Jaga suami yang diuji dengan pelbagai jenis penyakit terutama penyakit kronik sesungguhnya bebanan yang ditanggung bukan semudah yang dilihat. Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul. Yang mengalami saja yang faham.
Suami adalah ketua keluarga, tempat bergantung harap isteri dan anak-anak. Apabila suami diuji kesakitan kronik, sudah tentulah seluruh kehidupan sekeluarga turut terjejas sama.
Bila usia makin meningkat, macam-macam penyakit mula muncul. Mungkin belum sampai tahap terlantar, namun dalam tubuh dah macam-macam penyakit ada seperti darah tinggi, kencing manis, jantung, gout dan sebagainya.
Jaga Suami, Tahap Sabar Kena Sangat Tinggi
Mungkin suami masih mampu bekerja, jadi dia masih mampu menanggung keluarga. Namun, jangan terlalu selesa kerana penyakit itu jika tidak dikawal, boleh menjadi lebih mudarat hingga dia terlantar dan tak mampu bekerja. Tentu kita tak nak begitu kan?
Ya, sedih memang sedih. Kadangkala terfikir kenapa suami yang diuji sedangkan suami orang lain sihat? Jangan begitu, tiap apa yang Allah turunkan itu, pasti ada hikmahnya yang mungkin kita tidak nampak saat ini.
Namun perubahan pasti terpaksa dilakukan, misalnya kena ubah gaya hidup. Kena belajar berjimat cermat. Bila pasangan sakit, pasti memerlukan belanja untuk ubat-ubatan dan sudah pasti memerlukan duit yang bukan sedikit. Saban bulan perlu memperuntukkan sejumlah wang untuk perubatannya.
Begitu juga soal pemakanan. Kena tahu makanan yang tak boleh diambil dan mendatangkan kemudaratan padanya.
Normal lah kalau orang sakit ini emosinya tak menentu. Asyik marah-marah. Suruh makan ubat pun kena tengking sedangkan itu demi kebaikan diri mereka. Kalau tak makan ubat, penyakit makin melarat hingga masuk hospital, siapa yang susah? Pastilah isteri. Nak uruskan anak-anak lagi, nak jaga suami di hospital lagi. Kalau bekerja? Kena ambil cuti lagi…
Apa pun, sebagai pasangan itu orang yang terderkat, cuba faham perasaan suami sebagai pesakit. Fikirkan, apakah mereka tidak sedih dan tertekan dengan nasib diri? Tentu sekali mereka risau. Jauh di sudut hati, pasti timbul perasaan diri mereka kini jadi beban pada isteri dan anak-anak. Mungkin sekarang mereka masih mampu kerja, bagaimana nanti kalau dah tak mampu kerja? Macam-macam mereka fikir sebenarnya.
Ads
Jadi, kalau suami marah-marah, diam saja. Jangan simpan dalam hati.
Dorongan Dan Kata Semangat
Isteri kena sentiasa tonjolkan sikap positif anda dan beri semangat pada suami untuk jaga kesihatan mereka demi untuk isteri dan anak-anak juga kan.
Orang sakit sentiasa akan rasa down, jadi isteri kena sentiasa berikan kata-kata semangat untuk suami. Dia kena kuatkan semangat untuk lawan sakitnya itu demi keluarga. Kalau pun dah tak boleh sihat macam dahulu, dapat kekalkan tahap kesihatan yang ada pun dah syukur.
Orang Sakit Memang Degil!
Tak dinafikan, orang sakit ni kadangkala memang degil. Kalau kita suruh makan ubat, kita yang kena marah. Sabarlah. Biasanya bab makan ubat wanita lagi komited. Lelaki memang susah dan culas sungguh nak makan ubat. Bila isteri letak ubat dan air di depan mata pun belum tentu mereka makan.
Isteri kena main peranan untuk pastikan suami makan ubat tepat pada masanya. Pekakkan saja telinga kalau kena marah.Walau pun suami bising-bising dan marah, namun jauh di sudut hati, dia pasti bahagia kerana dirinya mendapat perhatian daripada isteri. Terasa dirinya disayangi. Cuma mungkin mereka tak nak mengaku jer.
Ads
Belum lagi tak nak jaga makan. Semua dimakannya walau pun patutnya dia pantang. Salah satu cara, jangan masak makanan yang mereka tak boleh makan. Ye, memang kenalah satu keluarga ‘berkorban’ ye.
Reda Dan Sentiasa BERDOA
Apa pun, kena reda dan sentiasa berdoa agar suami dikurniakan kesembuhan. Dalam erti kata, biarkan penyakitnya itu tidak semakin parah. Ada penyakit yang memang tidak boleh diubati tapi hanya mampu dikawal agar tidak makin serius.
