
Inkues: Zara Qairina Kritikal Ketika Dibawa Ke HQE Pada 16 Julai – Dr Jessie. Allahyarham Zara Qairina Mahathir dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) dalam keadaan kritikal pada awal pagi 16 Julai lalu.
Inkues: Zara Qairina Kritikal Ketika Dibawa Ke HQE Pada 16 Julai – Dr Jessie
Pakar Patologi Forensik dari Jabatan Perubatan Forensik HQE, Dr Jessie Hiu, memaklumkan bahawa keadaan arwah ketika sampai di hospital pada jam 4.38 pagi direkodkan pada tahap 3/15 (E1V1M1) dalam penilaian Glasgow Coma Score.

Menurut beliau, angka itu menunjukkan kecederaan otak yang dialami sangat serius.
“Dia dalam keadaan tidak sedarkan diri. Satu amaran trauma kemudian diaktifkan pada jam 4.42 pagi. Dia dibuat penilaian dan diurus oleh pasukan pelbagai disiplin,” katanya ketika membacakan kenyataan bertulis di mahkamah.
Beliau menjelaskan, pemeriksaan klinikal turut melibatkan imbasan CT, CTA dan radiograf. Hasil pemeriksaan menunjukkan wujudnya hematoma pada kulit kepala, pendarahan dalam otak bersama pembengkakan, ensefalopati iskemik hipoksik, selain beberapa kecederaan lain termasuk patah distal jejari kiri, subluksasi pergelangan tangan kiri, patah tulang tibia kiri serta luka di pergelangan kaki.
Selain itu, turut dikesan patah pertiga distal tibia kiri, dislokasi sendi buku lali, patah kominutif tulang calcaneum kiri serta patah vertebra lumbar kedua hingga keempat. Mangsa juga mengalami hematoma pada otot Psoas kiri dan hematoma di tisu pelvis ekstraperitoneal.
Zara Qairina disahkan meninggal dunia pada jam 1.07 tengah hari, 17 Julai 2025 akibat kecederaan otak traumatik dengan ensefalopati iskemik hipoksik.
Dr Jessie, berusia 58 tahun, telah berkhidmat di HQE sejak 1998. Beliau memiliki ijazah perubatan dari Universiti Sains Malaysia (1991) serta Ijazah Sarjana dalam bidang patologi dari Universiti Malaya (1998). Beliau juga merupakan ahli Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Malaysian Society of Forensic Medicine and Science serta Indo-Pacific Association of Law, Medicine and Science.
Sepanjang kerjayanya, beliau menyelia antara 100 hingga 150 bedah siasat setiap tahun, selain hadir memberi keterangan sebagai pakar forensik di Mahkamah Majistret, Sesyen dan Tinggi di Sabah serta Labuan sebanyak 10 hingga 15 kali setahun.
Dalam prosiding inkues, Pegawai Pengendali, Datuk Badiuszaman Ahmad turut meminta penjelasan mengenai butiran keterangan bertulis Dr Jessie, termasuk berkaitan 172 keping foto bedah siasat jenazah arwah.
Keterangan tersebut disampaikan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, dengan turut hadir peguam yang mewakili ibu bapa Allahyarham serta pasukan peguam bagi lima remaja tertuduh dalam kes buli di Mahkamah Kanak-Kanak.
Sumber: Berita Harian Harian Metro
Baca artikel lain juga: Kes Zara Qairina: Ubat Antisawan Dikesan Dalam Tisu Buah Pinggang
Baca artikel lain juga: Mufti Sabah, Timbalan Nafi Terlibat Proses Gali Kubur Zara Qairina, Fitnah Hidu Bau Haruman
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI