
Isteri meninggal selepas tiga bulan diuji pemergian anak akibat jantung bengkak, lelaki akui hati rasa kosong & berat. Tiada apa yang lebih memilukan saat diuji dengan pemergian insan dikasihi.
Bukan seorang tapi berdua hanya berselang tiga bulan dan kedua-duanya atas asbab yang sama iaitu jantung bengkak. Kesunyian dilalui oleh Wan Fawwaz Aiman Wan Nazdi, 27 selepas diuji bermula dengan anak tunggalnya, Wan Hayder Rizq Wan Fawwaz Aiman akibat jantung bengkak, tiga bulan kemudian isterinya, Nur Hafizah Mohamad Nasir mengikut jejak anak kesayangan mereka meninggalkan dirinya keseorangan.
Dirinya harus akur menerima takdir yang tertulis bahawa dirinya perlu menjalani kehidupan sendiri apabila kedua-dua insan dikasihinya pergi berselang tiga bulan. Takdir yang berat kerana kehilangan dua insan belahan jiwanya.

Lebih memilukan, saat sebelum isterinya dijemput Illahi, arwah yang berusia 27 tahun sering memuat naik video kenangan bersama anak syurga mereka termasuk menyatakan kerinduan terhadap Wan Hayder sebelum mengikut jejak anaknya itu asbab masalah sakit yang sama. Jenazah ibu dan anak itu juga disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Pantai Kamloon, dekat sini.
@fzansrrindunya ibu dekat hayder 🥺🥲 rindu nak peluk cium anak ibu yang soleh ni yang baik tak pernah susahkan ibu . semoga kita cepat cepat berjumpa sayang 🤍🥺 sesungguhnya rindu ini tiada ubat 💔💔💔♬ Kembalikan Senyumku – Amsyarleee
Memetik laporan Harian Metro, berkongsi kisahnya, Wan Fawwaz Aiman yang bekerja sebagai eksekutif kawalan kualiti mengakui berat untuknya menerima hakikat pemergian anak dan isterinya dalam jarak waktu yang dekat.
“Rasa kosong dan gelap dunia ini bila isteri tinggalkan saya (meninggal dunia) kelmarin. Pandangan saya kosong sampai kalau orang nak marah, puji, nak bagi duit pun tak rasa apa.
“Awalnya susah nak terima kerana Oktober lalu, saya kehilangan anak ketika usianya baru setahun enam bulan selepas hampir setahun menderita akibat jantung bengkak.
“Kelmarin, isteri pula meninggalkan saya tapi bila keluarga pujuk, saya cuba reda dan berdamai dengan takdir.
“Pemergian mereka mudah kerana tak sakit lama. Sebelum ini, arwah isteri selalu cakap rindu Hayder (nama panggilan anak) dan nak jumpa anak…arwah kata tunggu ibu sampai dan kini dia pun sudah pergi bersama anak kami.
“Sedih kerana kami sudah siapkan sudut permainan untuk anak tapi ketika masih ada, anak hanya dapat tengok saya tapi tak sempat bermain kerana tak larat ,” katanya kepada Harian Metro.

Berkongsi kenangan terakhir, Wan Fawwaz Aiman berkata, dia dan isteri sempat keluar makan sehari sebelum Allahyarham Nur Hafizah meninggal dunia
Katanya, isterinya nampak berbeza kerana hanya mengikut keinginannya untuk makan di luar dan tidak membantah kerana sebelum ini, Allahyarham suka mengingatkan untuk berjimat.
“Arwah okay tapi nampak lain kerana ikut saja apa saya nak dan waktu kami makan char kuey teow, dia mengadu sakit dada.
“Sakit itu masih tak hilang selepas kami tiba di rumah dan arwah sempat minta tolong saya dengan ibu untuk urutkan badannya.
“Bila diajak ke hospital dia tak mahu tapi keesokannya dalam jam empat pagi, arwah bangun dan beritahu nak ke hospital. Kemudian saya beritahunya nak cuci muka dulu… ketika dalam tandas, saya dengar bunyi daripada luar dan bila keluar, isteri sudah rebah.
“Saya terus hubungi ambulans dan isteri disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital kira-kira jam 5 pagi tapi sebenarnya dia sudah tak bernyawa ketika dalam ambulans lagi,” katanya.
Wan Fawwaz Aiman berkata, dia dan isteri sepatutnya ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah pada Julai nanti.
Bagaimanapun, hasrat Nur Hafizah tidak kesampaian walaupun sangat teruja untuk ke Tanah Suci.
“Awalnya isteri tak yakin nak pergi kerana katanya banyak dosa tapi akhirnya dia yang teruja. Malam sebelum meninggal dunia pun, isteri beritahu tak mahu sakit lagi kerana nak buat umrah dulu dan minta janji dengannya jangan kahwin lagi jika terjadi apa apa.
“Tak sangka itu menjadi antara perbualan terakhir kami sebelum arwah meninggalkan saya buat selamanya,” katanya
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!




