Banyak benarnya apa yang ustaz Ebit Lew kongsikan ini. Sungguh, penceraian itu halal, namun itulah satu tindakan akhir suami terhadap isteri yang tuhan benci.
Lagi-lagi, jika isteri diceraikan tanpa sebab musabab yang kukuh. Hanya kerana cinta telah beralih arah. Isteri tak lagi indah di mata suami. Allahu.. dimanakah letaknya kekuatan akal, hati dan perasaan seorang suami.
Isteri Ini Amanah Allah Untuk Kita Bimbing Masuk Syurga
Sedih pilu menangis sangat bila terbaca kisah sesiapa ceraikan isteri sedang mengandung untuk berkahwin lain. Cuba bayangkan kita diuji mak ayah kita bercerai kini. Apa perasaan kita. Jika kita dah tua ini rasa begitu.
Bagaimana satu hari nanti anak yang tak tahu apa-apa itu nak faham. Hadiah paling mahal ibubapa kepada anaknya ialah didikan agama dan contoh kasih sayang keduanya.
Saya berdoa Allah selamatkan rumahtangga ini semua rumahtangga kita semua. Janganlah bina mahligai bahagia atas tangisan air mata isteri yang kita nikahi dan cintai serta tangisan anak-anak. Selalu dakwah anak muda di jalanan dan wajah anak sedih di sekolah-sekolah.
Maaf sangat, selalu bila saya jumpa dari keluarga yang bercerai berai. Buat yang telah diuji teruskanlah kuat yer. Kita ada Allah. Jadikanlah musibah itu buat kita dekat dengan Allah.
Semoga Allah selamatkan kita semua dari hati yang mati. Hidupkan jiwa kami semua dengan takwa. Doakan yang baik jer untuk semua.
Satu jer nak cakap untuk ingatan diri sendiri dan semua. Isteri ini amanah Allah. Untuk kita pimpin dan bimbing masuk syurga. Bukan kita suka kita jaga. Tak suka ceraikan. Lainlah beliau ada lelaki lain. Kita mulia dan manusia sebaik-baik kejadian.. kita sayang kerana Allah.
Ads
Walau banyak kekurangan kita tampung dan bina sama-sama untuk redha Allah. Lihat isteri… kenangkanlah ibu kita.. kenangkan anak perempuan kita.. kenangkanlah..
Saya ingat seorang kawan saya baru kahwin jumpa ustaz. Ustaz, isteri saya baik, rajin,solehah, semua kerja rumah dia buat,senyum jer..sempurna..bestkan ustaz?
Ustaz jawab secara berfikir. Isteri kamu ahli syurga insyaAllah.. tapi kamu belum lagi. Kamu mungkin masuk neraka..
Kenapa pula ustaz. Dah semua isteri kamu buat. Kamu buat apa? Dah kahwin terus nak jadi raja. Muda-muda dah malas.
Bahagia Itu Bila Kita Memberi, Bukan Tuntut Hak Dari Pasangan
Dalam kata lain saling bantu membantu dan bertolak ansur. Pernah ada seorang suami jumpa saya. Dia nak ceraikan isterinya. Dalam perjalanan nak bercerai. Masing-masing tak nampak baik satu sama lain.
Allah sayang dia uji kita. Carilah niat awal kita kahwin. Kita kahwin nak dapat redha Allah. Bimbing dan pimpin masuk syurga. Kahwin bukan untuk dapat apa yang kita nak tapi tunaikan apa yang Allah nak.. nikah itu amanah Allah.
Ads
Tapi ustaz, isteri saya degil. Malas. Tak pernah nak ambil hati saya. Tak layan saya. Selalu tolak saya. dia senaraikan buruk isteri dia..
Abang kan ketua keluarga.
Ada bawa isteri belajar agama?
Ada buat Taklim rumah?
Ada solat tahajud sama-sama?
Ada doakan isteri setiap malam?
Ada baca Al-Quran sama-sama?
Ada mengorat pujuk dia dekat dengan Allah..
