Indahnya sebuah kisah cinta agung, antara pasangan suami isteri bernama Muhammad Saiful Azam Azmi, 25 dan allahyarham Fatin Nur Syahirah Yusuf, 24. Isterinya meninggal dunia sehari selepas nikah.
Azam dan allahyarham isterinya diijabkabulkan pada Jumaat, 3 Ogos 2018 di rumah pengantin perempuan di Taman Mahsuri, Jitra, Kedah. Azam cuma dapat bergelar suami selama sehari apabila isterinya menghembuskan nafas yang terakhir disebabkan kanser tisu tahap tiga yang dihadapinya.
Catatan abang-abang allahyarham Fatin Nur Syahirah, Yusri Yusof dan Shukur Yusuf ini benar-benar meruntun hati. Dikongsikan dengan penuh tulus, tentang adiknya yang sentiasa bersemangat menyediakan kelengkapan perkahwinannya. Malah tidak merungut tentang sakit kanser yang dialaminya.
Safiya, anak sulung aku memang rapat dgn kakak. Safiya panggil kakak dengan panggilan makcik. Dia marah juga kat Azam sebab nak kawin dengan makcik, konon Azam nak rampas makcik dari dia – Yusri Yusof
Kisah I : Kakak Tak Pernah Give Up – Yusri Yusof
Hari ini, adik perempuan, Fatin Nur Syahirah telah pulang menyahut panggilan Ilahi yang ternyata lebih sayang kepada arwah Syahirah atau dalam keluarga kami lebih mesra dipanggil kakak. Dia anak perempuan pertama dan adik beradik keempat dari lima beradik.
For most, people will say she lost her battle with cancer. Tapi ini bukan sebarang kanser, ini mesenchymal chondrosarcoma. Sejenis kanser yang rare, menyerang soft tissue dan cartilage. Tumor yang sangat agresif dan tiada belas kasihan untuk tubuh seorang gadis yang baru berumur awal 20-an.
Tapi bagi kami kakak won her battle with this cancer. Sejauh mana pun agresif kanser ini tapi dia tak pernah give up. Tak pernah menyerah kalah. Kakak sangat kuat dan tak pernah merungut. Dua major surgery Sep 2017 dan Feb 2018 dengan bukaan lebih panjang dari C-section. Kakak terus berjuang melawan mesenchymal chondrosarcoma, dan pada masa yang sama tetap positif dan jarang sekali mengalirkan air mata.
Kakak Lebih Kuat Sebab Ada Cinta Dari Anak Muda Bernama Azam
Kakak kuat sebab dia cinta Allah dan Rasul, kakak kuat sebab kami sekeluarga cintakan kakak. Tapi kakak lebih kuat sebab ada cinta dari anak muda bernama Azam. Azam yang sanggup menerima keadaan kakak dan ingin menjadikan Syahirah sebagai isterinya. June 2018, lepas Aidilfitri mereka bertunang dengan niat untuk bernikah pada 18 August ni sebelum Aidiladha.
Tapi apa kan daya kesihatan kakak merosot secara mendadak dalam tempoh seminggu ketika aku ada kat Korea. Lumpuh apabila kanser menyerang tulang belakang, pernafasan kakak pun amat terganggu. Tapi perancangan Allah Maha Hebat dan Dia izinkan majlis pernikahan mereka berdua. Akhirnya Azam dan Syahirah pun sah bergelar sebagai suami isteri setelah bernikah di rumah pada 3 Ogos 2018.
Dan hari ini kakak meninggalkan kami semua, selama-lamanya. Aku sembang-sembang dengan adik ipar baru, Azam dan dia dengan air mata bergenang ucap terima kasih kerana benarkan dia keluar dengan Syahirah sebelum-sebelum ni. Sambil air mata kami mengalir di pipi, aku cakap kat Azam “Takde apa lah benda kecik ja tu. Walaupun Syahirah dah takde, kita tetap adik beradik. Kalau nak datang rumah bila-bila mai ja Azam.”
