Inkues Zara Qairina: Keterangan ahli kimia, diari dan lokasi kejadian jadi tumpuan. Inkues bagi merungkai punca kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, akan diteruskan ke minggu kedua di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu bermula 8 hingga 12 September ini.
Inkues Zara Qairina: Keterangan Ahli Kimia, Diari Dan Lokasi Kejadian Jadi Tumpuan
Prosiding yang dijadualkan berjalan selama 19 hari sehingga 30 September itu dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan, yang bertindak sebagai koroner.
Sepanjang minggu kedua, fokus utama diberikan kepada keterangan ahli kimia yang dijangka mengesahkan beberapa dokumen penting termasuk diari milik Allahyarham Zara Qairina.
Peguam Joan Goh memaklumkan, prosiding juga akan melibatkan sesi locus in quo iaitu lawatan ke tempat kejadian. Katanya, langkah itu penting bagi membantu mahkamah memahami situasi sebenar insiden yang berlaku.
“Perkembangan ini penting kerana ia dijangka dapat memperjelas keadaan sebelum dan selepas kejadian yang meragut nyawa Zara Qairina,” katanya.
Ads
Sepanjang inkues, seramai 70 saksi dijadualkan tampil memberi keterangan termasuk pakar patologi yang menjalankan prosedur bedah siasat terhadap remaja tersebut. Pada minggu pertama lalu, Pakar Patologi Forensik, Dr Jessie Hiu menjadi saksi pertama yang memberi keterangan.
Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Ketua Pendakwaan II, Datuk Badius Zaman Ahmad bersama pasukan Timbalan Pendakwa Raya iaitu Nahra Dollah, Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia Sawayan dan Dacia Jane Romanus.
Zara Qairina, 13, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai lalu, selepas ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran asrama sekolahnya di Papar kira-kira jam 4 pagi, 16 Julai.
Ads
Selepas meneliti laporan siasatan polis, Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 13 Ogos mengarahkan prosiding inkues dijalankan. Terdahulu, pada 8 Ogos, AGC turut memutuskan supaya kubur pelajar terbabit digali semula bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.
Bapa dua anak didakwa bunuh bekas isteri dan teman lelaki di Guar Chempedak. Seorang bapa kepada dua orang anak dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas dua tuduhan membunuh bekas isteri serta seorang lelaki dalam kejadian di Taman Nona, Guar Chempedak, yang berlaku kira-kira dua minggu lalu.
Memetik Sinar Harian tertuduh, Syed Al Iqbal Syed Shahruddin, 30, yang bekerja di sektor swasta, didakwa menyebabkan kematian Nurul Nur Syamira Khamis, 28, dan Ku Mohd Asraf Ku Shaif @ Ku Shuib, 30.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Syed Al Iqbal dituduh membunuh Ku Mohd Asraf, manakala pertuduhan kedua pula berkaitan dengan kematian Nurul Nur Syamira. Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah di Taman Nona antara jam 9 hingga 10 malam pada 11 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori. Sekiranya tidak dikenakan hukuman mati, pesalah boleh dipenjara antara 30 hingga 40 tahun serta disebat tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nik Nurhazirah Tuan Yahya, manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Hayyi Salim, Diyana Ibrahim dan Shameer Haziq Shaharuddin.
Tertuduh hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dan tiada sebarang tawaran jaminan diberikan.
Peguam bela, Abdul Hayyi, bagaimanapun memohon agar anak guamnya ditempatkan di Penjara Marang, Terengganu untuk memudahkan lawatan keluarga yang kini menjaga dua anak tertuduh berusia tiga dan enam tahun. Namun begitu, Majistret Anis Suraya Ahmad menjelaskan bahawa penempatan tertuduh adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Penjara Malaysia.
