada maka dengan bertuturlah kata yang baik.” [Muttafaq ‘alaih]
“Setiap orang di bawah naungan sedekahnya sehingga diputuskan hukum di antara manusia.” [HR Ahmad dan Hakim dan disahihkan oleh Al-Albani]
Dan ada banyak lagi hadis tentang kelebihan sedekah termasuklah mengubati penyakit jasmani. Begitu besar pahala sedekah sehingga boleh menghapuskan dosa, menghindarkan Neraka, menjadi naungan di Mahsyar, dan ada pelbagai hadis lain yang jika anda teliti menunjukkan amalan sedekah ini adalah amalan yang besar manfaatnya.
Dan anda pula memiliki pahala sedekah setiap hari, hanya kerana anda melanjutkan tempoh kepada peminjam untuk membayar hutang. Boleh jadi hutang itu hanya RM10 sahaja. Atau bahkan mungkin RM1?
Jadi, biarlah jika hutang anda berpuluh tahun tidak dibayar, anda tetap mendapat pahala sedekah setiap hari yang sebenarnya sangat besar di sisi Allah.
Dan akhir sekali, jika si peminjam telah mampu untuk membayarnya walaupun setelah dia mati melalui warisnya, maka ketika itu, anda sedekahkanlah sahaja kerana ada hadis lain yang berbunyi;
“Sesiapa yang memberi masa kepada orang berhutang yang kesempitan atau menghalalkan hutang itu, Allah akan melindunginya di bawah bayanganNya.” [HR Muslim 7512]. Allahua’lam. Semoga bermanfaat. Barakallahufikum.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bilakah masa mak ayah tenang? Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang ini, mungkin emosi mak ayah agak tidak menentu. Apa tidaknya, mak ayah sibuk dengan kerja dari rumah, ditambah dengan anak belajar dari rumah. Bila keadaan serentak macam nie, boleh huru hara jadinya.
Mak-mak pula, bukan saja tertumpu pada anak belajar, dia pun sibuk dengan kerja perjabat dan masa sama kena sediakan makan minum keluarga di rumah lagi. Tak dapat bayangkan apa yang dilalui oleh mak ayah setiap hari.
Keadaan ini juga boleh buat emosi mak ayah tak tenang dan kalau tidak diurus emosi dengan baik, macam-macam boleh jadi. Jadi, perkongsian daripada Puan Aminah Mat Yusoff boleh mak ayah jadikan panduan.
Katanya, mak ayah boleh amalkan ayat pertama surah Al Fath untuk membantu urus emosi yang tidak menentu, seterusnya dipermudahkan segala kesulitan.
Cara uruskan emosi ibu ayah ketika bantu anak belajar.
1. Saya sangat memahami situasi ibu ayah yang mengajar anak-anak di rumah. Allah sahaja yang tahu betapa sukarnya kita nak memastikan anak-anak akur dengan arahan. Betapa peritnya kita nak duduk dan tekun dengan anak-anak apabila memikirkan banyak kerja hakiki yang belum selesai. Itu tak masuk lagi rutin harian yang banyak terbengkalai.
2. Kenapa kita stres, emosi dan rasa tertekan? Ini kerana kita memikirkan banyak perkara dalam satu masa. Kita bukan tidak mampu tapi kita terlalu mengasak diri untuk menyelesaikan banyak perkara. Teringat peribahasa “Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”. Oleh itu kita selesaikan satu-satu. Susun mengikut priority. Be cool.
3. Emosi dan perasaan tertekan menyebabkan kita rasa tidak adil dan menyalahkan pihak yang lain. Bila kita mula membuka pintu syak dan buruk sangka, tidak ada lagi keberkatan dalam usaha kita. Jika rasa penat, berhenti sekejap, pergilah berwuduk dan lakukan solat sunat taubat dua rakaat. Yakinlah ibu ayah., Allah akan ringankan tekanan yang kita sedang alami.