Siapa sangka, aku dan adik ipar turun dalam liang lahad untuk sambut jenazah adik dan isteri yang diturunkan oleh ahli keluarga yang lain. Allahuakbar.
Al Fatihah buat kakak, Fatin Nur Syahirah
Ads
Kisah II : Coretan Buat Kakak – Shukur Yusuf
Kanser? Malas ambil pusing sebab tak kena batang hidung sendiri. Tahun 2017, di PPUM adikku yang kami panggil Kakak disahkan menghidap Kanser Sacorma (sejenis kanser tisu) pada tahap ke-3!
Sekeluarga tergamam. Mama terus menangis. Abah kelu tak terkata. Seakan tidak percaya akan diuji sehebat ini. Tetapi Kakak yang kami sayangi nampak cukup kuat. Kami sekeluarga terus positif yang mengatakan Kakak boleh sembuh. Hidup bertukar 360 darjah. Segala aktiviti dan perhatian kami dikhususkan untuk Kakak.
September 2017
Selesai pembedahan membuang kanser tersebut. Doktor memberi jaminan yang pembedahan berjaya dan insyaAllah kanser tidak akan menyerang lagi sekurang-kurangnya untuk tempoh terdekat. Cuma follow up seperti biasa. Leganya perasaan kami sekeluarga. Difikirkan berakhir di situ, tetapi tidak.
Disember 2017
Kakak diuji lagi. Kanser datang kali ini dengan lebih agresif. Doktor juga tidak dapat mengenalpasti mengapa kanser ini begitu cepat membesar. Kami sekeluarga terus memberi semangat. Terus yakin. Terus berusaha. Terus bertawakal. Hanya kami dapat memberikan kekuatan psikologi yang amat diperlukan Kakak.
Februari 2018
Mama dan Abah terus setia menunggu diluar bilik bedah. Pembedahan kedua yang memakan masa lebih 15 jam selesai jam 2 pagi. Usai solat Subuh, Mama, Abah dan saya dah terjegat di Cardiacthoracic Intensive Care Unit (CICU) menunggu ulasan doktor mengenai pembedahan tadi.
Doktor memaklumkan bahawa pembedahan tidak 100% berjaya. Sel kanser tak dapat dikeluarkan sepenuhnya disebabkan keadaan sudah terlalu rumit dan boleh mengakibatkan kehilangan nyawa. Selesai mendengar ulasan doktor, kami keluar. Masing-masing diam membisu namun akhirnya kami sama-sama menangis. Tak kuat kami menahan air mata. Ya Allah! Sungguh hebat ujianMu kali ini…
Bermula daripada saat itu, kami sekeluarga mula menjadi doktor sendiri. Habis segala macam artikel berkaitan kanser kami baca. Habis segala petua kami cuba. Segala ceruk pelusuk negara kami teroka. Dengan hasrat mencari penawar buat Kakak tercinta. Kakak seperti biasa senyum tanpa luahkan sakit yang terseksa.
Ads
Hujung April 2018
Kami sekeluarga bersetuju dengan saranan doktor untuk Kakak menjalani sesi radioterapi. Maka berulang-aliklah kami setiap hari membawa Kakak ke PPUM. Selesai 30 sesi pada awal Jun 2018, hasil scan terbaru yang dijalankan, doktor memaklumkan yang tumor kanser sudah mengecut. Alhamdulillah. Leganya hati kami.
Namun, tiba-tiba doktor berkata lagi dalam nada yang cukup lembut.. “Tapi…., kanser tu dah merebak ke kawasan yang lain”. Saya dan kakak terbungkam! Pada ketika itulah pertama kali saya melihat Kakak menangis teresak-esak.
Saya sendiri menangis sambil cuba memberikan kata-kata positif buat adikku ini. Tidak lagi peduli pandangan orang disekitar ruang menunggu PPUM. Hanya kami merasai peritnya dugaan ini. Allah….