Dalam masa yang sama, ajar anak-anak untuk bertanggungjawab menjaga ayah mereka. Misalnya ambil tahu soal ubat, makan dan sebagai. Kalau kita lupa, boleh anak ingatkan. Ia juga mengajar anak-anak erti tanggungjawab. Sekarang ayah mereka masih belum terlantar. Bagaimana kalau dah terlantar? Mampukah jaga kelak? Mak jangan pikul beban seorang diri tapi kongsi tanggungjawab dengan anak. Lebih-lebih lagi kalau mereka dah remaja, bukan usia baru empat lima tahun kan?
Apapun, sebagai isteri kena sentiasa menyokong dan menjaganya. Memang tak mudah tapi harungilah dengan tabah. Moga Allah kurniakan ganjaran pahala buat isteri-isteri yang sabar.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bukan saja ibu bapa, guru-guru sekolah pun ada harapan yang sarat menggunung untuk Menteri Pendikan Malaysia yang baru dilantik Jumaat lepas, Dr Maszlee Malik. Mereka mahu lihat titik perubahan dalam sistem pendidikan negara agar bersesuaian dengan keperluan sebenar murid-murid sekolah.
Bayangkan, bukan saja anak-anak darjah satu jadi stress, tertekan tengok kertas peperiksaan yang terlalu tinggi levelnya. Sampai ada yang menangis setiap kali jawab periksa sebab terlalu sukar untuk difahami.
Lelaki ini, ZF Zamirmantan guru di Kementerian Pendidikan Malaysia meluahkan apa yang terbuku selama ini. Semoga catatan terbuka untuk Dr Maszlee Malik ini sampai dan akan memberi berita gembira seterusnya penambahbaikan sistem pendidikan di negara ini.
Agak-agak Dr Maslee Ubah Tak Silibus Melampau Aras Tinggi
“Mir, agak-agak Dr Maszlee akan ubah tak silibus melampau aras tinggi untuk anak di sekolah? Plus agak-agak dia tau tak perangai Bahagian Perkembangan Kurikulum (BPK) & Lembaga Peperiksaan yang tak seiring sejalan? Plus dia tau tak pegawai kat MOE (Kementerian Pendidikan) selalu kondem Cikgu saja tanpa mahu mendengar keperluan sebenar murid-murid kat sekolah?
Aku tengok soalan Tahun 1 exam tadi, ada anak menangis tak boleh jawab, aku rasa down sebab aku tengok soalan memang susah, format sama macam tahun 6, cuma direndahkan aras dan dikurangkan panjang petikan.
Aku tak faham kenapa dari Tahun 1 sibuk nak ikut format ni? Zaman kita dulu jawab soalan Bahasa Melayu darjah 1 seronok je mewarna, suai, isi tempat kosong, sambung ayat. Ini dah jawab petikan. Cuba tengok buku teks dan buku aktiviti tahun 1 – tahun 3, tinggi aras soalan, anak baru terkial-terkial nak baca dan eja, dah suruh faham petikan dan jawab soalan pemahaman.
Ada anak memang boleh buat, ramai pun. Cikgu nak ajar memang seksalah, tapi Cikgu biasanya okay je, akan cari jalan. Tapi kalau begitulah bentuknya dari tahun 1 hingga ke tahun 6, ya Allah betapa bosannya.
Kalau cakap kat MOE, kat BPK, ingat diorang nak terima ke? Balik-balik Cikgu juga yang salah, sebab dia cakap cikgu juga yg gubal silibus. Cuma yang kita tak tahu, Cikgu yang macam mana yang diorang ambil ni? Background macam mana? Jelas tak konsep perkembangan kanak-kanak?
Aku tak tau nak cakap kat sapa, aku down sangat tengok budak stress jawab soalan. Tahun 1 kot, panjang lagi perjalanan hidup dia. Satu yang aku rasa diorang tak faham, nak jadikan anak cerdik bukan dengan jadikan silibus susah, soalan susah, nak jadikan anak cerdik kena banyak beri dia peluang, beri pendedahan, cuba gunakan semua deria dalam kelas, beri ruang dia berkembang, bukan tekan dengan benda yang bukan tahap dia,”
Penting Untuk Dr Maszlee Dapat Informasi Yang Betul
Ni Whatsapp aku dapat pagi tadi daripada seorang teman. Aku tak pasti apa Dr Maszlee akan jawab, tapi aku rasa yang penting dia perlu dapat informasi yang betul.
Iaitu dari orang yang melaksanakan di bawah. Bukan dari orang atas yang selama ni dalam semua laporan tak tulis satu pun keburukan MOE ni sebab nak puaskan hati orang atas.