4. Mesti ada Komunikasi yang baik antara ibu ayah dan guru. Cadangkan kepada orang yang tepat. Tidak akan berakhir kepenatan kita jika sekadar meluahkan secara umum di sosial media, malah menimbulkan pelbagai komen negatif dari netizen. Lain yang kita harap, lain pula yang kita dapat. Bincang elok-elok, cadang elok-elok. Pasti Allah beri jalan keluar untuk kita.
5. Ulang-ulang baca ayat pertama surah Al-Fath. Moga terangkat segala kesulitan dan kesukaran yang kita hadapi.
#BicarakuKeranaAllah
#AllahSentiasaDhati
MW: Bila kita rasakan terlalu banyak kerja yang dibuat dalam satu masa, macam-macam emosilah yang datang. Amalkan bacaan ayat ini. Moga dipermudahkan.
Lafaz doa memang di mulut, namun apakah hati kita sepenuhnya berserah dan ikhlas atas tiap patah kata doa tersebut? Jangan mulut lain di hati lain…
Doa adalah amalan yang mulia serta amat dituntut dalam Islam. Berdoa mempunyai kaedah serta adab-adab tertentu agar setiap doa diberkati oleh Allah SWT.
Antara adab yang disarankan adalah seseorang berdoa dalam keadaan melepaskannya di mulut serta melepasnya di hati. Apa maksud saranan ini?
Meluahkan Dan Lafazkan Doa
Sudah menjadi amalan rutin ketika berdoa, individu meluahkan segala permintaan melalui lidah (mulut). Individu meluahkan segala hajat tidak kira hajatnya panjang atau pendek maka semuanya diungkapkan dengan lidah secara jelas dan terperinci.
Bagi individu yang kreatif serta mampu menyusun bait-bait doa yang indah serta berkesan di hati maka gaya bahasa yang indah itu diluahkan ke hadrat Ilahi.
Amalkan Doa
Tidak kira daripada mana sumber doa yang dipilih, baik doa yang bersumberkan al-Quran dan al-hadis atau doa ciptaan sendiri, doa itu disebut atau diluahkan melalui mulut. Doa terus diamalkan sebagai suatu ibadah yang dilakukan demi memenuhi keperluan hidup sebagai hamba.
Berdoa pada tahap inilah yang dimaksudkan dengan melepaskan doa di mulut. Cakap atau sebut lah segala hajat anda ke hadrat Ilahi beserta harapan doa itu diperkenankan. Usah jemu meluahkan permintaan anda melalui kata-kata kerana Tuhan tidak pernah jemu mendengar kata-kata permohonan daripada hamba-hamba-Nya.
Sebenarnya tidak ada kesalahan pada tahap doa di mulut ini. Kita bebas menyatakan segala doa dengan sepuas hati kepada Ilahi. Cabaran berdoa adalah tentang persoalan di hati. Adakah doa itu terbit daripada hati yang pasrah dengan menyerah serta melepaskan segala-galanya kepada Ilahi?
Sesungguhnya Islam amat mengambil berat tentang hati ketika berdoa. Hati menjadi tumpuan pandangan Allah SWT. Hati menjadi penyebab bagi doa diterima atau ditolak. Keadaan hati menyumbang kepada kesungguhan serta kepasrahan ketika berdoa.
Lafaz Doa Dalam Keadaan Hati Lalai
Bagaimana dikatakan seseorang belum melepaskan di hatinya ketika dia berdoa, walau dia sudah melepaskannya di mulut? Contoh mudah, individu berdoa dalam keadaan lalai. Mulut berdoa tetapi hati dan perasaan entah ke mana. Hati tidak memahami atau menghayati apa yang diungkapkan oleh mulut.
Contoh yang lain, individu berdoa dalam keadaan hati masih ragu-ragu terhadap Tuhan. Doa diluahkan di mulut namun hati masih ragu-ragu, adakah Tuhan akan makbulkan doa itu. Hati masih ada rasa syak terhadap janji-janji Tuhan yang telah berjanji akan memperkenankan setiap permintaan hamba-Nya.
Lafaz Doa Tapi Hati Sombong
Sebagai contoh yang lain, individu yang berdoa dalam keadaan dia merasai bahawa segala yang dimiliki boleh membantunya andai hajatnya belum dipenuhi. Bagi individu yang berharta maka dia merasai hartanya boleh membantunya. Bagi individu yang berkuasa atau pengaruh maka dia merasai kuasa dan pengaruh yang ada itu boleh membantunya dalam keadaan tertentu.
Inilah gambaran berdoa tanpa melepaskannya di hati. Individu berdoa dengan kesombongan hati. Mereka berdoa sekadar melafazkan di mulut melalui kata-kata tetapi hati masih berprasangka negatif terhadap Allah SWT.
Belajar Pasrah Diri Pada Tuhan
Justeru itu, bagi mencapai maksud yang positif daripada doa yang dipanjatkan maka kita disarankan untuk berdoa dalam keadaan benar-benar pasrah diri kepada Allah SWT. Mulut melafazkan doa dan hati membenarkan kebesaran dan keagungan Ilahi.
Cuba didik hati untuk merasai bahawa diri ini tiada apa-apa (kosong). Segala yang dimiliki pada hakikatnya adalah kepunyaan Allah SWT. Selarikan apa yang diucapkan di mulut dengan rasa di hati yang menyerahkan segala urusan hidup ini ke hadrat-Nya. Mudah-mudahan hati beroleh kelapangan dan kepuasan pada setiap kali doa dipanjatkan.
“Berdoalah kepada Tuhanmu dengan berendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas.” (Surah al-A’raf, ayat 55)
Sumber: Dr. Muhamad bin Jantan, Perunding Motivasi & Psikologi, RMJ HOLISTIC SOLUTION
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Jaga solat kerana solat itu adalah tiang agama. Mari kita mulai kehidupan tahun baru ini dengan muhasabah diri. Kita tinggalkan pengalaman tahun lalu dengan keazaman untuk melalukan sesuatu yang lebih baik pada tahun ini.
Mendepani kehidupan yang serba mencabar, kita perlu kembali kepada asas-asas kehidupan yang dituntut dalam Islam. Antara yang sangat diperlukan adalah kesyukuran.
Ibadah Malam Rasulullah
Bercerita mengenai syukur, sirah tentang ibadah malam Rasulullah s.a.w hingga bengkak-bengkak kaki menjadi motivasi untuk dicontohi. Bila Saidatina Aisyah r.a. bertanya kenapa dilakukan sampai begitu rupa, baginda ingin menjadi hamba Allah SWT yang sentiasa ingin bersyukur (‘abdan syakura).
Keinginan untuk menjadi hamba yang sentiasa bersyukur ini perlu meresap di dalam sanubari muslim mukmin. Ia menjadi tuntutan daripada satu ayat dalam surah al-Fatihah yang dibaca saban waktu, “Hanya kepada Engkau kami menyembah dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan”.
Ikrar ini meletakkan manusia berstatus sebagai hamba kepada Tuhan. Antara tanggungjawab hamba tentunya memiliki perasaan bersyukur kepada-Nya.
Pelihara dan Jaga Kefarduan Solat
Bila Rasulullah s.a.w menegaskan bahawa amalan pertama yang bakal disoal di hari pembalasan adalah solat, dan ia penentu penerimaan atau penolakan amalan-amalan lain, maka jelas kedudukan solat di dalam kehidupan seseorang muslim.
Justeru itu, kayu ukur tanda bersyukur kepada Tuhan adalah dengan menilai solat yang dikerjakan. Individu perlu bermuhasabah tentang solat yang dikerjakan saban waktu agar solat yang dikerjakan itu benar-benar menjadi tanda kesyukuran kepada Tuhan.