17 Jun 2018
Kakak dipinang seorang anak muda yang cukup ikhlas menerima Kakak seadanya. Keluarga pihak lelaki juga banyak membantu dalam proses mencari penawar buat Kakak daripada awal hingga sekarang. Mama dan Abah sangat bersyukur disebabkan keluarga pihak lelaki yang begitu bersungguh menerima Kakak walaupun dalam keadaan Kanser sekarang sudahpun di tahap 4.
Julai 2018
Kakak lumpuh daripada paras pinggang ke bawah. Sekeluarga terkejut. Tidak kami sangka akan secepat ini. Kakak seperti biasa lebih banyak berdiam diri tentang sakitnya. Namun segala yang Kakak pinta, kami akan cuba usaha untuk jadikan kenyataan.
Selang seminggu kemudian, kesihatan Kakak semakin merosot. Kakak mula sesak nafas. Kanser sudah menyerang paru-paru Kakak. Pihak hospital telah memberitahu tiada rawatan lagi untuk tahap ini. Yang ada hanyalah “Comfort Patient”. Fahamlah kami dengan maksud Doktor itu. Lantas Mama terus menangis. Abah cuba memendam rasa biarpun air mata sudah berlinang. Hanya Allah yang mengetahui perasaan kami…
Ads
Ogos 2018
Semangat baru buat Kakak. Azzam bersungguh untuk menerima Kakak sebagai isteri. Ikhlas hati Azzam hanya Allah yang tahu. Dalam keadaan Kakak seperti ini, tetap menerima Kakak seadanya. Keluarga Azzam juga begitu. Menyokong penuh hasrat Azzam. Telah menganggap Kakak seperti keluarga sendiri. Alhamdulillah. Allah hantarkan sebuah keluarga yang cukup bersih hatinya yang sedia menerima Kakak dan berusaha bersama-sama mencari penawar dan memberi semangat.
Pagi 3 Ogos 2018
Kakak dan Azzam selamat diijabkabulkan. Tiada majlis warna warni, tiada baju pengantin menambah seri. Tiada pelamin tanda raja sehari. Yang ada hanyalah pihak keluarga perempuan, pihak keluarga lelaki, tok kadi bersama saksi. Ketika akad sedang dilafaz, esakan tangisan keluarga menjadi muzik latar, menyaksikan penyatuan dua hati murni ini. Alhamdulillah. Allah permudahkan.
Semoga atas pernikahan ini, Allah kurniakan rahmat dan keberkatan serta kebahagiaan dunia akhirat buat Kakak dan Azzam.
Namun, saat gembira itu tidak lama. Petangnya selepas solat Jumaat, Kakak terus dimasukkan ke hospital. Pernafasan Kakak semakin merosot. Mama terus menjadi peneman setia. Disamping Abah yang terus berusaha serta keluarga yang terus mendoakan kesembuhan Kakak.
Namun Allah lebih sayangkan Kakak dan Saat itu tiba juga.
Kakak pergi meninggalkan kami pada waktu Subuh 4 Ogos 2018. Alhamdulillah ditemani Mama, Abah, Suaminya, Mak Besah serta Saya.
Disaat ini, keluarga redha dengan ketentuan. Buat Azzam dan keluarganya, terima kasih atas segala pengorbanan serta kasih sayang yang diberikan untuk Kakak, serta menunaikan impian Kakak biarpun cuma untuk seketika. Alhamdulillah, Kakak nampak berseri masa hari pernikahannya. Hanya Allah yang dapat membalasnya budi baik Azzam dan keluarganya.
Semoga Kakak ditempatkan dikalangan orang yang beriman. Aamiin.
Tak salah main phone di rumah tetapi seeloknya biarlah ada masanya. Ini baru anak-anak yang sentap, macam mana pula dengan kaum mak-mak yang sedap meluah tetapi bila pusing-pusing tengok suami tengah senyum-senyum hadap phone.
