
Isteri menangis dihadiahkan e.MAS 5, suami minta 35,000 likes sekali netizen bagi lebih 98,000.
Bermula sekadar gurauan meminta ‘budak pink’ daripada suami, Kae Rahman, 42 tidak menyangka permintaan itu akhirnya benar-benar menjadi kenyataan.
Semuanya bermula apabila Kae menghantar gambar kereta berkenaan kepada suami, Remy Othman menerusi WhatsApp. Melayan gurauan isteri, si suami kemudian berseloroh meletakkan syarat 35,000 tanda suka sebelum mahu membelikan kereta tersebut.
Saat berkongsi gurauan ini di threads @remyothman
, dalam tempoh sekejap, netizen sudah memberikan 35,000 tanda suka di mana isterinya menyebut, “power of wanita”, wanita akan sentiasa menyokong wanita.Dan ianya bukan setakat 35,000 tanda suka tetapi semakin ramai netizen menyokong sehingga jumlah tanda suka naik hampir ke 100,000.
Saat sudah ramai menjadi ‘saksi’, si suami akhirnya mengotakan kata-katanya dan ‘budak pink’ yang pada awalnya sekadar menjadi bahan gurauan kini benar-benar menjadi milik isteri.
Dalam temubual bersama Mingguan Wanita, Kae Rahman berkata, awalnya dia hanya bergurau saja dengan suami mahukan kereta baru.
“Saya kata cantik kereta elektrik ini. Dengan warna pinknya. Tak sangka ramai berikan tanda suka,” katanya ketika dihubungi.
Jelas Kae, di sebalik kereta baru diperolehnya Ahad lalu, selama ini dirinya menggunakan Perodua Kenari ketika menghantar dan mengambil anak-anak dari sekolah.
“Ada la anak-anak kata, kereta panas la ibu. Tak selesa la dan bila dapat kereta baru ini semuanya suka sangat-sangat. Ya la, warna cantik, aircon pun sejuk saja,” katanya berkongsi dirinya sendiri di prank oleh suaminya ketika mengambil kereta baru itu Ahad lalu.
“Suami ajak keluar, katanya nak pergi kenduri. Tak sangka rupanya dia nak pergi ambil kereta. Rasa tak sangka pula dari gurauan jadi kenyataan,” katanya sebak.
Dalam keterujaan Kae menerima kereta baharu, rupa-rupanya tiga anak mereka pun ada sebab tersendiri untuk sama-sama gembira. Selama hampir 20 tahun, ibu mereka menggunakan Perodua Kenari termasuk untuk mengambil anak-anak pulang dari sekolah.
Remy atau nama sebenarnya Sharinizam Othman yang berkongsi video isterinya saat menerima kereta itu sempat mengusik isteri tercinta.
“Dia yang minta, saya bagi lepas tue nangis pulak.”
View on Threads
Dalam pada itu, si suami turut berterima kasih kepada netizen yang memberikan tanda suka serta menitipkan doa buat keluarga mereka.
“Terima kasih kepada semua beri like & yang mendoakan. Semoga doa tersebut berbalik kepada anda juga. Aamiin.”
Akhirnya, satu gurauan kecil antara suami isteri bertukar menjadi kenangan manis untuk seisi keluarga.