Isteri Ajak Shiro terharu sikap pemurah suami, hadiahkan TV buat mangsa banjir. Pelawak dan penyampai radio, Ajak Shiro merupakan antara selebriti yang turun padang membantu mangsa banjir.
Bukan sekadar membantu mangsa-mangsa banjir, malah Ajak Shiro juga telah menghadiahkan TV yang ada di rumahnya buat mangsa banjir.
Isteri Ajak Shiro Terharu Sikap Pemurah Suami
Sebelum ini Ajak telah turun padang mengagihkan sumbangan daripada orang ramai dan sempat berborak dengan seorang warga emas yang telah menceritakan mengenai keadaan rumahnya yang musnah ditenggelami air termasuklah TV yang hilang kerana dihanyutkan ketika banjir.
Dek kerana simpati dengan keluarga tersebut, Ajak telah berjanji untuk membawa televisyen kepada mereka.
Pulang ke rumah Ajak telah mencabut TV di kediamannya, kemudian kembali ke rumah mangsa banjir tersebut untuk disumbangkan kepada keluarga tersebut.
Mulia sungguh hati Ajak yang telah mengotakan janjinya apabila dia memberi TV miliknya kepada sebuah keluarga yang menjadi mangsa banjir di Jelebu, Negeri Sembilan.
Ads
Hadiahkan TV Buat Seorang Warga Emas Di Jelebu
Begitulah tulus dan ikhlasnya hati Ajak Shiro dan diakui oleh isteri tercinta, Nur Afifah Amin menerusi perkongsian di akaun rasmi Instagram suaminya.
“Kalau hati dia terjentik.
“Dia buat apa jerk.
Ads
“Kita bini nie supportlah,
“Asalkan hati dia senang.
“Sebab dia macam nie lah, ibu tumpang rezeki Baba atas doa orang kat Baba. Terima kasih Baba..
“Tahniah makcik dapat TV baru,” luah isteri Ajak yang begitu bangga dengan sikap suaminya yang gemar menolong orang susah.
Mingguan Wanita: Prihatin sungguh rakyat Malaysia, semoga mereka yang menghulur sumbangan dan tenaga akan dibalas dengan limpahan rezeki oleh Yang Maha Esa.
Pengalaman berdepan dengan banjir, siapkan barang keperluan penting ini sebagai persediaan bencana di masa depan. Mungkin tip yang dikongsikan ini dapat memberi panduan kepada mereka yang kerap menghadapi banjir.
Bencana alam seperti ini sukar mak ayah jangkakan. Oleh itu buat persediaan agar suatu nanti jika terlibat dengan banjir, mak ayah lebih bersedia untuk menghadapi dan tahu apa yang perlu dilakukan dahulu.
Ikuti pengalaman mangsa banjir, Baharin Abd Hamid ini dan fahami apa yang cuba disampaikan:
Assalammualaikum.
Alhamdulillah, kami sekeluarga sudah selamat keluar (saya, Piena Baharin, anak dua orang dan ayah saya). Pengalaman yang sangat dahsyat kalau hendak dibandingkan dengan banjir yang berlaku pada tahun 1995.
Ya, Seksyen 25 (Shah Alam) bukan pertama kali hadapi banjir. Tahun ini saja sudah tiga kali termasuk kejadian kali ini. Tetapi kali ke-3 ini adalah yang paling buruk sebab ramai terkandas dekat rumah.
Asalnya ingatkan air sekadar naik sekitar buku lali atau paras lutut. Rupanya hingga ke paras siling. Syukur sebelum air naik, ayah dan anak lelaki dapat datang ke rumah untuk bermalam di sini. Mereka tumpang 4×4 jiran dan jalan ke rumah kami. Waktu itu hampir 7petang dan air mula melepasi pinggang.
Mana yang rumahnya satu tingkat, harap bertabah. Selamatkan benda penting seperti makanan ringan, kad pengenalan, kad bank dan pelitup muka. Saya sendiri terlupa nak selamatkan facemask semua sebab dah kelam kabut selamatkan barang-barang termasuklah keperluan makanan.
