Selepas mengumumkan di instagram berita kehamilan isteri, pelakon Adam Corrie Lee Abdullah, 50 dan isterinya, Fazema Mohd Fuad, 40 ini dihujani pertanyaan tentang tips bagaimana mahu hamil. Ujar Fazema, tiada tip hamil yang diamalkan mereka untuk mendapatkan zuriat.
Namun sejak berkahwin, sampailah 10 tahun menjadi suami isteri, mereka tak pernah lupa untuk membaca dan amalkan doa yang disyorkan Habib Ali Zaenal Abdin iaitu dari surah Al-Imran ayat 38.
Bagaimana pun, isteri Adam Corrie di instagramnya, Fazi Fuad turut menyarankan beberapa perkara kepada para peminat yang bertanyakan tentang kehamilan.
Coretan Dari Bidadari Saya
Ini bukanlah kali pertama saya hamil.
Dan ini adalah kali ke 4 saya hamil. Saya dah ada 3 anak di syurga. Kehamilan saya kali ini adalah kembar.. tetapi hampir usia kandungan 2 bulan.. dengan kuasa Allah.
Saya pendarahan.. salah satu anak kembar saya tak dapat diselamatkan. Allah ambil semula seorang anak kembar saya yang Allah pinjamkan seketika di dalam rahim saya.
Pendarahan yang dialami isteri Adam Corrie ini berbulan-bulan lamanya. “Hinggalah bulan ke-4 pendarahan baru berhenti.
“Ulang alik jumpa doktor untuk pastikan kandungan saya yang satu ini selamat dan sihat. Jadi bukanlah 3 tapi 4 anak saya di sana.
Ads
Mudah-mudahan kali ini Allah berikan saya peluang selamat melahirkan anak dan membesarkannya menjadi anak yang soleh/solehah dan menjadi menyambung dakwah Rasulullah SAW.
Saya Ibu Hamil Berusia 40 Tahun
Setiap ujian yang Allah berikan pasti ada hikmahnya.
Saya ibu hamil yang berusia 40 tahun. Tahun ini, suami saya 50 tahun, tahun ke-10 usia perkahwinan kami dan kandungan saya sekarang sudah 5 bulan.
Alhamdulillah.. Ramai pm fb dan dm ig saya tanya tips macamana nak hamil
“Tak ada tips pun. Tapi yang pasti. Kalau dari kesihatan, terus jumpa doktor pakar. Suami dan isteri kena pergi buat pemeriksaan. Ikut sahaja saranan doktor. “
Ads
“Jangan lengah-lengah supaya kita tahu apa masalah kesihatan yang kita lalui. Doa usaha dan tawakal insyaAllah.
Doa Mohon Zuriat Disyorkan Habib Ali Zaenal Abdin
Jadikan setiap ujian itu sebagai hadiah dan kasih sayang dari Allah kepada kita. Ujian yang diberikan untuk kita kumpul pahala.
Ads
Yang penting suami isteri kena sentiasa berkasih sayang. Tiada zuriat bukan makna hidup itu kosong dan tiada erti.
Jadikan rumahtangga jambatan kita ke syurga bersama.
Doa yang kami amalkan sejak awal perkahwinan dan Habib Ali Zaenal Abdin yang syorkan kami baca
Surah al-imran ayat 38 :
“Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya:” Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan“.
“Kita baca sirah Nabi Zakaria, insyaAllah kita akan faham tentang apa itu Rezeki, Ujian dan kasih sayang dari Allah.”
Mak ayah tahukan kesan dadah ini bahayanya macam mana. Lebih mengejutkan apabila Puan Nadia Hazmi, Pegawai Anti Dadah di AADK Daerah Kuching, Sarawak berkongsi tip bagaimana mak ayah perlu pantau keadaan anak-anak sejak dari kecil
Sebab bila mereka dah terjebak dengan dadah jenis psikoaktif seperti syabu inilah bila diambil berterusan dalam jangka masa panjang, boleh sebabkan otak mereka mereng serupa pesakit mental. Pendek kata boleh buat jadi GILA.
Pernah tengok tak orang mop dinding? Haa.. ini ok lagi. Lebih dahsyat bila tengok budak-budak ini mop karpet siap tabur serbuk pencuci Daia lagi.