Mahkamah menetapkan 21 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Live TikTok Fattah, Amira raih lebih 50 juta ‘likes.’ Pasangan baharu mendirikan rumah tangga, Fattah Amin, 35, dan Amira Othman, 32, sekali lagi menjadi perhatian ramai apabila sesi siaran langsung mereka di TikTok mencatatkan lebih 50 juta tanda suka selain ditonton lebih 150,000 kali setakat jam 10.40 malam, Isnin.
Memetik Sinar Harian, dalam sesi tersebut, kedua-duanya kelihatan romantis apabila duduk di atas pelamin sambil berpegangan tangan, melayan komen peminat yang membanjiri ruangan chat.
Amira yang menggunakan akaun TikTok miliknya menjadikan sesi siaran langsung itu sebagai platform untuk mempromosikan produk kecantikan dan minuman dengan ditemani suami tercinta. Malah, beliau sempat menguji serum tersebut dengan meletakkannya di atas tangan Fattah.
Lebih menghiburkan, para peminat di ruangan komen turut mengusik pasangan ini kerana wajah mereka dikatakan seiras. Reaksi mereka yang saling berpandangan selepas membaca komen itu mencuri tumpuan warganet.
Suasana menjadi lebih istimewa apabila Fattah menerima kejutan sambutan ulang tahun kelahirannya. Sebuah kek dua tingkat dibawa masuk sebelum pasangan itu bersama-sama memotong kek, dan Amira sempat menyuapkan sepotong kek ke mulut suaminya.
Untuk rekod, Fattah selamat bernikah dengan Amira pada Ahad lalu dengan sekali lafaz dalam majlis penuh bermakna di Golden Palm Tree Resort, Sepang.
Majlis akad nikah tersebut disempurnakan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dengan dihadiri sekitar 200 tetamu terdiri daripada keluarga serta kenalan rapat kedua-dua belah pihak.
Dengan tema Islamik Al-Zauj yang membawa maksud “dua jiwa dipertemukan oleh Allah”, majlis berkenaan mengetengahkan suasana senja yang sederhana namun penuh makna. Pasangan itu turut menekankan konsep kesyukuran dan keberkatan sebagai simbolik penyatuan cinta mereka.
Dabra Sia buktikan cinta mendalam & mahu martabat budaya indah sabah ke mata dunia. Begitu mulia dan teguhnya cinta penyanyi wanita yang berasal dari Sabah, Dabra Sia, yang bekerja keras atas dasar cinta mendalam terhadap budaya di Sabah.
Pernah melakar pencapaian bermakna apabila dijemput membuat persembahan dalam dua acara berprestij di Singapura, iaitu Pesona Anggerik: Truly Asia Orchids dan Sabah Fest 2025 baru-baru ini. Paling penting dalam dirinya mahu mengangkat budaya Sabah lebih megah bukan setakat di Malaysia, tapi seluruh pelusuk dunia.
Dabra juga turut mengangkat kebudayaan di Sabah sebagai antara tarikan yang disampaikan di dalam lagu-lagunya. Malah Debra Sia telah menghiburkan pengunjung di Matta Fair, Lembaga Pelancongan Sabah baru-baru ini.
Dirinya juga telah membuat persembahan lagu-lagu popularnya di Matta Fair Kuala Lumpur sambil mengajak pengunjung menari bersama sebagai langkah mempromosi pelancongan di negeri dibawah bayu itu.
Salah satu lagunya yang dikenali ialah “Hanya Di Sabah” merupakan antara lagu popular yang memperkenalkan keindahan Sabah dalam usaha menarik orang ramai datang ke negeri itu. Lirik lagu ini menyebut pelbagai lokasi dan budaya Sabah seperti Bosou, Tuhau, Tawau, Keningau, serta perkataan serumpun seperti “Bah”. Lagu ini menonjolkan rasa bangga terhadap Sabah.
Dalam masa sama, Debra Sia turut mengangkat kebudayaan di Sabah sebagai antara tarikan yang disampaikan didalam lagu-lagunya.