Hah, inilah salah satu barah dalam rumah tangga hari ini. Lagi parah sampai keluar berjalan-jalan pun masing-masing sibuk dengan phone. Betapa teruknya kita hari ini, mendahulukan orang yang jauh di mata tetapi depan mata terabai. Jadi sebelum ada lagi hati yang terguris, jemput baca perkongsian saudara Ws Adli W Muhammad, pengalamannya sendiri bila anaknya merajuk sebab terlalu ralit tengok phone.
Anak Merajuk Sebab Ayah Main Phone
Riyadh berkata “Abah, abah dengar tak apa Yadh cakap ni?”Saya menjawabnya acuh tak acuh “Ya Yadh, abah dengar”. Mata saya masih ralit menghadap telefon zaman sekarang. Riyadh sekali lagi berbunyi “Dengar, dendar. Mata pandang telefon. Bukan pun dengar orang cakap. Tak apalah, menghadap aje lah telefon tu. Tak yah bercakap dengan Yadh dah. Telefon tu lagi penting”.
Tersentap saya.
Saya letak telefon, dan cuba pegang tangan Riyadh. Dia marah. Mengelak dari saya dan terus berlari ke dapur mencari kakaknya. Saya panggilnya berulang kali, tak bersahut. Merajuk dia dengan sikap saya yang tidak melayan dia berborak.
Masa kita kecil-kecil dulu, benda teknologi alah begini mana ada lagi. Kita leka dengan dunia kanak-kanak kita yang penuh warna warni, penuh keceriaan, kegembiraan dan banyaknya masa untuk bersama.
Bercerita di bawah pokok jambu dengan kawan-kawan, berborak dengan mak dan ayah di dalam bilik, di dapur dan di ruang tamu. Ada sahaja ruang masa yang tidak pernah mencemburui kita. Banyak yang kita kongsikan sesama ketika dulu-dulu.
Itu belum cerita agung main masak-masak. Sambil main masak-masak, ada juga benda kita ceritakan sesama kawan.
Saya akui, tak payah pergi tengok jauh-jauh. Tengok sahaja kepada diri saya sendiri. Bagaimana cara layanan saya kepada anak-anak. masa dia rancak bercerita, saya menghadap telefon. Jawab sekadar ambil hatinya. Kerap guna perkataan atau ayat “Ooo, macam tu”, “Ya”, “Ha”, dan lain-lain lagi.
Beria mereka bercerita panjang, saya pula layannya acuh tak acuh. Sampailah suatu masa, anak ini agaknya telah menyimpan lama perasaannya melihat sikap buruk saya begitu, maka terkeluarlah perkataan dan ayat begitu.
Kasihan.
Saya yang memusnahkan dan merosakkan masa emas bersama anak-anak. Anak-anak bila dah tak dapat layanan begitu, mereka pun duduk dengan dunia mereka sendiri. Main sama-sama dia aje, duduk termenung dan kurang bercakap dengan kita.
Mula Berubah…
Selepas pada peristiwa itu, saya ubah. Apa yang saya buat ialah:
1. Letak telefon dalam bilik atau letak telefon jauh dengan tempat saya borak dengan anak. Jadi, rasa malas nak pergi ambil, jauh nak akses.
2. Tutup data. Tak adalah gangguan dari aplikasi whatsapp, facebook, instagram, twitter dan macam-macam benda alah yang hidup bersama kita sekarang.
3. Layan anak bercakap. Kajian saya, budak-budak ni bukan lama pun bercerita. Paling lama 2 minit. Biasa tak sampai 1 minit. Yang buat rasa lama bukan apa, bila anak nak susun ayat tu. Dia bercerita sambil fikir apa perkataan perlu digunakan olehnya.
4. Buat-buat kita tak faham sikit apa dia cerita. Dia akan ceritakan semula. Buat-buat tanya soalan, dia akan jawab sampai konon-kononnya kita baru faham.
5. Buat reaksi muka. Ikut cerita dia. Kalau saspen, buat muka saspen. Kalau seram, buat muka seram. Kalau kelakar, gelak sekali. Ambil mood dia tengah bercerita. Tapi tak payah lah over sangat. Huhu.