Bertambah bisa sel otak cik puan pegawai pemulihan melihatnya.
Di Sarawak ini, kami lebih banyak berhadapan dengan kes-kes yang melibatkan pesakit mental. Ini kesan pengambilan dadah jenis psikoaktif seperti Syabu atau nama manjanya Batu/ Ice/Kaca yang paling banyak dijual di merata pelosok malahan secara terbuka.
Pengambilan dadah jenis inilah, biasanya sebabkan penagih jadi mental, psiko, skizofrenia, delusi, pendek katanya GILA.
Mereka hilang pertimbangan diri, hilang kewarasan. Setelah pengambilan lama dan berterusan. Bila dah jadi macam ni, harapan untuk pulih tu sangat tipis.
Syabu adalah dadah yang popular di masa kini. Ianya membelenggu ramai anak muda yang tidak menyangka kesan ketagihannya amatlah teruk sekali sehingga boleh membuatkan mereka bertindak aggresif untuk mendapatkannya.
Paling geram, tokan-tokan syabu ini ada yang sengaja memujuk mangsa untuk mencuba buat pertama kalinya agar mereka ketagih dan akan mengulangi pembelian syabu melaluinya (repeat order).
Syabu memang dadah yang patut diperangi dan dihapuskan dari negara kita. Harganya yang mahal (100 miligram lebih kurang RM50 ke RM70) membuatkan ramai penagih syabu sanggup melibatkan diri dengan jenayah seperti ragut, rompak dan mencuri untuk memenuhi kehendak mereka.
Ada juga yang sanggup membunuh keluarga sendiri. Jadi anda, perlu tahu serba sedikit maklumat mengenai syabu untuk mengenalpasti sama ada orang terdekat terlibat dengan ketagihan syabu ataupun tidak.
Berikut adalah cara-cara untuk anda men’detect’ tanda-tanda penagihan dadah paling durjana abad ini:
1. Antara tanda awal seseorang itu menghisap syabu ialah self-confident yang tinggi. Mereka akan menjadi sangat ramah, orang yang tidak kenal mereka pun boleh jadi kawan untuk pertemuan kali pertama.
Anda mulakanlah bicara tentang apa-apa topik pun, pasti mereka juga sama arif setanding dengan pengetahuan anda.
Perasaan ceria dan gembira dicampur dengan mulut yang ramah pasti membuatkan anda senang bersama mereka. Namun ianya hanya untuk seketika. Tanda hujung-hujung kesan pengambilan syabu (di jalanan orang gelar sebagai ‘kong’).
2. Mereka akan bertukar dari seorang yang ceria kepada orang yang sangat resah. Riak wajah pun boleh terlihat seakan-akan ada seribu masalah menimpa mereka sekelip mata.
Dalam situasi ini, penagih akan berasa tidak selesa dan tidak senang. Buka kipas dengan kelajuan nombor 5 pun boleh membuatkan mereka berpeluh. Ditambah pula sekiranya stok syabu sudah tiada, bertambah resahlah mereka.
3. Ada juga tabiat rutin bergantung kepada individu. Ada sesetengah orang tu dia akan mengetap gigi, ada sesetengah tu akan basuh muka kerapkali, ada sesetengah tu mengesat-ngesat mata dan muka.
Hal-hal ini terjadi kerana muka mereka akan terasa sedikit kebas dan tabiat ini akan berulang untuk mengurangkan perasaan kebas yang tidak menyelesakan itu.
4. Pada saat “kong” ini, emosi mereka akan jadi tidak stabil. Mereka boleh mengamuk tak tentu pasal ataupun boleh jadi terlalu sedih secara tiba-tiba.
Masa ini lah tiba-tiba keluar kisah cinta lama lah, sedih dengan masyarakat lah, kawan-kawan aniaya dia lah dan bermacam-macam lagi cerita penuh emosi yang akan keluar dari mulut mereka.
5. Tanda-tanda fizikal ini diceritakan oleh ramai. orang yang pernah mengambil syabu bahawa syabu sangat membantu dalam menambah tempoh berjaga dan tidak tidur. Disebabkan hal ini, penagih syabu akan berubah menjadi kurus dalam tempoh yang amat singkat.