Kadang-kadang beli barang lebih untuk storage ada kelebihannya jika berlaku bencana seperti sekarang. Boleh share dengan jiran-jiran juga.
Kebetulan saya ada camping stove, jadi saya selamatkan beras, maggi, teh, telur dan beberapa barang basah serta peralatan memasak. Syukur sangat-sangat sebab ada camping stove ni. Boleh masak jika perlu.
Jadi saya sarankan anda beli satu camping stove untuk simpanan, gas dia pun tak mahal sangat. 1 tin harganya dalam RM4 hingga 5 saja. Just in case. Tak lupa juga torch light. Saya gunakan jenis yang basikal pakai, kecil, kalis air dan bateri tahan lama(USB charge). Dapatlah suluh apa yang patut ketika hari makin gelap.
Harta benda kami semua habis ditelan banjir, kereta, motor, barang-barang rumah. Allahuakbar! Sebak kami memikirkan bagaimana dengan hari-hari mendatang. Tak apalah, Allah lebih mengetahui. Yang penting kami harus terus bertahan sebelum bantuan tiba.
Malam pertama banjir, kami makan apa yang ada, ramai yang bertanyakan khabar tapi tak dapat nak reply sebab line tak berapa clear. Tambahan pula bateri tinggal sekitar 50 peratus, 30 peratus. Power bank pun tak berapa ada bateri. Mujur ada laptop, jadi bolehlah cas sikit.
Waktu kecemasan macam ini saya gunakan mode ultra battery saver. Jika bateri tinggal 30% boleh tahan hingga 29 jam. Mode ni akan aktifkan aplikasi yang penting je seperti Whatsapp, Call dan Messenger. Fungsi-fungsi lain dia akan hentikan termasuklah ringtone dan wallpaper. Sesuai untuk waktu kecemasan seperti sekarang.
Waktu ni, tiada bot yang lalu. Mungkin mereka baru dalam perjalanan, jalan pula banyak tutup akibat banjir. Jadi bantuan sampai lambat. Tambahan pula banyak tempat-tempat lain di Klang, Shah Alam yang perlukan bantuan juga. Sekitar pagi jam 7pagi pada 19 haribulan barulah ada kelibat 3, 4 bot lalu lalang. Ada yang jerit meminta tolong termasuk uncle sebelah yang ada baby. Uncle tu pun tak berapa sihat sebab dialisis.
Bot yang lalu semua saiz kecil (mungkin persendirian) jadi tak boleh tolong dan risikokan diri. Mereka suruh bertahan dan akan sampaikan mesej pada bot-bot yang lebih besar.
.
Jam 10 pagi, banjir masih tinggi. Bot-bot besar sudah mula masuk. Jiran-jiran juga sudah berjaya dikeluarkan dalam tempoh 2 hingga 3 jam. Matahari pun dah mula keluar. Bot-bot bawa bantuan makanan pun sudah masuk, mereka bawa roti.
Helikopter juga kelihatan berlegar-legar memantau situasi. Air paip di rumah masih ada. Toilet tingkat atas masih boleh diguna. Ketika ni adik saya Aminah Asykin Abd Hamid dan keluarga on the way pulang dari Melaka bersama ibu saya. Jadi kami rancang untuk keluar dan tumpang rumah mereka. Bertemu di atas highway kesas.
Kami diselamatkan sekitar jam 5 petang oleh kawan wife. Terima kasih sangat-sangat buat Abang Sab dan kawan dia. Dayung jauh-jauh hingga ke rumah kami. Bawa 2 bot pelampung. Jadi kami semua dapat keluar dalam 1 trip. Kami di bawa ke darat. Ramai orang di situ memberi bantuan kepada mangsa, tarik bot ke darat, tolong angkat beg, tolong warga emas dan memberi makanan.
Selamat mendarat, kami di bawa ke PPS (Pusat Pemindahan Sementara) Dewan SJK berhampiran. Tapi kami memohon untuk dihantar seberapa hampir dengan highway kesas. Dan kami diturunkan berhampiran lot kedai persiaran kemuning prima. Sesampainya di situ, adik kata tak dapat nak masuk sebab jalan banjir.