Wah abang, dulu cantik lawa menawan sexy semualah. Eh, tiba-tiba hari ni baru sedar segala kekurangan pasangan.
Kurang saya di mana? Dah lama-lama baru cakap tipu jer semua tu? Doa pada Allah, dan tanya diri kita sebenarnya apa kita nak dalam hidup kita? Cubalah tanya?
Semua takde ustaz.. sekurang-kurang abang dah buat semua tu jika masih tak berubah barulah fikir yang lain-lain. Ini tak pernah bawa berada di jalan Allah pun lagi..
Baik ustaz..
Ads
Sebab Itu Lelaki, Tugas Suami Bertenang, Pimpin Isteri Kerana Allah
Dia bawa isteri datang keluargasunnah. Sehari dalam keluargasunnah. Lepas tu bawa isteri, 3 hari belajar iman. Mula buat taklim rumah. Mula makan dalam dulang berjemaah. Mula sama-sama dekat diri pada Allah. Didik isteri anak solat.. bagi masa untuk keluarga..
Jumpa saya semula kata, ustaz hidup kami dah bahagia. Baru saya rasa kahwin setelah sekian lama. Kalau tahu dari mula kahwin ajak belajar agama. Belajar iman. Dekat pada Allah. Makan suap-suap. Kerana sunnah semua ajaib.. Ajaibkan ustaz..
Wanita ini boleh jadi paling lembut dan menyejukkan membahagiakan. Wanita juga boleh jadi paling keras dan teramat menyakitkan.
Suami tak boleh ler jadi macam wanita juga nak menangis dan menjerit tak tentu pasal. Mereka melengkapkan kita. Sebab tu kita lelaki.
Sebab tu kita lelaki.. Dalam Al-Quran kata ‘ArRijal’ Ar Rijal.. Ar Rijal.. Allah puji ‘lelaki’. Tugas kita bertenang dan pimpin isteri kita kerana Allah sampai syurga.
Selamatkan diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka. Memang lelaki dijadikan ketua maksudnya memimpin. Wanita ialah tunjang utama keluarga. Dakwah dengan kasih sayang dan kelembutan pujuk rayu.
Malam menangis di depan Allah. Al-Quran puji pengorbanan wanita dan Islam sangat menjaga hak wanita. Setiap lelaki dilahirkan dari perut seorang ibu..
Iya.. mana ada seorang mak yang niatnya nak marah-marah. Bak kata Siti Suryani Yaakop ini, setiap kali buka mata mesti mak niatkan mahu berlemah lembut dengan anak-anak malah suami.
Tapi, setelah puas berusaha, mak tak berjaya nak tunaikan. Tetap akhirnya termarah-marah juga. Rupanya ada isteri, beban tugasnya itulah buatkan dia tak boleh kawal emosi marahnya.
Mak Kata ‘Jangan Bandingkan Kita Dengan Orang Lain’
Ye lah..
Betul mak aku kata tu.
Jangan banding kita dengan orang.
Jangan ingat kalau kita boleh tu pasal kita hebat sangat.
Kalau aku nampak artis bagi tips cara lemah lembut dengan anak, aku kena tengok juga.
Rumahnya kemas. Duit pun berlonggok. Ada yang ada pembantu. Kerjanya cuma layan anak manjang.
Takda banyak benda nak runsing. Itu rezeki dia.
Macam aku pun, anak dua je. Bolehlah rileks-rileks, sayang-sayang. Dah besar dah pulak tu. Takda nak kalut apa pun kat rumah.
Cuba wanita yang jenis pukul 4 pagi dah bangun sediakan makan. Lepas tu pergi kerja. Balik karang singgah pasaraya. Beratur lak panjang. PKP. Padahalnya nak beli ikan bilis je pun. Teringat suami nak makan sambal bilis petai katanya.
Sampai rumah pukul 6. Nak solat, nak mandi, nak masak, nak angkat baju. Bersilatlah kita laki bini ni balik-balik kerja.