6. Ada masa anak ini banyak ulang alik nak mengadu, nak berborak, nak bercerita dengan kita. Ambil nafas panjang-panjang. Luangkanlah juga masa yang kita dapat ini. Ini masa Allah bagi pada kita, sampai suatu masa nanti, kita tak merasa dah masa begini. Allah dah tarik. Tinggal kita berdua je nanti dalam rumah tu. Itupun kalau berdua, buatnya sorang pergi dulu, kan semua kuasa Allah.
Bila dah buat begitu, memang rasa tak puas berborak dengan mereka. Rasa macam nak je setiap masa dengar mereka bercerita tentang pengalaman kehidupan mereka di awal usia kecil begitu. Seronok, memang menyeronokkan.
Paling rasa bahagia, apabila mimik muka mereka tidak lagi macam dulu. Macam ada benda tak puas hati nak diluahkan kepada kita. Sekarang, bila dah dapat layanan yang patut mereka terima, ceria sahaja muka mereka.
Kalian,
Allah hantar ujian tak payah jauh-jauh. Cukup hantar kepada diri kita sendiri. Banyaknya, kita lebih memerhati dan mengata kehidupan orang lain. Sedang kehidupan kita belum tentu sempurna dan baiknya, juga indah. Sibuk kita baiki kehidupan orang, tetapi yang kita pun teruk malah ada yang lebih rosak dari orang lain.
Apabila kesedaran itu hadir, ambillah pengajaran. Lekas cuba ubah sikap kita perlahan-lahan. Tuhan itu maha pengasih dan maha penyayang.
Setiap detik ketika bersama anak-anak, saya tatap betul wajah mereka. Saya rakam betul dalam kepala gelak ketawa mereka, senyum manis mereka, masam muka mereka, riak muka mereka ketika bercerita dan bermain. Sampai ketika apabila dipanjangkan umur, inilah yang akan dikenang-kenang semasa tua.
Tidaklah lagi kita rugi dari hilangnya masa emas pernah bersama anak-anak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Nak kekalkan perkahwinan, ia bukan semudah yang disangkakan. Walau pun perkahwinan atas dasar cinta, banyak perkahwinan yang kecundang di tengah jalan! Kenapa yek?
Ikuti perkongsian daripada Puan Suzana Ghazali, Penulis ruangan Resipi Hidup di dalam Majalah Mingguan Wanita yang juga Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie.
Sepakat Nak Berpisah
Saya berdepan dengan sepasang suami isteri yang usia perkahwinan mereka belum pun cukup enam bulan. Kalau diikutkan dalam tempoh tersebut, musim bulan madu belum pun tamat. Malangnya mereka seakan sudah sepakat ingin berpisah. Bila saya soal alasan; masing-masing bersetuju dengan satu jawapan; “kami tak serasi bersama, sikap kami tak serupa!”
Dalam satu kes yang lain, saya juga bertemu dengan pasangan yang hampir 20 tahun berkahwin, punyai enam anak yang meningkat dewasa dan bertemu saya kerana suaminya ingin berkahwin lagi. Alasan diberikan si suami ialah isteri yang dikahwininya itu tidak mampu menjadi pasangannya yang baik sebab berbeza minat menjadikan mereka sukar untuk meluangkan masa.
Si suami suka melakukan aktiviti luar rumah sedang si isteri pula menghidap migrain yang kuat dan tidak boleh berada di luar rumah apatah lagi di tengah panas.
Hakikatnya; perbezaan antara pasangan bukan halangan untuk bahagia bersama malah sememangnya perbezaan itulah kunci utama ke arah nak mengecap kebahagiaan hidup berpasangan. Perhatikan sekeliling anda. Apakah benda yang dipasangkan dengan baju? Kain atau seluar? Buku pula? Pen atau pensel. Lelaki? Sudah semestinya perempuan. Baju dengan baju takkan jadi pasangan, tak sempurna. Sama juga buku dengan buku, takkan lengkap dan bermanfaat sepenuhnya tanpa pen atau pensel. Begitu juga lelaki perlukan perempuan atau wanita, begitu juga sebaliknya.
