Leona mahu bedah ‘aset,’ tubuh nampak ‘berisi’- “Kadang-kadang saya kena pakai baju saiz M atau L, dada besar.” Jika kebanyakan wanita berusaha pelbagai cara untuk mendapatkan bentuk payudara yang lebih besar dan menonjol, berbeza pula bagi pempengaruh media sosial, Kasih Iris Leona Azhar.
Leona Mahu Bedah ‘Aset,’ Tubuh Nampak ‘Berisi’- “Kadang-kadang Saya Kena Pakai Baju Saiz M Atau L, Dada Besar”
Anak kepada pelakon Azhar Sulaiman ini menyatakan hasrat untuk menjalani pembedahan mengecilkan payudara demi mencapai bentuk badan yang lebih seimbang dan selesa. Ujar Leona yang berusia 23 tahun, saiz payudaranya yang agak besar menyebabkan beliau sering mengalami sakit belakang dan terpaksa memilih pakaian bersaiz lebih besar daripada ukuran tubuhnya yang sebenar.
Hal ini menimbulkan rasa tidak selesa dan membuatkan penampilannya kelihatan lebih berisi daripada realiti. “Pinggang dan bahagian badan saya sebenarnya saiz S, tapi disebabkan dada saya besar, saya terpaksa pakai baju bersaiz M atau L,” katanya dalam satu siaran langsung di TikTok.
Leona turut meluahkan rasa kecewa kerana kerap kelihatan gemuk walaupun tubuhnya sebenarnya langsing. Baginya, saiz payudara yang tidak seimbang dengan tubuh memberi gambaran fizikal yang tidak tepat dan menjejaskan keyakinan diri.
Tambahnya, selain faktor fizikal dan keinginan untuk tubuh lebih ideal, saiz tersebut juga menyebabkan dirinya menjadi mangsa gangguan psikologi serta komen lucah daripada pengguna media sosial, terutamanya dalam kalangan lelaki.
Situasi itu semakin mendapat perhatian selepas Leona berkongsi pengalamannya menjadi sasaran buli siber, apabila seorang individu meninggalkan komen berunsur lucah dengan menggunakan identiti palsu.
Ads
Meskipun menerima pelbagai komen negatif, Leona turut meluahkan rasa terharu dengan sokongan ramai pihak yang membelanya dalam isu tersebut.
Ibu terkejut anak maut kemalangan – “Malam tadi hantar Fatin naik bas, pagi ini dapat berita dia dah tak ada.” “Baru malam tadi kami sekeluarga menghantar anak sulung menaiki bas, namun pagi ini saya dapat berita dia meninggal dunia dalam kemalangan,” kata Fieza iaitu ibu kepada Fatin Nasrin Fadli, 22, salah seorang daripada 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam kemalangan bas di Lebuhraya Timur Barat berdekatan Tasik Banding, Perak pada jam 1 pagi tadi.
Kemalangan tragis itu melibatkan sebuah bas dan sebuah kenderaan jenis PERODUA Alza, mengakibatkan 15 nyawa pelajar melayang manakala tujuh lagi mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Hospital Gerik.
Menurut Fieza, keluarganya hanya mengetahui tentang kemalangan tersebut kira-kira jam 6 pagi selepas terbaca maklumat mengenainya di Facebook.
“Waktu itu saya cuma tahu anak terlibat dalam kemalangan, tapi saya tidak pasti keadaannya, sama ada cedera atau telah tiada. Kami terus bertolak dari Jertih, dan dalam perjalanan, pihak hospital menghubungi memberitahu anak saya telah meninggal dunia,” katanya sebak.
Fieza memaklumkan, setakat jam 10.50 pagi, beliau masih berada di Tanah Merah, Kelantan akibat kesesakan jalan raya dan tidak pasti berapa lama lagi akan tiba di Hospital Gerik.
“Allahuakbar… sedih sangat sebab dia baru balik beraya dan malam tadi, kami menghantarnya dengan gembira kerana sepatutnya anak ada kelas hari ini,” katanya.
“Kami masih terkejut. Arwah anak sulung daripada lima beradik dan sepanjang berada di rumah untuk sambutan Hari Raya, dia nampak sangat ceria,” katanya lagi.
Dalam kejadian tragis itu, kesemua 15 pelajar UPSI disahkan maut apabila bas yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan sebelum terbalik di Jalan Jeli – Gerik, berhampiran Tasik Banding, awal pagi tadi.