Muhasabah Tentang Solat
Bagaimana bermuhasabah tentang solat? Bila mengerjakan solat, individu meyakini bahawa solat yang dikerjakan berlaku dengan izin-Nya. Maksudnya, individu merasai bahawa Tuhan beri pertolongan untuk bersolat. Tuhan buka hati untuk menunaikannya. Tuhan memudahkan segala urusan berkaitan solat. Dia meyakini Tuhan kurniakan perasaan khusyuk serta kehadiran hati sewaktu dalam solat.
Mohon juga agar solat yang dilakukannya itu datang daripada kurniaan kasih sayang-Nya. Dengan kata lain, Tuhan menyayangi dirinya dan Tuhan berkehendakkan dirinya menjadi hamba yang pandai bersyukur. Maka dengan sifat kasih sayang-Nya (al-Rahman dan al-Rahim), Tuhan rezekikan kemudahan untuknya bersolat.
Kejayaan Didahului Dengan Jaga Solat
Sesungguhnya Allah SWT menjanjikan kejayaan dan kecemerlangan hidup melalui solat. “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman, (iaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun, ayat 1 – 2)
Dengan memperbanyakkan solat serta memelihara waktu dan kualitinya, seseorang mengukuhkan nilai ketakwaan diri. Nilai ketakwaan bakal menambah rezekinya. Bukankah Tuhan menjanjikan rezeki yang luas melalui jalan yang tidak disangka-sangka kepada orang-orang yang bertakwa!
Maksudnya, cara betul seseorang beroleh rezeki adalah melalui ibadah solat yang dikerjakan demi mencari keredaan Tuhan. Solat dipelihara maka barulah rezeki akan dilimpahkan kepada seseorang sebagai memenuhi janji Tuhan kepada hamba yang bertakwa serta banyak bersyukur.
Bagaimana jika nikmat atau rezeki yang diperoleh itu tidak didahului dengan solat? Nikmat diperoleh dalam keadaan seseorang masih cuai atau meninggalkan solat, atau solat dalam keadaan leka dan lalai. Maka nikmat yang diperoleh itu belum menepati syarat sebagai rezeki Tuhan yang penuh berkat.
Rezeki dalam bentuk sedemikian belum mampu menambah kesyukuran dalam hati. Ia hanya menjauhkan seseorang daripada Tuhan, sambil menambah keegoan dan kesombongan diri. Ia bakal menjerumuskan seseorang ke lembah kebinasaan “al-Istidraj” sebagai tanda kemurkaan Tuhan kepada seseorang hamba.
Jaga Kualiti Solat
Dalam hal ini, maka tidak salah untuk bertanya kepada orang-orang yang sering dilanda masalah hidup tentang solatnya atau tentang kekhusyukan solat yang mereka lakukan. Kita khuatir masalah itu sebagai tanda Tuhan tidak memandangnya dengan pandangan rahmat dan kasih sayang-Nya.
Memang masalah hidup itu ujian Tuhan, namun solat yang menjadi keutamaan dalam hidup mampu memberi kekuatan emosi dan spiritual, lantas menyuburkan kesyukuran dalam hati.
Rasa Syukur Ubah Persepsi Masalah
Dengan kesyukuran itu maka persepsi tentang masalah hidup yang dihadapi mampu ditukar menjadi ujian Tuhan yang penuh hikmah untuk disyukuri. Lalu terhindar diri daripada sebarang rungutan, kekecewaan dan berburuk-sangka kepada Tuhan.
Semoga tahun baru ini menjanjikan kebahagiaan dan ketenangan hidup untuk kita. Tidak salah mengejar kejayaan yang dicita-citakan, namun jangan lupa untuk sentiasa bersyukur serta memelihara kefarduan solat. Mudah-mudahan kita dikurniakan rezeki yang berkat oleh-Nya, insya-Allah.
Apabila aku dengar DPP bagitahu terdapat kesan air mani di dalam dubur anak aku .YA ALLAH gelapnya dunia .Tergamak kau buat anak aku yang baru 9 bulan. Kau tak layak dipanggil manusia!!! Kau memang binatang!!!