Sabah sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai “Destinasi Kegemaran Malaysia” apabila menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada pengunjung di Matta Fair Kuala Lumpur, sebuah pameran pelancongan pengguna terbesar yang berlangsung pada 5 hingga 7 September yang lalu.
Penyertaan 40 pengendali pelancongan dan penginapan dari Sabah telah mencatat jualan memberangsangkan sebanyak RM5.1 juta, sekaligus mencipta rekod baharu. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 14.2% berbanding penyertaan pada April 2025, dan 46.8% lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada September 2024.
Acara dwi tahunan ini menyaksikan Sabah mengambil 94 ruang pameran di Dewan MITEC, Kuala Lumpur.
Delegasi utama Sabah diketuai oleh YB Datuk Joniston Bangkuai, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB).
Dalam acara tersebut, Datuk Joniston telah melancarkan tiga pakej percutian baharu iaitu: Pakej Percutian Keluarga, Pakej Percutian Kudat, dan Pakej Percutian Tawau. Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Surrendren Sathasivam, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Nigel Wong, Presiden MATTA; Datuk Tan Kok Liang, Pengerusi Penganjur Matta Fair dan Timbalan Pengerusi STB; Julinus Jeffery Jimit, Ketua Pegawai Eksekutif STB; serta Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, Pengarah Kanan Tourism Malaysia merangkap Ketua Sekretariat Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Kami amat berpuas hati dengan sambutan luar biasa terhadap penyertaan Sabah di Matta Fair Kuala Lumpur. Acara ini membuktikan tarikan destinasi serta minat yang semakin meningkat terhadap kepelbagaian tawaran pelancongan negeri Sabah. Dengan pelancaran pakej baharu ini, kami teruja untuk menawarkan lebih banyak peluang kepada pelancong untuk meneroka keindahan semula jadi, dan menyelami kekayaan budaya dan warisan Sabah yang penuh warna-warni,” kata Julinus Jeffery Jimit, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah.
“Lembaga Pelancongan Sabah juga berbangga untuk mengukuhkan komitmen kami terhadap pelancongan lestari melalui penyertaan dalam Pavilion MATTA Eco & Sustainable Tourism Initiative (MESTI). Di reruai ini, kami telah menampilkan pelbagai tarikan destinasi serta inisiatif Sabah, sekaligus menunjukkan komitmen kami terhadap pemuliharaan alam semula jadi, pemeliharaan warisan, dan amalan pelancongan mampan. Usaha ini penting untuk memastikan generasi akan datang dapat terus menikmati keindahan dan kekayaan budaya Sabah melalui pendekatan bertanggungjawab terhadap pelancongan,” tambah beliau.
Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan di Pavilion Sabah, termasuk permainan tradisional, cabaran tarian tradisi, dan pengalaman Realiti Maya (VR). Sepanjang pameran, Lembaga Pelancongan Sabah turut menghiburkan pengunjung dengan persembahan kebudayaan oleh kumpulan tarian Era Budaya. Turut diumumkan dalam pameran itu ialah penganjuran Flamewave Music Festival, sebuah acara muzik yang akan berlangsung di Kota Kinabalu pada 25 hingga 26 Oktober 2025, yang dianjurkan oleh Olumis Consulting and Technology Sdn Bhd.
Tarikan ikonik Sabah seperti Kundasang, Semporna dan Kota Kinabalu kekal menjadi pilihan utama pelancong. Negeri ini terus menjadi destinasi pilihan bagi mereka yang mencari keindahan alam semula jadi yang luar biasa, kepelbagaian budaya yang kaya, serta pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Para pelawat digalakkan untuk terus meneroka, merasai dan menikmati Sabah bukan hanya sekadar sebagai destinasi, tetapi sebagai satu pengalaman.
Ibu bapa anak kanak-kanak yang tertinggal di dalam kereta semalam dilihat sukar mengawal perasaan dan hanya menangis ketika menunggu jenazah anak di Unit Forensik Hospital Rembau.