Rasa tidak sedap hati itu rupanya petanda, mangsa nahas UPSI hilang 15 rakan termasuk sahabat karib. Rasa gelisah yang menyelubungi hati Nurul Athirah Zakaria sebelum menaiki bas dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim rupa-rupanya menjadi bayangan kepada satu tragedi besar.
Mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu tidak menyangka perasaan tersebut menjadi petunjuk bahawa dia bakal kehilangan 15 rakan, termasuk sahabat karibnya, Nurly Shahirah Azman.
Menurut Nurul Athirah, 23 tahun, dia sempat memaklumkan rasa tidak sedap hati itu kepada ibunya, Rosmawati Muda, 57, sewaktu bersalaman sebelum menaiki bas. Namun, ibunya menasihatinya agar tidak terlalu memikirkan perkara yang buruk.
“Tidak sangka malam itu merupakan detik yang paling memilukan dalam hidup saya, apabila saya kehilangan sahabat baik saya, Nurly Shahirah. Kami sudah bersahabat sejak Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Imtiaz Besut. Kami sangat rapat dan sama-sama merupakan hafizah al-Quran,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Padang Landak, Terengganu.
Kemalangan yang berlaku pada malam Isnin lalu di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, meragut nyawa 15 penuntut UPSI apabila bas sewa khas yang membawa mereka terbalik selepas memintas sebuah Perodua Alza. Bas itu dalam perjalanan pulang ke kampus utama di Tanjung Malim. Insiden ngeri itu turut mencederakan 33 individu lain, termasuk pemandu serta kelindan bas dan empat orang dari kenderaan Alza berkenaan.
Menceritakan kembali saat-saat terakhir bersama arwah, Nurul Athirah berkata dia sepatutnya duduk bersama Nurly Shahirah di sebelah kiri bas. Namun, tempat duduk itu sudah diisi oleh rakan mereka yang lain, menyebabkan dia duduk di sebelah kanan, sebaris dengan tempat duduk sahabatnya.
“Saya masih ingat, sebelum kemalangan berlaku, saya nampak arwah tidak tidur. Tetapi selepas itu saya sendiri tidak tahu apa yang berlaku, saya tercampak keluar dan terus pengsan,” katanya.
Nurul Athirah hanya sedar sekitar jam 3 pagi dan ketika itu dia dibantu oleh sepasang suami isteri yang kebetulan melalui kawasan kejadian. Mereka membantunya menghubungi ibunya.
“Saat itu, saya cuma fikir, kalau saya meninggal, biarlah saya sempat bercakap dengan ibu buat kali terakhir,” katanya sebak.
Akibat kejadian itu, Nurul Athirah mengalami kecederaan pada paru-paru, kaki dan belakang kepala. Kini, dia masih dalam tempoh berehat di rumah dan akan kembali ke kampus selepas pulih sepenuhnya.
Ibu hilang 4 anak, seorang menantu sekelip mata, status whatsApp terakhir jadi petanda. Perjalanan yang sepatutnya menjadi detik menggembirakan bertukar menjadi peristiwa hitam apabila lima sekeluarga terkorban dalam kemalangan tragis melibatkan dua kenderaan di Kilometer 7, Jalan Jerantut-Maran, tengah malam semalam.
Tragedi ini bukan sekadar satu kemalangan ngeri, ia meragut nyawa satu pasangan suami isteri muda bersama tiga adik ipar mereka, sekali gus menghancurkan harapan dan kebahagiaan sebuah keluarga yang merancang untuk berhari raya bersama sanak saudara di kampung.
Mangsa-mangsa yang maut menaiki kereta jenis Perodua Bezza dan dalam perjalanan ke rumah bapa saudara mereka di Jerantut bagi menghadiri kenduri korban keluarga. Mereka ialah Muhammad Ikmal Ishak, 26, pemandu kenderaan dan suami kepada Nur Arfiqah, Nur Arfiqah Aziz Jaafar, 23, isteri Ikmal dan tiga adik Nur Arfiqah iaitu Mohammad Zulkifli Aziz Jaafar, 21, Mohamad Azizul, Hakimi Aziz Jaafar, 19 dan Nurul Hazwani Aziz Jaafar, 17
Kemalangan berlaku sekitar jam 12.40 tengah malam apabila kereta mereka bertembung dengan sebuah Toyota Alphard. Menurut Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri Muhammad, kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ibu kepada empat daripada mangsa, Zaini Noh, 52, menyatakan bahawa sejak awal dia sudah merasakan sesuatu yang tidak kena. Beliau beberapa kali melarang anak-anaknya untuk pergi, lebih-lebih lagi kerana beliau sendiri tidak sihat dan tidak dapat menyertai perjalanan itu.