Aku rasa ini cabaran baru. Untuk bekerja bersama-sama birokrat dalam MOE serta yang paling penting adalah untuk cakap kepada Menteri perkara-perkara yang menyakitkan macam ni.
Untuk ubah mindset birokrat termasuk Ketua Jabatan di setiap lapisan tu satu hal. Untuk belajar turun dan terima realiti – supaya perubahan boleh dilaksanakan tu satu hal lain.
Aku cuma jawab ke Cikgu atas ni aku tak boleh janji apa. Tapi aku boleh cuba sampaikan. Dan minta doa semua. Terutama untuk Dr Maszlee yang akan angkat sumpah sekejap lagi jam 5.30 petang. (nota ini dicatatkan pada 21/5/2018) Supaya kita semua boleh bekerja sama-sama untuk buat perubahan ni.
Sekarang ni tak kira usia, muda-muda pun ramai yang meninggal dunia. Paling menyedihkan, ramai yang tidak sedar mereka sebenarnya menghidap pelbagai penyakit kronik. Ada yang kena sakit kronik seperti darah tinggi, kolestrol, sakit jantung dan diabetes.
Tidak dinafikan di Malaysia memang kurang kesedaran untuk membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala. Sebab itu, bila penyakit dikesan ada yang sudah di peringkat akhir. Sikap kita yang ambil mudah soal makan dan tidak menjaga kesihatan menjadi salah satu punca kita menghidap pelbagai penyakit.
Disebabkan ramai golongan muda yang berdepan dengan masalah kesihatan, kajian dilakukan oleh ahli bijak pandai di Jepun. Hasil kajian amat mengejutkan, kebanyakan penyakit jasmani adalah disebabkan oleh penyakit rohani.
Kita gagal mengawal emosi dengan baik. Inilah yang mencetus stres, emosi yang negatif membuatkan tubuh dan minda kita menjadi lemah. Misalnya darah tinggi bukan sahaja disebabkan pengambilan makanan masin malah ramai penghidap penyakit ini berdepan dengan tekanan hidup yang melampau.
Begitu juga jika kita sering sedih, emosi yang tidak sihat ini membuatkan gangguan kepada pernafasan. Stres juga penyumbang kepada penyakit kanser.
Justeru, kita mestilah mengubah gaya hidup. Amalkan pemakanan seimbang dan gaya hidup sihat, lakukan senaman ringan setiap hari.
Paling penting kita mesti set minda agar sentiasa berfikiran positif. Hati juga kena bersih dan bersangka baik dengan Allah. Perbaiki cara kita berfikir dan hati kita. Buang jauh-jauh perangai negatif seperti hasad dengki, cemburu, dendam, fitnah, ego, sedih yang keterlaluan, marah dan baran.
Jom muhasabah diri, sebelum salahkan orang lain. Kita kena audit diri sendiri dulu.
8 Tip Rawat Emosi Untuk Hindari Sakit Kronik
Redha dengan ketentuan Allah.
Sebelum tidur maafkan diri dan orang lain.
Rancang kerja atau urusan sebelum tidur.
Berdoa urusan dipermudah.
Sentiasa bersyukur.
Bersedekah atau berkongsi rezeki.
Senyum selalu.
PALING PENTING, SOLAT! JAGA HUBUNGAN DENGAN ALLAH, PASTI ALLAH AKAN MENJAGA HUBUNGAN KITA DENGAN MANUSIA.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sebelum kahwin, masa dating cantik bukan main lagi. Maklumlah akan berjumpa dengan buah hati. Tup-tup, selepas kahwin, segalanya berubah. Tidak sempat untuk berhias, kononnya sibuk uruskan anak dan hanya sempat berhias untuk pergi ke tempat kerja sahaja.
Jangan pandang sebelah mata, cantik atau tidak bukan persoalan kerana semuanya datang dari hati. Jika cantik semata-mata untuk pikat orang lain atau untuk orang lain menilai kecantikan, semua itu sudah salah.
Malah, lebih teruk lagi bila isteri mula main kayu tiga. Biasa kita hanya dengar suami yang ada skandal lain. Tapi, lain pula jadinya bila isteri sanggup menduakan suami. Bukan untuk niat bercerai berai tetapi untuk keseronokan sahaja.
Prof Madya Ts Dr Hj Mohd Nor Mamat, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM) turut memberi pencerahan tentang perkara ini.
Beza Dan Tujuan
Fitrah manusia, tidak pernah cukup dengan apa yang ada dan selalu impikan sesuatu yang baru. Tapi, antara suami dan isteri, sebab dan tujuan ‘main kayu tiga’ ada perbezaan.