Malam nanti nak urus kerja sekolah anak. Member dia yang lain semua dah hantar dah. Dia je belum lagi. Dah mak ayahnya dua-dua pun kerja. Siapa yang nak tolong tengokkan. Sambil belasah bilis petai, sambil tu tengok anak buat kerja. Suami ada kerja lain lagi. Bisnes online. Nak tambah rezeki keluarga. Dia pun penat juga. Dia pun buat tanggungjawab dia.
Siap dah semua, ingat nak baring kejap pelurus kaki. Allah…! Baju belum lipat. Tu kalau tak lipat hari ni, esok makin menggunung. Karang suami tak jumpa spender karang, tak pakai spender lak dia esok pergi kerja.
Tengah melipat, bangun pulak si kecik tu. “Nak acik”, katanya. Tadi dia tak berapa nak makan. Ni baru lapar perut. Takkan la tak buat kan. Kesian pulak dia.
Iye tak iye, pukul 1 pagi baru tidur. Esoknya pukul 4 pagi ulang rutin yang sama.
Tak Ada Isteri Yang Suka Nak Marah-marah, Tapi Beban Isteri Itu Berbeza
Lemah lembut.
Iye. Semua pun nak sangat jadi ibu yang lemah lembut. Takda orang niatnya bangun tidur esok, aku nak jadi lebih marah lagi.
Ingat wanita tu lepas dia marah-marah, dia seronok ke? Dia nak tulis dalam diari ke yang dia berjaya marah lagi hari itu?
Pergi tengok dia lepas marah. Kadang airmata mengalir deras kerana rasa bersalah. Kadang lama dia bersujud atas sejadah. Rasa sedih amat kerana tak berjaya menjadi ‘yang terindah’.
Tidaklah aku kata marah tu bagus. Marah tu takpa. Bukan. Maksud aku, takda wanita yang menjadikan marah tu sebagai hobi dia. Dia pun tak sengaja. Dia pun tak suka. Semua mak inginnya satu saja. Nak jadi mak paling baik dan paling lemah lembut apa adanya.
Tapi aku faham apa mak aku kata.
Hidup semua orang bukannya sama.
Belajarlah lihat manusia disekeliling kita.
Saiz bahu kita ni tak serupa.
Beban di atasnya juga berbeza.
Kita mungkin boleh sembang sebab hidup kita kencang….
MW : Bila suami faham akan penat isteri, dia tak ambil hati pun dengan ‘marah-marah’ isterinya itu. Sebab dia tahu betapa isterinya berusaha keras nak bantu ringankan beban suaminya.
Artikel ini disunting dan diterbitkan dengan keizinan penulis : Siti Suryani Yaakop
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sememangnya kehidupan seorang ibu tunggal agak mencabar. Tambahan pula jika meneruskan kehidupan di ibu kota yang penuh dengan onak dan duri. Apatah lagi bagi seseorang yang suatu ketika dahulu hanyalah suri rumah dan tiada sebarang pendapatan.
Kemelut kehidupan mereka sangat meruncing apabila terpaksa menguruskan anak-anak tanpa wang ringgit. Malah sumber pendapatan yang sedikit membuatkan mereka tidak dapat menikmati kehidupan yang berkualiti dan mewujudkan pelbagai permasalahan di dalam keluarga.
Dek kerana itu juga Pengerusi Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Nur Iman Batu Caves, Selangor (WITUS), Zamanila Tukimin, 48 yang berasal dari Ayer Hitam mahu membantu mereka yang senasib dengannya.
“Mereka yang bergelar ibu tunggal haruslah sentiasa berani mengharungi cabaran dan dugaan, sentiasa bersikap positif dan berdiri di atas kaki sendiri tanpa menoleh ke belakang.
“Pelbagai cabaran, kesusahan dan pahit getir sentiasa di hadapi seorang diri tanpa ada perasaan gerun walaupun saya hanyalah seorang wanita. Pepatah mengatakan tangan yang mengoncang buaian dan tangan ini jugalah yang akan menggoncangkan dunia.