6. Boleh juga dilihat pada wajahnya seperti di bawah mata menjadi kehitaman (eye-bag), muka bertambah jerawat dan lemak di pipi menjadi kurang (wajah cekung). Kesan jangka masa panjang.
7. Berdasarkan pengalaman sendiri dalam bidang ni, untuk tempoh jangka masa panjang syabu boleh merosakkan gigi dan mengakibatkan tulang menjadi rapuh. Ada juga kes dimana seorang penagih syabu ini jatuh basikal secara perlahan, namun kakinya boleh patah.
8. Di antara kesan jangka masa panjang yang lain ialah, penyakit mental seperti halusinasi, paranoia, perubahan pada struktur otak dan bermacam-macam lagi. Pendek kata, penagih syabu yang ‘extreme’ ni boleh jadi gila terus.
9. Cerita kebiasaan berdasarkan pengalaman. Ramai penagih syabu ni sebenarnya meronta-ronta untuk cuba meninggalkan dadah ini tapi tidak berhasil kerana kesan ketagihannya adalah amat kuat sekali.
10. Kerana malu diketahui orang ramai, biasanya penagih syabu akan kaitkan masalah kesihatan dan masalah mental mereka dengan perkara-perkara mistik seperti gangguan jin dan hantu. Kebanyakan ibu bapa terpedaya dengan tipu muslihat anaknya berkaitan jin dan hantu ini. Pada ketika inilah anda boleh lihat bomoh dan pawang-pawang di luar sana diperbodohkan oleh penagih syabu.
11. Antara perkara yang patut diperhatikan, Sekiranya anak anda selalu keluar rumah dan pulang dalam keadaan mencurigakan, cuba elak dan tahan mereka dari keluar rumah untuk satu tempoh tertentu, contohnya antara 4 ke 5 hari. Lihat reaksi mereka kalau tiba-tiba aggresive lain macam tu kena bagi ‘extra care’ lah nampak gayanya.
12. Kebarangkalian tinggi dia akan mengamuk kalau tak dapat ‘topup’ syabu dalam badan mereka. Menggigil-gigil mereka nanti sebab tu mengamuk adalah jalan mudah bagi mereka untuk keluar rumah.
13. Salah sangka di kalangan ibu bapa bila anak-anak mereka terlibat dengan ketagihan syabu, mereka menyembunyikan hal ini kerana takut dimalukan atau mungkin kerana terlalu sayangkan anak mereka.
Ramai yang takut ahli keluarga mereka ditangkap polis sehingga sanggup menyembunyikan hal sebenar.
Sebenarnya, membiarkan anak anda tidur di lokap buat beberapa hari boleh memberi sedikit kesedaran kepada mereka (bagi pengguna syabu yang baru). Namun kalau dah extreme tu susah juga nak sedarkan mereka.
14. Ada juga sesetengah ibu bapa, menghantar anak mereka ke sekolah pondok dan hantar mereka keluar dari daerah/negeri bagi mengelakkan mereka dapat membeli syabu dari tokan yang dikenali mereka. Namun bagi penagih syabu tegar, selagi duduk dalam Malaysia, mereka akan cari syabu walau ke lubang cacing sekalipun.
15, Kalau nak hantar anak keluar kawasan, pastikan hantar terus ke luar negara. Solusi ini sangat berkesan dan terbukti dapat mengubati ketagihan syabu bagi sesetengah orang. Dan apabila mereka pulang ke Malaysia, elakkan mereka berkawan dengan rakan-rakan atau teman-teman lamanya yang disyaki terlibat sama dalam najis dadah ini.
PS: Gambar ni (gambar orang mop dinding biru) dari album 6 tahun lepas. Klien dalam gambar ni, ada datang ‘melawat’ kami minggu lepas. Siap speaking london lagi. Soalan pertama dia “Hai doktor! Anak cik puan dah berapa orang? Berapa orang dah suami puan?”
Masih ingat dengan tragedi yang menimpa seorang pelajar perempuan yang hilang kedua-dua kaki akibat digilis lori dalam kemalangan di Sungai Besar, Sabak Bernam, kira-kira dua tahun lalu. Bukan mudah untuk kembali bangkit apabila diuji dengan dugaan yang hebat. Penah sihat sempurna fizikal dan kini berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) ternyata semangat luar biasa remaja ini wajar dijadikan sumber inspirasi.