Laluan yang boleh diakses adalah highway LKSA. Bermakna kami terpaksa patah balik. Jam sudah menunjukkan waktu 6 petang. Hari mula gelap. Si kecil sudah mula sedih sebab takut tak ada tempat nak bermalam. Oh anak… lemah jiwa baba melihat kamu begitu. Insyallah, baba akan usaha sehabis baik untuk kamu.
Perancangan baru. Kami harus berpatah balik ke PPS. Kerana ianya berhampiran dengan LKSA. Dengan harapan banjir sekitar persimpangan menuju ke LKSA surut agar kami boleh melintas ke situ. Kalau tak, kami akan minta bantuan bot. Patah balik kami jalan sedikit mencari area yang lebih luas untuk tahan kereta meminta tumpang. Ini kerana jalan sesak dengan kenderaan bantuan dan macam-macam.
Alhamdulillah ada satu hilux hantar bantuan menumpangkan kami. Terima kasih pada adik-adik India yang sudi bantu. Sesampai di PPS, keadaannya gelap kerana elektrik telah ditutup sejak senja hari Sabtu. Kelihatan banyak bantuan makanan dan minuman yang sampai.
Kami meneruskan perjalanan untuk melihat keadaan jalan. Syukur Ya Allah, walaupun masih banjir tapj kami boleh mengharunginya dengan berjalan. Air sekitar buku lali dan lutut. Kami berjalan dalam 70 meter hingga ke susur keluar LKSA ke Seksyen 25.
Along! along! Satu suara memekik memanggil saya. Allahuakbar, rupanya adik ipar Adib Razali sudah tunggu di situ. Dengan payung dan juga power bank. Ya Allah rasa nak menitis air mata. Kasihan dekat mereka yang pulang dari melaka dan berjam-jam menunggu kami untuk keluar. Masing-masing menunjukkan rasa lega, ada senyuman terukir di wajah si kecil. Alhamdulillah…
Sesampai di kereta, kami disambut oleh ahli keluarga yang lain. Air mata menyambut kami, memikirkan nasib kami dan bersyukur diselamatkan. Rumah ibu juga ditenggelami air. Kebetulan ibu keluar bersama adik ke Melaka. Tinggal ayah dan anak lelaki saya di rumah ibu. Adik lelaki yang satu lagi dalam perjalanan ketika ini.
Adik ipar akan hantar wife, ibu, adik and anak kecil ke kereta adik lelaki dulu. Bertemu di stesen minyak kesas. Kemudian patah balik untuk yang lain. Ketika tunggu giliran, saya nampak banyak bomba dan bot-bot lain sudah sampai.
Bomba datang dari Kuala Kubu Baru dan Johor. Saya share info-info yang mana ada dengan mereka. Harapan agar yang lain juga dapat diselamatkan. Saya dengar ada juga yang jadi korban banjir, innalillah… Moga dipermudahkan urusan SAR.
Akhirnya, kami semua berjaya diselamatkan. Alhamdulillah segala pujian buat ALLAH. Kami menumpang dirumah adik dulu sementara tunggu air surut.
Kepada ahli keluarga dan kawan-kawan yang hulurkan bantuan doa, bertanya khabar, contact-contact untuk rescue, yang hantar makanan, bantuan bot Abang Sab, yang nak tumpangkan rumah, team-team NGO, ATM, BOMBA dan semua yang terlibat, Terima kasih tak terhingga dari kami. Semoga Allah balas semua jasa anda dengan kebaikkan dan rahmat dari-NYA. Semoga Allah limpah kurniakan anda semua dengan rezeki dan kesihatan serta dipermudahkan segala urusan. Amin Rabbal alamin….
Buat mangsa-mangsa yang seangkatan, semoga diberi kekuatan mengharungi musibah ini. Allah uji sebab Allah sayang, dan juga memberi sedikit peringatan buat kita.
Jangan pernah berhenti berharap dan doa pada-Nya. Insyallah kita mampu harunginya. Akhir kata dari saya, jaga diri, perhatikan sekeliling yang perlukan bantuan dan maklumkan pada petugas-petugas lain. Kita jaga kita.
