Ingat tak sat-saat manis masa bercinta dulu. Rasanya mesti suami yang ‘mengorat’ isteri dulu kan. Macam-macam perangai nakalnya yang membuatkan kita tersenyum dan ketawa. Saat-saat itulah yang membuatkan kita rindu dan akhirnya menerimanya untuk menjadi pasangan sehidup semati.
Itu masa bercinta tapi kalau suami masih mampu lakukan denan menunjukkan sikap romantiknya yang membuatkan isteri cukup diharga dan disayangi, apa kata sekali sekala isteri pula buat ‘nakal-nakal’ supaya suami ras rindu pada kita.
Tak salah pun isteri pula yang cuba ‘mengorat’ suami..walaupun sudah bergelar suami isteri kan.
Perkongsian daripada Taufiq Razif boleh memberi panduan pada isteri di luar sana, cara nakal atau strategi untuk membuatkan suami rindu dan ingat pada kita. Tak salah pun kalau lakukan pada suami sendiri.
Gambar Selfie Isteri
Terkejut saya bila buka galeri telefon bimbit saya tadi. Penuh dengan selfie si isteri!
Entah bila dia boleh ambil hp saya senyap- senyap semalam dan snap gambar selfie dia banyak banyak. Saya syak ini strategi dia nak bagi saya rindu dia lah.
Alang alang isteri saya buat strategi macam ni saya nak usulkan jugalah pada yang lain untuk buat strategi macam ni pada suami masing masing. Tak adilah saya saja yang kena sakat begini.
Ads
Patutnya semua suami kena sekali ni. Tapi serius strategi itu menjadi. Saya asyik belek gambar si dia saj daripada tadi, sambil tersenyum senyum pulak tu.
Ini beberapa strategi licik yang anda boleh buat pada suami sendiri :
Cuba buka wallet suami senyap senyap dan letak gambar anda.
Ambillah telefon suami dan tukar wallpaper hp kepada gambar anda
Jangan lupa aambil hp suami, save nama di telefon suami dengan nama yang sweet sweet manja macam Bidadariku ke, Cintaku ke, Muah Muah I Love You ke
Sembur minyak wangi anda yang menjadi kegemaran suami pada wallet suami. Barulah setiap kali nak buka wallet saja suami jadi teringat pada isterinya sendiri
Isteri saya selalu pesan pada kawan kawan dia kalau jadi isteri ini kena ada ‘nakal-nakal’ juga.
Jangan skema dan serius sepanjang masa. Nanti suami cepat bosan.
Sebab itulah isteri kita ni jenis ‘unpredictable’ dia punya emosi. Rupa-rupanya ia untuk kebaikan si suami juga. Rupanya benda itulah yang buatkan suami jadi tak bosan-bosan dengan isterinya sendiri.
MW: Tak salah pun buat ‘nakal-nakal’ pada suami. Bukan suami orang lain pun, suami kita juga. Boleh kembali bercinta gitu.
Jangan bangga isteri masih bertahan atas segala sikap buruk anda selama ini. Dia kekal berada di sisi suami kerana kenangkan kau ayah kepada anak-anaknya yang belum mengerti apa-apa.
Kadang-kadang memang sukar untuk menyelami hati seorang wanita kerana dia sanggup kebalkan hati dan perasaan demi orang lain terutamanya untuk anak-anaknya. Oleh itu suami jangan terlalu yakin bila isteri masih bertahan dengan sikap anda. Bukan kerana anda tetapi anak-anak.
Jangan anggap isteri bertahan sebab dia bergantung hidup pada kita…
Kita bagi dia duit, kita bagi dia makan, kita bagi dia pakaian, kita bagi dia tempat tinggal, maka sebab itulah dia bertahan walaupun kita ni dah buat macam-macam yang menyakiti dan melukakan hatinya…
Jangan bangga bila terus-menerus membuatkan isteri menangis disebabkan sikap dan layanan kita terhadapnya…
Dia bertahan dan masih kekal di situ kerana kau adalah ayah kapada anak-anaknya…
Kerana alasan itulah, dia letak harapan untuk pasangannya berubah walaupun dia sendiri tak nampak harapan bahawa kau akan berubah… Kerana alasan itulah, dia mengenepikan perasaan, kemahuan dan impian dirinya…
Dia boleh sahaja hidup tanpa orang yang bagi dia duit, makan, pakaian dan tempat tinggal kerana keyakinan dia pada rezeki itu datangnya dari Allah SWT, bukan pasangan…
Jangan anggap mereka lemah dan tak boleh hidup tanpa seorang insan yang bernama lelaki…
Apa guna hidup dengan lelaki yang berterusan tidak menghargai, menyakiti, menganiayai serta menzalimi dirinya sebagai seorang wanita yang mana sepatutnya dimuliakan kerana Islam mengajar untuk memuliakan kaum hawa dan melayan isteri dengan makruf…
Berubahlah selagi masih diberikan masa untuk berubah… Kita tak akan pernah tahu banyak mana masa yang kita ada untuk berubah…
Untuk apa kita berkahwin kalau bukan untuk membahagiakan mereka yang berada di sisi kita? Renung-renungkan…
MW: Sesungguhnya seorang isteri akan bertahan bila dia kenangkan anak-anak walaupun hatinya remuk dengan sikap pasangan. Namun jika tiba masanya, seorang isteri dan ibu mampu bertindak demi kebaikannya sendiri. Renung-renungkan.