“Malah saya juga berazam untuk membantu golongan ibu tunggal yang tiada arah tujuan dengan menubuhkan NGO Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal (WITUS). Iaitu visi dan misi Persatuan kami adalah melahirkan wanita yang berdikari,” ungkap ibu kepada dua orang anak ini.
Bersama anak-anak kesayangan.
Pernah Hidup Menderita
Mengimbau kembali kisahnya, Zamanila menerangkan pada awalnya dia digantung tidak bertali.
“Oleh kerana saya digantung tidak bertali tanpa apa-apa khabar hampir sembilan tahun hidup bersama anak-anak. Saya hanya memerlukan kurang dari tiga tahun untuk meneruskan kehidupan dan bangkit terus tanpa menoleh ke belakang demi anak-anak.
“Saya bermula dari seorang suri rumah sepenuh masa yang terlalu mengharapkan duit suami dan memberi sepenuh kepercayaan dalam rumah tangga. Di sinilah bermula kisah saya sewaktu mengandungkan anak kedua ketika berusia enam bulan di dalam perut. Di tinggalkan suami tanpa nafkah dan hidup saya sangat menderita.
“Bermula dari situ saya nekad berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki demi menyara anak-anak dengan melakukan pelbagai kerja termasuk menjual kuih, mengecat kereta, menjadi penarik kereta dan menjual kereta terpakai.
“Saya juga pernah tidak makan nasi selama seminggu kerana tidak mempunyai wang. Di sebabkan itu saya hanya mampu membeli sebungkus mi segera dan di bahagikan untuk seminggu. Demi anak-anak dan keazaman yang kuat dalam diri saya dan untuk mengubah kehidupan menjadi yang lebih baik saya nekad dengan melakukan pelbagai kerja sehingga di perkenalkan oleh DBKL dalam kursus kemahiran secara percuma bermula dari urutan tradisional melalui Pusat Rahmat. Disitulah bermulanya pekerjaan baru dan rezeki yang melimpah ruah.
“Pada peringkat awal saya terpaksa memberitahu kepada pelanggan agar mereka membayarkan dahulu tambang teksi memandangkan saya langsung tidak mempuyai wang. Dengan kemahiran juruterapi yang ada, saya membesarkan anak dengan hasil urutan dan saya telah melebarkan lagi sayap perniagaan dengan menjual kenderaan terpakai. Setelah lima tahun saya cambahkan perniagaan dengan perkhidmatan sewaan bas sehingga sekarang,” ungkap ibu yang cukup tabah ini.
Tidak Pisahkan Ikatan Hubungan Anak & Ayah
Zamanila juga menerangkan walaupun berasa teraniaya namun dia tidak pernah memisahkan hubungan antara seorang ayah dan anak.
“Saya tidak pernah memisahkan anak dan ayahnya. Walaupun saya merasakan yang diri saya sangat teraniaya dengan perkahwinan tetapi ikatan anak dan ayah tidak boleh dipisahkan. Syukur alhamdullilah dua orang anak saya masing-masing sangat memahami saya dan sentiasa ada bersama saya saat susah dan senang,” ujar Zamanila yang berasa cukup bangga apabila anaknya tamat belajar dan diraikan dalam majlis konvokesyen baru-baru ini.
Akui ibu dan anak-anak yang paling banyak membantu dia bangkit dari kehidupan yang penuh pancaroba. Kini wanita ini sudah berjaya dan mengakui mengambil masa lima tahun untuk berada di zon selesa dengan menjalankan perbagai perniagaan termasuklah menguruskan Perniagaan Kereta Terpakai hinggalah Perkhidmatan Sewaan Bas. Malah dia juga beruntung kerana mempunyai seorang sahabat baik yang banyak membantu dirinya dalam perniagaan.
Dipandang Serong
Walaupun hidupnya kini sudah semakin stabil namun dia tidak pernah melupakan pengalaman pahit manis yang dilalui sepanjang membesarkan anak-anak.