Mingguan Wanita : Pengalaman ini dapat dijadikan panduan buat mereka yang berdepan dengan musibah ini. Semoga semua mangsa banjir yang terjejas dipermudahkan urusan dan tabah dengan ujian ini.
“Suka mengajar kelas belakang, mereka sangat dahagakan perhatian.” Sesungguhnya untuk berjaya bukan sekadar dapat no 1.
Tenyata pengalaman sendiri berada di dalam kelas corot atau belakang membuatkan guru ini lebih memahami apa yang dilalui oleh pelajar-pelajar ini.
Malah baginya, tak semestinya pelajar-pelajar dari kelas belakang ini tidak mampu berjaya dalam hidup. Percayalah. Ikuti perkongsian Cikgu Jiha Shuib ini dan hadam baik-baik apa yang cuba disampaikan:
Sebagai cikgu aku suka mengajar kelas belakang-belakang. Kelas yang kalau ikut huruf yang paling jauh dari A. Salah satunya mungkin sebab aku ada pengalaman jadi pelajar dalam kelas-kelas corot ni.
Tak best.
Kelas yang selalu kena target, kena tegur dan tazkirah, kena boikot dengan cikgu dan pengawas. Dalam ramai-ramai cikgu ada seorang dua yang aku seronok ada dalam kelas masa mereka mengajar.
Keikhlasan mengajar tu terpancar di wajah. Senyuman, gurau senda yang tak dibuat-buat walaupun dalam kelas itu murid nakal-nakal. Aku hargai sangat kesabaran cikgu-cikgu ni melayan aku dulu.
Tak tahulah mana satu doa orang tua dan doa cikgu yang makbul akhirnya aku sendiri pun jadi cikgu.
Kebetulan juga selama mengajar selalu diberi kelas belakang. Kelas yang ada segelintir guru memilih untuk abaikan, yang pelajarnya bila bising jarak satu blok sudah boleh dengar. Yang pelajarnya wajib ada wakil bila tindakan disiplin di perhimpunan.
Tapi mereka ini sangat dahagakan perhatian, yang tenggelam dalam arus lautan bernama pendidikan. Macam aku dulu, rasa terlalu banyak nak kena belajar sampai berterabur habis belaka.
Berjaya Bukan Sekadar Dapat No 1
Namun aku selalu cakap dengan murid-murid. Berjaya itu bukan sekadar perlu dapat nombor 1 dalam kelas. Perlu dapat markah 100 peratus.
Kemudian, ditakdirkan aku mengajar pendidikan khas pula. Yang ada mereka langsung tak boleh menulis, tapi cakap bukan main pandai.
Taklah bermakna mereka ini tak berguna langsung.
Ada banyak lagi cara untuk berjaya dalam hidup. Kalau suka melukis, lukis betul-betul sampai boleh jual lukisan itu ribu-ribu. Kalau suka main bola, main sungguh-sungguh masuk liga. Kalau suka bergaya, belajar sampai jadi professional makeup atau pereka fesyen.
Kalau suka berniaga biar sampai kaya-raya. Kalau awak suka merayau melilau satu kampung, saya nak ajar awak ambil periksa nanti boleh jadi askar.
Kalau murid jawab dia suka merempit, aku memang suruh dia duduk depan sebab dia kena ambik lesen nanti. Boleh masuk Cub Prix, tak pun ke Litar Sepang.
Doakan Murid Berjaya
Cikgu akan tumpang bahagia, cikgu doakan anak murid semua berjaya dengan cara masing-masing.
Kalaulah aku masih di sekolah mungkin aku akan pesan jugak. Kalau sudah minat sangat main game, alang-alang biar sampai jadi macam Soloz.
Paling tidak boleh jadi youtuber, dengan syarat kena baca sampai lancarlah. Nanti nak isi borang bank untuk simpan duit banyak-banyak tu, mana boleh sekadara simpan bawah bantal.
Bagi aku semua anak-anak ada potensi, ada peluang untuk berjaya. Selalu ingat, kata-kata itu kan doa.