Isteri ini tak kisah pun kena uruskan rumah tangga tanpa henti. Tapi berpada-padalah walaupun isteri tak pernah bersuara, suami-suami ambillah tahu apa yang isteri lalui setiap hari, kadang-kadang berserabut.
Bila nampak isteri berserabut, itu tandanya isteri sedang meminta pertolongan suami kerana dia sudah tak tertahan lagi menanggung. Ikuti perkongsian Firdaus Shakirin ini:
S.O.S isteri yang tidak difahami suami…
Bila dengar isteri sudah mula meninggi suara dengan anak-anak, bila nampak isteri sudah mula marah anak-anak melebihi yang sepatutnya, bila nampak isteri moody dan serabut, itu tandanya isteri sedang meminta pertolongan suami…
Kadang-kadang, dia tengah buat kerja di dapur, tengah memasak… Datangnya anak, anak tanya tentang kerja sekolah yang dia tak tahu…
Isteri ini tengah ada kerja lain ini, tangan tengah kotor, baru lepas potong ayam, lepas itu dia tengok suaminya sedang pegang handphone, sengih2 depan handphone..
KalaulaH dia boleh cakap, “Pergi tanya abah, suruh dia yang ajar, dia bukan buat apa pun dari tadi…”
Tapi tak, dia kata kejap lagi ibu dah free, ibu ajar… Pergi duduk dekat depan dulu…
Kadang-kadang, isteri tengah lipat baju. Kemudian, si adik bagi tumpah air… Terus dia jerit dekat si kakak atau si abang, ambil kain, lapkan… Dia tengok suami, suami tengah tengok TV, gelak-gelak depan TV…
Kalaulah dia boleh cakap, “Abang, boleh tolong tengok apa yang anak tengah buat tak… Saya ini tengah lipat kain…”
Tapi tak, dia suruh anaknya yang umur 7 tahun itu untuk jaga adik, tengok apa yang adik buat…
Sebagai suami, adakalanya kita ini hanya perlu jadi peka dan cakna dengan apa yang berlaku di sekeliling kita, dalam rumah kita… Kalau anak-anak pergi ganggu isteri di dapur, kita panggil, kita ajak duduk dengan kita… Letak tepi handphone, tutup TV, layan anak-anak…
Kalau kita dengar isteri tinggi suara atau marah anak-anak, kita pergi dekat isteri, kita tenangkan keadaan, kita bagi dia cool down… Benda tumpah, kita lapkan… Benda kotor, kita bersihkan…benda bersepah, kita kemaskan…
Memang isteri tak kata direct, tak bagi arahan untuk kita buat dan tak cakap hendak kita tolong, tapi situasi dan keadaan itu memerlukan bukan hanya dia seorang sahaja untuk handle… Dia perlukan pasangannya “turun padang”, struggle sama-sama dengan dia…
Ini cara isteri hantar S.O.S pada suami…
“Abang, tolong saya boleh…?”
MW: Suami cubalah jadi prihatin, ambil tahu bila isteri yang tengah kusut. Luangkan masa untuk membantu isteri, barulah bahagia rumah tangga.
Jodoh adalah rahsia Allah. Sebagai manusia kita hanya mampu merancang. Tiap orang pasti ingin jodohnya kekal ke akhir hayat namun ada yang tak kesampaian. Ikuti pengakuan daripada seorang wanita yang merupakan ibu tunggal. Jodoh dibantah kerana kekasih hatinya masih teruna.
Saya seorang ibu tunggal, mempunyai seorang anak yang berusia enam tahun. Terus terang, saya menuntut cerai selepas tiga tahun berkahwin. Bukan saya minta perceraian itu terjadi namun saya lakukan demi kehidupan saya dan anak kesayangan.