“Pengalaman pahit di mana saya sangat menderita dan menghadapi tekanan yang luar biasa kerana sering di pandang serong oleh masyarakat dan kesempitan hidup yang amat ketara.
“Pengalaman manis pula saya tak sangka boleh meneruskan hidup sendirian dan alhamdullilah berjaya. Walaupun dulu saya terlalu bergantung kepada suami dan yang lebih manis dalam hidup saya adalah dapat membantu dan melahirkan wanita yang berdikari yang dahulu senasib dengan saya. Saya juga amat bersyukur dan gembira kerana berjaya mendidik dan membentuk anak-anak saya dengan keperitan lampau sehingga mereka ke menara gading,” akhirinya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Saat paling sukar bagi pasangan PJJ (Hubungan Jarak Jauh), bila terpaksa berjauhan-berpisah sementara menjalani kehidupan suami isteri. Demi mencari nafkah tuntutan itu dijalani penuh kesabaran.
Itulah yang berlaku pada Sofuan Saadon, berpisah sementara dengan isteri di Semenanjung. Guru ini meneruskan bakti mendidik anak bangsa di SMK Matu, Sarawak.
Rindu usah cerita, namun perkara paling berat mahu dilakukan saat perpisahan benar-benar terjadi di depan mata. Saat melepaskan pegangan dengan yang tersayang, melepaskan si dia pergi di bawa pesawat penerbangan. Allahu..
Bila Perpisahan Benar Terjadi, Inilah Saat Yang Paling Sukar
BAGI pasangan yang PJJ (perhubungan Jarak Jauh), inilah saat yang paling sukar. Perpisahan sementara. Demi diri, pasangan, keluarga dan kerjaya.
Masih jelas dalam ingatan aku ketika pertama kali aku balik ke Sarawak tak lama selepas berkahwin. Isteri yang menghantar aku ke stesen bas sebelum aku ke KLIA2.
Aku tahu isteri sedih dan berat nak lepaskan aku tapi kami tiada pilihan. Bini nampak kuat waktu itu. Dia cuba tahan air mata dari jatuh.
“Jangan risau.. Nanti cuti abang balik. Bukan selamanya di sana,” pujuk aku buat pertama kalinya.
Isteri mengangguk perlahan. Aku renung mata isteri dalam-dalam. Sinar mata yang penuh pengharapan.
Isteri Tak Dapat Kawal Perasaan, Tangisan Dilepaskan Di Tepi Jalan
Rupa-rupanya selepas hantar aku dan bergerak tinggalkan Terminal Aman Jaya itu, isteri berhenti di tepi jalan dan menangis semahu-mahunya.
Itulah perpisahan sementara kami selepas sah menjadi suami isteri. Isteri tak dapat kawal perasannya. Dia lepaskan segalanya pada ketika itu. Apabila dia kembali tenang, barulah dia teruskan pemanduan ke rumah sewanya.
Aku perasan, dari hari ke hari, isteri seakan sudah reda dengan pemergian aku untuk mendidik anak bangsa. Dia nampak akur melepaskan aku pergi.
Namun, situasi kali ini agak berbeza.
Perpisahan Kali Ini Jauh Bezanya, Seakan Dia Tak Mahu Melepaskan
Hampir sebulan aku dengannya dan sama seperti kali pertama dahulu, dia seakan tak mahu lepaskan aku pergi. Mahu tidak mahu, aku terpaksa mengulang ayat-ayat yang biasa aku katakannya dalam dua tahun ini.
“Abang pergi bukan untuk seronok-seronok. Cari nafkah untuk keluarga kita.. ”
“Kita memang jauh, berlainan tanah. Tapi setiap hari kita boleh dengar suara. Sayang tahu abang buat apa..”
“Sekarang ni masa cepat. Nanti cuti abang balik lagi..”
Founder wanita antara ditahan terlibat pengedaran pil kuda di Kelantan, nilai rampasan RM6.16 juta. Memaparkan gaya hidup mewah termasuk menayang kenderaan mewah antara trend...