Mingguan Wanita : Kadang-kadang pelajar kelas belakang lagi berjaya kerana keperitan mereka meneruskan hidup membuatkan mereka lebih kuat berusaha. Ternyata jangan dipandang rendah pelajar kelas-kelas belakang kerana meraka juga mampu berjaya mengikut cara mereka.
Ajal, maut, rezeki dan jodoh semuanya dibawah ketentuan tuhan. Selepas 4 tahun bergelar ibu tunggal, Penyanyi Datuk Nora Ariffin, 48, mengesahkan telah bergelar isteri kepada Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Malaya, Dr Rushdi Ramli, 55, baru-baru ini.
Berkongsi berita gembira menerusi hantaran dalam laman Instagram (IG), Nora atau nama sebenarnya, Wan Norafizah Ariffin, namun, tidak menjelaskan secara terperinci butiran majlis perkahwinannya itu.
“Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi mengasihani. Sempena malam Jumaat yang juga ‘sayyidul ayyam’, saya dengan rendah hati dan bersyukur ke hadrat Allah SWT ingin memaklumkan bertemu jodoh dengan hamba Allah yang juga sahabat baik arwah suami, Allahyarham Johan Nawawi dari kecil lagi.
“Beliau adalah saudara Rushdi Ramli,” dedah Nora menerusi hantaran dimuat naik, beberapa jam lalu.
Melalui hantaran sama, penyanyi Di Persimpangan Dilema ini memohon maaf tidak menghebahkan awal berita gembira itu.
“Dari awal lagi saya berniat mahu tidak berkongsi berita gembira ini. Cukuplah sekadar melaksanakan perkara wajib dan mengikut hukum sahaja.
“Saya berpegang kepada prinsip perkahwinan satu ibadah dan ia terlalu peribadi untuk dikongsikan. Bukan ingin bermegah-megah, jauh sekali mencari publisiti.
“Jodoh, rezeki dan ajal adalah rahsia Allah yang ditentukan,” luah penyanyi kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang ini.
Mengharapkan keberkatan di sebalik keputusan dibuat, Nora turut mengharapkan doa semua pihak agar mahligai dibina berkekalan hingga ke alam syurga.
“Saya mohon peminat dan insan yang mengenali saya menitipkan doa buat saya semoga mendapat keluarga sakinah, mawaddah dan warrahmah.
“Moga dipermudahkan segala urusan, diberkati, diredai Allah SWT dunia dan akhirat. Insya-Allah,” katanya.
Nora mengakui, sifat prihatin suami membuatkan pintu hati terbuka menerima lamaran daripadanya.
“Beliau adalah insan pertama melamar, membantu saya dan anak-anak pada saat berdepan tekanan serta tidak punya apa-apa.
“Suami mengajar saya erti sabar, reda dan percaya pada ketentuan Tuhan,” katanya.
Nora menyifatkan perkahwinan keduanya itu juga adalah takdir sudah tertulis buat mereka.
“Saya tidak pernah mencarinya dan suami juga tidak mencari saya. Tetapi, Allah menemukan kami.
“Suami juga sayangkan arwah Johan dan Alif. Moga jodoh kami diberkati,” ujar penyanyi bersuara gemersik ini.
Sebelum ini, Nora pernah dikaitkan dengan dakwaan sudah berkahwin dengan Ahli Parlimen Ketereh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.Namun, ia dinafikan kedua-dua pihak walaupun dikesan tular dalam media sosial mengenai sekeping salinan sijil pernikahan didakwa milik mereka.
Nora mendirikan rumah tangga bersama Allahyarham Johan pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata, dua lelaki dan dua perempuan.
Namun, arwah Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung. Pada 13 Disember 2019, Nora diuji dengan pemergian anak kedua, Muhammad Syakir Aliff yang ketika itu berusia 20 tahun.
Mingguan Wanita: Alhamdulillah, tahniah dan selamat pengantin baru buat Nora. Kembali bertemu jodoh dengan rakan arwah suami. Semoga hubungan perkahwinan yang dibina berkekalan hingga ke akhir hayat.