Perbezaan sikap juga serupa. Kalau sama-sama nak bercakap banyak; pasti ada yang tak kena. Kalau sama-sama diam, lagilah celaka kecualilah memang kedua-duanya bisu, ada lah kaedah lain untuk sama-sama berkomunikasi. Perbezaan itu jugalah yang menjadikan diri seseorang itu unik dan luar biasa. Tak perlu punyai sikap yang sama untuk hidup gembira dan bahagia bersama. Malah dalam sebahagian kes, persamaan itu boleh mewujudkan rasa bosan. Sebabnya?
Sebelum kahwin, suka cerita humor, selepas kahwin pun suka cerita humor sebab pasangan mempunyai sebab yang sama. Setahun, dua tahun, bosan takkan rasa tetapi bila didedahkan kepada sesuatu yang berbeza, anda pasti teruja. Tika inilah mula berpaling kasih, konon dah jumpa seseorang yang memberikan sinar baru dalam hidup. Apalah ertinya sinar baru andai ada hati yang anda lukakan?
Seperti yang saya tegaskan; tak perlu bimbang mengenai perbezaan. Yang penting; selarikan! Jika pasangan anda terlalu pendiam, ajaklah dia berbual. Usahakan tanpa putus asa dan penuh kesabaran! Memang perlukan usaha keras dan kesabaran yang tinggi sebab sikap yang cuba anda tukar dari dalam diri pasangan anda adalah sikap yang sebati dengan dirinya sejak berpuluh tahun. Ingat! Kegemilangan Rom tidak dicapai dalam masa satu hari.
Paling utama juga; jangan terlalu fokus kepada perbezaan yang wujud sebaliknya cari mana-mana lubang yang secocok dengan diri anda dan bergembiralah menikmati persamaan tersebut di samping usaha menyesuaikan perkara yang tak sama itu.
Nak Kena Terima Seadanya
Seperkara lagi; anda perlu belajar menerima pasangan anda seadanya. Anda tau dia pendiam, terima dahulu perlahan-lahan. Jangan dinafikan terus. Penafian, mengikut emosi bosan hanya akan menambah kecelaruan dalam minda anda malah pasangan. Sebabnya? Sayang masih ada cuma tidak dapat terima dirinya yang bukan impian anda. Bukan bererti perlu terima bulat-bulat hingga tak boleh diusahakan perubahan.
Terima tetapi dalam masa yang sama, bantu pasangan untuk berubah. Buat anda yang sedar sikap anda mengganggu emosi pasangan; usahakan juga untuk berubah. Sikap individu dibina melalui didikan, persekitaran dan kebiasaan dalam cara hidup. Seperti kuih yang dibentuk melalui acuannya dan bentuk kuih masih boleh diubah kan? Sama rasa, lain bentuknya. Manusia jaga masih boleh mengubah sikap jika ia lebih baik untuk diri dan insan yang disayangi.
Berdoalah Sentiasa
Dalam berusaha, pastikan juga anda bermunajat mohon bantuan daripada Allah Taala. Tapi jangan pula berdoa sahaja, pastikan solat dikerjakan bersama. Pastikan juga bersabar dalam menunggu kehendak anda dimakbulkan sebab hanya Allah Taala yang tahu segala yang terbaik untuk hidup kita.
Secara mudahnya, saya, anda, kita semua mempunyai satu persamaan iaitu kita berbeza! Berbeza rupa, berbeza minat, berbeza gaya hidup, berbeza pendapat, berbeza pemikiran dan macam-macam lagi. Perbezaan ini yang jadikan kita UNIK dan tersendiri. Perbezaan bukan bererti tidak serasi atau tidak boleh hidup sekali. Malah perbezaan jadikan hidup bersama sebagai perkara istimewa. Terima perbezaan dan serasikan; akan wujud bahagia, insya-Allah!