Biasanya, suami mudah curang atau bermain kayu tiga apabila isteri mulai tidak hormat, suka mengungkit dan memberontak dengan pelbagai cara, tidak mengendahkan kecantikan di rumah, tidak lagi bergantung kepadanya. Sebaliknya, lebih banyak bercerita tentang kekagumannya kepada bos contohnya, pudar ‘keseksian’ dan sebagainya.
Bagi isteri pula berbeza, biasanya timbul untuk mencari orang ketiga apabila suami tidak lagi romantik, ambil berat, tiada masa untuk bersama bercakap atau bergurau senda tentang kasih sayang, tidak lagi memujinya atau sebagainya yang menepati fitrah kewanitaan seorang isteri.
Apabila terjumpa seseorang yang sudi bersama mendengar, ambil berat dan bercakap bahasa yang manis, barangkali mudah hati seorang isteri terbuka dan berbunga menagih perhatian dan menghilangkan kesunyiannya.
Hanya Suka-suka
Semuanya tentu sekali untuk memecah kesunyian, mengisi kekosongan tuntutan naluri atau sekadar untuk berseronok. Bila hubungan yang dimulai hanya untuk berseronok dan menghilangkan kesunyian, kita akan terperangkap Jangan kita lupa, pasangan ‘curang’ kita mungkin serius dan bukannya menghadapi masalah yang sama dengan kita.
Suami Ketahuan
Hubungan dengan pasangan anda adalah bergantung pada anda. Tidak dinafikan, ia perlu bersama saling membahagiakan, tetapi mulakan dengan diri anda.
Sebagai suami,
Elakkan komunikasi menggunakan logik, sebaliknya ketepikan ego anda dan bercakap dengan emosi kasih sayang yang menyentuh hati isteri. Agak sukar, tetapi kesannya lebih efektif.
Memujuk, sweet talk, memuji atau mengingati nostalgia indah bersamanya lebih mudah untuk membantu isteri kita ketepikan stres dan kembali menghormati kita.
Kita perlu bersaing memenuhi kehendak fitrah isteri kita agar orang ketiga yang hadir dalam hidupnya tidak lagi diperlukan.
Romantik, banyakkan masa untuknya, bercakap tentang kasih sayang dan tumpukan masa khas untuknya akan menjadikannya rasa istimewa dan dihargai.
Cara ini, keperluan kepada ‘kayu tiga’ dengan sendirinya hilang disinari oleh kebahagiaan hidup bersama.
Buat Isteri…
Cuba muhasabah beberapa perkara dalam perhubungan anda. Fitrah suami anda yang perlukan penghormatan, sukakan anda cantik, lebih dominan kepada tarikan seksual dan kebiasaannya suami anda agak rasional dan logik.
Mana-mana lelaki sekalipun, jika bertemu dengan wanita yang menghormatinya apalagi mengaguminya, cantik, seksi dan mudah memahami maksud kata-katanya, pasti akan cair dan mudah jatuh cinta.
Sebagai isteri, elakkan bercakap dengan emosi dan mengharapkan suami faham, sebaliknya dengar betul-betul apa yang suami perkatakan dan ikut. Walaupun kadang kala agak remeh dan kurang sesuai, tetapi ia lebih menunjukkan anda hormat pada suami.
Cantiklah di rumah bersama suami, seksilah untuk suami kerana itu fitrah ciptaaNya. Cara ini membuatkan suami akan lebih tenang dan bahagia dengan anda, tidak ada ruang untuk diganti dengan yang kedua mahupun ketiga.
Kukuhkan Hubungan Suami Isteri
Kita tidak boleh mengharapkan pasangan kita berubah untuk kita. Sebaliknya, kita yang perlu berubah dengan memahami fitrah dan penuhi keperluannya, selagi tidak bercanggah dengan hukum agama.
Ketepikan ego, elakkan sikap untuk menangkan diri sendiri tetapi utamakan untuk memenangi hubungan.
Cuba sedaya upaya memenuhi keperluannya agar tidak terbuka ruang untuk menggantikan kekosongan dalam hidupnya.
Kita tidak akan sempurna, tetapi dengan kesungguhan yang kita tunjukkan untuk mengetepikan ego dan meraikan kehendaknya juga mampu membahagiakan.
Pasangan kita juga akan mudah berkorban membahagiakan kita pula.
Usah salahkan orang ketiga andainya kita yang tidak bijak mengurus serta membahagiakan pasangan kita.
Baik suami atau isteri, maafkanlah kesilapan pasangan yang lalu dan sentiasa perbaiki diri untuk membahagiakan pasangan kita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ustazah Asma' difitnah, zahir rasa terkilan 10 malam terakhir Ramadan dicemari. Sejak semalam, tersiar kenyataan di media massa pendakwah Ustazah Asma' Harun yang dikatakan...