Saya seorang kakitangan kerajaan, berpangkat pegawai dan gaji saya agak lumayan. Saya berkahwin pada usia 29 tahun dengan seorang jejaka, Man, satu kementerian tapi berlainan jabatan. Itu pun atas aturan rakan-rakan yang ingin menjodohkan kami. Saya akui, belum sempat cinta berputik sepenuhnya kami sepakat untuk melangsungkan perkahwinan. Biarkan kami menyulam cinta selepas kahwin. Itu lagi berkat. Perkahwinan kami hanya selepas empat bulan perkenalan.
Jika dilihat daripada segi luaran, tiada cacat celanya pada Man. Bertanggungjawab dan melayan saya dengan baik. Tapi, dari awal perkahwinan, ada sesuatu yang pelik pada dirinya yang saya tidak ketahui.
Hubungan kami bertambah rapat dan rasa sayang semakin menebal di hati sehinggalah terbongkar rahsianya selama ini. Rupa-rupanya dia seorang penagih dadah. Itu pun saya ketahui apabila terjumpa sesuatu yang meragukan ketika mengemas bilik stor di tingkat bawah. Saya jumpa peralatan menghisap dadah. Selama ini dia sering kali berkurung di dalam bilik itu tapi katanya mengemas stok atau mencari barang. Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu. Saya tidak dapat terima kenyataan bahawa saya telah mengahwini seorang penagih dadah.
Man sujud di kaki saya memohon diberikan peluang kedua dan kerana anak yang masih kecil, saya turutkan. Namun, ternyata dia tetap tak berubah malah semakin parah. Kesabaran saya hilang apabila dia mula ‘naik tangan’ apabila saya menegur perbuatannya itu. Cukup! Setakat itu saja. Tak sanggup saya mengambil risiko untuk hidup selamanya dengan lelaki yang sudah menyakiti diri saya.
Akhirnya saya menuntut cerai. Walau pun pada mulanya Man cuba memujuk rayu namun saya tidak sanggup lagi hidup bersama seorang penagih dadah. Dalam terpaksa, Man merelakan perpisahan kami dan talak satu dilafazkan.
Selepas bercerai, saya meminta ditukarkan ke negeri kelahiran, agar lebih dekat dengan keluarga. Syukur permohonan saya berjaya dan saya berpindah tinggal bersama ibu bapa. Kehidupan saya lebih tenang dan fokus saya hanya untuk membesarkan anak tunggal saya itu.
Takdir Tuhan tiada yang dapat menduga. Selepas hampir tiga tahun bergelar ibu tunggal, hati saya dijentik oleh seorang jejaka, Rizal. Kami satu jabatan dan sering bekerjasama. Pada mulanya saya agak segan untuk berkawan rapat dengannya memandangkan dia masih bujang sedangkan saya bergelar janda. Tapi apabila melihatkan keikhlasannya, saya terima huluran persahabatannya walau pun tidak pernah secara terang-terangan melafazkan kata sayang kepadanya.
Namun dia sedar dia satu-satunya lelaki yang paling rapat dengan saya. Kami sebaya namun dia lebih matang pemikiran dan caranya. Saya yakin Rizal dapat menjadi pemimpin saya dan anak kelak. Malah anak saya dapat menerima kehadiran rakan rapat saya itu dengan baik.
Apa yang membuatkan saya buntu apabila keluarga saya tidak bersetuju dengan pilihan hati saya ini. Mereka meragui keikhlasan lelaki itu mencintai saya yang sudah ada anak satu. Sepanjang perkenalan kami, Rizal pernah bawa saya berkunjung ke rumahnya berjumpa mak dan ayahnya dan ternyata mereka dapat terima diri saya seadanya.
Masalahnya sekarang di pihak keluarga saya sendiri. Mak dan ayah berterus terang dengan saya bahawa mereka membantah hubungan saya dan Rizal. Sepanjang perhubungan kami selama setahun lebih, saya belum berani hendak bawa Rizal jumpa keluarga. Mana taknya, bila saya cerita pun mereka awal-awal lagi dah bantah. Puan, bagaimanakah caranya saya boleh meyakinkan mak dan ayah untuk terima Rizal?