“Saya cakap dengan mereka, kalau mak tak pergi, tak payahlah pergi. Tapi mereka bersungguh-sungguh sangat nak pergi.”
Namun dek keinginan untuk bersama keluarga dan menyertai kenduri korban yang dianjurkan oleh bapa saudara mereka, mereka tetap meneruskan perjalanan. Saudara-mara lain termasuk anak bongsu pasangan itu telah bertolak sehari lebih awal menaiki dua lagi kenderaan.
Kali terakhir Zaini melihat anak-anaknya ialah pada hari Selasa, apabila mereka datang mengambil barang sebelum bertolak. Mereka semua kelihatan ceria, tanpa menunjukkan sebarang petanda akan berlaku sesuatu yang buruk.
Beliau mengingati kisah yang diceritakan oleh rakan-rakan arwah anaknya, bahawa anak ketiganya, Mohammad Zulkifli, sempat membelanja 10 orang kawannya makan nasi bungkus sebelum bertolak. Tindakan itu kini menjadi kenangan terakhir yang amat menyentuh hati mereka yang mengenalinya.
“Saya tengok mereka semua ceria masa kali terakhir jumpa… saya tak sangka itu kali terakhir.”
Abang kepada Muhammad Ikmal, Muhammad Ridzuan Ishak, 33, masih terkesan dengan apa yang dilihatnya pada malam kejadian. Sekitar jam 10 malam, beliau sempat melihat status WhatsApp adiknya yang berbunyi:
“Itulah jalan pertama dan terakhir akan dilaluinya.”
Kata-kata itu yang pada mulanya dianggap biasa, rupa-rupanya menjadi petanda bahawa perjalanan malam itu adalah yang terakhir buat mereka berlima.
Ridzuan yang bekerja sendiri berkata, kali terakhir dia bertemu adiknya adalah pada hari Rabu, ketika semua adik-beradik berkumpul di Taman Malar, Tambun, Perak. Ia merupakan pertemuan yang tidak disangka akan menjadi kali terakhir mereka berjumpa.
“Arwah memang periang dan sangat disenangi keluarga. Saya tergamam bila terima berita.”
Berita kemalangan diterima keluarga dalam suasana yang sangat mengharukan. Ridzuan menerima panggilan telefon daripada abang kepada isteri adiknya sekitar jam 1.30 pagi. Pada mulanya beliau tidak percaya, namun setelah mendapat penjelasan, hatinya luluh dan tidak mampu berkata apa-apa.
Sementara itu, Zaini dan suaminya menerima berita itu melalui jiran mereka yang menghubungi dan memberitahu tentang kemalangan. Namun, berita sebenar bahawa semua anaknya telah meninggal dunia hanya diketahui kemudian. Detik itu menghancurkan hati seorang ibu yang baru sahaja melihat anak-anaknya ceria beberapa jam sebelumnya.
“Jiran telefon, kata anak eksiden, tetapi dia tak cakap lagi pasal meninggal. Dah lama lepas itu baru kami tahu semua dah tak ada.”
Pada mulanya, keluarga bercadang mengebumikan jenazah di Tambun, namun atas permintaan keluarga mentua arwah, jenazah kelima-lima mangsa akhirnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Selat, Bota Kanan, Perak.
Solat jenazah dilakukan di Masjid Jamek Bota Kanan pada hari Sabtu, dalam suasana penuh pilu. Sanak saudara, rakan-rakan dan penduduk setempat hadir memberi penghormatan terakhir kepada lima insan yang pergi serentak dalam tragedi yang menyayat hati ini.
Kini, Zaini dan suaminya hanya tinggal dua orang anak, anak sulung dan anak bongsu. Walaupun berat, mereka memilih untuk reda dengan takdir Tuhan.
“Apa saya boleh kata… saya reda,” ujar Zaini dalam esak tangis yang ditahan, menunjukkan ketabahan luar biasa seorang ibu yang kehilangan hampir seluruh isi rumahnya dalam sekelip mata.
Lelaki Bangladesh kahwini wanita lumpuh berusia 69 tahun sebelum dipercayai mempergunakan isterinya untuk mendaftarkan tiga syarikat yang dikaitkan dengan kegiatan menyediakan permit kerja palsu kepada warga asing.