Bangkit daripada episod hitam, perkembangan terkini remaja perempuan ini telah menjadi seorang atlet paralimpik yang berjaya. Aktif melibatkan diri dalam sukan angkat berat, Siti Nuraisyah Sahrin, 15, berjaya membuktikan beliau mampu berjaya meskipun kini berstatus orang kurang upaya (OKU).
Lebih membanggakan, penglibatan aisyah sejak 2016 itu membawa kejayaan dengan meraih tiga pingat perak dan satu gangsa dalam Kejohanan Powerlifting Sirkit Akhir Kebangsaan 2016, 2017 dan suku pertama 2018.Bukan itu sahaja, Aisyah yang lebih mesra dengan panggilan Ecah merupakan wakil tunggal Selangor dan peserta termuda dalam pertandingan itu.
Siapa sangka selepas tragedi yang menimpanya pada 18 Januari 2016, mengubah kehidupannya apabila menjadi atlet sukan yang mengharumkan nama negara.
Ecah memberitahu kehidupannya berubah berkat sokongan keluarga, rakan-rakan dan guru sekolah.
“Ibu bapa, kawan-kawan dan cikgu sekolah banyak bagi kata-kata semangat. Mereka selalu nasihatkan saya jangan sesekali putus asa,” katanya.
Ecah berkata, dia tidak mahu tragedi yang menimpa dirinya mendatangkan kesedihan kepada orang ramai.
“Ketika kejadian, saya sedar kaki tiada dan tidak pernah rasa trauma hingga sekarang,” katanya.
Bapa tirinya, Roslan Sardi berkata, dia kagum dengan semangat luar biasa Ecah yang tidak pernah berasa sedih dengan tragedi menimpanya.
“Saya bersyukur ALLAH kurniakan Ecah kekuatan dimana dia boleh hadapi musibah ini dengan tenang dan dapat terima kekurangan diri.
“Ecah cepat pulih, kalau orang lain dah meraung tapi Ecah tak menitiskan air mata langsung..memang dia seorang yang kuat,” katanya.
Mengakhiri temubual itu, Roslan menasihatkan ibu bapa yang mempunyai anak OKU agar tidak malu sebaliknya menonjolkan anak untuk masa depan yang cerah.
“Jangan anggap anak ini memalukan keluarga kerana mereka sebenarnya boleh berjaya. Jadi, kita perlu bawa dia ke depan dan jangan berasa malu.
“Beri anak ini semangat dan harapan agar dia boleh maju dan menjadi seorang yang berjaya,” katanya.
Tabahnya remaja ini, ternyata punyai semangat yang luar biasa meskipun pernah diuji dengan dugaan yang hebat.Buat wanita lain yang pernah menghadapi ujian, jangan sesekali bersedih dan berputus asa. Lupakan episod duka, Teruslah bangkit mengejar impian dan cita-cita.
Lelaki ini tak boleh mendengar. Tetapi itu bukan alasan kepada Amril Nurman bin Lokman untuk menggapai kejayaan seperti insan normal lain. Dia ada satu kelebihan yang tak semua OKU pekak mampu lakukan, iaitu boleh bercakap.
“Sejak kecil, ibu saya Rabeah binti Hussain melatih saya untuk bercakap. Dia memilih kaedah paling susah iaitu kaedah oral-aura untuk saya belajar dalam berkomunikasi sebab dia mahu saya bermula dari atas. Dia juga mahu saya sama seperti insan lain.
“Saya belajar kaedah oral-verbal, bahasa isyarat, bacaan bibir dan bahasa gerak badan. Dan saya belajar melatih pendengaran dan pertuturan kiu. Sebab itu juga saya boleh bercakap.”
Cuma bila bercakap, dia perlu bertutur dengan perlahan-lahan. Agar orang yang mendengarnya dapat memahami percakapannya.
“Saya hanya mampu bercakap tetapi tak boleh mendengar. Sebab itu, saya memerlukan alat bantuan pendengaran untuk membantu saya bercakap.”
Amril menggunakan bahasa isyarat apabila berbicara dengan OKU pekak lain dan insan normal yang mahir berbahasa isyarat.