Perkahwinan adalah satu perjalanan yang memerlukan ilmu, kebijaksanaan, kemahiran, peranan dan tanggungjawab, tolak ansur, pengorbanan, daya ketahanan dan kesabaran dalam mengharungi cabaran dan ujian dalam menuju kehidupan yang diredhai Allah. Pengalaman pahit dan manis akan dilalui oleh isteri, suami dan ahli keluarga yang lain. Ada perkahwinan yang bahagia yang bertahan lama. Ada juga perkahwinan yang tidak bahagia tetapi bertahan lama. Perpisahan adalah jalan terakhir agar masing-masing dapat menjalani kehidupan yang lebih bermakna jika sudah tidak bertemu jalan penyelesaian.
Pengalaman perkahwinan kali pertama sedikit sebanyak telah mengajar puan. Puan juga telah mengenali hampir 90 peratus tentang diri seorang lelaki. Walaupun tidak semua lelaki sama, namun saya percaya puan telah mengenali lelaki dan bijak membuat pertimbangan dan keputusan. Keputusan yang puan akan ambil ini perlulah menggunakan pemikiran yang rasional, ada pertimbangan dan ada membuat penyelidikan. Keputusan yang puan ambil ini perlu mengambil banyak faktor. Bukan sahaja dari tuntutan hati dan perasaan sayang atau kasihan puan kepada lelaki baharu ini, tetapi dari semua aspek tentang latar belakang dan karakternya.
Apabila kita membuat penyelidikan, kita perlu mengambil kira faktor-faktor yang boleh menyokong, berkecuali atau menolak. Faktor ini pula perlu berdasarkan hujah-hujah dan bukti yang menguatkan kenapa perlu menerima, berkecuali atau menolak.
Dengan erti kata lain, pandangan keluarga yang menolak itu adakah hanya dengan anggapan bahawa lelaki itu tidak ikhlas? Bagaimana untuk mengukur ikhlas. Mungkin ada faktor-faktor yang menyebabkan ibu bapa puan boleh “membaca” atau membuat kesimpulan bahawa dia tidak ikhlas. Ibu bapa jarang yang tidak ikhlas terhadap anak-anaknya.
Seboleh mungkin mereka mahu anak-anak bahagia. Melainkan ibu bapa yang memang mahu anak bersamanya dan tidak mahu anak bersama orang lain. Cuba cari alasan kepada apa yang ibu dan bapa puan berkata begitu. Kedua, cuba dapatkan maklumat tentang lelaki itu. Lazimnya maklumat boleh diperoleh daripada rakan sepejabatnya, rakan-rakan sepermainan atau yang mengenalinya, daripada jiran, dan ahli keluarga. Kita juga boleh mengenali daripada alam maya facebook jika kita mahu mencari maklumat tentangnya (jika dia ada facebook dan seangkatan dengannya.
Ketiga, ambil masa berkawan dengannya. Cuba ketepikan dahulu soal sayang dan cinta. Kerana ia akan menghalang pemikiran rasional untuk membuat keputusan. Orang selalu berkata “cinta itu buta”. Bermaksud, segala yang lemah dan tidak baik itu akan “terhijab” atau terlindung dek kerana perasaan cinta yang menguasai diri seseorang. Sekadar yakin dengan keikhlasannya belum mencukupi untuk puan membuat kesimpulan bahawa dia bakal lelaki yang boleh membahagiakan.
Ingat, keputusan bijak adalah datang daripada pertimbangan pemikiran yang bijak, mengambil kira pandangan dari pelbagai pihak, mengkaji latar belakangnya, dari segi perangai, tabiat, kesukaan, gaya hidup, cara berbelanja dan yang paling penting tentang agamanya khusus solat yang lima. Solat kalau tidak didirikan bukanlah calon suami yang boleh membawa kita ke arah kehidupan yang diredhai Allah. Lelaki yang bergelar suami berperanan membawa isteri ke jalan hidup yang diredhai Allah.
Puan berkawan dengannya. Pastinya puan boleh mengetahui sejauh mana tentang diri beliau dan ciri-ciri yang saya sebutkan ini ada pada dirinya. Alam berkawan dan alam berkahwin tidak sama puan. Kadang-kadang kita tidak menyangka sama sekali lelaki yang kita jadikan suami itu berbeza sekali karakternya sebelum berkahwin. Kata orang tua-tua pisang jangan berbuah dua kali. Beri masa pada diri.
Utamakan pemikiran daripada perasaan dalam apa jua tindakan dan keputusan yang diambil. Solat hajat, bermunajat kepada Allah dan istikharah mohon petunjuk dari Nya. Insya-Allah puan akan menemui jalannya dan tenang jika puan percaya dan yakin kepada janji dan ketentuan Allah. Wallahualam
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!