Bila berlaku perpisahan suami isteri, paling menyedihkan adalah anak-anak. Siapakah yang layak dapat hak penjagaan anak. Jika berbincang cara baik tiada masalah tapi bagaimana bila ada perebutan antara suami isteri.
Biasanya, kalau keadaan ini berlaku, ramai yang mengatakan hak penjagaan anak layak diberikan pada isteri, sebab dia yang melahirkan. Hakikatnya, ada juga kes-kes tertentu yang membuatkan isteri tidak layak untuk mendapatnya.
Ikuti penerangan daripada Peguam Syarie Nutul tentang siapa yang layak hak penjagaan anak bila ada pasangan bercerai.
Anak Jatuh Kepada Siapa Selepas Bercerai – Suami Atau Isteri Lebih Berhak?
Kefahaman sebenar tentang hak penjagaan anak selepas berlakunya perceraian antara ibu dan ayah pada usia anak masih kecil.
Tiada siapa yang mahukan perceraian. Namun, jika ia terjadi tatkala anak kita masih kecil, antara persoalan yang sering bermain di fikiran ibu ayah adalah: hak penjagaan anak akan diberikan kepada siapa selepas bercerai?
Ada yang merasakan ibu adalah penjaga tunggal lagi mutlak yang akan diberi tanggungjawab untuk menjaga anak selepas ibu ayah berpisah. Tapi, itu bukanlah satu pemikiran yang betul.
Hak penjagaan anak kecil juga dikenali sebagai hadhanah. Kalau ibu ayah nak tahu, hukum penjagaan anak diperolehi melalui satu hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr ketika seorang wanita datang kepada Rasulullah dan berkata:
“Wahai Rasulullah, sesungguhnya anakku ini, perutku adalah tempatnya, puting susuku adalah tempat minumnya dan pangkuanku adalah rumahnya sedangkan ayahnya telah menceraikanku dan ingin merampasnya dariku.”
Lalu Rasulullah SAW berkata kepadanya:
“Engkau lebih berhak terhadapnya selama engkau belum bernikah.”
Maka, hadis riwayat Abu Daud ini telah dijadikan dasar kepada pemberian hak penjagaan anak kepada ibu jika berlakunya perceraian.
Hak Mutlak & Kekal
Adakah hak ibu untuk menjaga anak satu hak yang mutlak dan kekal?
Jawapannya adalah tidak sama sekali!
Di negara kita, hak jagaan anak selepas bercerai akan ditetapkan oleh Mahkamah Syariah. Si ibu yang diberikan keistimewaan untuk menjaga anak PERLU memenuhi syarat berikut:
a) Seorang Islam
b) Sempurna akal
c) Mampu memberi jagaan dan kasih sayang pada anak
d) Berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah
e) Mampu menyediakan tempat tinggal yang selamat
Hilangnya Hak
Perkara lain yang boleh menyebabkan si ibu hilang hak penjagaan anak
Ada beberapa perkara lain yang boleh membuatkan pihak mahkamah menggugurkan kelayakan ibu untuk menjaga anaknya.
a) Jika si ibu berkahwin lain dengan seseorang yang tiada pertalian darah dengan anaknya dan jika hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan si anak
b) Jika si ibu itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka
c) Jika si ibu berpindah ke tempat lain dengan tujuan untuk menjauhkan anak daripada ayahnya
d) Jika si ibu itu murtad
e) Jika si ibu mengabaikan atau menganiaya anaknya
f) Jika si ibu dinilai oleh Mahkamah Syariah sebagai tidak layak untuk menjadi penjaga anak-anak kerana tidak memenuhi syarat, maka hak penjagaan anak akan jatuh kepada orang tertentu.
Mingguan Wanita : Jangan terkejut bila ada sesetengah ayah yang layak mendapat hak penjagaan. Inilah sebabnya mengapa ibu tidak layak.
Dr Afifah berharap Nubhan dapat bekerjasama memaklumkan kisah perceraian kepada anak-anak. Baca luahan penuh, perkembangan mahkamah dan isu emosi anak dalam kes Nubhan cerai.