Tahu bahasa gerak badan dan membaca gerakan bibir dalah caranya berkomunikasi dengan adik-beradik yang lain.
Anak ketiga dari 4 orang adik beradik yang kesemuanya lelaki ini mengakui menggunakan cara ini membantunya belajar lebih banyak cara bercakap dengan betul.
Tahap kepekakan yang dialami juga sangat teruk dan dia memerlukan alat bantuan pendengaran sejak berumur 4 tahun. Penggunaan alat bantuan pendengaran ini yang membantunya untuk bercakap dalam nada yang terlalu kuat.
Bagaimana pun, ketika temu ramah ini dijalankan dengan wartawan Mingguan Wanita, Amril mendapat bantuan Penolong Kanan 1, Puan Suhaila yang akan menterjemahkannya dalam bahasa isyarat.
Amril, 26 tahun, bukan calang-calang OKU. Pencapaiannya dalam bidang pendidikan boleh dibanggakan bagi mereka yang bergelar OKU. Dia mendapat 3A dalam UPSR. Manakala 3A, 4B dan 1C adalah keputusan yang dicapainya dalam peperiksaan SPM.
Kini sudah hampir 2 tahun lebih Amril bergelar seorang guru di Sekolah Pendidikan Khas Kampung Baru Kuala Lumpur. Dia berjaya melunaskan cita-citanya sebaik menamatkan pendidikan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas di Kuala Lumpur.
Beliau juga merupakan Bendahari Persatuan Guru-guru Pekak Malaysia.
Dorongan ibu buatkan Amril akhirnya menjadi guru.
“Waktu dapat tawaran masuk ke IPG Ilmu Khas, minat jadi guru itu memang tak ada.Akhirnya minat itu terpupuk dengan sendiri setelah saya belajar dengan lebih mendalam terhadap kursus yang ditawarkan.”
“Bertuah saya kerana dapat jadi guru terutamanya guru kepada pelajar OKU. Boleh dikatakan keseronokan saya menjadi guru itu semuanya semata-mata kerana saya dapat mengajar pelajar-pelajar OKU yang senasib saya.
“Saya lebih bersemangat apabila dapat mengajar mengikut kemampuan pelajar-pelajar. Saya selalu juga berkomunikasi dengan ibu bapa pelajar.”
Bagi ibu bapa yang tidak boleh berbahasa isyarat, setiap hari Sabtu selama dua kali sebulan Amril akan memberi kelas bahasa isyarat kepada ibu bapa yang mempunyai anak OKU pekak.
“Saya harap cara ini dapat membantu ibu bapa dapat memahami anak mereka dengan lebih baik.”
Amril juga mampu mengajar dan menggunakan bahasa isyarat Melayu dan bahasa isyarat Inggeris.
Tidak mudah bergelar OKU terutamanya dalam menimba ilmu. Ujar guru yang mengajar bahasa Inggeris, bahasa isyarat komunikasi, pendidikan jasmani dan pendidikan kesihatan ini, sejak kecil lagi dia mengalami kesukaran untuk berkomunikasi dan memahami apa yang diajar oleh guru ketika mengajar.
“Semasa belajar di IPG Ilmu Khas disebabkan ada masalah komunikasi, saya susah faham apa yang pensyarah ajar.
“Nasib baik saya mendapat bantuan kawan-kawan sekelas. Mereka akan cuba menterjemahkan apa yang diajar pada saya dalam bahasa Isyarat.
“Sebab itulah saya mengajar bahasa sewaktu mengikuti kursus pendidikan kerana saya sedar penting bagi OKU pekak untuk belajar bahasa. Orang pekak suka menghafal tetapi mereka tidak suka ejaan.
“Harapan saya, dengan cara menjadi guru ini dapat membantu pelajar-pelajar menjadi lebih pandai daripada apa yang saya dapat selama ini. Saya mahu pelajar-pelajar dapat lebih banyak A daripada saya.”
Foto: Nurul Akmar Azimi
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Lelaki Bangladesh kahwini wanita lumpuh berusia 69 tahun sebelum dipercayai mempergunakan isterinya untuk mendaftarkan tiga syarikat yang dikaitkan dengan kegiatan menyediakan permit kerja palsu kepada warga asing.